Monday, August 8, 2011

Masria Maseri A131945 Gembira, Bahagia dan Kasih

Salam sejahtera,
Untuk jurnal yang kedua ini, saya ingin mengulas mengenai tajuk kuliah pada hari Rabu lepas, 3 Ogos 2011 yang bertajuk Emosi Positif : Gembira, Bahagia dan Kasih.
Gembira.  Bagaimanakah kita hendak mendefinisikan gembira?  Gembira ialah satu bentuk emosi yang menunjukkan kenikmatan, keseronokan dan kepuasan. Terdapat beberapa pandangan farsafah mengenai gembira. Menurut Aristotle, gembira ialah satu kejayaan dalam mengejar kepuasan. Menurut Plato pula, sumber kegembiraan adalah melalui kehidupan yang baik. Epicurean pula mengatakan untuk mendapatkan kegembiraan, kita perlu memaksimumkan kepuasan dan meminimumkan rasa sedih atau sakit. Mills pula berpendapat, kegembiraan ialah kewajaran antara semua sifat. Pada pendapat saya pula, kegembiraan ialah suatu tidak dapat didefinisikan dengan perkataan yang sesuai, namun ia hanyalah boleh dirasai, tapi yang penting semua orang di dunia ini mencari kegembiraan. Situasi yang bagaimanakah yang menyebabkan anda gembira dan bahagia? Bagi saya, situasi yang paling menonjol ialah ketika bersama orang yang tersayang, contohnya ketika bersama keluarga dan rakan-rakan. Tidak akan ada orang yang gembira hidup secara sendirian tanpa ada sesiapa di sekeliling mereka.
Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan mengenai kegembiraan. Kajian-kajian merentasi budaya antaranya, Veenhoven (1995) mendapati kegembiraan adalah berbeza dari satu negara dengan negara yang lain. Diener et al (1995), melapor bahawa budaya Asia mempunyai ukuran kegembiraan yang rendah dan Argyle (1987) berpendapat orang yang paling bahagia ialah mereka yang tinggal di Australia dan Eropah. Saya rasa kurang setuju dengan kajian ini, kerana saya tidak tahu bagaimanakah mereka dapat melimitkan dan membahagikan tahap-tahap kegembiraan. Setahu saya, kegembiraan sendiri tidak dapat diukur  dan kegembiraan tidak mempunyai unit. Menurut Rim (1993), seseorang yang maju akan gembira kerana mereka dapat membentuk strategi menangani masalah dengan lebih berkesan. Secara ringkasnya, saya berpendapat, kegembiraan ialah sesuatu yang abstrak.
Kegembiraan terbahagi kepada dua komponen utama, iaitu secara jangka masa panjang atau pendek bergantung kepada had masa kegembiraan tersebut. Menurut Freud,  hubungan kita dengan ibu bapa kita sejak kecil lagi adalah penentu yang sangat penting kepada kebahagiaan kemudian hari. Veroff et al (1981) telah menjalankan kajian dan mendapati seseorang yang telah berkahwin lebih gembira berbanding daripada seseorang yang memilih untuk tinggal sendiri. Argyle  (1087) telah menyenaraikan beberapa faktor yang menyumbang kepada kegembiraan, termasuklah kesihatan, persahabatan, pekerjaan, rekreasi dan agama. Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa seseorang yang beragama lebih bahagia berbanding daripada seseorang yang tidak mempunyai agama. Mekanisme agama dalam menyumbang kepada kegembiraan tidak dapat ditunjukkan lagi dalam konteks ini. Namun begitu, ramai ahli sosiologi berpendapat perasaan selamat dan diterima dalam masyarakat adalah faktor kemungkinan untuk korelasi positif antara agama dan kegembiraan. Saya berpendapat, seseorang yang beragama sahaja tidak cukup membentuk kegembiraan, seseorang itu juga perlu lebih 'spiritual' untuk mencapai ketenangan jiwa dan seterusnya kegembiraan yang sejati.
Seterusnya kasih sayang. Kasih sayang mempunyai tiga faktor utama, termasuklah, komitmen, keintiman dan minat. 'Love' dalam Bahasa Malaysia bermaksud sama ada kasih sayang atau cinta (dalam bahasa Inggeris: romantic love). Kasih sayang adalah salah satu elemen yang paling penting dalam dunia ini. Tanpa kasih sayang, dunia ini tidak mungkin akan wujud. Kasih sayang sangat universal, semua orang dan binatang turut mempunyai nilai ini. Walaupun sejahat-jahatnya seseorang itu, dia pasti akan kasih terhadap keluarganya sendiri. Nilai ini memang sudah sedia wujud dalam diri kita. Setiap orang ingin disayangi. Sekiranya terdapat kasih sayang di rumah sejak kecil lagi, seseorang itu pasti akan membesar dengan baiknya. Saya pernah dibacakan satu buku ketika masih kecil lagi. Cerita itu mengenai ada seorang isteri yang sedang sibuk bekerja dalam rumahnya. Tidak lama kemudian pintu rumahnya diketuk, setelah membuka, terdapat yang lima 'wise men' yang bernama, Love (kasih sayang), Success (Kejayaan), Health Kesihatan), Wealth (Kekayaan), dan Happiness(Kegembiraan). Mereka berkata dia hanya boleh pilih salah satu daripada mereka untuk membawa sama ada kasih sayang, kejayaan, kesihatan, kesihatan, kekayaan dan kegembiraan dalam rumah itu. Wanita itu berfikir panjang. Setelah lama berfikir, dia telah membuat keputusan. Dia memilih 'Love' agar rumahnya dipenuhi dengan kasih sayang. Dia membuka pintu untuk membenarkan 'Love' masuk. Namun dia berasa hairan kerana yang lain turut serta memasuki rumahnya. Dia bertanya mengapakah hal itu terjadi. Mereka menjawab kerana dimana ada kasih sayang di situ ada kejayaan, kesihatan, kekayaan dan paling penting sekali kegembiraan. Cerita ini  walaupun kurang logik tetapi cukup menakjubkan saya yang pada ketika itu masih budak lagi. Cerita ini secara tidak langsung turut mengajar saya betapa pentingnya kasih sayang selain daripada didikan ibu bapa.
Kegembiraan ialah emosi yang sangat menyenangkan, merupakan salah satu kepuasan dalam hidup. Penyelidik mendefinisikan kegembiraan kepada dua cara iaitu tanggapan bahawa hidup ini sangat memuaskan dan mendominasikan positif emosi daripada negatif emosi. Apa yang kita ketahui orang yang gembira tidak berbeza dari segi jantina dalam keseluruhan kegembiraan, secara global, kepuasan hidup, dan secara budaya dan negara. Tidak ada perbezan yang ketara dari segi umur namun begitu terdapat beberapa situasi yang menyebabkan orang yang gembira berbeza mengikut umur. Selain itu, golongan etnik yang berbeza juga tidak berkaitan dengan kesejahteraan seseorang. Namun begitu, kenegaraan seseorang itu akan menyumbang kepada konteks ini kerana negara yang miskin biasanya mempunyai penduduk yang kurang bahagia. Negara yang kurang memberi penduduknya hak politk juga turut menyumbang suasana kurang bahagia. Perbezaan mengikut pembangunan ekonomik dalam sesuatu negara juga menjadi kunci sumber kepada perbezaan suasana kegembiraan sesuatu negara itu. Selain daripada hal yang di atas itu, penyelidik turut mendapati terdapati terdapat hubungkait antara pendapatan dengan kegembiraan dalam sesebuah negara.  Di negara-negara miskin, status ekonomi akan meramalkan kegembiraan seseorang. Oleh itu, ketiadaan kesihatan dan kekayaan akan membawa kepada penderitaan, namun begitu, dengan adanya kedua-dua perkara tersebut tidak menjamin kegembiraan.
Kesimpulannya, kegembiraan mempunyai konteks yang sangat luas. Setiap orang mempunyai definisi tersendiri terhadap kegembiraan. Setiap orang akan mencari dan mengejarkebahagian mereka melalui pelbagai cara. Terdapat beberapa perkara yang boleh saya senaraikan iaitu melalui minda, interaksi, perbuatan, dan mengelak daripada sesuatu. Melalui minda, seseorang itu boleh mencari kebahagiaan dengan berfikiran positif dan mempunyai agama. Melalui interaksi adalah faktor utama yang membawa kepada kebahagiaan. Sebagai contoh, seseorang itu boleh bahagia dengan mempunyai keluarga dan binatang peliharaan. Selain itu, terdapat juga beberapa orang menemui kegembiraan dengan beramal, kerana dengan melihat orang lain senang membawa kepuasan dalam diri mereka. Melalui perbuatan, contohnya dengan berjenaka juga turut mengembirakan orang lain secara tidak langsung terhadap diri sendiri. Selain daripada itu, dengan meraikan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir turut membawa kepada kegembiraan kerana hal ini menunjukkan mereka yang diraikan itu berasa dihargai. Dengan terlibat dalam aktiviti riadah atau hobi juga turut menyumbangkan kepada kegembiraan. Akhir sekali dengan mengelak daripada sesuatu yang negatif turut membawa kepada kebahagiaan terhadap seseorang, sebagai contoh dengan tidak menyakiti perasaan seseorang yang disayangi.
Sekian terima kasih.
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment