Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Ini merupakan entri jurnal ketiga saya setelah menghadiri kuliah pada 10 Ogos 2011 yang lalu. Tajuk kuliah pada kali ini adalah bertentangan dengan tajuk kuliah minggu lalu, yakni Emosi Negatif iaitu takut, malu, sedih dan marah. Emosi-emosi ini adalah berlawanan bagi emosi yang dipelajari minggu lalu iaitu gembira, bahagia, dan kasih. Emosi seperti takut, malu, sedih dan marah adalah emosi yang normal walaupun ianya negative. Seseorang pasti mengalami perasaan sebegini dalam kehidupan sehariannya.
Pertama sekali, perasaan takut adalah respon emosi kepada sesuatu yang mendatangkan kemudaratan dan merbahaya yang dipercayai boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri seseorang itu. Ia berkait rapat dengan kerisauan. Takut adalah mekanisma untuk bertarung dan bertahan, dimana ia biasanya distimulasi oleh sesuatu yang negatif. Perasaan takut juga boleh timbul daripada kejadian yang mengakibatkan trauma dan fobia pada seseorang. Contohnya, rakan saya pernah jatuh lemas seketika ke dalam sungai sewaktu masih kecil. Sehingga kini, dia masih fobia untuk mandi sungai. Ini boleh dinamakan 'hydrophobia'. Akibat satu kejadian lalu, ia memberi impak terkesan dalam hidup seseorang itu. Perasaan takut ini boleh diekspresi dalam pelbagai cara dan gaya. Komponen yang biasa ditonjolkan sewaktu takut adalah membuka mata seluas-luasnya dengan perasaan gerun, pupils mata juga akan mengembang, bibir atas terangkat, kening ke dalam dan bibir ke arah melintang. Dalam mengalami ketakutan, seseorang itu akan melalui pelbagai peringkat perasaan. Kebiasaannya orang takut akan menggelabah dan tidak terurus. Ini semua adalah disebabkan oleh adrenaline yang dihasilkan dan tersebar ke seluruh salur darah dalam badan. Saya yakin setiap daripada kita pernah mengalami perasaan takut, sama ada kepada ular, bertemu binatang buas, menonton cerita seram dan pelbagai factor lagi yang menimbulkan emosi universal ini.
Kemudian, beralih kepada emosi malu pula. Emosi malu adalah perasaan yang tidak menyenangkan yang dialami apabila sesuatu tindakan professional atau social yang tidak dapat diterima. Kebiasaannya kehormatan dan maruah akan terlibat sama tetapi ia bergantung kepada keadaan yang dialami itu. Emosi malu sering dikaitkan dengan segan. Akan tetapi, segan lebih bersifat kendiri. Malu adalah disebabkan sesuatu yang dilakukan tidak dapat diterima oleh masyarakat social dan perkara tersebut salah. Contohnya seseorang yang tersalah pakai kasut. Terdapat dua jenis emosi malu iaitu personal dan professional. Malu personal adalah sesuatu silap yang dilakukan dan menyebabkan perhatian yang tidak sepatutnya. Punca malu boleh disebabkan oleh tindakan seseorang itu sendiri. Sebagai contoh, apabila seseorang itu menipu dan akhirnya terbongkar. Orang itu semestinya akan berasa malu. Emosi malu biasanya diiringi dengan respon seperti tersipu-sipu, berpeluh, gementar, tergagap-gagap dan gelisah. Terdapat sesetengah orang apabila malu, dia cuba untuk melindungnya dengan senyum dan ketawa kecil gementar. Malu professional pula adalah terutamanya apabila penyataan meluahkan confident dalam sesuatu tindakan. Malu juga disebabkan tidak dapat menjalankan tugas, lalu beremosi malu. Contoh yang paling mudah adalah artis. Artis akan berasa malu apabila sesuatu rahsia peribadinya terbongkar dan memberi implikasi pada kerjayanya.
