Sunday, July 31, 2011

A131836 Ammar Azhar Bin Izham LJ01 Beremosi Sebentar


 
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Kelas pada 27 Julai 2011 lepas merupakan kuliah pertama saya untuk kursus Pengurusan Emosi  ZZZT 2253. Kami telah diberi tugas untuk menyiapkan sebuah jurnal pembelajaran bagi berkongsi pendapat mengenai proses pembelajaran yang telah kami lalui dan ini merupakan jurnal pertama saya. Intipati jurnal pertama saya ini, saya ingin berkongsi dua perkara yang saya dapat melalui pengalaman kuliah yang pertama bagi kursus Pengurusan Emosi ini. Pertama saya akan menceritakan apa yang saya fahami mengenai emosi sebelum menghadiri kelas Pengurusan Emosi ini. Kedua, saya akan berkongsi pemahaman saya terhadap apa yang telah disampaikan oleh pensyarah kita, Dr Zamri dan seterusnya menghubungkaitkan dengan pengalaman kehidupan seharian saya.
 
Ketika menghadiri kelas tersebut, pada mulanya saya merasakan pelik dan mempersoalkan mengapa emosi dijadikan salah satu kursus yang perlu diambil oleh setiap pelajar university kerana kita semua sudah sedia maklum dengan keadaan emosi masing-masing dan bagaimana kita mengekspresikan emosi itu. Dalam liku-liku kehidupan, kita sendiri telah mengalami pelbagai ekspresi emosi seperti sedih, gembira, kecewa, marah dan lain-lain lagi. Setiap daripada kita mempunyai gaya dan cara sendiri dalam menguruskan emosi tersebut. Sebagai contoh, ada yang mudah tersinggung dan cepat marah disebabkan perkara yang remeh temeh dan kecil. Selain itu, ada juga yang sentiasa mengalami kemurungan dan kesedihan apabila rakan-rakan sendiri kurang memberi perhatian yang secukupnya. Kesimpulannya, pada pendapat saya, sejumlah besar daripada kita tidak tahu menguruskan emosi mereka dengan baik dan menyebabkan pelbagai masalah.
 
Namun begitu, setelah menghadiri kuliah pertama saya bagi kursus Pengurusan Emosi ini, saya telah dijelaskan dengan baik sekali oleh Dr. Zamri mengenai definisi sebenar emosi, bagaimana kita mengukur emosi dan pelbagai maklumat terperinci berkaitan emosi manusia. Oleh itu, jelaslah kursus pengurusan emosi ini bukan sekadar kursus yang diwujudkan bagi memenuhi jam kredit pelajar, malahan sangat membantu para pelajar dalam mengenali dan memahami emosi seterusnya melatih pelajar untuk menguruskan emosi masing-masing dengan baik dalam kehidupan seharian.
 
Seterusnya, saya akan menceritakan dengan lebih terperinci mengenai pemahaman dan pengalaman saya terhadap kuliah kursus Pengurusan Emosi yang pertama oleh Dr. Zamri. Pada mulanya kuliah, saya berasa sangat mengantuk dan kurang bertenaga kerana kurang minat terhadap kursus ini dan ditambah pula dengan suasana pembelajaran pada waktu petang yang kurang bersesuaian. Namun begitu, Dr. Zamri telah mengambil langkah bijak dengan memaparkan satu sedutan video klip dari Korea's Got Talent. Oleh itu, saya berasa tertarik dan mula berminat untuk mengikuti kuliah ini. Sedutan video klip itu memaparkan bakat nyanyian seorang remaja Korea, Sung-bong yang berumur 22 tahun. Dia telah mengalami kesusahan hidup yang teramat sejak dia kecil lagi di mana dia telah ditinggalkan di rumah anak-anak yatim oleh keluarganya sejak dia berumur 3 tahun. Pada usia 5 tahun, dia lari daripada rumah tersebut kerana tidak tahan dengan deraan dan layanan tidak baik yang diberikan di sana. Sejak daripada itu, dia hidup keseorangan di kaki lima dan mencari nafkah dengan menjual air minuman untuk tempoh 10 tahun. Bagi saya, itu merupakan tempoh yang agak lama untuk seorang budak kecil belajar untuk hidup berdikari dan saya sendiri mengakui tidak mampu untuk hidup tanpa bantuan orang lain pada usia itu. Namun begitu, Sung-bong sangat tabah dan tidak pernah berputus asa dalam kehidupannya. Dia berlatih menyanyi tanpa bantuan orang lain dan akhirnya bakatnya terserlah. Ramai yang memuji dan kagum dengan bakat nyanyian Sung-bong berdasarkan pengalaman hidupnya yang begitu sukar.
 
Melalui paparan video klip itu, apa yang saya dapat pelajari, keperitan hidup kita tidak semestinya menghancurkan harapan kita untuk berjaya. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dan apa yang kita sedang gigih usahakan pada masa sekarang, sentiasa memberikan ganjaran pada masa hadapan. Selepas itu, saya berasa segar dan bersemangat untuk mengikuti kuliah berikutan motivasi yang saya dapat melalui paparan video klip ini.
 
Setelah itu, Dr. Zamri memulakan sesi kuliahnya melalui penyampaian slides mengenai emosi. Pada permulaannya, saya telah didedahkan dengan definisi emosi menurut Kleinginna & Kleinginna (1981) iaitu emosi merupakan "interaksi yang kompleks antara faktor subjektif dan objektif, dimediasi oleh sistem hormon saraf". Dalam definisi ini, faktor subjektif ialah sesuatu yang dipengaruhi oleh kepercayaan pada diri sendiri berdasarkan fakta yang benar manakal faktor objektif pula bermaksud fakta dan situasi yang akan mempengaruhi sesuatu keputusan itu. Emosi juga dapat memberi pengalaman afektif, menghasilkan proses kognitif (pemikiran), menghidupkan penyesuaian secara fisiologi dan mengarah kepada sesuatu tingkahlaku. Afektif merujuk kepada perasaan sepeti  sedih, gembira,marah, kecewa, takut dan sebagainya. Elemen kedua ialah kognitif (pemikiran), ini adalah satu gambaran emosi yang bergantung pada penilaian terhadap sesuatu perkara dan premikiran kita. Proses kognitif ini dilihat berbeza  dan berbagai mengikut setiap individu. Melalui pemikiran yang berbeza ini, hasilnya  tindakan bagi setiap individu tersebut jelas berbeza. Kemudian menghidupkan penyesuaian secara  fisiologi, ini merupakan aksi badan terhadap emosi kita dan secara tidak langsung menyebabkan perubahan aktiviti saraf dan hormon seseorang. Sebagai contoh, kita akan berpeluh ketika menyaksikan cerita-cerita seram  disebabkan perasaan cemas dan suspens pada ketika itu . Akhir sekali  adalah tingkah laku berkenaan, di mana kita akan mengambil sesuatu tindakan yang bergantung pada emosi kita serta pemikiran kita. Hasilnya ini akan membawa kepada kesan-kesan yang positif mahupun negatif terhadap kita dan orang di sekeliling kita.
 
Seterusnya, saya akan menghubungkaitkan teori Kleinginna & Kleinginna dalam kronologi kehidupan seharian saya bagi menjelaskan pemahaman saya terhadap definisi emosi ini. Contoh yang terbaik sekali ketika saya ingin menelefon pejabat fakulti bagi mengetahui keputusan peperiksaan akhir semester saya pada tahun pertama. Sebelum menelefon pihak pejabat, saya berasa sangat berdebar, takut dan murung kerana memikirkan keputusan peperiksaan (elemen afektif). Hal ini kerana, saya dapat merasakan saya tidak lulus dan gagal menyambung pengajian ke tahun dua bersama rakan-rakan yang lain (elemen kognitif). Saya memberanikan juga diri ini untuk menelefon pejabat dan bertanyakan keputusan. Ketika menunggu kerani pejabat untuk menyampaikan keputusan kepada saya, saya dapat rasakan jantung saya berdegup dengan kencang, gemuruh dan saya berpeluh-peluh (elemen fisiologi). Setelah keputusan saya dibacakan, alhamdulillah saya berjaya lulus dan saya menjerit kegembiraan (elemen tindakan). Begitulah salah satu detik kehidupan yang menggambarkan saya dengan penuh emosi kegembiraan.
 
Selain itu, saya juga turut didedahkan mengenai hubungan antara emosi dan motivasi. Menurut Baron & Logan (1993), emosi dapat memberi motivasi kepada  tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional menurut(Lang et al, 1992). Teori ini juga pada pendapat saya adalah hampir tepat kerana dengan emosi, ia boleh memberi motivasi kepada seseorang.
 
Melalui kuliah ini juga Dr. Zamri turut menerangkan bahawa emosi boleh diukur. Emosi boleh diukur melalui temu bual dan soal selidik. Oleh itu, tindak balas fisiologi boleh juga digunakan sebagai salah satu medium untuk mengukur emosi. Contohnya, tekanan darah, kadar pernafasan dan kadar dengupan jantung. Melalui kaedah ini, kita dapat mengetahui tahap emosi seseorang yang mempengaruhi tahap kesihatannya.
 
Tambahan pula, Dr. Zamri juga memaparkan slides yang menjelaskan terdapat pelbagai teori berkenaan struktur dan ekspresi emosi antaranya ialah Teori Evolusi Darwin, Teori Plutchik, Teori Tomkin`s facial feedback dan Teori Izard's universal facial ekspresion. Teori Evolusi Darwin yang menjelaskan emosi primari adalah adaptif selari dengan perkembangan. Selain itu, emosi juga boleh digambarkan melalui ekspresi wajah seseorang. Sebagai contoh, seseorang yang tengah bingung dan tidak faham dengan apa yang mereka pelajari dapat dilihat pada ekspresi muka mereka yang kerut.
 
Teori Plutchik pula menjelaskan emosi terdiri daripada 3 bahasa yang berlainanan. Bahasa subjektif merujuk kepada bahasa biasa untuk emosi,seperti takut , sedih, gembira, marah, kecewa dan sebagainya. Bagi bahasa tingkah laku pula ia merujuk kepada tindakan susulan apabila sesuatu emosi itu dirangsang seperti menjerit apabila marah atau menangis  apabila sedih. Manakala bahasa fungsian pula merujuk fungsi emosi kepada seseorang contohnya gembira menunjukkan kebahagiaan dan marah menunjukkan kebencian.
 
Teori seterusnya ialah Teori Tomkin`s facial feedback yang menjelaskan hubungan antara perbuatan dengan emosi. Emosi itu membawa tindakan seseorang. Sebagai contoh, kita menangis apabila sedih atau sedih itu menyebabkan kita menangis. Contoh yang lain ialah kita melompat kegembiraan apabila kita gembira. Akhir sekali, Teori Izard's universal facial ekspresion yang menjelaskan bahawa seseorang itu akan memberikan reaksi yang semulajadi kepada emosi dan wajah pula akan memberikan reaksi semulajadi mengikut emosi kita. Semua ini merupakan apa yang telah saya pelajari melalui kuliah kursus Pengurusan Emosi yang pertama dan diharapkan saya serta rakan-rakan yang lain dapat mempratikkannya dalam kehidupan kami sebagai seorang pelajar perubatan.
 
 

No comments:

Post a Comment