Salam sejahtera,
Minggu ini merupakan kuliah yang ketiga bagi Kursus Pengurusan Emosi . Pada kuliah kali ini diterangkan tentang emosi negatif, yang mana merupakan kesinambungan daripada kuliah yang lepas iaitu emosi positif. Sebelum saya meneruskan pengarangan ini, saya ingin luahkan serba sedikit perasaan saya terhadap kuliah kali ini. Saya berasa sangat bertuah kerana saya berpeluang mendengar syarahan lagi daripada pensyarah kita iaitu, Dr Zamri. Saya berkata demikian kerana beliau merupakan seorang pensyarah yang tidak kedekut memberi nasihat serta suka membuat lawak. Saya sangat terhibur disepanjang sesi pembelajaran beliau.
Sebelum kuliah dimulakan, beliau telah menayangkan sebuah lagu yang bertajuk "ummi,ummi'.Selepas saya mendengar lagu tersebut, saya mendapat lebih kesedaran yang apa jua kita lakukan,selalu ingatkan ibu dan ayah supaya apa yang kita lakukan itu tidak menimpa apa-apa perkara yang tidak diingini.
Pelbagai emosi atau perasaan telah dikurniakan daripada Allah S.W.T. kepada manusia. Remaja sebagai manusia biasa juga tidak terkecuali daripada merasai emosi-emosi tersebut. Antara emosi yang wujud dalam manusia adalah seperti marah, takut, rasa bersalah, murung, sedih, meluat, dukacita, tidak berharga, memberi maaf dan sebagainya. Apa yang penting adalah mengenal pasti cara anda menunjukkan emosi yang negatif kerana emosi jenis ini selalu membawa kepada keburukan. Melalui pembacaan saya, emosi penting untuk manusia kerana ia dapat membantu dan mempermudahkan manusia dalam kehidupan di dunia ini. Antaranya :
o Kelangsungan hidup- Emosi merupakan anugerah Allah sebagai sistem kawalan dalaman yang menyelamatkan kita dari bahaya. Misalnya, apabila berjumpa harimau kita akan menunjukkan emosi takut dan dengan itu kita akan memikirkan cara untuk menyelamatkan diri.
o Membuat keputusan- Emosi juga menolong kita membuat keputusan kerana ia merupakan sumber informasi yang penting. Kajian menunjukkan jika perhubungan emosi seseorang di dalam otak telah rosak, dia tidak dapat membuat keputusan walaupun keputusan yang mudah. Ini kerana dia tidak tahu perasaannya terhadap pilihan yang telah dibuat.
o Menentukan sempadan dalam perhubungan- Apabila kita merasa tidak tenteram dengan tingkah laku seseorang emosi akan menyedarkan kita. Dengan itu kita akan menunjukkan perasaan tidak suka dan dapat menolong menentukan sempadan di samping menghadkan perhubungan agar fizikal dan mental sentiasa terjaga.
o Komonikasi- Emosi juga membantu kita berkomunikasi dengan orang lain. Ekpresi muka kita dapat menunjukkan pelbagai macam emosi.
o Kegembiraan- Apabila gembira kita akan berasa tenang. Jika kita dapat mengenal pasti emosi dengan lebih baik maka lebih mudah bagi kita untuk menentukan apa yang diperlukan untuk merasa gembira.
o Kesatuan- Emosi adalah universal. Emosi seperti simpati, kasihan, memaafkan dan bekerjasama dapat membantu menyatukan manusia.
o Mengurus emosi negatif- Untuk memperolehi emosi yang sihat kita perlu mengurus emosi yang negatif. Langkah pertama mengenal pasti emosi yang dirasai dan tanyakan diri kita adakah perasaan itu baik atau tidak. Seterusnya tanyakan bagaimana menjadikan perasaan itu lebih baik. Ini akan menolong pemikiran kita ke arah yang lebih positif.
