Salam sejahtera. Dalam kuliah kedua, saya telah mempelajari teori ' Izard's Innate Facial Expression' dalam menerangkan struktur dan ekspresi emosi. 'Izard's Innate Facial Expression' menyatakan bahawa emosi itu adalah semula jadi, manakala pembelajaran hanya mempunyai impak yang kecil dalam pengalaman emosi. Kita boleh melihat, bayi setelah lahir akan tahu untuk bersenyum, apabila semakin membesar menjelang tiga atau empat bulan akan mempunyai perasaan marah dan terperanjat, apabila berumur lima atau enam bulan mempunyai perasaan takut dan malu, apabila berumur satu tahun akan pandai berasa puas dan apabila berumur dua tahun mula tahu berasa bersalah setelah melakukan kesalahan. Walaupun bayi tidak mengetahui cara untuk menyampaikan perasaan mereka melalui pertuturan, mereka menunjukkan ekspresi dan gerak-geri yang selaras dengan perasaan. Misalnya, bayi biasanya menangis apabila takut atau lapar. Mengapakah mereka tidak ketawa dalam keadaan tersebut? Jadi, pada pendapat saya, emosi adalah dilahirkan secara semula jadi, maka bayi dapat menunjukkan emosi mereka walaupun tidak diajar. Namun, saya tidak sebulat-bulat bersetuju dengan teori ini kerana kadang-kala bayi yang masih naif tidak peka terhadap sekeliling dan justeru tidak dapat memberikan sebarang emosi terhadap perubahan sekeliling tersebut. Sebagai contoh, sesetengah bayi masih tersenyum apabila ditakutkan oleh keadaan yang ngeri. Ini mungkin disebabkan mereka masih tidak dapat mentafsir kebahayaan yang dihadapi. Dalam kata lain, sesetengah emosi perlu dipelajari. Menurut Paul Ekman (1994), kesejagatan mimik muka dengan emosi. Beliau juga menyatakan ekspresi emosi itu bukanlah seratus peratus semula jadi kerana ekspresi emosi juga boleh dipengaruhi oleh pengalaman budaya yang dialami.
Terdapat juga teori yang mengatakan emosi adalah hasil daripada pembelajaran dan pengalaman. Salah satu contoh ialah ' Learning & Experience Theories'. Saya berpendapat bahawa, teori ini lebih menjelaskan cara untuk mengawal ekspresi emosi kita. Kita memperoleh emosi basis secara semula jadi. Setelah melalui pelbagai cabaran dalam proses pembesaran dan memperoleh pengetahuan, manusia dapat mempelajari emosi yang berbeza lagi bersesuaian mengikut keadaan. Dengan ini, kita berupaya untuk mengawal perasaan kita dan menunjukkan ekspresi bersesuaian keadaan bagi berkomunikasi dengan orang lain degan lebih efisien. Sebagai contoh, sesetengah orang masih menunjukkan ekspresi yang gembira dan bertutur secara bersopan walaupun perasaan marah bergelora dalam hati mereka. Pernah sekali kawan saya menjadikan saya sebagai bahan gurauan. Saya berasa tersisih dan marah pada waktu itu tetapi saya memendamkan perasaan tersebut supaya tidak mempengaruhi hubungan kami. Seterusnya, dari segi biologi, terdapat aktivator yang dapat mempengaruhi ekspresi emosi. Setiap orang mempunyai aktivator yang berbeza. Seseorang boleh ditakutkan oleh ketinggian, hantu atau hanya haiwan yang sangat kecil, lipas. Ini mungkin dilahirkan secara semula jadi ataupun daripada pengalaman yang seram. Namun, ketakutan ini mungkin dapat diatasi melalui proses pembelajaran.
Selain mendengar kuliah, kuiz juga dijalankan. Saya berasa kuiz ini membolehkan kami lebih memahami bahan yang diajar pensyarah malah meningkatkan peringatan kami tentang topik tersebut. Kuiz ini secara tidak langsung mendorong kami untuk menumpukan perhatian semasa kuliah dijalankan. Yang lebih menyeronokkan adalah, pelbagai emosi dan respons dapat diperlihat daripada kawan-kawan.
Kuliah tentang kebahagiaan lebih menarik perhatian saya. Perasaan yang gembira yang menentukan kebahagiaan ataupun kebahagiaan menentukan perasaan gembira? Pertanyaan ini memang sukar untuk dijawab secara tepat. Bagi saya, definisi kebahagiaan bagi setiap individu adalah berbeza. Sesetengah orang mempunyai permintaan yang lebih tinggi untuk mencapai kebahagiaan. Mereka berpendapat memperoleh keluarga dan kerjaya yang sempurna, mempunyai pendapatan yang tinggi dan menjalani kehidupan yang mewah dikira bahagia. Dalam konteks ini, sekiranya mereka tidak dapat mencapai salah satu daripada syarat tersebut, mereka tidak mudah berasa gembira maka tidak berasa bahagia. Jadi, kebahagiaan seseorang itu ditentukan oleh pemikiran dan kematangan sendiri. Kita boleh melihat, sesetengah orang masih berasa gembira walaupun tidak mempunyai pekerjaan yang mulia, tidak mempunyai teman sejati atau dilahirkan dalam keluarga yang porak-peranda. Hal ini kerana mereka mudah berasa berpuas hati dan menghargai barang yang mereka dapat. Dengan ini, mereka sentiasa berasa gembira dan mudah mendapat memperoleh kebahagiaan dalam definisi mereka. Ini berkait rapat dengan pemikiran mereka yang sederhana yang tidak terlalu mengejar permintaan yang sukar dicapai. Memang betul keluarga, kawan, teman dan keadaan sekeliling yang bahagia dapat menjamin kegembiraan kami. Namun, sesetengah individu masih tidak berasa bahagia walaupun berada keadaan yang bahagia kerana mereka ingin mencapai lebih banyak. Apabila gagal mencapai sesuatu, mereka berasa lebih susah hati dan menganggap mereka tidak cukup bahagia. Oleh itu, kadang-kala ini amatlah sinis kerana orang yang bahagia masih merungut terhadap kebahagiaan mereka. Saya ingin mengatakan bahawa, definisi kebahagiaan ditentukan dengan pemikiran individu dan terdapat pelbagai faktor mempengaruhi pemikiran individu, contohnya pengaruh agama, pengalaman, pengetahuan dan sebagainya. Misalnya, dulu saya berasa kesal kerana keluarga tidak mempunyai kereta. Namun, sekarang saya berasa sendiri adalah bahagia kerana mempunyai keluarga yang sentiasa mengambil berat terhadap saya dan asyik memberikan perkara yang terbaik kepada saya walaupun keluarga tidak kaya.
Sebagai konklusi, saya berpendapat bahawa kebahagiaan tersebut sebenarnya sangat mudah dicapai sekiranya kami dapat berfikiran secara optimistik dan sentiasa berpuas hati. Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment