Sunday, July 31, 2011

A131945 MASRIA MASERI LJ01 EMOSI

Salam Satu Malaysia,

Ini adalah jurnal pembelajaran pertama saya bagi memenuhi Tugasan 1, Kursus ZT2253 iaitu Pegurusan Emosi. Setiap pelajar perlu membuat jurnal mengenai ulasan konsep-konsep menarik yang telah dipelajari dalam kuliah.

Pada 27 Julai 2011, kuliah kedua dalam kursus pengurusan emosi telah dijalankan dan Dr Ahmad Zamri telah menayangkan sebuah video dari Youtube yang bertajuk 'Emotional Story of a Talented Korean'. Video ini menceritakan seorang lelaki bernama, Sung Bong, antara peserta dalam siri realiti televisyen, 'Korean Got Talent'. Dia telah mengharungi kehidupan yang sangat susah sebagai seorang anak yatim piatu, semenjak berumur 3 tahun lagi. Namun begitu, dia mempunyai suara yang sangat merdu. Setelah dia diinspirasikan daripada seorang vokalis di sebuah kelab malam, dia mula mencontohi vokalis itu dengan menyanyi setiap hari. Semasa mempersembahkan bakat nyanyiannya, semua penonton dan pengadil sangat terpegun. Dia kemudian diterima masuk untuk ke perinkat seterusnya dan sudah pasti mempunyai masa depan yang cerah. Ini merupakan antara banyak-banyak kisah benar yang sudah tentu membangkitkan semangat orang lain untuk terus berusaha dan tidak mudah putus asa. Semasa dalam video tersebut, dia kelihatan tenang, dan tidak gementar. Dia tidak menunjukkan sebarang emosi sedih ketika ditanya mengenai kisah silamnya. Selain itu dia juga tidak takut bercakap di hadapan orang ramai. Ini menunjukkan dia boleh mengawal emosinya dengan baik.

Selepas tayangan video tersebut, Dr Ahmad Zamri memulakan kuliah pertama, yang bertajuk 'Pengenalan'. Berdasarkan kefahaman saya, menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi boleh didefinisikan sebagai satu set interaksi antara subjektif (yang dipengaruhi oleh kepercayaan sendiri yang berdasarkan fakta sebenar) dan objektif( apa-apa situasi yang mempengaruhi kesan sesuatu) faktor yang dipengaruhi oleh  sistem neuron dan hormon dalam badan manusia. Emosi mempunyai empat komponen penting termasuklah, perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi, dan apa-apa tingkahlaku yang berkaitan. Sebelum ini saya percaya bahawa emosi itu ialah perkataan lain bagi perasaan. Hal ini berlaku sebaliknya kerana emosi itu lebih luas maknanya daripada perasaan. Saya bersetuju dengan pandangan Lang et al (1992). Menurut beliau, emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional. Emosi secara tidak langsung memberi kita motivasi untuk melakukan sesuatu. Sebagai contoh terbaik, berdasarkan slide, cinta akan memotivasikan seseorang melakukan apa sahaja untuk orang yang disayangi. Namun, tidak semua perkara akan menentukan emosi menjadi pendorong. Sebagai contoh, kebanyakan pelajar tidak bergantung kepada emosi untuk berusaha bersungguh-sungguh dan seterusnya mencapai keputusan cermerlang dalam peperiksaan. Emosi boleh diukur atau dinilai dalam pelbagai cara. Pertama sekali, dengan seseorang itu melapor sendiri perasaanya, contohnya dengan mengisi borang soal selidik. Selain itu, seseorang itu boleh dinilai emosinya melalui pemerhatian dan ukuran fisiologi. Secara psiologiknya, emosi boleh dinilai melalui kadar jantung, tekanan darah, ketegangan otot
kadar pernafasan, aktiviti elektrik otak dan sebagainya.

Setelah habis tajuk pertama, Dr Ahmad Zamri meneruskan tajuk kuliah yang kedua iaitu 'Struktur Asas Emosi'. Dalam struktur ini,  terdapat primari emosi yang boleh dibahagikan kepada dua teori, iaitu teori evolosi atau biologi dan teori pembelajaran. Pertama sekali, berdasarkan 'Darwin's basic theory of emotion', emosi terdiri daripada emosi asas yang dikenali sebagai emosi primari. Dalam bukunya, "The Expression of the Emotions in Man and Animals", ekspresi wajah melambangkan emosi kerana senang dilihat oleh orang lain. Saya bersetuju dengan tanggapan beliau kerana semua orang boleh membayangkan perasaan seseorang itu melalui ekspresi muka mereka. Kita boleh mengatakan seseorang itu gembira ketika mereka ketawa dengan riang. Selain itu, terdapat teori-teori lain yang membincangkan lebih mendalam lagi mengenai emosi. Antaranya, 'Plutchik's Primary Emotion Theory', 'Tomkin's Facial Feedback Theory' dan 'Izard's Innate facial expression'. Ada tiga perkara yang ditekankan dalam teori Plutchik. Pertama ialah 'Plutchik's language of emotion'. Melalui bahasa emosi, ianya boleh digambarkan melalui tiga bahasa berbeza, iaitu bahasa subjektif, bahasa tingkahlaku, dan bahasa fungsian. Hal ini menjelaskan sesuatu situasi atau emosi, contohnya, perasaan takut terhadap anjing akan menyebabkan seseorang itu melarikan diri untuk mengelakan dirinya digigit anjing tersebut. Kedua berdasarkan 'Plutchik's basic adaptive reactions', beliau megatakan bahawa lapan reaksi asas adaptif, iaitu takut, meluat, marah, terperanjat, gembira, sedih, menerima dan rasa ingin tahu. Ketiga, dimensi emosi. Menurut beliau, emosi boleh dibahagikan kepada tiga dimensi iaitu intensiti(kedalaman atau kekuatan emosi), persamaan(darjah persamaan antara satu perasaan dengan perasaan yang lain) dan kepolaran(perasaan yang berlawanan dengan sesuatu perasaan yang lain). Seterusnya, kita beralih kepada Tomkin's Facial Feedback Theory. Dalam teori ini, Tomkin menekankan emosi apakah yang rangsang sesuatu emosi yanbg lain. Sebagai contoh, adakah kita senyum sebab kita gembira ataupun kita berasa gembira kerana kita senyum? Oleh itu, menurut beliau, senyum menyebabkan kita berasa gembira. Namun begitu terdapat beberapa kritikan yang mengatakan bahawa ekspresi muka adalah salah satu langkah emosi dan hanyalah mengambarkan sedikit mengenai perasaan seseorang itu.  Sebagai contoh, senyum tidak selalu mengambarkan bahawa kita sedang gembira. Seseorang pelayan perlu meleparkan senyuman manis kepada seseorang pelanggan ketika sedang mengambil pesanan. Hal ini tidak menunjukan bahawa dia sedang gembira. Menurut Izard's Innate facial expression pula, beliau lebih menekankan aktiviti neuron dalam ekspresi muka dan tanggapan bahawa ekspresi ini lebih kepada semula jadi. Semua emosi lahir secara semulajadi dan peratusan kecil adalah daripada pengalaman seseorang. Terdapat beberapa kajian penting menyokong teori Izard. Antaranya, 'Newborn's 'born to smile' study" dan 'Cross-cultural study'. Dalam kajian pertama tersebut, seseorang bayi mempunyai beberapa emosi yang lahir secara semulajadi. Kajian yang seterusnya itu pula menunjukkan kajian yang dibuat untuk melihat kesamaan ekspresi emosi daripada pelbagai budaya. Namun begitu, kedua-dua kajian ini kurang dipersetujui oleh beberapa pihak.

Selain daripada teori evolosi atau biologi, seterusnya teori pembelajaran dan pengalaman. Teori ini menekankan mengenai tanggapan pengalaman secara semula jadi dan teori pembelajaran melalui pengalaman. Saya sangat bersetuju dengan pandangan Plutchik, yang mengatakan bahawa emosi adalah ekspresi secara langsung daripada genetik seseorang individu itu dan melalui pembelajaran emosi boleh diubah suai. Menurut Izard pula, bayi sudah boleh mengekpresikan beberapa emosinya. Sebagai contoh, setiap bayi yang telah dilahirkan, mereka akan menangis. Selain itu, berdasarkan teori pembelajaran melalui pengalaman, Albert mengatakan setiap orang akan megetahui perasaan takut melalui pembelajaran atau pengalaman. Perasaan takut lebih kepada pengalaman daripada genetik. Seseorang itu akan berasa takut setelah dia berhadap sesuatu yang mengerikan. Bagi saya, perasaan takut terhadap ular distimulasi semenjak kejadian kurang baik dengan ular suatu ketika dahulu. Dan sehingga masa ini, saya masih berasa takut sekiranya berdepan dengan ular.

Pada pendapat saya, emosi adalah sesuatu yang ada dalam diri kita lebih daripada sekadar perasaan sahaja; yang boleh kita rasai tapi ianya bukan salah satu deria; bukan sesuatu yang kita boleh fikir tapi fikiran boleh merangsang emosi; sesuatu yang kita boleh gambarkan secara fisiologi diri tapi kadang-kadang kita boleh sembunyikannya dan mengimik sesuatu emosi bila-bila masa yang kita hendaki; dan jika fikiran berada dalam organ otak, emosi biasanya kebanyakan orang menganggap ianya berada dalam jantung, dan ada juga sesetengah daripada mereka mengatakan  emosi berada di dalam hati. Emosi sangat abstrak dan ramai orang telah menjalankan kajian untuk mendalami apakah emosi itu sebenarnya.

Kesimpulannya, pembelajaran mengenai emosi adalah sangat menarik kerana ia berlaku dalam setiap orang. Mempelajari sesuatu yang kadang-kadang sangat sukar untuk diungkapkan melalui kata tapi ia berlaku dalam setiap kita membolehkan kita mengekspresikannya dengan baik. Bagi saya, ada beberapa emosi yang masih kurang untuk dikawal antaranya perasaan takut dan gementar jika berhadapan dengan sesuatu situasi. Oleh itu, adalah sangat penting untuk setiap orang mengawal emosi-emosi tidak kira negatif mahupun positif.

Sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment