Monday, August 8, 2011

A131533 Chua Zi Yuan LJ02

   A131533 Chua Zi Yuan Kebahagiaan


Pada 3 Ogos saya telah menghadadiri kuliah ZT yang ketiga yang bertajuk Emosi Positif dan Negatif. Kuliah pada hari ini menyambung sedikit tajuk yang diajar pada minggu yang lalu, iaitu "Izard Innate Facial Expression". Sebelum bermulanya kuliah, saya telah membuat sedikit refleksi tentang ilmu pengetahuan yang telah saya perolehi pada minggu yang lalu. Saya telah belajar tentang aspek-aspek emosi dan teori-teori emosi seperti Darwin's basic theory of emotions, Plutchik primary emotion theory dan sebagainya. Saya berasa sungguh gembira kerana dapat mempelajari ilmu-ilmu seperti ini kerana amat berguna dan saya dapat mengaplikasikan dalam kehidupan.
 
            Apabila teori Izard Innate Facial Expression diajar, saya menumpukan sepenuh perhatian saya. Teori ini mengatakan bahawa mekanisme sistem saraf bagi ekspresi muka dan juga emosi adalah wujud secara semula jadi. Maksudnya ialah, kita tidak perlu diajar cara-cara untuk senyum, marah, sedih dan lain-lain lagi. Hal ini demikian kerana sistem saraf dalam badan kita akan membuat kita melakukan tindakan-tindakan tersebut apabila terdapat stimulasi dari luar badan kita. Tubuh badan kita akan bertindak terhadap stimulasi luar. Scherer & Walbott 1994 mendapati bahawa konsep kesejahteraan emosi wajah adalah mantap dan stabil. Apa yang bezanya adalah bagaimana emosi itu dialami dan dikawal dan bukannya bagaimana emosi itu ditunjukkan.
 
             Selepas itu ialah sesi menjawab kuiz. Soalan kuiz ialah berdasarkan topik yang telah dipelajari pada minggu yang lalu. Saya berasa kuiz ini amat berfaedah kerana hal ini akan menyebabkan seseorang termasuklah saya menumpukan sepenuh perhatian dalam masa kuliah dan juga mengulangkaji pelajaran sebelum kuliah supaya mendapat markah yang tinggi dalam kuiz.
 
             Selepas itu ialah Learning and Experience Theories, iaitu pembelajaran dan pengalaman sepanjang hidup kita akan mempengaruhi emosi kita. Dalam teori ini, saya difahamkan bahawa walaupun emosi kita wujud secara semula jadi, kita juga dapat belajar tentang emosi melalui pembelajaran dan pengalaman kehidupan harian. Contohnya, bagi seseorang yang pertama kali menduduki peperiksaan, dia tidak akan menghadapi masalah stress sebab dia tidak mengenali perasaan yang dihadapi semasa peperiksaan dijalankan. Namun bagi seseorang yang pernah menduduki peperiksaan, dia akan berasa takut, bimbang dan stress sebelum peperiksaan kerana dia berpengalaman dan pernah mengalami perasaan tersebut pada masa yang lalu semasa peperiksaan dijalankan. Walaupun demikian, emosi antara seseorang mungkin berbeza dengan seseorang yang lain. Sebagai contohnya, saya tidak berasa takut pada anjing kerana saya memeliharanya di rumah dan selalu bermain dengannya. Namun, bagi seseorang yang tidak pernah memelihara anjing, dia akan berasa takut apabila mendengar anjing menyalak  kerana takut digigitnya. Dalam pemikiran mereka yang tidak pernah memelihara anjing, mereka akan sentiasa ingat anjing itu liar dan selalu menggigit orang tetapi bagi mereka yang sentiasa bermain dengan anjing, mereka tidak akan berasa sedemikian kerana mereka berpengalaman dan memahami tabiat anjing yang sebenarnya tidak menggigit jikalau tidak diusik. Oleh itu, jelaslah bahawa emosi kita juga dipengaruhi oleh pengalaman kehidupan.
 
           Tajuk yang seterusnya ialah Emosi Positif, iaitu gembira, bahagia dan kasih. Kebahagiaan ialah emosi yang menggembirakan dan mebberi seseorang itu berasa selesa dan berpuas hati. Terdapat pelbagai pandangan daripada ahli-ahli filosofer seperti Aristotle, Plato, Epicurean dan Mills terhadap maksud kebahagiaan. Namun, saya pasti mereka mempunyai maksud yang sama walaupun penerangan mereka berbeza-beza. Kita dapat mengesan kebahagiaan orang melalui senyuman mereka. Menurut Veenhoven, 1995 terhadap cross-sectional study yang dilakukan, kebahagiaan itu adalah berbeza mengikut negara. Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa penduduk negara-negara Asian mempunyai tahap kebahagiaan yang lebih rendah berbanding negara-negara lain manakala negara Amerika Utara, Australia dan Eropah mempunyai penduduk yang paling gembira. Menurut Rim, 1993 pula, seseorang yang senang menyesuaikan diri adalah lebih bijak menghadapi masalah dan mereka didapati lebih gembira. Menurut Kozma et. al, 1992, kebahagiaan dapat dibahagikan kepada dua komponen yang utama iaitu kebahagiaan yang efektif dalam jangka masa panjang dan kebahagiaan yang efektif dalam jangka masa pendek. Kebahagiaan yang efektif dalam jangka masa yang panjang ialah kegembiraan yang berpanjangan dan berlanjut selama berbulan-bulan ataupun bertahun-tahun serta juga boleh bermula sejak dari zaman kanak-kanak dahulu. Kebahagiaan yang efektif dalam jangka masa yang pendek pula ialah kegembiraan yang dirasai hanya dalam waktu-waktu tertentu sahaja. Hal ini demikian disebabkan terdapat pelbagai rintangan yang perlu dihadapi oleh seseorang dalam kehidupan menyebabkan seseorang tidak mendapat sentiasa berseronok. Bagi saya pula, saya mempunyai kegembiraan yang efektif dalam jangka masa pendek sahaja kerana saya tidak selalu berasa gembira sepanjang masa. Terdapat pelbagai batu halangan dalam hidup saya yang selalu mencabar kebolehan dan kemahiran saya seperti peperiksaan dan masalah konflik. Namun begitu, saya sedar bahawa halangan-halangan ini akan menjadikan saya seorang yang lebih tabah walaupun saya tidak dapat berasa kebahagiaan pada masa itu.
 
 
          Selain itu, menurut Freud, kerapatan hubungan kita dengan ibu bapa pada zaman masa kecil akan menentukan kebijaksaan kita dalam penyesuaian untuk mencari kebahagiaan dalam kehidupan kemudian. Hal ini demikian kerana kita akan mencontohi sikap ibu bapa semasa kecil dan melakukannya apabila dewasa nanti kerana anak-anak ibarat sehelai kain yang putih dan terpulanglah kepada ibu bapa mereka untuk mencorakkan kain tersebut. Contoh-contoh waktu kegembiraan lain ialah lulus dalam peperiksaan, bercuti, sembuh daripada penyakit, bercinta, berkahwin, berbaik-baik selepas berkelahi, beranak, memenangi banyak duit, naik taraf dalam pekerjaan, bergaul dengan kawan-kawan mendapat pekerjaan baru dan sebagainya. Kejadian-kejadian positif ini memberi semangat dan motivasi kepada mereka untuk bersikap lebih positif dalam hidup. Setiap orang akan mendapat kebahagiaan dalam perkahwinan masing-masing dan pasangan yang telah berkahwin didapati lebih gembira daripada mereka yang belum berkahwin. Saya bersetuju dengen pendapatan ini walaupun saya belum berkahwin lagi kerana perasaan sayang dan kasih antara pasangan suami isteri itu akan mendatangkan kegembiraan. Kebahagiaan juga dapat dilihat apabila pasangan itu mendapat anak. Perasaan kasih yang dicurahkan kepada anak-anak akan melahirkan sebuah keluarga yang sihat dan bahagia. Rentetan itu, beberapa faktor yang lain juga mempengaruhi kegembiraan seseorang termasuklah kesihatan, persahabatan, penghayatan agama, kerja dan rekreasi. Seseorang yang mempunyai penghayatan yang mendalam dalam agama didapti lebih gembira dan kurang tekanan berbanding dengan mereka yang kurang penghayatan. Mereka akan kurang mendapat kehampaan dan kesedihan walaupun terdapat pelbagai dugaan dalam hidup kerana bagi mereka, itu adalah cabaran daripada Tuhan mereka. Selain itu, mereka juga tidak akan membunuh diri ataupun menghsiap dadah. Sebaliknya, mereka akan berpuas hati dan menghargai apa-apa yang ada dalam hidup mereka kerana mereka mempunyai pegangan hidup yang lebih kuat. Mereka juga kurang mendapat penyakit darah tinggi. Menurut para sosiologi, agama menyebabkan seseorang berasa selamat(secure) dan diterima dalam kalangan masyarakat(acceptance).
 
         Seterusnya ialah Tomkin's facial feedback theory. Menurutnya, sesuatu emosi itu wujud disebabkan oleh ekspresi muka seseorang individu. Dalam teori ini, seseorang itu mungkin keliru antara faktor menyebabkan berlakunya sesuatu perkara dengan berlakunya sesuatu perkara kerana disebabkan oleh sesuatu faktor (what cause what). Saya berasa hairan dan keliru apabila belajar konsep ini. Sebenarnya, seseorang yang gembira kerana senyum ataupun seseorang itu senyum kerana gembira? Pada pendapat saya, seseorang yang senyum kerana gembira adalah lebih tepat kerana ini menunjukkan reaksi kita terhadap sesuatu stimulasi luar.
            
 

No comments:

Post a Comment