A132069 AHMAD FUAD FAHMI BIN MOHD NOOR
EMOSI
Sebagai pelajar perubatan tahun dua di Universiti Kebangsaan Malaysia, saya telah diwajibkan mengambil satu kursus ZT2253 Pengurusan Emosi. Kursus ini memberikan satu pengalaman baru kepada saya. Saya dapat mengenali dengan lebih mendalam dan juga mememahami konsep sebenar emosi dan apa yang paling penting sekali ialah bagaimana saya akan meguruskan emosi. Sebelum ini emosi adalah satu perkara yang saya anggap remeh tetapi setelah kuliah pertama untuk kursus ini saya telah mengubah pendirian saya mengenai emosi. Pada asal nya saya menganggap emosi ini hanyalah untuk mereka yang mengalami kemurungan dan dalam kesedihan kerana sering kali sahaja kita mendengar orang di sekeliling kita mengatakan, 'jangan lah beremosi sangat, ini semua dugaan'. Tapi emosi bukan lah tertumpu kepada kesedihan dan kemurungan semata-mata malahan gembira juga boleh diklasifikasikan sebagai salah satu emosi.
Definisi emosi dipetik daripada Kleinginna & Kleinginna (1981) bahawa emosi merupakan satu interaksi yang kompleks antara faktor subjektif dan faktor objektif yang dipengaruhi oleh sistem neural hormon. Disini amat jelas sekali bahawa emosi dipengaruhi oleh banyak faktor dalaman mahupun luaran, baik faktor fizikal mahupun faktor mental dan juga rohani, semuanya memberi sumbangan kepada pembentukan emosi seseorang. Walau pun banyak faktor menyumbang kepada pembentukan emosi, emosi itu sendiri juga menjadi faktor pembentukan perkara yang lain. Sebagai contoh, emosi dapat menimbulkan pengalaman afektif seperti perasaan keseronokan atau tidak berpuas hati,menjana proses kognitif seperti kesan emosi yang berkaitan persepsi, penilaian,proses pelabelan,mengaktifkan penyesuaian fisiologi yang meluas kepada syarat-syarat yang membangkitkan ,membawa kepada tingkah laku yang sering, tetapi tidak semestinya, ekspresif, matlamat yang diarahkan, dan adaptif.
Emosi dapat dibahagikan kepada banyak jenis. Antara yang sering kita alami ialah marah, stress, gembira, sedih, takut, sayang, hairan, benci dan juga malu. Semua ini adalah emosi yang sering bermain didalam diri kita dan kebanyakan dari kita tidak dapat mengetahui dengan kesedaran yang diri kita sebenarnya dilanda pelbagai emosi. Hal ini kerana emosi adalah satu perbuatan yang dilakukan oleh diri kita sendiri dalam keadaan separa sedar dan ditafsirkan melalui pelbagai medium seperti ekspressi muka, perbuatan tubuh badan, dan juga percakapan kita. Tetapi kita dapat megetahui dengan jelas akan emosi yang ditunjukkan oleh orang disekeliling. Terdapat pelbagai jenis emosi yang ditunjukkan. Sebenarnya tidak ada sempadan yang jelas antara emosi yang berbeza-beza yang dapat membantu kita menentukan jenis-jenis emosi. Hal ini kerana, emosi kadang kala boleh bercampur baur antara satu sama lain. Sedih boleh bercampur gembira, malu bercampur sedih, dan takut juga boleh bercampur benci. Tak semuanya mampu ditafsirkan dengan tepat. Kadang-kadang, percakapan yang kita tuturkan juga tidak menggambarkan emosi kita yang sebenar. Kita mengatakan kita gembira tetapi apa yang dialami ialah tekanan dan begitulah sebaliknya.
Namun begitu, emosi-emosi yang utama dapat dibezakan mengikut beberapa petunjuk arau respon daripada seseorang itu. Antaranya ialah emosi gembira. Seseorang itu mungkin akan ketawa, tersenyum, melompat, menepuk tangan dan juga bersorak. Daripada respon yang ditunjukkan oleh seseorang itu maka sangat jelaslah mereka sedang gembira ketika itu. Selain itu, emosi utama yang lain ialah sedih. Seseorang itu mungkin akan menunjukkan tingkah laku yang ganjil, merajuk, membawa diri, dan mungkin juga akan menangis kadang-kala. Emosi marah juga kadang-kala kita dapat memahaminya apabila seseorang itu menunjukkan respon-respon seperti diam, mengamuk, menggenggam penumbuk, memukul dan juga mencarut. Tidak lupa juga kepada perasaan takut yang juga merupakan antara emosi utama yang selalu dialami oleh seseorang itu. Antara respon yang mungkin ditunjukkan ialah, menggigil, menangis, bersembunyi mencari perlindungan dan juga menjerit tidak keruan. Namun begitu, emosi-emosi yang lain tidak mudah untuk kita fahami kerana emosi-emosi ini hanyalah diketahui oleh orang yang mengalami emosi itu sendiri. Antara emosi tersebut ialah bimbang, kecewa dan juga tertekan kerana tidak ada perbuatan fiizikal yang jelas untuk membantu kita memahami emosi tersebut.
Begitulah bagaimana kompleks sesebuah emosi itu boleh berkait rapat antara satu sama lain. Emosi ini penting bagi seseorang itu tambahan lagi kepada remaja-remaja kerana pada waktu ini lah seseorang itu akan mengalami perubahan emosi yang berterusan secara maksimum. Antara kepentingan emosi ialah menentukan Batasan keselesaan kita dengan keadaan sekeliling.Apabila rasa tidak selesa dengan perlakuan seseorang, emosi akan memberi kita isyarat. Jika kita percaya dengan emosi dan yakin dapat menyatakan perasaan, maka kita seharusnya memaklumkan sahaja apa yang kita rasa tidak selesa sebaik wujud rasa tidak selesa itu. Tindakan ini membantu kita menetapkan batasan untuk menjaga kesejahteraan dengan orang di sekeliling. Emosi juga penting kepada kita untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Hal ini kerana eksperesi wajah yang ditunjukkan oleh pelaku dapat membantu menyampaikan maklumat dengan lebih jelas dan mantap lagi kepada penerima maklumat tersebut mengenai perasaan kita ketika itu. Samaada kita sedih, tersinggung ataupun memerlukan pertolongan, menzahirkan emosi dapat menimbulkan empati di dalam diri penerima maklumat.
Selain dari itu, emosi juga dapat membantu kita mengetahui perasaan dan kenikmatan sebenar kegembiraan itu, apabila gembira, kita akan rasa puas, selesa, dan juga kenikmatan. Ini adalah antara perasaan yang dating apabila emosi gembira itu dipenuhi. Sebagai contoh, seseorang itu memiliki harta yang banyak, rumah yang besar, isteri yang cantik, suami yang kacak, pangkat tinggi namun ini semua tidak menjamin seseorang itu merasa kebahagiaan jika emosi dan perasaan memberitahu bahawa masih ada kekurangan yang perlu dibaiki. Lebih epaat kita mengenalpasti sesuatu emosi itu, lebih mudah untuk kita mengenalpasti apa lagi yang diperlukan untuk gembira. Emosi juga penting untuk penyatuan sesebuah komuniti masyarakat tidak kira kecil mahupuun komuniti yang besar. Hal ini kerana emosi adalah universal. Pelbagai masyarakat yang berbeza kaum, agama, budaya dan juga taraf hidup dapat disatukan oleh emosi. Emosi membantu kita untuk mempunyai empati di dalam diri kita. Ini akan membantu kita memahami apa yang dirasai oleh orang lain. Ini akan menimbulkan perasaan belas kasihan, kerjasama dan mungkin juga kemaafan sesama masyarakat. Namun demikian, kita harus ingat, emosi juga mampu memecahbelahkan umat manusia.
"TIADA SIAPA YANG DAPAT MEMUJUK
ORANG LAIN UNTUK BERUBAH SIKAP,
SETIAP KITA MENJAGA PINTU PERUBAHAN
YANG HANYA DAPAT DIBUKA DARI DALAM,
KITA TIDAK DAPAT MEMBUKA PINTU ORANG LAIN,
BAIK DARI PERBAHASAN,
MAHUPUN DENGAN RAYUAN EMOSI"
(Harapan Perdana Menteri dalam MODAL INSAN)
Sebagai kesimpulan nya, emosi adalah sesuatu yang kompleks. Emosi merupakan perasaan yang kadang kala kita dapat mengetahui dengan jelas dan mungkin juga kita tidak dapat memahaminya. Emosi dipengaruhi oleh banyak faktor seperti faktor fizikal, faktor mental dan juga rohani seseorang individu. Emosi penting kepada seseorang kerana dengan emosi kita dapat mengetahui batasan diri kita sendiri, kita juga dapat mengecapi kebahagiaan sebenar dengan emosi selain dari membantu kita untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Namun semua perkara ini tidak akan member kesan dan impak yang mendalam sekiranya kita tidak tahu menguruskan emosi dengan cara yang salah. Oleh yang demikian kita seharusnya belajar cara-cara pengurusan emosi yang berkesan.
No comments:
Post a Comment