Sunday, July 31, 2011

jurnal emosi

A132107 Fatin Masturah binti Mustaffa       Menyingkap Erti Sebenar Emosi

 


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua yang membaca jurnal ini..=)

Apa yang ada dalam benak anda ketika kata 'emosi' disebut? Persepsi ramai orang hampir serupa, bahawa  emosi sinonim dengan marah. Dengan demikian, emosi adalah marah, marah adalah emosi! Pada segi pandangan lain, jarang kita mendengar perkataan emosi dikaitkan dengan dengan ekspresi  gembira, sedih, takut , dan kecewa.  Tidak dinafikan, saya juga tergolong dalam kelompok orang yang mempunyai pemikiran sempit mengenai emosi. Hampir setiap hari saya menggunakan perkataan emosi secara membabi buta tanpa mengetahui dan mendalami maksud sebenar perkataan itu. Sejujurya, memang  saya sering menggunakan perkataan tersebut untuk menggambarkan keadaan yang sedih atau tertekan.  Setelah saya meneliti kembali, saya sedar saya telah mengecilkan skop penggunaan perkataan 'emosi' itu. Alhamdulillah, ternyata kuliah ZZT 2253 yang bertajuk Struktur dan Ekspresi Emosi yang disampaikan oleh pensyarah yang disegani dan dihormati iaitu Dr.Zamri, memang berkesan dan merubah pemahaman saya terhadap konteks emosi.  Sesungguhnya, saya terasa ama berbaloi dan bertuah dapat menghadiri kuliah tersebut walaupun pada mulanya saya terasa berat hati, tetapi dengan berkat usaha Dr.Zamri yang tidak jemu-jemu untuk menarik perhatian pelajar beliau dengan pelbagai lawak jenaka yang diselitkan dan aktiviti penyampaian ucapan secara spontan oleh pelajar yang bertuah mengenai tajuk yang dipelajari, sememangnya amat mendebarkan dan membuatkan pelajar tidak senang duduk. Secara tidak langsung, cara itu membuatkan pelajar lebih fokus kepada syarahan yang disampaikan oleh Dr.Zamri  dan mendapatkan seberapa banyak informasi untuk dibentangkan pada akhir kuliah. Fuh! Memang menyeksa jiwa ketika pemilihan nama dibuat sampai ada yang menadah tangan,berdoa supaya namanya tidak dipanggil.hahahaha...bila mengimbaskan kembali kenangan hari pertama mendengar syarahan dari Dr.Zamri, terasa geli hati pula. hehehe...Berbalik kepada tajuk sebenar journal ini, kuliah ini disampaikan pada 27 Julai 2011, bertempat di DK1.  Kuliah selama 2 jam itu telah mencelikkan mata saya bahawasanya  di sebalik  satu perkataan yang pendek iaitu 'emosi' membawa seribu satu pengetahuan yang lebih luas dan universal, yang sebelum ini memang tidak pernah terlintas di benak fikiran saya.  

Terdapat beberapa aspek yang berkaitan dengan emosi iaitu pengenalan emosi,  bagaimana untuk mengukur emosi, struktur dan ekspresi emosi, dan pengalaman emosi itu sendiri. Kuliah pada hari tersebut telah menyentuh mengenai sedikit sebanyak mengenai pengenalan emosi dan disusuli dengan syarahan yang lebih mendalam mengenali struktur dan ekspresi emosi. Jadi, dalam coretan jurnal saya ini, saya ingin mengupas beberapa input yang saya dapat fahami dari kuliah tersebut. Terdapat pelbagai jenis definisi emosi yang dinyatakan tetapi melalui pemahaman saya dari syarahan tersebut, emosi itu mengacu kepada cara penyampaian perasaan seseorang individu melalui perkataan, ekspresi wajah dan perilaku. Ini sejajar dengan kenyataan dalam struktur emosi yang saya pelajari, emosi adalah kombinasi antara  4komponen emosi  itu sendiri iaitu afektif(perasaan), kognitif(pembelajaran/memori), fisiologi dan tingkahlaku. Sebagai contoh, ketika seseorang itu sedang dilanda perasaan marah, mindanya akan mengaktifkan proses kognitif untuk mempelajari sebab-sebab dan keadaan yang mendorong perasaan itu timbul serta memberi idea untuk memberi respon terhadap keadaan tersebut. Keadaan ini akan mempengaruhi fisiologi tubuh badan individu tersebut seperti peningkatan hormon yang membuatkan dia menggigil  dan berpeluh menahan kemarahan dan seterusnya mendorong individu tersebut untuk meluahkan perasaan amarahnya dengan menjerit, menangis dan sebagainya. Justeru, adalah penting bagi kita untuk mengawal emosi dengan bijak dan rasional supaya kita tidak cenderung untuk melakukan perbuatan di luar batasan dek kerana dipengaruhi oleh emosi.  Seharusnya kita memikirkan kesan yang bakal berlaku jika kita mengambil tindakan yang terburu-buru dan akhirnya membawa padah kepada diri kita sendiri dan dari sini kita dapat lihat bukan kebijaksanaan pengukur kematangan tetapi pengawalan emosi.

