Monday, August 8, 2011

A131366 Nadia Natasya Bt Norzam LJ02 Kebahagiaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ini merupakan kali kedua saya menulis jurnal untuk kursus ZT2253. Kuliah kedua yang telah disampaikan oleh Dr Ahmad Zamri  pada 3 Ogos 2011 yang lalu telah banyak memberikan pengetahuan kepada saya mengenai pengurusan emosi dan secara tidak langsung saya juga dapat mengaplikasikan apa yang telah saya pelajari dalam kehidupan seharian. Tajuk kuliah tersebut adalah mengenai struktur dan ekspresi emosi merangkumi 'Izard's Innate Facial Expression' dan 'Learning and Experience Theories'. Tajuk kuliah seterusnya yang telah saya pelajari adalah  mengenai emosi positif iaitu gembira, bahagia dan kasih. Kedua-dua tajuk kuliah ini sama penting kerana kedua-duanya cuba menyampaikan elemen yang berlainan kepada para pelajar. 'Izard's Innate Facial Expression' dan 'Learning and Experience Theories' menerangkan mengenai teori-teori serta kajian yang telah dikemukakan oleh individu-individu berkenaan mengenai ekspresi emosi manakala emosi positif pula menceritakan mengenai factor-faktor yang membuatkan kita berasa gembira. Namun begitu, hal ini adalah subjektif kerana makna kebahagiaan adalah berbeza bagi setiap orang.

Sebelum membuat ringkasan mengenai apa yang telah saya pelajari, saya ingin mengulas serba sedikit mengenai apa yang telah saya lalui semasa kuliah yang lalu. Pada kuliah yang lepas, Dr Zamri telah mengadakan kuiz mengenai tajuk-tajuk kuliah yang telah kami pelajari pada minggu sebelumnya untuk semua pelajar. Pada mulanya saya berasa sedikit tertekan mengenai kuiz ini kerana sebagai pelajar perubatan banyak lagi perkara lain yang perlu saya ulangkaji memandangkan ujian modul sudah semakin hampir. Namun begitu, setelah saya melakukan kuiz tersebut bersama rakan-rakan yang lain barulah saya tahu tujuan sebenar Dr Zamri mengadakan kuiz ini. Tujuannya  adalah supaya kami semua dapat berbincang dan secara tidak langsung mengulang kaji bersama-sama mengenai tajuk-tajuk kuliah yang telah kami pelajari memandangkan kuiz ini membolehkan kami merujuk buku. Hal ini ada faedahnya kerana masa kami sebagai pelajar perubatan adalah amat terhad. Jadi, mengulang kaji ketika di dalam kuliah melalui kuiz yang diadakan sedikit sebanyak telah menjimatkan masa saya dan membolehkan saya menggunakan masa terluang yang lain untuk mengulang kaji subjek yang lain. Selain itu, melalui kuiz ini juga saya dapat menilai diri saya sendiri sama ada saya benar-benar memahami apa yang telah saya pelajari ataupun sebaliknya.

Sekarang saya ingin membuat ringkasan mengenai 'Izard's Innate Facial Expression'. Teori ini membincangkan bahawa pengalaman emosi diaktifkan oleh respons ransangan saraf daripada wajah. Melalui satu kajian yang telah dilakukan iaitu 'Born to Smile studies', telah dinyatakan bahawa bayi akan menunjukkan perasaan marah dan terkejut ketika usianya mencecah 3 atau 4 bulan, malu dan takut ketika berusia 5 atau 6 bulan, perasaan puas hati ketika berusia setahun dan akhir sekali dia akan menunjukkan perasaan bersalah ketika usianya mencecah 2 tahun. Konklusinya, emosi bayi dipengaruhi oleh rangsangan emosi sebenar bayi tersebut pada ketika itu. Jika bayi tersebut berasa gembira maka dengan serta merta dia akan tersenyum. Namun begitu terdapat kritikan terhadap kajian ini. Kritikan tersebut menyatakan bahawa bayi senyum bukan kerana dia berasa gembira tetapi itu adalah merupakan cara dia berkomunikasi dengan orang yang berada di sekelilingnya. Terdapat satu lagi kajian yang telah dilakukan bagi teori ini iaitu 'Cross Sectional Study'. Kajian ini telah dilakukan oleh Ekman di beberapa negara terpilih. Hasil kajian ini telah mendapati bahawa emosi seseorang dipengaruhi oleh budaya yang diamalkan olehnya. Jadi, emosi yang berbeza akan terhasil bagi setiap individu yang mempunyai budaya yang berbeza. Contohnya, budaya Melayu telah mengajar kita untuk menghoramati orang yang lebih tua daripada kita sejak dari kecil  lagi seperti bersalam dan mencium tangan mereka.. Jadi,apabila kita melihat bangsa lain yang mempunyai budaya yang berbeza tidak melakukan perkara yang sama seperti apa yang kita amalkan, kita pastinya akan berasa mereka bersikap biadap dan tidak hormat terhadap orang yang lebih tua. Hal ini secara tidak langsung akan mempengaruhi emosi kita kerana kita mungkin akan berasa marah dan geram terhadap mereka.

Saya ingin meneruskan jurnal saya dengan menceritakan mengenai 'Learning and Experience Theories' pula. Teori ini boleh dibahagikan kepada dua komponen iaitu pandangan biologi ataupun pandangan pembelajaran. Menurut pandangan biologi, pembelajaran memainkan peranan yang kurang penting dalam pengurusan emosi. Sebaliknya, emosi diterbitkan melalui rangsangan tertentu. Sebagai contoh, sesetengah individu berasa takut terhadap hantu, sesetengah lagi takut terhadap lipas dan ada juga yang berasa takut apabila berada di tempat yang tinggi. Di sini rangsangan yang wujud adalah hantu, lipas dan tempat yang tinggi. Pandangan biologi juga menyatakan bahawa proses kognitif adalah berbeza bagi setiap individu. Saya ingin memberi contoh seperti sesetengah orang berasa bahawa bersukan hanya membuang masa tetapi ada juga individu lain yang berasa bahawa sukan merupakan perkara yang berfaedah kerana ia dapat menyihatkan tubuh badan. Komponen kedua yang terletak di bawah teori ini ialah pandangan pembelajaran. Terdapat dua kajian yang dialakukan bagi pandangan pembelajaran iaitu Miller's studies dan Albert's studies. Menurut pandangan pembelajaran, setiap emosi yang ditunjukkan oleh individu adalah disebabkan oleh proses pembelajaran.

Bagi tajuk kuliah yang seterusnya iaitu emosi positif, saya telah belajar dengan lebih mendalam lagi mengenai makna kebahagiaan. Setiap individu mungkin akan mendefinisikan kebahagiaan mengikut perspektif masing-masing. Secara keseluruhan, kebahagiaan merupakan emosi yang diekspreskan oleh individu yang berasa gembira, seronok dan senang hati. Selalunya, kita akan sentiasa tersenyum bagi menunjukkan perasaan bahagia yang kita alami. Terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan yang berkaitan dengan tajuk kuliah ini. Pertama sekali ialah 'Cross Cultural Studies' yang menunjukkan bahawa  kadar kebahagiaan adalah berbeza bagi setiap negara yang berlainan budaya. Budaya Asia telah membuktikan bahawa mereka mempunyai kadar kebahagiaan yang rendah berbanding dengan negara-negara lain seperti Amerika Utara, Australia dan Eropah. Terdapat dua komponen di bawah kebahagiaan iaitu 'Long Term Affective States' dan 'Short Term Affective States'. 'Long Term Affective States' menerangkan bahawa perasaan bahagia yang kita alami adalah berdasarkan kehidupan kita sejak kita kecil lagi sehingga pada masa kini. Manakala 'Short Term Affective States' membincangkan bahawa perasaan gembira yang ditunjukkan oleh seseorang adalah berdasarkan peristiwa baru yang berlaku dalam kehidupannya. Bagi saya, saya akan berasa bahagia apabila hidup saya dikelilingi oleh orang-orang yang saya sayangi terutamanya keluarga serta rakan-rakan. Oleh sebab inilah saya pastinya akan pulang ke rumah pada setiap hujung minggu jika berkesempatan supaya saya dapat meluangkan masa saya bersama keluarga. Kami sekeluarga akan makan, menonton tv dan melakukan kerja rumah bersama-sama dan ini sudah cukup untuk membuatkan saya untuk berasa gembira. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa kebahagiaan akan terasa lebih bermakna sekiranya kehidupan kita berlandaskan agama.

Akhir sekali, saya ingin mengulas serba sedikit mengenai video yang telah ditunjukkan oleh Dr Zamri pada kuliah yang lepas. Video tersebut menunjukkan kasih sayang seorang ayah yang tiada batas terhadap anaknya. Jadi, saya ingin mengigatkan kepada semua supaya sentiasa menghargai, menghormati dan menyayangi kedua ibu bapa kita selagi mereka masih ada supaya kita tidak akan menyesal di kemudian hari. Jagalah hubungan antara kita dengan ibu bapa supaya hidup kita akan terasa lebih bahagia dan bermakna.

Sekian.

No comments:

Post a Comment