Gelisah, murung, muram. Ragam-ragam ini dapat melambangkan kesedihan. Sedih. Apa itu sedih? Sedih adalah suatu emosi yang menunjukkan tidak ceria dan tidak membawa keuntungan dan perasaan kehilangan. Emosi sedih yang terlampau boleh membawa kepada kemurungan, dimana pakar diperlukan untuk merawatnya. Kebiasaannya orang yang sedih hanya senyap, tidak bertenaga, dan menyendiri. Orang yang sedih tidak berkeinginan untuk keluar dan tidak active, apatah lagi bersosial dengan orang lain. Tanda-tanda orang yang sedang beremosi sedih adalah orang itu akan menundukkan kepala, badan membongkok, bibir keluar, dan aktiviti fizikal yang lemah dan perlahan. Kesedihan adalah berlawanan dengan kegembiraan. Terdapat satu kajian pada 1992,1994 oleh Forgas yang mengatakan bahawa orang yang gembira dapat memproses maklumat dalam jangka masa yang pendek dan efisien serta lebih logic berbanding orang yang sedih. Kemampuan untuk memproses maklumat bergantung kepada mood seseorang. Ini benar sekali kerana saya sendiri dapat merasakannya. Ketika saya sedih, saya tidak dapat belajar dan proses maklumat dengan lambat berbanding ketika saya sedang gembira. Terdapat lagi kajian yang mengatakan bahawa orang yang dapat mengenali emosi yang diekspresi, mereka akan rasa karaktor tambahan pada orang yang mengekspresi emosi itu. Ini dikenali sebagai 'Halo Effect'. Contohnya orang yang sedih mungkin pendiam dan dianggap lemah serta tidak berkebolehan. Orang yang gembira pula boleh membuatkan orang sekeliling menjadi gembira juga dan dianggap seorang yang periang dan ceria. Orang yang marah pula dianggap berkuasa.
Petikan daripada Al-Quran, "Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat." (Surah al-Araaf, ayat 204)
Mendengar bacaan al-Quran dengan baik, dapat menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras serta mendatangkan petunjuk.
Marah adalah sifat semula jadi yang ada pada semua orang, antara mereka ada yang cepat marah dan ada yang lemah lembut. Marah bukan suatu sifat yang boleh dibuat serta merta, malah ia biasanya didahului sesuatu yang boleh menyebabkan seseorang itu marah, perasaannya memberontak dan akan bertindak kasar. Seseorang yang sedang marah akan hilang kewarasan fikirannya. Pertimbangannya sudah hilang, lidahnya asyik memaki hamun dan mengejek-ejek. Kadang-kadang perasaan marah berlanjutan sehingga menimbulkan permusuhan antara keluarga dan sahabat handai, dan lebih aneh lagi ada orang boleh berkelahi dengan benda-benda yang tidak berakal. Neurosains telah menunjukkan bahawa emosi dihasilkan daripada dua 'almong-shaped'struktur di dalam otak yang dikenali sebagai amygdala. Amygdala berperanan dalam mengenalpasti ancaman dan member respon terhadap perkara tersebut lalu bertindak menggunakan anggota badan. Reaksi amygdale menybabkan otot-otot badan menegang. Dalam otak, suatu bahan kimia yang dikenali sebagai catecholamines dilepaskan, menyebabkan peningkatan tenaga yang bertahan selama beberapa minit. Kadar degupan jantung meningkat, tekanan darah meningkat dan kadar pernafasan juga meningkat. Muka mungkin menjadi merah padam oleh kerana aliran darah yang meningkat, menembusi anggota badan dalam bersiap sedia untuk bertindak. Dalam jangka masa yang pendek, hormone dan sebagainya dilepaskan seperti adrenaline dan noradrenaline.
Walaubagaimanapun emosi marah ini perlu dikawal. Ini adalah langkah-langkah yang dapat mengawal kemarahan.
Langkah 1- Mengakui hakikat bahawa kita berada dalam keadaan marah.
Langkah 2- Menilai samada situasi ini sesuai untuk kita meluahkan kemarahan atau tidak.
Langkah 3- Sekiranya dirasa sesuai untuk meluahkan kemarahan tersebut, nilaikan adakah kita perlu menggunakan pendekatan secara langsung atau tidak langsung.
Langkah 4- Setelah bertindak, imbas kembali apa yang telah dialami dan tindakan untuk tujuan membaiki diri.
Kita hendaklah melatih diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, lemah lembut, berhati-hati dalam membuat keputusan. Sifat ini hendaklah berpandu kepada contoh yang paling baik iaitu contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w terutamanya contoh yang terdapat dalam Sunnahnya yang bersifat amali. Hendaklah mengawal dan menguasai diri ketika didatangi perasaan marah, iaitu dengan mengingati akibat buruk yang akan menimpa dan kelebihan pahala orang yang menahan marah serta memaafkan sahaja seseorang melakukan kesalahan yang menyebabkan dia marah, firman Allah S.W.T: "…Dan orang yang menahan kemarahan-nya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Ali Imran3-134)
Kita juga dinasihatkan untuk meninggalkan tempat yang menyebabkan kita marah. Sabda Baginda: "Apabila seseorang kamu marah, sedang dia berdiri, maka duduklah, jika marahnya berhenti (maka baiklah) jika belum, maka hendaklah dia berbaring." (Abu Daud)
No comments:
Post a Comment