Selain itu, berdasarkan apa yang diperkatakan oleh Darwin iaitu emosi terdiri daripada emosi asas yang dikenali sebagai 'primary emotion' dan Kokoszka(1993)juga menjelaskan lagi emosi asas ini adalah ciri-ciri dalaman manusia yang diekspresikan dalam bentuk seragam di semua bangsa dan budaya. Apa yang saya faham mengenai konteks di atas ialah emosi adalah salah satu sifat semulajadi manusia dan semua orang tidak kira bangsa dan agama akan mengalaminya tetapi berbeza dalam cara penyampaian dan waktu kejadian. Oleh itu, semua manusia mengalami perasaan gembira, sedih, marah, takut, kecewa, benci, meluat, jijik dan bermacam perasaan lain lagi, yang mana setiap satu perasaan itu memiliki kriteria dan pengungkapan yang tersendiri. Pengungkapan yang baik mampu membuatkan seseorang individu menelaah dirinya secara lebih meluas dan mendalam.  Bukan itu sahaja, saya juga ingin memetik sebaris kata dari Daniel Goleman(Emotional Inteligence) yang menguatkan lagi kenyataan saya di atas, iaitu kecerdasan emosi  atau lebih acap kali disebut sebagai EQ ,jauh lebih berperanan dari pertimbangan IQ dalam menentukan siapa yang akan menjadi bintang dalam suatu pekerjaan. Goleman mengupas lebih lanjut bahawa kecerdasan emosi mampu membuatkan seseorang itu memotivasikan diri sendiri, mampu mengharungi cabaran yang mendatang serta kegagalan yang dihadapi dan juga mampu mengendali dan mengawal suasana hati dengan baik. Jadi jika kita lihat dari butir kata beliau, seharusnya kita memiliki kecerdasan emosi supaya dapat membuahkan impak positif terhadap kerjaya dan kehidupan kita seharian. Terutamanya kepada saya dan rakan seperjuangan yang bakal bergelar doktor kita patut menyediakan diri kita untuk menghadapi pelbagai rintangan yang mencabar dan amat menduga kesabaran kerana kita berurusan dengan manusia yang beragam perangai dan diberi kepercayaan oleh mereka. Jadi, wajarlah kita mengambil iktibar daripada kupasan-kupasan bernas dari  pakar kecerdasan emosi, Daniel Goleman dan mengaplikasikannya bermula saat ini sebagai seorang pelajar. Hal ini penting kerana, gangguan terhadap sistem biologi dan psikologi tubuh kita seperti kurang tidur dan rehat, lapar dan sebagainya akan menyebabkan emosi kita tidak stabil dan hilang pertimbangan yang wajar.

Tambahan lagi, di sebalik kata 'emosi' ini, terdapat beberapa teori yang Dr.Zamri utarakan dalam syarahannya iaitu Plutchik' s Primary Emotion Theory, Tomkin's Facial Feedback Theory and Izard's Innate Facial Expression. Ketiga-tiga teori ini dibangunkan berdasarkan Darwin's Basic Theory of Emotion.  Saya akan mengupas serba sedikit mengenai setiap teori-teori tersebut berdasar pemahaman saya. Dalam Plutchik's Primary Emotion Theory, ia mengandungi bahasa emosi, asas adaptasi tindakbalas dan dimensi emosi. Tetapi saya lebih berminat untuk mengulas mengenai Plutchik's Language of Emotion iaitu emosi boleh digambarkan dalam 3 bahasa yang berbeza iaitu 1) bahasa subjektif, 2)bahasa tingkahlaku dan 3)bahasa fungsi.

1.Bahasa subjektif

Bahasa ini merujuk kepada bahasa biasa bagi emosi. Contohnya: sedih, gembira, kecewa,sedih dan benci

            2.Bahasa tingkahlaku

Bahasa ini pula merujuk kepada perbuatan seseorang sebagai tindakbalas terhadap ransangan yang menimbulkan emosi tersebut. Contohnya: mengeluarkan air mata ketika sedih, ketawa dan melompat kegirangan dan bertepuk tangan ketika gembira dan membuat muka bengis dan garang serta menjerit ketika marah.

            3.Bahasa Fungsi

Manakala bahasa fungsi pula merujuk kepada fungsi emosi tersebut terhadap seseorang dan bagaimana emosi itu memberi kesan terhadapnya. Contohnya: berani boleh member keyakinan kepada dia, sedih menggambarkan kasih sayang dan keakraban dia dengan seseorang.

Ketiga-tiga bahasa ini masing-masing memainkan peranan yang penting bagi seseorang menzahirkan apa yang dia rasa. Pada pendapat saya, meluahkan perasaan dengan cara,tempat dan waktu yang betul adalah bagus supaya kita tidak terlalu tertekan dengan masalah yang ada dan adalah penting bagi orang sekelilingnya untuk peka dengan emosi dia agar tidak memburukkan lagi keadaan dan emosinya. Jadi, bagi saya dan pelajar lain haruslah bijak dalam mengurus emosi seperti berkongsi masalah dengan kawan rapat, meminta bantuan pakar kaunseling jika melibatkan masalah yang serius dan sebagainya.  Pendapat saya ini sejajar apa yang diperkatakan oleh Martin (2003), baik atau buruk emosi seseorang itu bergantung akibat atau kesan yang ditimbulkan oleh individu itu sendiri mahupun orang yang berhubung dengannya.

 Plutchik's Emotion Model ymemperlihat 8 jenis primari emosi yang berfungsi sebagai prototaip bagi semua emosi tersebut. 8jenis primary emosi itu ialah:

·        - Takut

·         -Meluat

·         -Rasa ingin tahu

·         -Gembira

·         -Sedih

·         -Terima

·         -Terperanjat

·         -Marah

Menurut Plutchik juga, emosi mempunyai pelbagai variasi dalam 3 dimensi penting iaitu darjah kekuatan emosi (dari bahagia kepada gembira), persamaan iaitu merujuk kepada hubungan/perkaitan ( takut dan sedih lebih dekat berbanding takut dan gembira) dan kekutuban ( benci lawannya suka).

Manakala Tomkin's Facial Feedback lebih menekankan mengenai reaksi otot muka(ekspresi muka) untuk menggambarkan emosi seperti sedih,kecewa atau gembira. Menurut Tomkin juga, beliau mengatakan 'emotion is primary facial behaviour' yang membawa maksud emosi seseorang mempengaruhi eksperi mukanya. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu dalam keadaan marah, emosi akan terpancar daripada ekspresi muka yang dipamerkan. Selain itu, saya juga ingin mengulas secara mudah mengenai Izard's Innate Facial Expression yang menyatakan mekanisme neural  yang berfungsi untuk mengawal ekspresi muka dan persepsi ekspresi muka adalah bersifat semulajadi .

Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa emosi memainkan peranan penting dalam kehidupan  setiap individu. Emosi banyak mempengaruhi kita dalam membuat pilihan atau keputusan, samada keputusan itu tepat ataupun tidak, serta ia mampu mengubah perwatakan seseorang dalam sekelip mata. Contohnya, dalam keadaan marah seseorang yang tenang boleh kepada seorang pembengis. Justeru, emosi haruslah dikawal dengan baik agar emosi dapat membentuk individu menjadi lebih positif dalam kehidupan.

     

 

 

 

1 comment:

  1. Tq...ia banyak membantu...satu sumber yang baik dan boleh dijadikan bahan rujukan.Teruskan usaha anda... :)

    ReplyDelete