Secara teorinya pula, terdapat empat emosi negatif, iaitu takut, malu, sedih dan marah. Pertama, perasaan takut ini timbul disebabkan dua benda iaitu takut terhadap sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku ataupun takut menghadapi sesuatu ujian dan berasa tidak yakin dengan apa yang hendak dilakukan. Sebagai contoh, trauma dan dikejar oleh oleh orang yang tidak dikenali telah dapat mewujudkan perasaan takut.( Claustrophobia atau hydrophobia). Selain itu,perasaan takut juga timbul apabila kita melakukan sesuatu seperti membuat pembentangan di khalayak ramai seperti apa yang berlaku pada saya pada hari pertama saya menghadiri kuliah ZT ini. Apa yang timbul di fikiran saya ialah apa orang akan fikirkan terhadap pembentangan yang saya lakukan,adakah teruk? Kadangkala saya tak tahan dengan tohmohan orang terhadap pembentangan yang saya lakukan.Disebabkan perkara ini selalu menghantui diri saya,saya menjadi kurang yakin, takut,malu dengan apa yang saya lakukan.Tetapi setelah saya menghadiri kuliah ini beberapa kali, ketakutan saya telah hilang sedikit demi sedikit tambahan pula dengan segala nasihat bernas yang diberikan oleh Dr.Zamri sedikit sebanyak membantu diri saya.
Seteruskan kita akan bercerita sedikit tentang emosi malu.Saya pasti emosi malu ini akan dialami oleh setiap individu dalam kehidupan harian mereka tanpa disedari oleh mereka sendiri. Malu adalah satu perasaan negatif yang timbul dalam diri seseorang akibat daripada kesedaran diri mengenai perlakuan tidak senonoh yang dilakukan oleh dirinya sendiri. Setiap orang yang normal mempunyai perasaan malu. Tetapi setiap masyarakat mempunyai pandangan yang berbeza mengenai malu. Sehubungan itu, pendapat mengenai apa yang dimaksudkan malu, apa yang mendatangkan malu serta tindakan yang harus untuk mengatasi perasaan malu berbeza-beza dari satu masyarakat ke satu masyarakat yang lain. Ini adalah kerana dalam konsep malu dan segan ini sebenarnya terkandung satu sisitem nilai dan kepercayaan sesebuah masyarakat itu. Perasaan malu ini dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu perasaan malu secara persendirian atau perasaan malu professional. Perasaan malu bersifat persendirian atau personal selalunya berlaku apabila perhatian orang lain bertumpu kepada hal-hal peribadi seseorang itu. Perasaan malu persendirian biasanya diekspresikan dengan beberapa reaksi seperti tersipu- sipu, berpeluh, gementar, tergagap- gagap dan gelisah. Sebagai langkah protektif sesetengah orang akan cuba melindungi perasaan malu mereka dengan ketawa atau senyuman terutamanya di situasi etika.Sebagai contoh sekiranya anda telah terjatuh daripada tangga semasa berlari dan insiden ini telah dilihat oleh orang lain.Anda mungkin akan berasa segan yang teramat dan mula ketawa atau berlari dari tempat kejadiaan.Manakala perasaan malu berprofesional adalah keadaan yang memalukan apabila seseorang itu memberi maklumat salah ketika sedang bekerja, gagal menjalankan kerja dengan baik dan apa sahaja keadaan yang berkaitan kerjaya.Melanggar etika di jalan raya boleh juga diklasifikasikan di bawah malu professional. Selain itu,sebagai contoh memberi penerangan tentang sesuatu fakta dengan yakin sekali betul tanpa meminta pandangan daripada pihak lain dahulu mengenai pembentangan tersebut, padahal apa yang dibentangkan itu salah dari fakta dan hanya mengikut teori dia sendiri.Sikap ini membuatkan diri sendiri malu dan membuatkan situasi berada dalam kedaan janggal
Selain itu, emosi yang ketiga adalah emosi sedih. Pengajaran dimulakan dengan menghuraikan serangkap daripada beberapa lagu. Antaranya, "Alangkah sedihnya hatiku, luka meliputi….", joni dun cry". Pelbagai lagu ini menggambakan emosi sedih. Sedih menggambarkan kerugian dan kehilangan sesuatu termasuk nyawa yang tersayang dan benda yang mahal. Jika serius, ia membawa kepada kemurungan. Apabila seseorang itu sedih, dia akan menjadi lebih pendiam, tidak bersemangat dan suka asingkan diri. Antara tanda –tanda sedih yang ditunjukkan ialah bibir ke dalam, badan condong ke depan, dan muka tunduk.Antara contoh yang boleh kita sangkutkan dengan emosi sedih ialah gagal dalam apa jua peperiksaan. Apabila seseorang itu rasa sedih dan putus asa dengan pencapaian yang dia dapat, ini menyebabkan dia hilang keyakinan dalam semua benda yang berlaku sekeliling dia, dia menjadi kurang bersemangat dan kurang bersosial.Apabila perkara ini berlaku,ini akan menyebabkan dia menjadi semakin teruk,dan orang sebegini seharusnya berkongsi dan meluahkan apa yang terpendam dalam hati dia dan ini membantu menaikkan balik semangat dia. Menurut pakar juga, semasa seseorang itu berasa sedih, tahap imunitinya akan berkurangan dan lebih mudah dijangkiti penyakit. Contohnya diri saya apabila saya sedih kerana sesuatu peristiwa, saya akan demam dengan sendirinya.Tetapi keadaan ini jarang-jarang berlaku,bukan kerap.
Emosi yang terakhir adalah emosi marah. Orang yang sedang marah dilihat sebagai berkuasa, dominan(Keltner 1997). Manakala orang yang sedih pula menjadi lemah dan kurang upaya. Marah boleh diekpresikan kepada dua, iaitu aktif dan pasif. Maksud secara aktif ialah dengan menggunakan beberapa aksi-aksi yang tidak berapa sopan. Sebenarnya saya juga kadang-kadang melakukan aksi yang aktif kalau saya tidak puas hati terhadap sesuatu perkara, hal ini kerana perasaan marah saya yang tak dapat di kawal bercampuran dengan pelbagai emosi negative yang timbul. Melalui hasil pembacaan saya, otak kita mempunyai bahagian cortex yang mana bertugas untuk mengawal marah. Marah yang maksima boleh membawa padah dan individu tersebut boleh menjadi tenang dalam masa yang singkat. Ekspresi pasif ialah apabila seseorang itu akan melepaskan kemarahannya dengan mendiamkan diri, tingkah laku pasif- agresif, sifat bermusuhan dan ketegangan. Contohnya kawan baik saya ini, saya sangat memahami dia, dia kalau marah dengan seseorang tu,dia akan berdiam diri sehari suntuk dan tidak bercakap sepatah pun sehingga lah hilang mood dia marah,baru dia akan kembali normal balik.Saya sedar bahawa manusia sememangnya unik kerana setiap individu mempunyai caranya tersendiri untuk melepaskan kemarahan juga.
Konklusinya, kuliah kali yang ketiga ini mendatangkan banyak ilmu dan pengetahuan kepada saya terhadap emosi negatif. Saya dapat memahami dengan lebih khusus lagi asas usul kelahiran emosi negatif seperti kesedihan, kemarahan dan sebagainya di seseorang individu. Saya berasa bersyukur kerana sampai sekarang apabila saya menghadapi apa jua masalah saya dapat mengawalnya dengan baik. Kita mempuyai kuasa yang mutlak di atas diri kita sendiri,di sebabkan itu kita mempunyai pilihan untuk menguasai emosi atau membiarkan emosi mengawal kita.
Sekian terima kasih.
No comments:
Post a Comment