Sunday, July 31, 2011

A131896, Nur 'Ain Diyana Ismail, LJ01 EMOSI


                         Assalamualaikum dan salam sejahtera, penulisan jurnal ini merupakan salah satu tugasan yang perlu disempurnakan oleh setiap pelajar yang mengambil kursus ZT2253 iaitu modul pengurusan emosi. Seperti kebanyakan pelajar lain, ini juga merupakan percubaan kali pertama saya untuk menulis sebuah jurnal. Jurnal berfungsi sebagai medium perantara untuk mengekspresi perasaan dan pendapat atau sebagai ringkasan terhadap sesuatu perkara berdasarkan  kefahaman  yang diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan . Tajuk jurnal saya ialah pengenalan kepada emosi. Setelah menghadiri kuliah pada 27 Julai 2011 yang lalu, sedikit sebanyak telah membantu saya untuk mendefinisikan dan memahami maksud sebenar emosi.


                         Selama ini, pada pendapat saya emosi hanyalah berkaitan dengan perasaan semata-mata tetapi selepas mendengar kuliah yang telah diberikan, dapat saya fahami bahawa emosi mempunyai maksud yang meluas dan berkait rapat dengan empat elemen  penting iaitu perasaan dan pengalaman, proses kognitif, proses fisiologi dan juga tingkah laku atau refleksi seseorang manusia terhadap sesuatu perkara atau keadaan.


Contohnya, (diolah dari nota kuliah)


  •           Keadaan - Maya terdengar bunyi pelik
  •           Perasaan dan proses kognitif - walaupun merasa takut tetapi perasaan ingin        tahu membuatkan dia berani keluar dari bilik untuk meninjau keadaan.
  •           Proses fisiologi – mula berpeluh dan terasa jantung berdegup dengan pantas.
  •           Refleksi tubuh/tingkah laku – tiba-tiba sesuatu muncul dan membuatkan      maya melompat, setelah diteliti rupanya hanyalah seekor kucing.

                          Ini bermakna, emosi merupakan sesuatu yang abstrak dan juga kompleks berdasarkan pendapat Kleinginna & Kleinginna (1981) tentang emosi, "Emotion is a complex set of interactions among subjective and objective factors, mediated by neural hormonal systems". Berdasarkan pendapat ini, dapat saya fahami bahawa situasi yang memberi kesan terhadap sesuatu perkara seperti refleksi tubuh badan manusia adalah dipengaruhi oleh minda dan tanggapan awal seseorang terhadap perkara yang dialami mereka.


                         Manakala, menurut  Ute Frevert berdasarkan hasil kajiannya, emosi bermaksud perasaan dan ekspresi seseorang dalam usaha mereka untuk meluahkan sesuatu perkara ,"Emotions - feelings and their expressions – are shaped by culture and learnt/acquired in social contexts. What somebody can and may feel (and show) in a given situation, towards certain people or things, depends on social norms and rules."


                          Terdapat pelbagai teori yang dapat menerangkan tentang maksud sebenar emosi. Antaranya, teori Plutchik, teori Tomkin dan teori Izard. Berdasarkan teorinya, emosi terdiri dari emosi asas iaitu ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspresikan dalam bentuk yang seragam di semua bangsa dan budaya ( Kokoszka, 1993) dan kebiasaannya emosi dan perasaan seseorang dapat digambarkan dari riak wajah mereka samada mereka sedang bersedih, gembira, marah ,takut, risau, benci, malu, bersalah dan pelbagai lagi contoh. Emosi juga bersifat adaptif dan merupakan gabungan antara emosi-emosi primari (Rolls, 1990).

                         Manakala, berdasakan teori Plutchik, emosi dapat digambarkan dalam 3 bahasa yang berbeza:

·         Subjective language – bahasa subjektif (cth : gembira)

·         Behavioral language – bahasa tingkahlaku- tindakan susulan (cth : senyum gembira)

·         Functional language – bahasa fungsian (cth: keseronokan)

 

Plutchik juga membezakan emosi kepada tiga dimensi iaitu "intensity, similarity and polarity". "Intensity" merujuk kepada darjah kekuatan emosi, manakala "Similarity" pula merujuk kepada hubungan atau kaitan antara perasaan. "Polarity" merujuk kepada kekutuban atau perbandingan antara perasaan.  Selain itu beliau juga telah mengenalpasti lapan emosi primari yang  digambarkan dalam sebuah roda. Model roda ini dapat menggambarkan gabungan lapan emosi primari ini kepada wujudnya sebuah emosi.

 

                          Teori tomkin pula lebih menjurus kepada riak wajah seseorang. Berdasarkan teorinya, riak wajah amat penting bagi memahami emosi seseorang kerana reaksi seseorang itu lebih menggambarkan perasaan sebenar berbanding kata-kata yang keluar dari mulut mereka. Seperti peribahasa inggeris "actions speak louder than words." Walaubagaimanapun, terdapat pendapat yang mengkritik teori beliau dengan mengatakan bahawa reaksi wajah tidak semestinya tepat dalam mengukur emosi seseorang kerana terdapat segelintir yang lebih suka menyembunyikan perasaan sebenar mereka daripada pandangan umum. Sebagai contohnya, saya sendiri juga sering kali menyembunyikan perasaan sebenar saya, ini bermakna riak wajah yang dipamerkan tidak menggambarkan emosi dalaman saya. Kebiasaannya, perkara ini berlaku bagi mengelakkan penglibatan orang sekeliling terhadap masalah yang dialami kerana tidak semua masalah dapat dikongsi dengan sesiapa sahaja. Teori Izard juga berkait rapat dengan ekspresi wajah seseorang secara semulajadi dalam menggambarkan emosi mereka.

 

                         Dari sudut biologi pula, Plutchik berpendapat bahawa emosi merupakan ekspresi  secara langsung berdasarkan genetik seseorang dan pengalaman yang membantu mereka memperbaikinya. Manakala, teori Izard mengatakan bahawa setiap emosi  akan mempengaruhi bayi terhadap ciri ciri semulajadi dan membantu pembelajaran. Secara semulajadinya, perjalanan dan kehidupan manusia dalam hidup ini sendiri akan menjadi "activators" iaitu situasi yang mengekspresikan emosi seseorang sebagai proses pembelajaran dalam menjadi dewasa dan lebih matang.


                         Berdasarkan semua penerangan ini, dapat dibuktikan bahawa emosi sememangnya merupakan sebuah set yang kompleks yang melibatkan pelbagai kriteria. Untuk lebih mudah memahaminya, kita boleh menggunakan pemerhatian terhadap masyarakat dan keadaan sekeliling. Kita akan dapat melihat bagaimana mereka semua mempamerkan emosi mereka dari riak wajah bahasa mata, bahasa tubuh badan dan pelbagai lagi. Melalui semua pemerhatian ini, kita akan dapat membaca emosi mereka terhadap sesuatu keadaan. Tetapi, tidak bermakna apa yang kita lihat dari segi luaran itu sama dengan apa yang terdapat dan tersembunyi dalam diri mereka.


                         Walaubagaimanapun, emosi haruslah bijak dikawal agar tidak memudaratkan diri sendiri dan menyusahkan orang lain. Terutamanya, bagi mereka yang tidak berapa suka untuk berkongsi masalah yang ditanggung dan sanggup untuk menyiksa diri sendiri. Sepatutnya, orang seperti ini haruslah mendapat sokongan dari orang ramai lebih lebih lagi ibu bapa dan juga rakan rakan kerana mereka adalah orang yang paling terdekat. Jika tidak, terjadilah pelbagai perkara seperti yang selalu kita baca di dada akhbar tentang kes bunuh diri, pembunuhan dan banyak lagi. Ini kemungkinan besar kesan dari emosi yang tidak terkawal  contohnya dendam yang telah lama tersimpan dalam diri seseorang hingga tidak dapat lagi dikawal dan menyebabkan mereka melakukan sesuatu yang di luar dugaan.


                          Oleh itu, amat penting untuk kita memahami tentang emosi dan mempelajari cara-cara untuk menguruskannya agar dapat membantu diri sendiri dan juga orang yang berada di sekeliling kita kerana kita sebagai satu masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk mengambil berat tentang keadaan sekeliling dan juga keamanan sejagat. Kita tidak boleh mengamalkan sikap berpeluk tubuh kerana tidak mustahil jika suatu hari nanti kita juga akan ditimpa masalah. Kesimpulannya, pemahaman terhadap emosi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian bagi mengetahui perasaan orang lain terhadap kita dan belajar untuk mengubah sikap sendiri jika terdapat reaksi dari sekeliling kita yang tidak berapa suka dengan sikap itu. 

No comments:

Post a Comment