Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Pada tanggal 3hb ogos 2011, sekali lagi saya telah menghadiri kuliah zt2253, pengurusan emosi oleh Dr. Ahmad Zamri Mansor. Pada hari ini, saya dapat mempelajari sesuatu yang baru dan saya sekali lagi kuliah hari ini membuatkan saya mengimbas kembali pengalaman-pengalaman lalu yang mempunyai hubung kait dengan kuliah pada hari ini.
Pada permulaan kuliah, Dr Zamri telah menayangkan beberapa video klip yang menyentuh hati apabila seseorang itu benar-benar menghayati lirik dan mesej yang ingin disampaikan oeh Sami Yusuf sehingga boleh menitiskan air mata. Beliau meneruskan kuliah dengan menerangkan beberapa teori baru seperti Izard's theory. Berdasarkan Izard's theory, emosi adalah sesuatu yang semula jadi. Mekanisma neural yang berhubung kait dengan ekspresi muka dan juga persepsi kepada ekspresi itu adalah sesuatu yang semula jadi. Ia merupakan tindak balas kita sendiri tanpa kita sedari dan tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur luaran yang lain. Bagi menyokong teori Izard ini, dua bukti telah diambil kira iaitu salah satunya merupakan perkara yang biasa terjadi kepada semua lebih-lebih lagi kepada pasangan yang baru menimang cahaya mata. Bukti-bukti ini adalah seperti berikut :-
1) 1- Newborn's ' born to smile' studies
2) 2-Cross cultural studies
Teori emosi yang bersifat semula jadi ini dikaitkan dengan bayi kerana keadaan bayi itu sendiri sepanjang tumbesaran. Secara kebiasaannya, seseorang bayi itu akan menangis apabila dia baru sahaja dilahirkan tanpa ada orang yang memarahinya. Selain itu, pada usia 3 atau 4 bulan, bayi tersebut akan melahirkan perasaan marah dan terkejut. Pada usia bayi mencecah 5 atau 6 bulan pula,bayi akan melahirkan perasaan malu dan takut. Seterusnya pada usia bayi 1 tahun, perasaan puas mendapat sesuatu yang dikehendaki akan dilahirkan melalui mimik muka dan akhirnya, bayi akan mula melahirkan perasaan bersalah apabila mencecah umur 2 tahun. Sifat semula jadi bayi inilah yang diambil pakai oleh penyelidik bagi mencari bukti bahawa emosi itu merupakan sesuatu yang semula jadi. Namun begitu, terdapat desas desus kritikan yang mengatakan bahawa ketawa seorang bayi itu tidak menunjukkan bahawa bayi itu sedang dalam keadaan gembira. Mereka mengatakan bahawa kemungkinan tawa bayi itu adalah untuk menutup perasaan bersalah bayi tersebut apabila telah membuat kesalahan dan sebagainya. Kesimpulan daripada 'study' yang dilakukan, tiada konklusi yang dapat dibuat melalui pembuktian ini untuk menyokong teori izard ini.
Satu lagi kajian telah dilakukan oleh Ekman iaitu kajian silang budaya. Melalui kajian ini, wajah dan ekspresi muka manusia telah digunakan sebagai tanda perasaan seseorang itu pada masa sesuatu peristiwa itu berlaku. Baik dalam kalangan yang terpelajar mahupun tidak, mereka dapat mengenal pasti perasaan seseorang itu hanya dengan melihat mimik muka seseorang itu. Sebanyak 37 negara dan 5 benua telah diguna pakai dalam kajian ini yang mempunya cirri-ciri budaya yang berbeza namun hasilnya tetap mengatakan bahawa mimik muka dapat mencerminkan perasaan seseorang itu. Namun, terdapat pengubahsuaian dengan teori yang asal iaitu emosi seseorang itu tidak seratus peratus bersifat semula jadi tetapi juga dipengaruhi oleh budaya tempat seseorang itu dibesarkan. Setelah meneliti teori ini, saya teringat kembali perbezaan budaya yang sungguh nyata antara saya dan seorang rakan yang berasal daripada Colombo. Terdapat sedikit ketegangan emosi yang berlaku apabila perbezaan budaya ini berlaku. Walaupun ia tidak melibatkan mimik muka, tapi lebih kepada gerak kepala apabila mengatakan ya atau tidak. Menurut rakan saya itu, di Colombo, apabila mereka mengatakan 'ya' atau menyetujui sesuatu, mereka akan 'menggeleng' kepala berbeza dengan kebiasaan kita yang akan mengangguk apabila bersetuju dengan sesuatu. Apabila mereka mengatakan 'tidak' atau tidak bersetuju pula, mereka akan 'menganggukkan' kepala berbeza dengan kita yang akan menggelengkan kepala. Perbezaan budaya ini jelas menunjukkan emosi seseorang itu adalah sama namun cirri-ciri budaya seseorang itu membuatkan penzahiran sesuatu emosi itu berlainan. Ini adalah penting kerana kita perlu mengetahui ciri-ciri budaya di sesuatu tempat itu bagi tidak melahirkan perasaan marah apabila terdapat perselisihan faham akibat daripada perbezaan budaya itu sendiri.
Selepas itu, kuliah diteruskan dengan teori yang berkaitan dengan 'learning and experience theory'. Berdasarkan teori ini, sesuatu emosi itu akan lahir apabila seseorang itu belajar sama ada melalui pembacaan, menghadiri kelas atau kuliah dan yang seumpama dengannya. Selain itu juga, teori ini juga mengatakan bahawa emosi itu akan lahir apabila sesorang itu mempunyai pengalaman terhadap sesuatu perkara itu meskipun hanya sekadar mendengar dalam penceritaan. Sebagai contoh, emosi akan timbul apabila seseorang itu belajar sambil membaca dan melihat gambar-gambar yang berkaitan dengan biologi seperti jantung dikaitkan dengan perasaan dan sebagainya. Berdasarkan teori ini juga, emosi seseorang itu dapat dipengaruhi melalui penceritaan atau mendengar berita-berita daripada persekitaran. Contohnya, perasaan takut akan timbul jika seseorang itu mendengar perkataan 'hantu' kerana dahulunya mereka sering ditakutkan dengan keadaan hantu yang teruk atau buruk rupa parasnya jika mereka tidak mengaji dan sebagainya.
Pada kuliah ini juga, saya tertarik dengan satu pertanyaan yang telah dibangkitkan. Pertanyaan yang berbunyi :-
'adakah bahagia itu apabila kita membuat apa yang kita sukai atau adakah dengan membuat apa yang kita sukai, kita akan memperoleh kebahagiaan.'
Soalan ini benar-benar menarik perhatian saya dan saya dapati saya belum dapat lagi menjawab persoalan ini. Namun begitu, daripada hasil pembacaan saya yang lepas, saya ada membaca sabda nabi SAW yang berbunyi :
'4 perkara yang membawa kebahagiaan kepada manusia, iaitu(memiliki) perempuan (isteri) yang solehah, rumah yang bagus (luas), jiran yang baik dan kenderaan yang bagus' (hadis riwayat ibnu Hibban)
Setelah meneliti hadis diatas, dan dikaitkan lagi dengan pertemuan daripada kajian-kajian terkini, perkahwinan itu dapat membawa kepada kebahagiaan seperti yang telah di sabda oleh nabi SAW iaitu dengan memiliki isteri yang solehah. Terbukti juga perkara ini di dalam dewan kuliah, apabila sebut saja tentang perkahwinan, semua pelajar akan tersenyum-senyum seperti berasa gembira di dalam hati.
Dalam kuliah ini juga, saya dapat rumuskan sesuatu yang menarik perhatian saya. Mengikut teori yang mengatakan tentang ekspresi muka merupakan semula jadi, namun kajian telah menunjukkan ekspresi muka berubah mengikut isi hati seseorang dan seseorang itu boleh mengawal ekspresi muka mereka sendiri. Justeru, jika kita melihat seseorang itu tersenyum, tidaklah bermakna dia gembira. Begitu juga jika kita melihat seseorang itu telah menitiskan air mata, bukanlah bermakna dia sedang bersedih. Hal ini dapat dikaitkan dalam hidup ini supaya kita tidak sentiasa mengandaikan sesuatu yang kita tidak pasti. Adalah lebih baik jika kita bertanya walaupun pada hakikatnya soalan itu nampak seperti menjaga tepi kain orang lain, tetapi dalam hidup bermasyarakat ini, kita perlulah saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Justeru, kebahagian itu bukanlah sesuatu yang jelas ternyata tetapi ia merupakan perasaan emosi seseorang yang hanya diketahui oleh individu yang merasai itu sendiri.
No comments:
Post a Comment