Monday, August 8, 2011

Lim Wei Kuan A131736 Kebahagiaan

Lim Wei Kuan     A131736               Kebahagiaan

Salam sejahtera kepada Dr. Zamri dan semua sahabatku. Ini merupakan jurnal kedua saya dalam khusus Pengurusan Emosi. Pada 3 Ogos 2011 saya telah menghadiri kuliah ketiga khusus ini. Seperti biasa saya berasa bersemangat untuk menghadiri kuliah ini kerana khusus ini telah mengajar saya benda yang berlainan dari buku perubatan dan pengetahuan ini sangat berguna dalam kehidupan harian kita.

Sebelum bermula kuliah pensyarah memberi taklimat kepada semua pelajar tentang cara penghantaran jurnal dan cara untuk mengatasi masalah teknikal. Selepas itu bermulanya kuliah hari itu dengan teori "Izard Innate Facial Expression". Teori ini mengatakan bahawa ekspresi muka kita adalah kebolehan semula jadi. Maknanya kita boleh menunjukkan perasaan kita dalam pelbagai emosi tanpa diajar. Saya bersetuju dengan teori ini sebeb dalam bayi yang baru berumur beberapa bulan sudah boleh bersenyum dan menangis untuk menunjukkan emosinya dan tingkah lakunya tidak diajarkan oleh ibu atau bapa pun. Contohnya, apabila bayi itu berasa lapar atau berasa takut apabila didukung oleh orang yang tidak dikenali, dia akan menangis supaya memberitahu ketidakpuasannya. Selain itu dalam kuliah ternyata tentang kajian Ekman di negara-negara seperti US, Brazil, Chile, Argentina dan Jepun. Kajian ini dijalankan untuk membuktikan adakah semua orang di tempat lain mempunyai persefahaman yang sama tentang emosi yang ditunjukkan dari muka dan kesimpulannya walaupun terdapat sedikit perbezaan dalam persefahaman antara bangsa negara lain tetapi kebanyakan emosi mendapat persetujuan yang serentak. Ini membuktikan bahawa emosi ini adalah berasal dari dalam manusia ini dan mempunyai ekspresi emosi yang sama walaupun berbeza bangsa.

Seterusnya ialah teori pembelajaran dan pengalaman yang mengatakan bagaimana pembelajaran dan pengalaman kehidupan kita mempengaruhi emosi kita. Teori pembelajaran ini mengatakan walaupun emosi itu berasal dari badan kita secara semula jadi, ekspresi emosi boleh diajar dan belajar supaya emosi ini boleh dipaparkan dalam pelagai cara. Contohnya dalam parti harijadi, semua peserta berasa gembira. Walaubagaimanapun cara mereka menunjukkan kegembiraan mereka berbeza antara satu sama lain. Ada yang bergelak kuat dan ada yang bersenyum kerana mereka dipengaruhi oleh persekitaran yang berbeza dan cara menunjukkan emosi juga berbeza. Teori pengalaman mengulaskan emosi boleh dipengaruhi oleh pengalaman yang berlaku pada diri sendiri. Setelah kita mempunyai pengalaman tentang sesuatu perkara, kita akan mempunyai ingatan tentang perkara itu dan boleh memaparkan emosi tertentu apabila menghadapi perkara tersebut lagi. Contoh dalam sendiri saya ialah sebelum digigit oleh ular saya tidak berasa takut padanya. Selepas saya digigit oleh ular itu kaki saya sangat sakit dan panas. Pengalaman ini telah diukir dalam ingatan saya dan selepas itu apabila saya ternampak gambar ular saya akan berasa takut disebabkan pengalaman itu.

Sebelum sambungan kuliah tajuk ketiga pensyarah memberi kami quiz berkaitan dengan kuliah minggu lepas. Dalam quiz itu terdapat 20 soalan dan saya mendapat 13 soalan betul. Saya berasa melalui penulisan jurnal pertama saya boleh ingat konteks kuliah pertama itu dan juga berasa betapa gunanya penulisan jurnal. Walaubagaimanapun nampaknya saya kena lebih menumpukan perhatian dalam kuliah supaya boleh ingat ajaran pensyarah dan mendapat markah yang lebih tinggi dalam quiz seterusnya.

Tajuk ketiga dalam kuliah adalah "Emosi Positif: Gembira, Bahagia, dan Kasih". Pada pendapat saya emosi positif ialah emosi yang boleh menggembirakan seseorang dari segi positif. Dari kuliah yang saya hadiri, faktor yang boleh menentu kegembiraan seseorang boleh dibahagi kepada dua faktor berdasarkan kesan jangka panjang dan kesan jangka pendek (Komza et al, 1992). Contoh kesan jangka panjang ialah dari keadaan dan persekitaran seseorang dilahirkan. Misalnya kanak-kanak yang dilahirkan di keluarga yang sempurna dan status ekonomi yang baik akan mendapat jagaan ibubapa mereka dan menjadi lebih bahagia berbanding dengan kanak-kanak yang berasal dari keluarga yang porak peranda. Pada pendapat saya kesan jangka panjang ini lebih mempengaruhi seseorang kerana mereka meluangkan masa yang lebih di tempat yang sama seperti rumah dan orang yang sama seperti ibubapa. Malangnya kita tidak boleh memilih ibubapa kita dan jikalau kita dilahirkan di keadaan yang tidak begitu baik, contohnya di tempat peperangan atau di negara miskin, kita perlulah menerima nasib kita dan cuba sedaya upaya untuk mengubah nasib kita dan seterusnya menghasilkan hidup yang bahagia. Pada kesan jangka pendek pula, kegembiraan itu boleh berasal dari satu perkara. Contohnya apabila saya mendapat keputusan yang baik saya berasa gembira. Kedua-dua faktor  ini boleh bergabung dan mempengaruhi kegembiraan seseorang. Dalam kajian yang dilakukan oleh Argyle pada tahun 1987, kebanyakan orang berasa bahagia apabila mereka jatuh cinta, seterusnya dengan mendapat keputusan cemerlang dan sembuh dari penyakit parah.

Selain daripada faktor yang disebutkan tadi, perkahwinan dan keagamaan juga boleh membolehkan seseorang berasa bahagia. Vanfossen, 1981, mengatakan perkahwinan boleh membawa kebahagiaan kepada pihak lelaki dan wanita. Pada tahun yang sama juga, Veroff menjalankan satu kajian tentang perkahwinan dan kebahagiaan. Keputusan menunjukkan lebih banyak lelaki dan wanita berasa bahagia setelah mereka berkahwin. Saya tidak dapat memberi pendapat yang banyak tentang ini kerana saya belum berkahwin tetapi saya rasa orang yang berkahwin akan berasa lebih bahagia daripada yang tidak berkahwin. Dari faktor penghayatan agama pula, Gallup dan Keith Ward menunjukkan orang yang beragama akan lebih bahagia daripada orang yang tiada agama. Mereka yang beragama akan berasa lebih gembira, lebih mempunyai harga diri, dan stress yang lebih kurang daripada orang yang tidak beragama.

Pada pendapat saya kebahagiaan ini sangat abstrak dan tiada satu piawai tertentu untuk mengukur kebahagiaan. Seperti yang dihuraikan di atas, kebahagiaan ini mempunyai faktor yang banyak. Setiap orang juga mempunyai pentafsiran yang tidak sama tentang kebahagiaan. Misalnya ada orang berasa bahagia apabila mendapat gaji yang lumayan. Ada orang berasa bahagia apabila mendapat makanan yang sedap. Disebabkan pentafsiran yang tidak sama antara satu sama lain, orang yang berada dalam keadaan yang sama mungkin mempunyai perasaan bahagia yang berbeza. Selain itu sesetengah kebahagiaan ini tidak dalam bentuk objek dan tidak boleh dibeli atau ditukar dengan orang lain seperti kesihatan, keluarga, kawan dan sebagainya. Walaupun kita boleh berasa bahagia dengan objek yang mahal atau cantik namun kebahagiaan ini tidak boleh dibanding dengan keluarga atau kesihatan.

Setelah kuliah ini saya mempunyai persefahaman yang lebih mendalam tentang kebahagiaan dan kegembiraan. Kebahagiaan ini boleh didapati di mana-mana sahaja dan tidak perlu kita bersusah payah mengejar kebahagiaan. Apabila kita mempunyai makanan apabila kita lapar, atau mempunyai air apabila kita dahaga, bahagianya kita berbanding dengan orang yang kebuluran di negara miskin. Oleh itu saya berharap semua sahabatku boleh menghargai apa-apa sahaja yang terdapat dan menghayati kebahagiaan.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment