27 Julai 2011 merupakan permulaan bagi kuliah Pengurusan Emosi ZT2253 dan bagi diri saya pula, ini akan menjadi titik permulaan dan perubahan diri saya ke arah pengurusan emosi yang lebih efisyen. Kuliah ini telah membuka mata saya kepada erti emosi secara lebih mendalam dan meluas, yang selama ini hanya diertikan sebagai sesuatu yang remeh dan tidak pernah dipandang penting. Pengenalan kursus ini telah menyentuh banyak aspek emosi yang harus diketahui, di pelajari, dan dipraktikkan. Oleh yang demikian, saya yakin bahawa semua mahasiswa yang telah melalui kursus ini akan lebih bijak dan seimbang dari emosi, sejajar dengan matlamat Negara dalam melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Menyedari hakikat emosi memainkan peranan yang penting dalam menentukan perilaku, pemikiran, perasaan, dan tanggapan seseorang, kursus ini sememangnya tidak boleh dipandang enteng. Setiap yang diajar mempunyai maksud tersurat dan tersirat yang perlu dihayati kerana ini akan membolehkan kita lebih memahami diri sendiri dan bertindak mengikut fikiran, tanpa sedikit pun dipengaruhi oleh perasaan negatif.
Menyentuh mengenai memahami diri sendiri, ini tampak seolah-olah seperti sesuatu yang begitu mudah dan sinonim dengan semua orang. Namun pada hakikatnya, saya percaya hanya segenggam penuh orang sekeliling kita yang benar-benar mengerti siapa diri kita yang sebenar. Salah satu kebolehan memahami diri adalah memahami emosi kita sendiri. Kenyataan ini mudah dijelaskan dengan kebolehan mengawal sepenuhnya emosi kita, terutama sekali apabila dipengaruhi oleh perasaan. Membuat keputusan yang rasional berdasarkan penilaian baik buruknya sesuatu tindakan dan berdasarkan penyelesaian masalah komprehensif bukanlah semudah yang disangka. Contohnya apabila kita diselubungi rasa marah, semua yang mendatang akan dianggap bertentangan dengan kita. Apabila rakan datang menghampiri dengan niat baik untuk berkongsi masalah yang dihadapi bagi mengurangkan beban di hati, disebabkan terlalu mengikut gerak hati untuk mengurangkan rasa geram, kita mungkin terlepas kata yang tidak sepatutnya kepada rakan mahupun memarahi mereka kerana menjaga tepi kain orang dan mengusir mereka agar tidak bercampur tangan. Apa yang diperoleh dari tindakan ini secara positifnya hanyalah mengurangkan rasa marah. Dilihat dari segi negatif pula, rakan tersebut akan tersinggung, berasa kecil hati kerana niat baik dibalas buruk, tidak lagi ambil penduli terhadap kita, selain menjauhkan diri daripada kita. Kata-kata kurang sopan itu sendiri mencerminkan keperibadian diri yang kurang mulia. Situasi mudah seperti ini telah menonjolkan betapa pentingnya kebolehan mengawal perasaan, dan ini cumalah sebahagian kecil daripada pengurusan emosi yang kebanyakkan daripada kita tahu.
Sebelum saya mengulas dan mencoret dengan lebih lanjut, marilah kita imbas kembali definisi emosi. Menurut Kleinginna dan Kleinginna (1981), emosi merupakan interaksi kompleks antara faktor-faktor objektif dan subjektif yang dipengaruhi hormon dalam badan, dan membawa kepada pengalaman afektif, menjana proses kognitif, pengaktifan perubahan fisiologi yang meluas, dan mempengaruhi perasaan. Maka dengan merujuk kepada contoh sebelum ini, perasaan hanyalah sebahagian kecil daripada pengaruh emosi. Pelbagai stimulasi dan rangsangan yang berlainan akan menyebabkan kognitif, tanggapan, perasaan, dan cara bertindak yang berlainan bagi memastikan diri kita berada pada tahap optimum. Sifat semulajadi manusia ini memainkan peranan yang tidak dapat dipersoalkan kepentingannya, namun keempat-empat kesan stimulasi ini boleh membawa kepada hasil yang positif mahupun negatif.
Contohnya, apabila kita diancam, kita akan tahu kita dalam bahaya, rasa takut, mula bersedia dan merancang untuk melepaskan diri, dan sebagai akibat positifnya, kita kembali berada dalam keadaan selamat manakala sebagai akibat negatif pula, kita mungkin cedera mahupun kehilangan nyawa. Dalam contoh ini, kebolehan bertindak dengan betul yakni mengiktiarkan cara melepaskan diri dalam masa yang singkat merupakan perkara paling penting yang memastikan kita selamat. Kebolehan membuat keputusan yang betul sepantas mungkin dalam keadaan ketakutan bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi tanpa amaran awal dan pengalaman yang lepas. Memang benar kata 'manusia itu tidaklah sempurna dan tidak suci daripada melakukan kesilapan', tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh memperbaiki kelemahan yang ada, memaksimakan hasil yang positif dan meminimakan hasil yang negatif. Latihan berterusan dan mempraktikkan secara sedar dan bukan hanya secara kebetulan pengurusan emosi yang bijak sudah tentu menguntungkan dalam jangka masa panjang. Sifat seperti ini memakan masa yang lama untuk dikuasai dan tidak mungkin dapat dicapai dengan hanya sekelip mata, namun ini tidak bermakna mustahil untuk diperbaiki. Hanya mereka yang mempunyai keazaman dan iktizam yang kuat dan tinggi untuk berubah memajukan diri akan mampu melakukannya.
Seterusnya adalah berkaitan motivasi, sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dengan emosi. Dalam pelbagai keadaan yang dipengaruhi emosi, perbuatan dan motif kita adalah berlainan dan berubah-ubah. Sebagai contoh, apabila kita gembira dan berpuas hati dalam sesuatu organisasi, kita akan bermotivasi yang tinggi untuk menyumbangkan idea dan tenaga mahupun berkorban sedikit demi kepentingan bersama, dan segala yang diberikan adalah berpaksikan kemajuan organisasi. Sebaliknya sekiranya kita sedih berasa dipaksa menyertai sesuatu organisasi, kita tidak akan terfikir sama sekali untuk menawarkan diri memberi segala bantuan dan sekiranya disuruh melakukan sesuatu, kita akan melaksanakannya alang-alang sahaja, setakat untuk menyelesaikan tugas tersebut tanpa inisiatif untuk menghasilkan yang terbaik. Perbezaan kedua-dua senario ini begitu ketara dari segi perlaksanaan dan hasilnya, membuktikan sekali lagi emosi kita perlu diuruskan dengan baik agar mencapai keputusan yang diharapkan oleh diri sendiri dan juga orang lain.
Emosi disedari begitu penting sejak zaman dahulu lagi, sehingga wujudnya teori-teori berkaitan emosi seperti "Biological Theories of Emotion", "Darwin's Basic Theory of Emotion", "Plutchik's Primary Emotion Theory", "Tomkin's Facial Feedback Theory", dan "Izard's Innate Facial Expression". Seperti yang disebut bahawa emosi dipengaruhi hormon dan terdapat perubahan fisiologi yang meluas, ini bermakna seluruh badan baik dalaman mahupun luaran akan turut terjejas. Darwin dalam teorinya telah menyebut bahawa expresi wajah adalah paling mudah untuk melambangkan emosi dan saya berpendapat kenyataannya itu memang benar. Ramai yang tidak sedar perkataan mudah disusun untuk mengikut kehendak tetapi pada hakikatnya, mereka tidak dapat menutup emosi sebenar. Expresi muka, gaya, intonasi penyampaian maklumat, dan tingkah laku tidak mudah diubah sekiranya emosi adalah tidak sejajar. Sebagai contoh, apabila seseorang itu kesedihan yang mendalam, dia boleh mengatakan dia tidak sedih dan tiada masalah, malah boleh senyum tetapi senyumannya itu sudah tentu tidak semanis senyuman biasanya, mukanya mungkin lebih pucat, matanya merah menangis, dan tingkah lakunya agak kekok atau apabila beredar, ekspresi mukanya dengan serta-merta akan berubah kembali pilu. Contoh ini secara langsung telah menggambarkan tiga bahasa emosi seperti yang diterangkan oleh Plutchnik dalam teorinya iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkah laku, dan bahasa fungsian.
No comments:
Post a Comment