Assalammualaikum dan salam sejahtera. Untuk tugasan jurnal kedua ini, saya ingin berkongsi serba sedikit bagaimana seseorang itu mengekspresikan emosinya, berdasarkan apa yang telah dipelajari di dalam kuliah. Saya juga ingin mengaitkan apakah kegunaan ekspresi emosi ini dalam persahabatan. Terdapat beberapa teori yang telah dikemukakan mengenai asas bagaimana seseorang itu mengekspresikan emosinya. Apa yang menarik, kesemua teori ini seolah-olah berkait rapat antara satu dengan yang lain. Mengapa timbul pelbagai teori berkaitan dengan bagaimana seseorang itu mengekspresikan emosinya? Jawapannya cukup mudah, iaitu, setiap insan dilahirkan unik. Begitu juga dengan emosi. Memandangkan emosi ini berkait rapat dengan perasaan, maka setiap orang mengekspresikan emosinya menggunakan pelbagai kaedah, sama seperti teori-teori yang telah dipelajari.
Dalam teori Darwin, berkaitan dengan struktur emosi, Darwin menyatakan bahawa emosi manusia ini dilambangkan melalui wajah seseorang. Memang benar, emosi memang jelas digambarkan melalui raut wajah seseorang. Sebagai contohnya, orang yang sedih, raut wajahnya selalu muram, manakala, orang yang ceria dan happy go lucky, jarang-jarang wajahnya kelihatan sedih. Justeru, apabila seseorang itu mempunyai perubahan pada ekspresi wajahnya, maka selalunya sebagai seorang sahabat, kita akan perasaan akan perubahan ini dan terus bertanya. Perkara ini, adalah salah satu ciri penting dalam persahabatan. Kadang kala, ada seseorang yang tidak dapat mengekspresikan emosi pada wajahnya. Orang sebegini selalunya dipanggil sebagai 'feelingless'. Gelaran ini hanyalah sebagai gelaran tidak formal kepada mereka yang berwajah kosong. Golongan seperti ini, sukar untuk kita jangka apakah status emosi mereka. Adakah mereka sedang bersedih, atau mereka ini gembira. Justeru, kepada mereka yang mempunyai sahabat sedemikian rupa, anda haruslah lebih prihatin dan mengambil berat tentang sahabat anda, kerana mereka ini selalunya nampak ok, tetapi dalam hati, sedang merana.
Menerusi teori Plutchik pula, beliau menyatakan terdapat 3 cara bagaimana seseorang itu boleh mengekspresikan emosi mereka iaitu menerusi :
i) subjective language atau bahasa subjektif
ii) behavioral language atau bahasa tingkah laku dan
iii) functional language atau bahasa fungsi.
Bahasa subjektif merupakan bahasa biasa yang selalu digunakan untuk menggambarkan emosi. Teori Plutchik ini, kalau kita lihat, seakan-akan sama dengan komponen asas emosi iaitu afektif. Afektif merupakan emosi yang kita lalui. Umpamanya takut, sedih, gembira, dan sebagainya.
Behavioral language ataupun bahasa tingkah laku merupakan perubahan emosi yang digambarkan melalui perubahan tingkah laku. Dalam komponen asas emosi, bahasa tingkah laku ini seperti mempengaruhi proses kognitif manusia dan seterusnya membawa kepada behavioral changes atau perubahan tingkah laku.
Seterusnya, functional language atau bahasa fungsi. Perkara ini lebih membawa kepada penghayatan maksud tersirat sesuatu perkataan yang menggambarkan emosi seseorang. Contohnya, apabila seseorang itu dipuji sebagai berani, maka secara tidak langsung, perkara ini akan mempengaruhi emosi seseorang itu dan tindakan ini akhirnya akan membentuk keberanian sebenar.
