Monday, August 8, 2011

A131556 Noramira Binti Robani Kebahagiaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
            Alhamdulillah kuliah kali ini dapat saya ikuti dengan baik dan dapat memahami dengan lebih mendalam tentang tajuk yang dibincangkan. Pada kuliah kali ini, Dr Zamri telah menerangkan Izard's Innate facial expression sebagai sambungan dari kuliah yang lepas dan juga mengenai tajuk kebahagiaan. Innate bermaksud semulajadi dan dalam teori ini mengatakan bahawa mimik muka adalah sesuatu yang berlaku secara semulajadi.
      Terdapat dua kajian di dalam teori Izard ini iaitu yang pertama adalah kajian yang mengatakan bayi yang baru lahir adalah dilahirkan dengan senyuman atau dalam bahasa lainnya ialah Newborn's 'born to smile' studies. Seterusnya yang kedua pula ialah kajian silang budaya atau Cross-cultural studies. Melalui apa yang saya fahami melalui kuliah ini, kajian pertama iaitu 'born to smile' studies adalah mengenai mimik muka dan ekspresi emosi yang terjadi sejak lahir. Dalam kajian ini mengatakan, bayi yang berusia beberapa bulan juga mempunyai pelbagai emosi antaranya marah, terkejut, takut dan sebagainya. Manakala dalam kajian silang budaya pula mengolah tentang ekspresi emosi dalam budaya yang berbeza, sama ada adakah ekspresi emosi itu sama bagi setiap budaya atau berbeza. Kajian ini, iaitu kajian Ekman telah dijalankan di Amerika Syarikat, Jepun, Chile, Argentina dan juga Brazil. Dan dalam kajian ini menunjukkan bahawa terdapat konsistensi dalam persetujuan jawapan dalam lima budaya ini yang menunjukkan corak yang sama dalam menunjukkan ekspresi emosi. Ekman juga telah menjalankan beberapa lagi kajian di Borneo dan New Guinea dan keputusannya juga disahkan betul. Paul Ekman (1994) juga telah menyokong kesejagatan mimik muka dengan emosi. Dan dipercayai bahawa wajah gembira (95-100%) lebih dominan dikenalpasti dari wajah takut (54-85%). Manakala Scherer & Wallbott (1994) pula telah meneliti kajian-kajian yang merangkumi 37 negara dan 5 benua dan mendapati bahawa konsep kesejagatan emosi wajah adalah mantap dan stabil. Yang berbeza adalah bagaimana emosi itu dialami dan dikawal, dan bukan berdasarkan bagaimana emosi itu dizahirkan.
 
            Seterusnya dalam teori pembelajaran dan pengalaman, terdapat dua kaedah yang berbeza iaitu yang pertama ialah pengalaman melalui pandangan biologi (biological view of experience) manakala yang kedua pula ialah melalui pengalaman dari pandangan pembelajaran (learning theory view of experience). Dalam kaedah pengalaman melalui pandangan biologi, pembelajaran memainkan peranan yang sedikit atau minor dalam emosi. Menurut Izard, emosi dapat dirasakan melalui aktivator yang berbeza bagi individu yang berbeza. Contohnya, ada sesetengah individu yang takut dengan hantu tetapi ada juga sesetengah individu yang tidak takut dengan hantu. Emosi itu sebenarnya bergantung bagi setiap individu dan proses kognitif yang berlaku juga berbeza dalam setiap individu. Atau dengan kata lainnya, setiap individu mempunyai tanggapan yang berbeza bagi sesetengah perkara. Selain itu, emosi dalam kaedah ini juga digambarkan sebagai sesuatu yang semulajadi dan emosi yang dirasai adalah berdasarkan persekitaran seseorang. Manakala bagi kaedah kedua pula iaitu melalui pengalaman dari pandangan pembelajaran, kaedah ini sangat berbeza dengan kaedah yang pertama di mana melalui kaedah ini, semua emosi didapati melalui kaedah pembelajaran. Contohnya kanak-kanak telah diajar untuk takut pada air panas dan api oleh ibu bapa mereka sejak mereka kecil lagi. Dalam contoh yang lain pula, kita diajar untuk menjadi lebih berani apabila berhadapan dengan situasi yang mencabar kerana ia boleh meningkatkan tahap keyakinan diri seseorang.
            Seterusnya, kuliah kali ini juga ada membincangkan tentang tajuk gembira, bahagia dan kasih. Kegembiraan ialah satu emosi yang mempunyai karakter seperti keseronokan, kepuasan dan senang hati. Menurut pandangan falsafah seperti Aristotle, kegembiraan ialah hasil kepada pencarian ke arah keseronokan. Apabila kita berhasil mencari sesuatu keseronokan, maka dengan serta merta kita juga akan merasai kegembiraan. Seterusnya pada pandangan Plato, beliau berpendapat bahawa punca terjadinya sesuatu kebahagiaan itu adalah berdasarkan kehidupan yang mulia. Contohnya, sekiranya kita sebagai manusia mengamalkan konsep saling bekerjasama, mengambil berat dan bertimbang rasa antara satu sama lain, sudah pasti kita akan dikelilingi dengan manusia yang senang dan gembira berkawan dengan kita. Dengan adanya sifat positif dalam diri, tentu sekali kita akan merasai indahnya sesuatu kebahagiaan itu. Seterusnya menurut prinsip dan falsafah Epicurean, beliau menyatakan dan berpendapat bahawa kebahagiaan dapat dirasai dengan memaksimakan keseronokan dan meminimumkan kesakitan dan penderitaan. Contohnya, apabila kita berada dalam situasi di mana semua orang sedang bergembira seperti dalam situasi hari raya, kita seharusnya menggunakan situasi itu untuk bergembira dan melupakan sementara kesakitan yang kita rasai. Dengan cara itu barulah kita dapat merasai kebahagiaan dan meninggalkan sementara masalah yang menyesakkan minda. Selain itu, Mills pula berpendapat bahawa kebahagiaan itu dapat dirasai dengan adanya kesempurnaan dalam tingkah laku. Setiap perangai atau kelakuan yang kita lakukan juga sebenarnya menyumbang terhadap kebahagiaan yang kita rasai. Perangai dan tingkah laku yang baik memberi lebih kebahagiaan kepada seseorang individu itu berbanding dengan tingkah laku yang kurang baik. Pada pendapat saya, kelakuan kita terhadap persekitaran terutamanya keluarga dan teman-teman sebenarnya memberikan kesan yang besar dalam menentukan kebahagiaan. Ini kerana, apabila seseorang itu menjaga tingkah lakunya, maka dengan serta merta dia akan disenangi oleh masyarakat sekelilingnya dan seterusnya dapat membuatkan individu itu bahagia kerana disenangi oleh semua orang. Walhal bagi individu yang tidak menjaga tingkah lakunya, contohnya seperti suka menengking dan pengotor, sudah semestinya masyarakat sekelilingnya tidak akan menyenangi kelakuan dan perangainya. Dan seterusnya membuatkan dia tersisih dari hidup berkawan dan sudah tentu dia tidak akan merasai kebahagiaan yang sempurna hanya kerana kelakuannya yang tidak baik.
            Seseorang yang dapat menyesuaikan diri dengan cepat dalam satu situasi dipercayai akan menjadi lebih bahagia berbanding dengan mereka yang sukar atau lambat menyesuaikan diri dalam satu situasi. Apabila seseorang itu dapat menyesuaikan diri dengan cepat, mereka sebenarnya juga lebih baik dalam menyelesaikan masalah yang mereka hadapi (Rim, 1993). Terdapat dua komponen dalam mengukur kebahagiaan iaitu emosi jangka masa panjang dan emosi jangka masa pendek. Dalam emosi jangka masa panjang, kebahagiaan itu dapat dirasai melalui kestabilan emosi dari bulan ke bulan atau tahun ke tahun. Manakala emosi jangka masa pendek pula melibatkan peristiwa yang baru berlaku, contohnya bahagia apabila menjadi juara lumba lari atau sebagainya. Dalam model aditif, kebahagiaan yang maksimum bermaksud kombinasi antara kebahagiaan dalam jangka masa pendek dan kebahagiaan dalam jangka masa panjang. Menurut Freud, hubungan seseorang dengan ibu bapa sejak kecil memberi kesan yang mendalam dalam menentukan kebahagiaan seseorang individu itu. Tidak dinafikan, seorang anak akan belajar mengenal dunia melalui ibu bapa mereka. Apa sahaja sifat dan kelakuan ibu bapa itu akan dicontohi oleh anak-anak dan kerana itulah, hubungan dalam keluarga itu sangat penting dalam menentukan kebahagiaan. Selain itu, peristiwa-peristiwa positif yang berlaku dalam hidup juga menyumbang kepada majoriti kebahagiaan seseorang itu. Contohnya ialah jatuh cinta, berkahwin, pergi bercuti, lulus peperiksaan dan sebagainya. Dan kebahagiaan itu sebenarnya dapat dilihat melalui mimik muka yang ditunjukkan iaitu dengan senyuman.
            Bagi saya, kebahagiaan itu adalah sesuatu yang subjektif. Adakalanya sesuatu peristiwa itu boleh membahagiakan seseorang dan dalam masa sama, peristiwa itu tidak membahagiakan seseorang yang lain. Saya bersetuju dengan pendapat Plato dan Mills di mana kebahagiaan itu sebenarnya dapat diperoleh melalui cara hidup dan tingkah laku kita sendiri. Kebahagiaan itu hakikatnya boleh dicari dan didapati di mana-mana sahaja, cuma yang membezakan tahap kebahagiaan itu adalah melalui bagaimana kita mengolah dan menghargai kebahagian itu sendiri.

No comments:

Post a Comment