Selamat sejahtera.
Kursus ZT2253, Pengurusan Emosi, merupakan satu pendekatan yang memberikan peluang kepada saya untuk mengetahui istilah 'emosi', dan memahaminya dengan lebih mendalam lagi. Sekarang baru saya tahu bahawa emosi merupakan satu bidang pengetahuan yang luas dan meliputi banyak unsur, saya juga mendapati bahawa selama ini saya telah mempunyai persepsi dan kefahaman yang salah mengenai emosi. Rupanya emosi bukan semudah yang saya fikirkan.
Sebelum kuliah bermula, Dr.Zamri telah menunjukkan tayangan video yang begitu menarik dan menyentuh hati sekali iaitu "Emotional Theory of Talented Korean", video ini menceritakan tentang bagaimana kejayaan seorang lelaki yang bernama Sung-bong dan kisah hidupnya sungguh menyayat hati, menerusi video itu saya dapat menyaksikan bagaimana pengalaman beliau mengawal bukan sahaja emosi sendiri tetapi juga emosi orang lain, iaitu juri-juri dan para penonton sehinggakan ada yang menangis. Beliau sebenarnya tidak begitu berkeyakinan dan gementar sama ada pertunjukannya akan mendapat sambutan yang baik daripada semua pihak ataupun tidak. Ketika berdiri di atas pentas, beliau menenangkan emosi sendiri dengan menumpukan perhatian dan menikmati pertunjukan sendiri. Beliau tidak dipengaruhi oleh perasaan simpati orang lain terhadap pengalaman hidupnya yang susah, sebaliknya mengusik hati mereka dengan nyanyian yang begitu merdu sekali. Hal ini telah memberi inspirasi yang besar kepada saya untuk memajukan diri sendiri dengan percubaan untuk mengawal dan menguruskan emosi dengan sempurna. Ini adalah kerana hanya dengan pengurusan emosi yang baik kita dapat menjalankan aktiviti harian dan melakukan sesuatu dengan hati yang tenang dan mencapai kejayaan dalam apajua kita buat.
Terlebih dahulu saya ingin memberikan beberapa definisi 'emosi' menurut pakar-pakar. Menurut Kleinginna & Kleinginna (1981), emosi merupakan satu set interaksi yang kompleks antara factor subjektif (dipengaruh oleh kepercayaan sendiri, berdasarkan fakta sebenar) dan objektif, dipengaruh oleh system saraf hormon, yang boleh menghasilkan pengalaman afeksi (affective experiences) contohnya perasaan selesa dan perasaan tidak selesa, menjana proses kognitif (cognitive process) contohnya kesan persepsi yang berkaitan dengan emosi, mengaktifkan secara luas perubahan fisiologi (physiological adjustments) atas keadaan yang merangsangkan dan akhirnya melahirkan tingkahlaku berkaitan (behavior) yang ekspresi, adaptif dan jelas.
Terdapat bermacam-macam definisi 'emosi' yang berbeza oleh pakar-pakar berlainan, secara keseluruhannya, emosi terdiri daripada empat komponen, iaitu perasaan (a feeling state), proses kognitif (cognitive process), perubahan fisiologi (physiological changes) dan tingkahlaku berkaitan (associated behavior). Contohnya seorang telah merampas benda yang paling saya hargai daripada saya, saya akan berasa marah dan benci, itulah perasaan. Lepas itu saya akan mengalami proses kognitif dan cuba menganalisiskan sebab orang itu berbuat begitu, dan mencari cara penyelesaian untuk mendapatkan balik benda saya itu, saya juga akan mengalami perubahan fisiologi pula, contohnya denyutan jantung saya menjadi cepat atau tekanan darah saya meningkat. Akhir sekali saya akan mengambil tindakan sama ada dengan merampas balik benda saya, ataupun cuba mendapatkan balik benda saya dengan aman. Oleh itu, emosi lebih luas maknanya dari perasaan.
Apakah kaitan antara emosi dan motivasi? Menurut Baron & Logan (1993), emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi. Emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional, menurut Lang et al (1992). Contohnya seseorang yang membunuh tentu mempunyai motif, sesuatu yang memotivasikan dia, dan sumber motivasi itu mungkin disebabkan perasaan kebencian (emosi) ataupun untuk mendapatkan duit. Emosi cinta pula akan memotivasikan seseorang untuk melibatkan diri dalam tingkahlaku tertentu. Walaubagaimanapun, bukan dalam setiap keadaan emosi akan menjadi pendorong (motivator) kepada kita, dan bukan semua pendorong (motivator) berasaskan emosi, contohnya seseorang yang kuat belajar dan mengulangkaji disebabkan oleh keinginan dia untuk mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan, ini tidak berkaitan dengan emosi, dan seseorang yang makan dengan banyak dan kuat kerana dia lapar, ini keperluan asas seorang manusia, bukan kerangsangan emosi.
Bolehkan emosi diukur? Emosi boleh diukur atau dipantau melalui beberapa cara, pertamanya melalui laporan individu, iaitu mencatatkan perasaan seseorang yang digambarkan olehnya secara lisan. Cara-cara menghasilkan laporan individu termasuklah soal selidik, temu bual dan catatan tingkahlaku sendiri. Cara laporan kendiri ini adalah mudah, tetapi mempunyai beberapa masalah contohnya perbezaan dalam norma budaya dan masalah penglabelan budaya. Cara kedua yang boleh mengukur emosi adalah melalui pemerhatian secara langsung atas masalah sebenar. Cara ini boleh dijalankan dengan pengukuran fisiologi, iaitu pengukuran dan kajian kedaan dalaman badan manusia yang memaparkan fungsi automatik, sistem otot dan sistem saraf utama. Dan penunjuk fisiologi yang boleh digunakan adalah seperti kadar denyutan jantung, tekanan darah, ketegangan oto, kadar penafasan, aktiviti elektrik otak dan aktiviti elektrodermal.
Saya juga telah mempelajari struktur dan ekspresi emosi semasa kuliah dijalankan. Terdapat beberapa emosi yang asas, dikenali sebagai 'emosi primari' yang merupakan sifat semulajadi manusia dan dipaparkan dengan sama dalam pelbagai budaya yang berbeza. Struktur emosi mempunyai dua teori yang besar, iaitu teori biological ataupun evolusi, dan teori pembelajaran.
Menurut Darwin's Basic Theory of Emotion, emosi terdiri daripada emosi asas (emosi primari). Emosi primari ini adalah ciri-ciri dalaman manusia yang dialami serta diekspresikan dalam bentuk yang seragam di semua bangsa dan budaya (Kokosza, 1993). Dalam bukunya, 'The Expression of the Emotions in Man and Animals', ekspresi wajah melambangkan emosi (sebab wajah adalah yang paling senang untuk diperhati berbanding dengan organ lain). Enam belas soalan tentang emosi telah diberikan kepada tiga bangsa yang berbeza untuk dijawab dan didapati bahawa jawapan yang diterima adalah sama. Emosi primari ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri, kelebihannya kerana sistem saraf dan struktur saraf berkemampuan mengurus dan menghasilkan beberapa emosi pada suatu masa, dan mempunyai tiga sifat utama, iaitu unsur saraf yang semulajadi, boleh diaplikasikan dalam pelbagai budaya dan keadaan perasaan yang unik.
Walau bagaimanapun, kebanyakan pakar teori seperti Silvan Tomkins, Caroll Izard, Robert Plutchik dan Paul Ekman bersetuju bahawa emosi primari menerbitkan emosi-emosi lain. Emosi primari ini bersifat adaptif dan Rolls (1990) berpendapat bahawa kesemua emosi yang wujud adalah kombinasi gabungan antara emosi-emosi primari.
Menurut 'Plutchik's Theory of Primary Emotion', Plutchik telah membahagikan emosi primari kepada tiga bahasa emosi, lapan reaksi adaptif dan empat dimensi emosi. Bahasa emosi yang dimaksudkan ialah bahasa subjektif, bahasa tingkahlaku dan bahasa fungsian. Bahasa subjektif merupakan bahasa biasa kepada emosi. Bahasa tingkahlaku merujuk kepada tindakan susulan dari emosi yang telah dirangsang. Bahasa fungsian pula merujuk kepada fungsi emosi tersebut kepada seseorang dan bagaimana emosi itu berperanan kepada individu. Lapan reaksi adaptif yang termasuk dalam teori Plutnik ialah takut, meluat, marah, terperanjat, gembira, sedih, terima dan rasa ingin tahu. Emosi pula boleh berbeza dalam tiga dimensi penting, iaitu darjah kekuatan emosi, perkaitan atau persamaan dan kekutuban.
Berdasarkan 'Tomkin's Facial Feedback Theory' pula, emosi adalah ekspresi pada wajah. Tomkin menerangkan bahawa sekiranya seseorang itu ketawa atau senyum, seseorang itu akan berasa gembira. Ekspresi yang ditunjukkan pada wajah berlaku sekiranya terdapat stimulasi yang berkaitan. Teori ini disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Hess. Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa maklum balas muka memudahkan pengalaman emosi. Kajian Zajonc pula membuktikan perubahan dalam otot muka menghasilkan ekspresi yang khusus. Kajian ini menunjukkan pergerakan otot muka menyekat aliran darah dan dengan itu, mempengaruhi pemanasan dan pendinginan otak. Emosi yang bagus seperti gembira adalah hasil daripada penyejukkan darah, manakala pemanasan otak mewujudkan emosi yang negatif.
Teori yang dikemukakan oleh Izard menyatakan bahawa mekanisme saraf untuk ekspresi wajah dan persepsi terhadap ekspresi tersebut adalah semulajadi. Emosi adalah bersifat semulajadi dan proses pengajaran dan pembelajaran hanyalah mempunyai sedikit impak terhadap pengalaman emosi. Kajian telah membuktikan teori ini.
Pada kesimpulannya, saya telah banyak bermanfaat melalui kuliah pengurusan emosi dan bersyukur kerana berpeluang mendapat ilmu seperti ini, saya harap bahawa saya dapat mengaplikasikan apa yang saya pelajari secara praktikal dan apa yang telah saya pelajari dapat membantu saya dalam kehidupan saya.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment