Monday, August 8, 2011

A131744 AISYATUL NADIAH BT. MOKHTAR ALFAKARI - GEMBIRA, BAHAGIA DAN KASIH SAYANG

A131744 AISYATUL NADIAH BT. MOKHTAR ALFAKARI  - GEMBIRA, BAHAGIA DAN KASIH SAYANG
 
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Saya bersyukur ke  hadrat Ilahi atas keberkatan dan rahmat-Nya saya masih lagi diberi kesempatan bernafas dalam alam ciptaan-Nya dan meneruskan tanggungjawab saya menulis jurnal bagi kursus ZT2253 – Pengurusan Emosi siri kedua. Saya juga bersyukur kerana saya telah selesai menghadapi ujian akhir modul yang kedua bagi kursus perubatan yang diambil. Oleh itu, dapat saya menulis jurnal ini dengan hati yang lapang dan tenang. Pada kuliah ke-3, hari Rabu, 3 hari bulan Ogos 2011 yang lalu, kami disampaikan kuliah bertajuk 'Emosi Positif – Gembira, Bahagia dan Kasih Sayang'. Apabila disebut tentang emosi positif ini, saya terfikir sepanjang hayat saya sehingga kini adakah lebih banyak positif berbanding negatif ?. Tiga perkataan di atas amat mudah di tuturkan melalui bibir, hanya dengan menyebutnya sahaja  pasti ramai yang tersenyum dan ingin mengecapinya. Hal in kerana, perkataan-perkataan tersebut mempunyai makna tersendiri dalam diri setiap insan dan mungkin menggambarkan wujudnya memori-memori positif.
Dalam setiap kehidupan yang dilalui seseorang, seharusnya mengamalkan emosi yang positif seperti di atas- gembira, bahagia dan kasih sayang bagi membawa erti yang bermakna sepanjang hidupnya sebagai manusia. Tetapi bukan mudah untuk mencapai ketiga-tiga tersebut, ia melibatkan banyak faktor termasuk diri, orang sekeliling, keadaan kehidupan dan sebagainya. Siapa yang tidak inginkan bahagia, semua pasti akan menjawab ya untuk kebahagiaan. Oleh itu, dalam kuliah yang diberi, kami didedahkan tentang tiga emosi positif ini. Kebahagiaan dan kegembiraan didefinisikan sebagai satu emosi yang dapat dicirikan dengan perasaan keseronokan dan kepuasan. Saya faham bahawa sekiranya seseorang itu berasa seronok dan puas ia dikatakan sedang gembira atau bahagia. Saya amat bersetuju dengan makna tersebut, apabila di fikir kembali setiap perkara yang saya lakukan sekiranya mendatangkan perasaan puas hati dan seronok, saya pasti akan gembira dan bahagia. Penting bagi saya di sini ialah puas hati (satisfaction).Setiap usaha yang saya lakukan itu menghasilkan kesan yang berbaloi seperti puas hati, itu menjadikan saya gembira.
Aristotle mengatakan ' happiness is successful pursuit of pleasure' dan Plato menyebut 'source of happiness is virtuous life'. Maknanya yang saya faham ialah kebahagian itu dapat dimiliki sekiranya kita berjaya dapat apa yang kita kehendaki. Saya merasakan sekiranya saya dapat memberikan kegembiraan kepada kedua-dua ibu bapa saya ia merupakan satu kebahagian bagi saya seumur hidup. Kehendak tersebut menjadikan saya seorang yang kuat dan berusaha sedaya upaya untuk menggapainya Kebahagian itu tidak datang bergolek, bagi saya kadang-kadang memerlukan usaha diri sendiri bagi mewujudkan dan memperolehinya. Saya juga menyokong definisi Plato yang mengatakan sumber bagi kebahagiaan ialah kehidupan yang berakhlak mulia. Sekiranya seseorang itu berakhlak mulia, ini bermakna pasti juga dia menjalani kehidupan yang mengamalkan amalan-amalan positif, mengambil sesuatu itu dengan hati terbuka dan menukarkan yang negatif kepada jalan yang positif. Saya mempunyai seorang rakan sebegitu. Dia menjalani kehidupannya dengan tenang dan terbukti hasilnya memang positif. Dia sentiasa menerima sesuatu itu denganbaik dan menghadapinya dengan cara yang terbaik tanpa mengeluh. Dia juga banyak mengamalkan amalan yang mulia dan saya jadikan sebagai contoh seperti percakapannya.
Saya percaya bahawa setiap populasi yang berlainan menunjukkan tahap kebahagian yang berlainan. Hal ini mungkin kerana faktor ekonomi atau sikap yang dibentuk dalam populasi tersebut. Berdasarkan kajian tentang kebahagiaan yang dijalankan oleh Veehoven,1995-menujukkan kebahagiaan berbeza dari satu negara dengan negara yang lain. Diener et al,1995 juga mengkaji bahawa orang Asia kurang 'self happiness' berbanding dengan bangsa yang lain. Selain itu, ada dinyatakan juga bahawa orang yang boleh mengawal hidupnya dengan baik dikatakan lebih bahagia dan gembira. Orang yang bahagia mempunyai pengawalan hidup yang baik. Hal ini kerana mereka mempunyai tahap kemahiran mengendalikan masalah yang tinggi. Oleh itu, setiap masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan tenang dan mudah tanpa memberi kesan yang buruk terhadap diri dan sekeliling. Saya sangat bersetuju terhadap kenyataan tersebut sebagai contoh diri saya. Saya mengaku bahawa diri ini penuh kelemahan terutama dalam menyelesaikan masalah. Kebanyakan masalah yang saya hadapi saya hanya memendam dan ia menjadikan saya seorang yang agak pemarah dan sensitif terhadap sesuatu. Oleh itu, terus terang saya nyatakan bahawa saya teringin capa tahap kebahagian yang maksimum tetapi kerana unsur-unsur luar yang tertentu menjadikan saya lebih pendiam dan kadang-kadang tidak boleh mengawal emosi saya sendiri. Pemikiran yang kritikal dan positif perlu dalam menyelesaikan apa pun masalah. Setiap keputusan yang diambil mesti menitik beratkan setiap faktor yang ada.
Kebahagian boleh dibahagikan 2 iaitu long term dan short term. Long term bermakna dari segi latar belakang seseorang itu. Latar belakang dirinya yang menjalani keadaan emosi yang stabil secara berterusan dari masa kecil hingga sekarang. Hal ini menunjukkan latar belakang seseorang memainkan peranan penting dalam mewujudkan kebahagian. Bukan itu sahaja, saya berpendapat bahawa latar belakang mempengaruhi pembentukan emosi  seseorang. Sejarah atau perkembangan hidup seseorang sama ada dipengaruhi nilai-nilai murni atau sebaliknya membentuk peribadinya. Sort term pula berdasarkan peristiwa-peristiwa yang baru berlaku dalam hidup seperti mendapat bayi. Kebahagian yang sebenar ialah apabila long term tambah short term kebahagian. Freud menyatakan bahawa hubungan kita dengan ibu bapa semasa kecil amat penting bagi menentukan kebahagian dan pentafsiran. Selain itu, terdapat juga faktor-faktor yang lain seperti kesihatan, persahabatan, kerja, rekreasi dan penghayatan agama yang boleh mempengaruhi kebahagian dan kegembiraan seseorang. Secara logiknya sekiranya kita mempunyai tubuh badan yang sihat pasti kita akan bahagia. Hal ini kerana ketika sihat badan kita tidak terhad dalam melakukan pelbagai aktiviti. Saya selalu terfikir apabila saya demam, saya sentiasa mengharapkan cepat pulih dan sentiasa berfikir saat ketika sihat, bahagianya.
Saya merasakan agama amat penting dalam membentuk nilai rohani. Saya percaya bahawa sekiranya menghadapi masalah saya akan mengembalikan kembali diri saya kepada Allah SWT bagi meminta ketenangan dan hajat sesuatu. Doa merupakan senjata bagi umat Islam. Kelebihannya di situ, dalam keadaan apa sekalipun kadang-kadang tiada tempat yang boleh mengharap pertolongan selain-Nya. Oleh itu, dengan mengingati-Nya saya dapat rasakan ketenangan yang amat bahagia, ada-Nya yang sentiasa melindungi saya. Ia menjadikan saya kurang sedih dan stress. Selain bahagia dan gembira, element lain yang penting dalam kehidupan ialah kasih sayang. Kasih sayang kata lainnya ialah cinta. Cinta dan suka adalah dua perkara yang berbeza. Cinta perlu ada kepercayaan, ambil berat dan ikatan. Selain itu, 3 perkara yang membentuk cinta ialah commitment, passion dan intimacy. Perasaan kasih sayang bagi saya penting bagi mengukuhkan lagi hubungan seperti keluarga dan persahabatan. Kasih sayang membolehkan kita lebih memahami antara satu sama lain. Ia juga menjadikan kita lebih mesra dan mengambil berat terhadap seseorang itu. Contohnya, dalam persahabatan kasih sayang itu menjadikan ikatan itu kukuh. Bagi mewujudkan kasih sayang, perlu adanya kepercayaan.
Secara kesimpulannya, kebahagian itu tidak boleh diukur dengan kemewahan atau status seseorang. Bahagia, gembira dan kasih sayang sentiasa berkait rapat dalam kehidupan seseorang untuk memilikinya bergantung pada kemahuan dan tujuan yang dipilih. Kita sentiasa boleh membuat pilihan sama ada bahagia atau sebaliknya sebagai jawapan. Mengamalkan nilai-nilai positif akan membentuk emosi  yang juga positif.  

No comments:

Post a Comment