Terima Kasih Kepada Dr Zamri yang cukup sabar dan tabah dalam menyampaikan kuliah sehingga sekarang. Pendedahan tentang emosi melalui pelbagai jenis teori yang berkesinambungan cukup menarik bagi saya. Tanpa saya sedari, saya telah banyak menggunakan kaedah mengaplikasikan sebahagian besar konsep konsep yang diutarakan oleh setiap teori dalam kehidupan seharian. Kuliah yang ke empat ini lebih sesuai sekiranya saya judulkan sebagai Teori Solomon lanjutan kepada Teori Aras Adaptasi.
Terlebih dahulu saya berminat untuk menyentuh secara kasar tentang Teori Aras Adaptasi. Konsep asas yang diletakkan untuk memahami teori ini adalah kita bertindak balas terhadap stimuli yang diransangkan oleh perubahan perksekitaran atau keadaan dengan cara penyesuaian sesuai dengan tahap adaptasi seseorang. Konsep ini boleh saya kaitkan dengan pengalaman saya ketika mula masuk jurusan perubatan di UKM. Pada mulanya, kegagalan dalam peperiksaan merupakan sesuatu yang tidak normal untuk dialami serta sangat menghantui hari hari yang terdekat. Tetapi lama kelamaan kegagalan dalam peperiksaan ini menjadi satu perkara biasa yang tidak lagi perlu ditangani lagi dari sudut emosi. Bak kata pepatah melayu, alah bisa tegal biasa. Ini adalah yang dimaksudkan dengan adaptasi atau dalam istilah lain berbunyi penyesuaian terhadap sesuatu yang baru. Kegagalan sebenarnya bukanlah dikira sebagai stimuli, tetapi pencetus atau peransang kepada stimuli. Merujuk kepada keadaan ini, stimuli yang dimaksudkan adalah tekanan dan apabila stimuli ini diterima oleh salah satu atau lebih deria rasa kita maka akan terjadilah apa yang dikatakan perasaan tertekan. Stimuli ini akan diproses dan sebahagiannya akan disimpan sebagai ingatan di dalam otak. Ini kemudianya akan membolehkan fizikal dan mental kita menjadi lebih bersedia untuk berdepan dengan stimuli yang sama di masa akan datang. Kesimpulannya, stimuli inilah yang penting kerana boleh jadi pencetus yang sama meransangkan stimuli yang berbeza. Maka apabila saya menganalisis lebih lanjut mengenai proses bagaimana stimuli ini dihasilkan dan apa yang akan berlaku selepasnya, saya dapati bukan kegagalan dalam peperiksaan yang saya takuti tetapi apa yang akan berlaku kepada saya sekiranya gagal itulah yang saya takuti. Hipotesisnya stimuli yang baik mendatangkan kebaikan dan stimuli yang buruk akan mendatangkan kemudaratan.
Pengajaran yang menarik perhatiaan saya dalam kuliah yang ke empat oleh Dr Zamri adalah berkenaan dengan teori Solomon.Teori Solomon ini adalah hasil daripada pengubahsuaian terhadap Teori Aras Adaptasi yang telah saya ulaskan di atas. Richard Solomon (1980), pencipta teori ini menamakan teorinya sebagai Teori Proses Lawan Solomon (Solomon Opponent Process Theory). Beliau mengambil kira ketagihan sebagai tingkah laku dalam model psikologi yang dicadangkan beliau sendiri. Menurutnya, keseimbangan emosi menuju ke arah titik neutral atau optimum baik dalam jangka masa panjang ataupun dalam jangka masa pendek. Teori ini mempunyai banyak persamaan dengan dimensi polariti yang diasaskan oleh Plutchik di dalam ideanya yang bertajuk Dimensi emosi Plutchik (Plutchik's dimensions of emotion). Perihal teori Plutchik ini telah saya jelaskan dengan teliti di dalam journal saya yang kedua. Maka seperti dimensi polariti, teori solomon menjelaskan bahawa tiap tiap emosi akan menyebabkan emosi yang sebaliknya berlaku. Sebagai contoh yang paling mudah untuk mengulas lebih tepat mengenai teori solomon ini, setiap watak putih pasti ada watak hitam sebagai pesaing dan rintangan antara satu dengan yang lain. Sekiranya watak putih dalam sesuatu cerita disifatkan sebagai baik, maka lawannya adalah sifat yang jahat dan peranan ini dimainkan oleh watak hitam. Begitu juga dengan emosi. Sekiranya seseorang itu mengalami emosi benci, maka lawannya adalah emosi suka. Keseimbangan emosi ini ke arah optimum akan menghasilkan individu yang tidak cenderung kepada salah satu emosi. Apabila seseorang didominasikan oleh emosi tertentu, maka emosi sebagai lawannya akan tumpas. Inilah apa yang ingin disampaikan oleh Teori Solomon ini. Sebagai kontradiksi kepada teori ini, dimensi polariti tidak menerangkan tentang keseimbangan dua emosi yang berlawanan. Inilah kelebihan yang diagungkan oleh Solomon.
Berkisarkan dengan definisi dari sudut bahasa teori Solomon ini, beliau pernah menyentuh tentang 'ketagihah' dalam model psikologinya. Jadi apakah yang dimaksudkan dengan ketagihan ini? Kefahaman saya yang sangat cetek mengenainya telah menjadi titik tolak bagi saya untuk berusaha memahami lebih lanjut serta tepat mengenai model psikologi ini. Model ini mengambil kira dua peringkat utama iaitu peringkat pertama dan peringkat lawan. Peringkat pertama adalah peringkat awal pendedahan dan sebahagian besarnya mempunyai impak yang sangat drastik. Peringkat lawan pula merujuk kepada impak yang semakin berkurangan kesan daripada pengambil alihan secara perlahan oleh sifat yang berlawanan kepada impak tersebut. Melalui bacaan saya, Solomon menggunakan dadah sebagai contoh bagi penjelasan beliau. Menurutnya, kesan dadah akan berkurangan dari masa ke semasa sekiranya diambil berulang kali. Beliau menganalisis perihal perilaku penagih dadah ini pada awalnya dikuasai oleh kesan dadah. Namun lama kelamaan kesannya berkurangan akibat toleransi dadah semakin hilang kesan terhadap tubuh badan seseorang, yang tinggal cumalah keinginan yang sangat kuat terhadap kesan dadah seperti pertama kali diambil. Inilah yang dinamakan ketagihan dan seseorang itu akan tetap mencari kepuasan daripada dadah setelah lawannya semakin menguasai kedudukan. Melalui analisis hal hal seperti penagih dadah ini muncullah idea peringkat pertama dan peringkat lawan. Maka Solomon beranggapan proses yang berlaku ada persamaannya dengan emosi. Sekiranya seseorang itu mencintai seseorang, lama kelamaan akan kurang cintanya kerana lawan kepada sifat cinta ini semakin menguasai kondisi seseorang. Tetapi ini tidak benar dalam sesetengah keadaan iaitu sekiranya ada kuasa lain yang menguasai dan menjaga keadaan seseorang itu daripada dikuasai oleh sifat lawannya seperti niat. Iaitu dalam hal ini, kahwin yang berpandukan syariat Islam dan bukan kerana nafsu. Namun, saya sangat kagum dengan idea yang diutarakan oleh Solomon ini kerana beliau bukan sahaja mengaitkan ketagihan dengan emosi, bahkan mengaitkan sistem adaptasi dengan emosi yang berlawanan polaritinya serta seterusnya berjaya menerangkan keseimbangan emosi dengan menarik.
Sebagai pengakhiran jurnal saya ini, apa yang boleh saya simpulkan mengenai Teori Solomon ini adalah mengulangi pengalaman emosi dapat meningkatkan kekuatan relatif emosi yang berlawan. Kepentingan pengajaran ini bagi saya adalah tidak semua peringkat awal emosi dikuasai oleh sifat negatif dan diakhiri dengan penerimaan yang bersifat positif, tetapi sebaliknya juga boleh terjadi. Andai kata peringkat awal emosi dikuasai oleh sifat yang positif seperti berani, maka saya harus bersedia untuk menghadapi sifat lawannya iaitu negatif. Melalui pemahaman mengenai wujudnya keseimbangan emosi seperti yang dijelaskan oleh Solomon dalam teorinya, tidak mustahil satu hari kelak akan membuahkan sedikit ilham bagi saya untuk menghalang sifat lawan menguasai emosi peringkat awal. Mudah mudahan ada lagi lanjutan tentang Teori Solomon ini yang berkisar tentang bagaimana untuk mengatasi emosi lawan.
No comments:
Post a Comment