Assalamualaikum dan salam sejahtera. Syukur alhamdulillah kerana dapat diteruskan lagi dengan Jurnal yang seterusnya. Di dalam sisipan jurnal kali ini saya ingin membincangkan atau pun lebih kepada memberi pendapat tentang teori mengenai Izard's Innate Facial Expression Theory dan juga kaitannya terhadap kehidupan masyarakat setempat.
Ketika sesi kuliah yang lepas, Dr. Azmi ada menerangkan dengan lebih lanjut mengenai Izard's Innate Facial Expression Theory ini. Menurut teori Izard, mekanisma untuk menzahirkan sesuatu ekspresi atau mimik muka adalah suatu yang semula jadi dan seperti sedia maklum emosi juga datang secara semula jadi kerana setiap orang jika kita lihat mengekspresi wajah atau mimik muka yang agak sama apabila ingin menunjukkan emosi masing-masing. Tetapi, berdasarkan teori ini juga, Izard menyatakan bahawa pembelajaran juga mempunyai kaitan serta impak terhadap seseorang dalam menzahirkan emosinya. Pada pendapat saya, teori ini boleh diguna pakai dan logik kerana berdasarkan pengalaman diri sendiri, ketika seseorang masih kecil atau masih bayi, emosi yang cuba disampaikan adalah terhad sebagai contoh, bayi hanya mampu menangis untuk dalam mengekspresi emosinya tetapi memberi makna yang berbeza. Dalam erti kata lain, sekiranya bayi menangis kemungkinan bayi itu mahukan sesuatu ataupun bayi itu tidak menyukai sesuatu dan tidak mustahil juga bayi menangis kerana cuba menarik perhatian orang lain.
Dalam teori ini juga, Izard telah menjalankan dua kajian dalam menyokong fakta yang beliau nyatakan iaitu:
>>Newborn "born to smile" studies.
>>Cross-cultural studies.
Berdasarkan kajian Newborn "born to smile", ianya menyatakan bahawa semasa lahirnya seorang bayi telah wujudnya berkaitan ekspresi emosi. Perasaan marah dan terkejut dapat dilihat pada bayi ketika berusia 3 hingga 4 bulan, manakala perasaan takut dan malu pula dapat dilihat ketika bayi berusia 5 hingga 6 bulan, perasaan berpuas hati pula muncul pada usia 1 tahun dan perasaan bersalah pula dapat dilihat pada awal usia 2 tahun. Pendapat berlainan juga menyatakan bahawa, bayi senyum bukan bermakna bayi tersebut gembira, malah boleh membawa makna tertentu.
Untuk "Cross Structural Study" pula, Ekman telah menjalankan kajian di Argentina, Brazil, Japan, Amerika Syarikat, serta Chile. Beliau telah menjalankan kajian dengan menggunakan gambar iaitu dengan menyuruh setiap subjek mengenal pasti emosi yang berkaitan dengan gambar dan supaya subjek dapat memilih jenis emosi yang dikenali. Ekman turut meneruskan kajiannya ke Borneo dan Papua Guinea. Kajian menunjukkan bahawa bukti adalah konsisten dan sekata untuk rentas budaya bagi corak tindak balas emosi yang bermaksud emosi setiap individu adalah sama. Wajah gembira adalah lebih dominan, iaitu sebanyak 95-100% dikenalpasti berbanding dengan wajah takut, iaitu sebanyak 54-85%. Scherer dan Wallbott (1994) turut menjalankan kajian berkenaan dengan emosi dan bangsa, namun kajian mereka adalah lebih meluas, iaitu meliputi 37 negara dan 5 buah benua dan mereka mendapati bahawa konsep kesejagatan emosi wajah adalah mantap dan stabil. Yang membezakan konsep kesejagatan emosi wajah adalah bagaimana emosi itu dialami dan dikawal, bukan pada bagaimana emosi itu dizahirkan. Jadi saya sangat bersetuju dengan kenyataan ini kerana tidak semua manusia dapat mengawal serta manusia menzahirkan emosi mengikut cara masing-masing. Sekiranya anda adalah masyarakat yang peka dan prihatin, perkara ini sering terjadi di negara kita sendiri dan ini amat membimbangkan iaitu kes-kes jenayah seperti rompakan, pembunuhan, samun dan macam-macam lagi. Mengapa ia mempunyai persamaan? Seperti yang dinyatakan di atas perbezaan setiap individu adalah pada kawalan emosi itu sendiri dan apabila seseorang individu tidak pandai mengawal emosi maka akan terjadilah sesuatu yang diluar kawalan dan bertentangan dengan norma hidup. Sebagai contoh pada pembunuhan, perkara ini berlaku kerana perasaan dendam yang menebal terhadap inidividu lain dan tiada jalan penyelesaian yang dirasakan bersesuaian serta sesesorang itu sendiri tidak memahami cara mengawal emosi, jadi untuk memuaskan hati diri sendiri individu ini sanggup membunuh tanpa ada memikirkan jalan penyelesaian lain kerana kecetekkan akal fikiran mengenai emosi.
Terdapat dua pandangan mengenai gaya pembelajaran dan pengalaman dalam memain peranan membentuk struktur emosi dan ekspresi iaitu:
>> Dari segi pandangan biologi.
>> Kajian pembelajaran melalui pengalaman.
Mengikut kajian pandangan biological( biology view of experience), pembelajaran memainkan peranan yang kecil dalam emosi. Berbalik kepada teori Plutchik, beliau ada menyatakan bahawa emosi merupakan ekspresi genetik seseorang secara langsung dan diolah oleh pembelajaran. Namun, Izard mempunyai pandangan lain yang menyatakan bahawa emosi itu wujud pada bulan-bulan pertama kelahiran bayi untuk mempengaruhi tingkah laku bayi tersebut sepanjang proses tumbesarannya. Rangsangan berbeza terhadap setiap individu telah mempengaruhi perkembangan emosi seseorang. Sebagai contoh, perasaan takut. Jika dibandingkan stimuli atau ransangan masyarakat yang suka akan sukan ragbi dengan masyarakat yang tidak menyukainya. Dapat dilihat perbezaannya dengan ketara kerana individu yang tidak gemar pada sukan ragbi akan menjadi takut pada permainan sukan itu kerana pada pendapat mereka sukan itu sangat ganas, kerana memerlukan kekuatan fizikal seperti melakukan rempuhan dan sebagainya. Tetapi, berlainan pula pendapat dari pemain-pemain ragbi itu sendiri kerana bagi mereka sukan ragbi ini dapat membentuk kekuatan fizikal serta mental dalam mengharungi cabaran di dalam permainan dan ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian supaya kita tidak mudah berputus asa atau takut pada dugaan. Hal ini berlaku kerana ransangan dan pendedahan setiap individu berbeza. Ini membentuk emosi semulajadi berdasarkan pengalaman yang telah mereka lalui.
Manakala, kajian yang kedua tentang "Learning Theory Views of Experience". Berdasarkan kajian ini, Izard menyatakan bahawa emosi adalah sesuatu yang dipelajari dalam kehidupan manusia. Teori ini disokong dengan kajian oleh Miller, "Miller Study" dimana beliau cuba membuktikan bahawa ketakutan tidak wujud melalui asas biologi. Dalam kajian ini beliau cuba melihat tindak balas seekor tikus terhadap rangsangan elektrik dan hasilnya juga menepati hipotesis beliau apabila seekor tikus akan menunjukkan sifat ketakutan terhadap rangsangan elektrik ini kerana pengalaman tikus itu sendiri terhadap elektrik bahawa ia merupakan sesuatu yang memberi ketakutan. Selain itu, terdapat juga kajian lain yang mempunyai pandangan yang sama dengan kajian dari Miller iaitu "Albert Study". Tetapi, ini tidak bermakna manusia tidak mempunyai sifat takut semula jadi kerana berdasarkan fakta lain manusia juga lebih bersedia dalam berhadapan sifat takut terhadap sesuatu perkara.
Mengenai kuliah seterusnya pula adalah tentang emosi positif dan pada pendapat saya juga tajuk ini lebih menarik perhatian ramai pelajar kerana isi-isinya yang lebih ringan dan mudah difahami. Emosi positif banyak berkaitan dengan kebahagiaan, kasih sayang dan kegembiraan. Terdapat pelbagai pandangan yang dibentang oleh ahli-ahli falsafah terkenal berkaitan kegembiraan dan kasih sayang. Jika kita lihat pada Aristotle, beliau berpendapat bahawa kebahagiaan merupakan hasil kepada pencarian kea rah keseronokan, manakala Plato pula menyatakan bahawa kebahagiaan datang dari kehidupan yang mulia. Epicurean turut memiliki pandangannya yang tersendiri, iaitu kebahagiaan wujud dengan memaksimakan keseronokan dan meminimakan penderitaan. Kajian-kajian telah menunjukkan kebahagiaan berbeza daripada satu negara dengan negara yang lain. Budaya-budaya di Asia, tahap kegembiraan adalah lebih rendah berbanding dengan yang lain, manakala orang yang paling bahagia adalah mereka yang tinggal di Amerika Utara, Australia dan Eropah.
Pada pendapat saya pula, Kebahagiaan tertakluk kepada perasaan individu sendiri yakni jika mereka merasakan sesuatu yang selesa bagi mereka itu juga dapat digambarkan dengan kebahagiaan. Akan tetapi, manusia sering melakukan kesilapan dengan meletakkan kebahagiaan pada jalan yang salah. Berdasarkan pembacaan saya di dalam blog lain,mereka yang mendapat kebahagiaan itu tidak semestinya memiliki kebaikan. Kerana ada yang bahagia sedangkan diri sedang melakukan maksiat. Malah berbangga dengan maksiat yang dilakukan. Mereka yang mendapat kebahagiaan itu tidak semestinya memiliki keuntungan. Kerana ada yang bahagia sedangkan diri sedang mendedahkan diri dengan berpakaian membuka aurat baik lelaki atau pun wanita. Mereka yang mendapat kebahagiaan itu tidak semestinya memiliki ketenangan. Kerana ada yang bahagia sedangkan diri berada di dalam keegoan atas kejayaan yang dimilikinya. Jadi, dalam Islam, kebahagiaan yang sebenar adalah kebahagian dari rahmat Allah SWT. Apabila seseorang individu itu memperoleh rahmat dari Allah nescaya kebahagiaannya akan menjadi sesuatu yang bermakna disertakan dengan emosi yang lebih stabil dan sentiasa berada dalam keadaan tenang dan damai. Dan jika sebaliknya, kita akan lihat kegoyahan di dalam hati seseorang manusia di mana selalu melakukan kesalahan dan pelbagai perkara yang di luar batasan.
Akhir sekali saya ingin mengambil petikan dari sebuah hadis,
Dalam hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Empat perkara yang membawa kebahagiaan kepada manusia, iaitu (memiliki) perempuan (isteri) yang solehah, rumah yang bagus (luas), jiran yang baik, dan kenderaan yang bagus." (Hadis riwayat Ibnu Hibban).
Berdasarkan hadis ini, ada empat faktor atau kunci yang jika dimiliki oleh seseorang, tentu dia akan merasai nikmat bahagia. Namun tidak bererti hanya yang empat itu saja faktor yang membawa kebahagiaan. Apa yang Rasulullah nyatakan menerusi hadis itu hanyalah sekadar menunjukkan keutamaannya.
Jadi renung-renungkanlah dan muhasabah diri agar kehidupan lebih diberkati. Assalamualaikum. :)
No comments:
Post a Comment