Assalamualaikum dan selamat sejahtera sebagai pembuka bicara bagi jurnal pertama saya pada kali ini. Kuliah ZZZT 2253 Pengurusan Emosi yang kedua bermula pada 27 Julai 2011 pada pukul 2.00 petang. Pada kuliah kali ini, kami diberikan penerangan pengenalan mengenai kursus Pengurusan Emosi. Hati rasa berat sekali untuk menghadiri kuliah kali ini memandangkan saya dah terbiasa dengan waktu lapang yang ada pada setiap hari Rabu minggu-minggu sebelum ini. Namun, digagahkan jua semangat yang ada. Alhamdulillah, dengan menghadirkan diri ke kuliah Pengurusan Emosi, saya dapat menambah lagi akan ilmu pengetahuan saya, lebih-lebih lagi mengenai 'emosi', kerana sebelum ini saya kurang jelas akan makna sebenar 'emosi'.
Sebelum berbicara lebih lanjut mengenai Pengurusan Emosi, kita perlu mengetahui maksud sebenar emosi. Berdasarkan pada kuliah kali ini, emosi yang didefinisikan menurut Kleinginna & Kleinginna (1981) adalah sesuatu set interaksi yang kompleks antara faktor-faktor subjektif dan objektif yang dicetuskan oleh sistem saraf hormon yang boleh memberi kesan kepada 4 komponen emosi:
· Perasaan
· Proses kognitif
· Perubahan fisiologi
· Perbuatan
Contohnya, Haris takut dan gementar untuk memberitahu ibunya bahawa dia telah gagal dalam peperiksaan baru-baru ini (perasaan) dan dia akan ragu-ragu sama ada dia perlu memberi tahu hal ini kepada ibunya (kognitif). Apabila ibunya mula bertanya akan keputusan peperiksaannya, hatinya mula berdegup kencang (perubahan fisiologi). Semasa dia meberitahu ibunya akan keputusan peperiksaannya, dia menjadi tidak tentu arah, dan kelam kabut (perbuatan).
Contoh yang paling sesuai untuk saya hubungkan antara 4 komponen emosi ini dengan keadaan emosi diri ialah saya rasa rindu dan sedih apabila teringatkan ibu bapa dan adik-beradik yang lain dirumah (perasaan). Perasaan ini akan menyebabkan saya sentiasa menelefon mereka (proses kognitif). Sekiranya perasaan rindu ini berlanjutan, saya mungkin boleh demam, paling tidak pun yang biasa berlaku pada diri saya ialah kurangnya selera makan (perbuatan) dan membawa kepada kurangnya berat badan (perubahan fisiologi).
Sebelum saya mengahdiri kuliah Pengurusan Emosi, saya sering andaikan dalam pemikiran saya bahawa emosi dan perasaan adalah suatu perkara yang sama. Malah, saya selalu menyalahgunakan perkataan 'emosi' dan 'perasaan' dalam percakapan seharian saya bersama rakan-rakan. Namun, pada hakikatnya, saya dimaklumkan bahawa emosi dan perasaan adalah dua perkara yang berbeza. Perasaan dan emosi mungkin serupa tapi, tidak sama. Emosi lebih luas konsepnya jika dibandingkan dengan perasaan kerana perasaan merupakan salah satu komponen daripada emosi.
Di samping itu, emosi juga dapat dikaitkan dengan motivasi. Baron & Logan, 1993 sangat menyokong akan pendapat ini. Idea bahawa emosi sebagai motivasi kepada sesuatu perubahan tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional dibawa oleh Lang et al, 1992.
Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana cara untuk mengukur emosi seseorang kerana emosi itu subjektif. Emosi seseorang boleh diukur, tetapi caranya sangat berlainan daripada mengukur dan menyukat suhu, ketinggian, atau isipadu air. Emosi dapat diukur dengan menggunakan kaedah 'self report' dan pemerhatian (direct observation). 'Self report' dapat dilaksanakan dengan cara seseorang itu menjelaskan sendiri keadaan emosi dia pada masa itu secara lisan (verbal statement). Kaedah pemerhatian pula dapat digunakan dengan memerhatikan keadaan fizikal dan tingkah laku seseorang itu. Ini kerana, seperti yang saya nyatakan di atas, emosi meliputi komponen perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkah laku. Namun begitu, kaedah-kaedah yang saya butirkan di sini tidak mencapai ketepatan / sensitiviti 100%. Kekangan ini adalah berdasarkan penyataan bahawa emosi itu sesuatu yang subjektif.
Bagi pendapat saya, kaedah yang paling senang atau yang sering kali saya gunakan adalah kaedah pemerhatian. Saya dapat meneka atau mengagak keadaan emosi seseorang hanya berdasarkan pemerhatian. Perkara pertama yang saya akan lihat ialah ekspresi muka seseorang. Hal ini kerana menerusi wajah seseorang, kita dapat mengetahui banyak perkara. Contohnya, jika saya lihat kawan saya yang berperwatakan suka senyum, tetapi tiba-tiba dalam keadaan muram (tidak senyum), saya dapat mengandaikan dia berada dalam masalah. Selain itu, saya juga melihat kepada reaksi dan tingkah laku seseorang. Contonhya, rakan saya menolak akan coklat yang saya berikan kepadanya, sedangkan sebelum ini, dia adalah penggemar coklat yang tegar. Saya dapat mengesyaki perubahan emosi pada diri dia melalui perubahan tingkah laku ini. Kaedah 'self report' agak kurang berkesan pada diri saya kerana sikap saya yang kurang berani untuk bertanya secara langsung kepada rakan, terutamanya.
Berdasarkan kuliah 27/07/2011, saya diajar bahawa struktur dan ekspresi emosi terbahagi kepada 4 teori:
· Darwin's theory of basic emotion
· Pultchik's primary emotion theory
· Tomkin's facial feedback theory
· Izard's universal facial expression
Charles Darwin telah mengarang sebuah buku The Expression of the Emotions in Man and Animal dan dalam buku ini, dia menyatakan pendapatnya bahawa emosi seseorang dapat dilambangkan dan digambarkan dengan ekspresi muka. Saya berpendapat sama dengan beliau dan seperti yang saya nyatakan dalam contoh di atas. Charles Darwin juga terkenal akan teori dan pendapatnya berkenaan ekspresi muka adalah saling berkaitan dengan evolusi. Saya menyangkal akan pendapat ini.
Pultchik's primary emotion theory pula diasaskan oleh Robert Plutchik. Menurut beliau, emosi boleh dijelaskan dalam bahasa subjektif, bahasa badan dan bahasa fungsi. Bahasa subjektif adalah perasaan seseorang itu, seperti gembira, sedih, takut, dan gementar. Bahasa badan yang dimaksudkan adalah respons selepas sesuatu perasaan wujud. Bahasa fungsi pula dimaksudkan dengan tindakan yang dilakukan oleh seseorang terhadap bahasa subjektif dan bahasa badan. Tindakan ini adalah tingkah laku yang dilakukan bagi membantu dia dalam mengatasi masalah yang dihadapi. Contohnya, perasaan marah (subjektif) menyebabkan kepada muka yang merah padam (badan) dan menghempas pintu dengan kuat (fungsi). Saya sangat meyokong teori ini.
Kita akan gembira sekiranya kita senyum. Info ini saya dapat daripada Dr. Zamri semasa kuliah. Saya dan rakan-rakan sangat terkejut akan maklumat ini. Pada awalnya, kami berpendapat bahawa kita akan senyum jika kita gembira. Oleh sebab itu, saya ingin cuba buktikan sendiri akan teori ini. Bagi saya, kadang-kadang teori ini agak berkesan juga. Saya berpendapat, ini mungkin kerana 'mind set' yang kita telah tetapkan antara hubungan gembira dan seyum, serta hubungan antara menangis dan sedih. Teori yang disampaikan oleh Dr. Zamri ini dibawa oleh Tomkins. Tomkins berhujah bawaha emosi adalah perbuatan berhubung dengan wajah dan emosi itu dapat dilihat dan digambarkan melalui ekspresi wajah.
Carol Izard pula berpendapat bahawa emosi bersifat semula jadi. Beliau juga mencadangkan bahawa perubahan emosi adalah selari dengan evolusi otak. Ekspresi muka adalah emosi yang subjektif bagi pandangan Izard.
Akhir kalam, pada pendapat saya, emosi itu sesuatu yang subjektif yang sukar diukur walaupun wujudnya mekanisme pengukur. Emosi adalah sesuatu yang dapat dikaitkan dengan hati, otak, dan badan seseorang. Hati menggambarkan perasaan, otak menggambarkan pemikiran, dan badan menggambarkan tingkah laku seseorang. Oleh sebab itu, pengurusan emosi sangat penting. Jika salah satu elemen ini tidak dapat diuruskan dengan baik, banyak perkara buruk yang boleh berlaku. Setiap orang perlu mempunyai EQ ('emotional quotient') yang tinggi, bukan sahaja IQ ('intellingent quotient'). Apa yang saya gusarkan pada masa kini, adalah terlalu ramai yang mengejar IQ sehingga lupa untuk menguruskan EQ dengan baik. ZZZT2253 Pengurusan Emosi adalah suatu peluang yang baik kepada saya untuk mempertingkatkan EQ.
No comments:
Post a Comment