Seperti yang saya katakana tadi, teori Plutchik ini seakan-akan menerangkan tentang komponen-komponen asas dalam emosi iaitu afektif, proses kognitif (cognitive process) dan perubahan tingkah laku (behavioral changes). Mengambil contoh yang mudah, iaitu ketika seseorang merajuk dengan sahabatnya. Dalam situasi ini, ada segelintir manusia yang bertindak dengan mengekspresikan emosi mereka menggunakan salah satu daripada tiga komponen emosi yang diutarakan oleh Plutchik. Sebagai contoh, mereka mengekspresikan perasaan marah itu dengan membuat mimik muka seperti mencebik bibir apabila bertemu. Tetapi, ada juga golongan yang tidak membuat mimik muka, tetapi mereka mengekspresikan emosi mereka menerusi tingkah laku, seperti menjadi pendiam, tidak banyak cakap dan sebagainya. Dan ada juga yang mengekspresikan emosi mereka menerusi functional language atau bahasa fungsi. Seperti mereka berasa sedih diperlakukan sedemikian, melambangkan betapa terasa dan tergurisnya perasaan seseorang. Hal ini juga melambangkan betapa akrabnya hubungan sesorang itu dengan sahabatnya. Oleh yang demikian, sebagai seorang sahabat yang baik, anda seharusnya peka dengan perubahan mimik muka, perubahan tingkah laku serta perubahan dalam ayat yang dituturkan oleh sahabat anda. Ada sesetengah golongan yang tidak pandai untuk berterus terang tentang perkara yang menyakitkan hati mereka. Oleh yang demikian, mereka menggunakan cara-cara seperti yang diutarakan dalam teori Plutchik untuk mengekspresikan emosi mereka khususnya emosi ketika mereka merajuk ataupun terasa hati dengan kita.
Seterusnya, mari kita lihat pula apakah yang dibincangkan dalam teori Tomkin's Facial Feedback. Dalam teori ini, Tomkin mengutarakan persoalan berkaitan apakah yang menyebabkan sesuatu atau 'what cause what'. Menerusi pemahaman saya, apa yang disampaikan oleh Tomkin adalah apakah yang menyebabkan sesuatu emosi itu terbentuk. Sebagai contoh, apa yang membuatkan anda rasa gembira, atau apa yang membuatkan anda rasa selesa berada di samping seseorang. Walaupon teori Tomkin ini mendapat kritikan, tetapi sebenarnya kritikan itu ade benarnya. Salah satu persoalan yang timbul daripada teori Tomkin ini adalah berkaitan dengan ekspresi muka sebagai alat sahaja, tetapi tidak menggambarkan emosi sebenarnya. Sejujurnya, saya sangat bersetuju dengan perkara ini kerana, dalam kes seseorang itu merajuk dengan sahabatnya, demi untuk menjaga hati sahabatnya itu, sesetengah orang menyembunyikan emosi mereka dengan berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Justeru, mereka ini sanggup berpura-pura dengan memberi senyuman yang manis di hadapan sahabat mereka, tapi hakikat sebenar ialah mereka rasa sangat menyampah dengan tindak-tanduk seseorang. Perkara ini selalu dialami oleh kaum hawa kerana mereka terlalu memikirkan perasaan sahabat mereka sehingga mereka memendam rasa, semata-mata untuk menjaga hati sahabat mereka.
Oleh yang demikian, dalam persahabatan kita seharusnya prihatin dengan emosi rakan-rakan di sekeliling kita. Adakalanya mereka kelihatan gembira dan seronok melayan kita tetapi hakikatnya mereka sedang merajuk dengan kita. Oleh itu, sentiasalah menjaga pertuturan dan tingkah laku kita agar tidak menyakiti hati rakan-rakan kita. Dalam persahabatan, seharusnya kita mengamalkan sikap 'give and take'. Perkara ini adalah penting untuk kita supaya kita dapat mengekalkan hubungan yang harmonis bukan setakat dengan sahabat karib tetapi juga dengan orang disekeliling kita. Memang benar, sudah menjadi adat dalam persahabatan untuk saling bertikam lidah dan sebagainya, tetapi apa yang lebih penting ialah kita tahu bila kita berada dalam situasi yang sedemikian kerana perkara ini akan mempengaruhi emosi kita. Jika kita tahu seseorang itu marah dengan kita, maka sekurang-kurangnya kita boleh mengambil inisiatif untuk bermaaf-maafan dan berbaik-baik semula. Justeru, ilmu mengenai bagaimana seseorang itu mengekspresikan emosi mereka amatllah berguna untuk membantu kita dalam menangani masalah khusunya dalam persahabatan. Kerana dalam persahabatan, peranan emosi adalah cukup penting. Emosilah yang memainkan peranan dalam menentukan perhubungan seseorang itu. Dalam kita menjalinkan persahabatan, bukan sahaja kita menambah kenalan tetapi lebih daripada itu. Sahabatlah tempat untuk kita berkongsi suka dan duka terutama bagi mereka yang merantau untuk mencari ilmu. Jauh daripada ibu bapa, rakanlah menjadi tempat meluahkan perasaan. Malah pepatah ada menyebut, berkawan biar seribu, berkasih biar satu. Sekian.
No comments:
Post a Comment