Saturday, August 13, 2011

A1313175 AIMI AQILAH BINTI ABD HARITH LJ03 EMOSI YANG PELBAGAI..

Assalamualaikum dan salam muhibah buat semua sahabat handai yang tersayang dan juga pensyarah yang banyak memberi input yang berguna bagi kursus Pengurusan  Emosi, Dr Ahmad Zamri Mansor. Pertama sekali, saya berasa amat bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Allah swt untuk terus bernafas di atas muka bumi ini seterusnya dapat meneruskan rutin mingguan saya untuk menulis jurnal pengurusan emosi ini.  Ini merupakan kali kedua saya berasa amat gembira ketika mengikuti kuliah pengurusan emosi ini. Tapi kalau dibandingkan dengan kuliah minggu lepas, kuliah minggu lepas lebih gembira. Walaupun pada mulanya, saya merasakan agak tertekan ketika mengikuti kuliah pengurusan masa buat pertama kali tapi setelah mengikutinya, alhamdulillah, saya mendapati kursus ini amat menarik. Tapi ada juga tajuk-tajuk yang membosankan. Tapi apa yang boleh saya selaku pelajar buat, itu yang perlu kami pelajari. Jadi saya perlu menerimanya dengan hati terbuka.

     Kuliah pada 10 Ogos 2011 ini dimulakan dengan dengan tayangan video yang bertajuk "UMMI" versi  lagu Baby yang dinyanyikan oleh Justin Bieber. Agak seronok apabila mendengar lagu ummi ni. Memang kreatif orang yang mengubah lirik lagu ini. Ketika mendengar lagu ini, hati saya agak tersentuh kerana teringat akan ibu yang berada dirumah. Ini membuatkan saya bertambah rasa ingin pulang kerumah dan ya pada minggu ini saya akan pulang ke rumah saya. Perasaan gembira itu amat ketara dalam diri saya. Namun yang demikian, ada juga perasaan sedih timbul di dalam diri saya kerana tidak dapat menghadiri  Forum Dr In Ramadan iaitu salah satu program Ihya' Ramadan yang dianjurkan oleh pihak kolej dan juga Fiqh Wanita yang akan diadakan di Universiti Putra Malaysia. Tetapi apabila difikirkan kembali, memenuhi harapan keluarga untuk pulang ke rumah lebih penting kerana pada minggu lepas saya ada mempelajari mengenai kebahagiaan. Sebagai seorang anak, memang tanggungjawab saya untuk menggembirakan hati ibu dan bapa saya.

      Selepas itu, kami ditunjukkan dengan slide mengenai perbezaan antara negara maju dan negara yang kurang maju. Bagaimana sesuatu negara yang kekurangan kemudahan boleh maju berbanding dengan negara yang mempunyai kemudahan yang mencukupi dari segi hasil alam dan struktur muka bumi sesuatu negara. Contoh Negara yang saya ingat ialah Switzerland. Switzerland  merupakan Negara yang tidak mempunyai pokok koko untuk membuat coklat. Namun begitu, Switzerland masih boleh menjadi Negara yang mempunyai coklat yang tersedap di dunia. Selain itu, Jepun juga merupakan satu Negara yang mengagumkam. Ini kerana Negara yang kecil ini dapat membangun dengan pesat dan mencipta teknologi yang canggih selepas berlakunya peperangan dan tsunami yang dahsyat. Kita boleh lihat, bulan Mac yang lalu, Jepun telah dilanda oleh Tsunami yang besar yang mengakibatkan kemusnahan yang amat teruk serta mengorbankan beribu nyawa. Namun begitu, penduduk Jepun berusaha untuk bangkit semula untuk mencapai kembali kegemilangan Negara mereka. Setiap perbezaan ini berlaku disebabkan oleh sikap. Mesej yang ingin disampaikan disini ialah, untuk menjadi Negara yang maju, kita perlulah mengubah sikap kita. Kita tidak boleh hanya berdiam diri melihat orang lain bekerja keras untuk memajukan Negara. Kita juga perlu bersama-sama untuk memastikan Negara kita iaitu, Malaysia akan maju setanding dengan negara-negara yang maju lain. Oleh yang demikian, ubahlah sikap anda sekiranya ingin melihat negara kita membangun dengan maju.

    Selepas itu, kami telah ditayangkan dengan video kedua yang bertajuk "Look Into My Eyes" yang dinyanyikan oleh kumpulan Outlandish. Lagu ini memang menyentuh perasaan semua orang. Lagu ini menceritakan mengenai bagaimana sebuah Negara yang besar menindas Negara yang sederhana bagi memenuhi keperluan hidup mereka. Di dalam video ini, kita boleh lihat banyak emosi negatif, sesuai dengan tajuk kuliah pada kali ini iaitu Emosi Negatif. Antara emosi negative yang dapat dilihat didalam video ini ialah, takut, sedih, marah dan banyak lagi. Mengapa semua perasaan ini boleh berlaku? Apa penyebabnya? Saya juga pernah terfikir, mengapa negara yang mempunyai kuasa yang besar boleh bertindak kejam dengan membunuh anak-anak kecil yang tidak bersalah. Tiada perasaankah mereka? Tidak tahukah mereka, perasaan kasihan? Semua itu menjadi persoalan di dalam diri dan minda saya.

       Selepas tayangan video ini, kuliah pada minggu ini diteruskan dengan tajuk baru iaitu, Emosi Negatif yang merangkumi perasaan marah, takut, sedih dan malu. Pertama sekali saya ingin menghuraikan mengenai perasaan takut. Takut merupakan emosi yang bertindak balas dengan situasi bahaya.  Takut juga merupakan mekanisme menyelamatkan diri yang sentiasa berlaku disebabkan tindakbalas kepada rangsangan negatif spesifik. Sesuatu situasi yang menimbulkan emosi takut boleh memberikan kesan trauma kepada seseorang individu itu. Contohnya, ketika saya masih di alam persekolahan, saya pernah terlibat dalam satu  kemalangan. Kemalangan ini telah membuatkan saya berasa trauma untuk memandu kereta kerana timbul perasaan takut akan berlakunya kemalangan lagi. Walaupun pada ketika itu, saya cuma penumpang di dalam kereta tersebut, namun perasaan takut itu tetap ada dalam diri saya. Saya pun tidak pasti sampai bila perasaan takut ini akan wujud di dalam diri saya, sedangkan saya sudah mendapat lesen kereta 2 tahun lepas. Selain daripada itu, perasaan takut juga boleh menyebabkan seseorang individu itu bertindak agresif. Mereka yang dalam keadaan takut tidak akan boleh berfikir secara waras. Saya berkata demikian kerana, kita boleh lihat apabila kita berada dalam keadaan bahaya yang melibatkan nyawa, individu tersebut akan bertindakbalas dengan berlawan balik secara ganas dan keadaan ini turut boleh menyebabkan kematian kepada seseuatu pihak. Mungkin pihak penjahat itu sendiri mahupun diri kita sendiri. Ini kerana kedua-dua pihak berada dalam emosi takut. Seorang takut identitinya akan diketahui oleh pihak berkuasa dan seorang lagi takut dirinya akan diapa-apakan. Keadaan ini kita boleh dilihat dalam kronologi penangkapan tikus. Tikus merupakan makhluk perosak dan amat licik. Apabila kita bersedia untuk menagkap tikus ini dengan memasang perangkap, tikus ini akan bertindak agresif untuk menyelamatkan diri dengan berlari denga amat pantas. Serta mungkin mengigit jaring perangkap itu.  

     Perasaan emosi kedua ialah perasaan malu. Perasaan malu ini boleh dirasai bila kita melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh tetapi tidak diterima dalam pekerjaan mahupun masyarakat. Perasaan malu ini melibatkan air muka dan juga maruah sesuatu individu itu. Perasaan malu ini juga boleh timbul apabila kita melakukan sesuatu yang tidak diterima secara social seperti, silap memakai kasut, pakai kasut terbalik, pakai baju terbalik, terlupa memakai seluar, silap kod pakaian, terjatuh dikhalayak ramai dan banyak lagi. Malu boleh dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu malu secara personal dan juga professional. Malu secara personal ialah malu yang disebabkan oleh bila perhatian orang lain tertumpu kepada hal-hal peribadi kita seperti kesilapan diri kita, iaitu seperti berbohong, menipu dan sebagainya. Perasaan malu ini akan diikuti dengan senyum tersipu-sipu, berpeluh, gementar dan gelisah. Kadangkala, perasaan malu ini akan disembunyikan oleh seseorang individu dengan ketawa dan gelak. Emosi malu secara professional pula dapat dilihat dalam urusan yang melibatkan pekerjaan. Contohnya seperti, kerajaan telah menguar-uarkan satu dasar yang baru untuk memajukan Negara. Namun yang demikian, dasar kerajaan ini telah gagal. Ini membuatkan pihak kerajaan merasa malu. Seterusnya, malu secara professional ini juga boleh dilihat apabila sesorang yang berpangkat dalam sesuatu organisasi korporat tersebut ditangkap kerana menyalahgunakan kuasa mahupun terlibat dalam rasuah. Semua ini boleh dikaitkan dengan malu secara professional.

    Emosi negatif yang ketiga ialah, sedih. Emosi sedih ini boleh berlaku apabila individu itu berasa kerugian, kehilangan serta kegagalan.  Apabila seseorang itu berasa sedih, ini akan membawa kepada kemurungan yang berpanjangan sekiranya kesedihan itu amat teruk. Sebagai contoh, apabila individu itu kehilangan seseorang yang disayanginya, individu tersebut akan berasa sedih. Kesedihan yang dialaminya itu telah membawa kepada kemurungan. Kemurungan ini membuatkan diri individu itu menjadi pendiam, tidak bersemangat, dan individu yang mengalami kemurungan juga suka mengasingkan diri kerana tidak mahu untuk berjumpa berhadapan dengan masyarakat sekeliling. Orang yang sedih perlu sumber kognitif yang lebih untuk memproses maklumat dengan tepat berbanding dengan orang yang gembira. Banyak ayat yang menunjukkan perasaan sedih di dalam buku yang berjudul "La Tahzan".  Kesedihan juga boleh dirasai apabila kita merasa rugi apabila masa-masa kita berlalu pergi dengan tanpa kita berbuat apa-apa.

"Wahai masa lalu yang telah berlalu dan selesai, tenggelamlah seperti mataharimu. Aku tak akan pernah menangisi kepergianmu, dan kamu tidak akan pernah melihatku termenung sedetik pun untuk mengingatmu. Kamu telah meninggalkan kami semua, pergi dan tak pernah kembali lagi."

     Untuk kita melupakan kesedihan itu, kita perlu membiarkan perkara yang berlaku itu pergi tanpa kita merasa menyesal dan berjanji kepada diri kita supaya akan melakukan yang terbaik bagi menebus segala penyesalan yang berlaku. Bak kata pepatah, "Let bygone be bygone".

      Perasaan negatif yang terakhir ialah, perasaan marah. Perasaan marah boleh dikaitkan dengan perasaan kesakitan.

Bagaimana perasaan marah itu boleh dialami?

1)      Tindakan Amyglada    otot kita menjadi tegang.

2)      Di dalam otak neurotransmitter iaitu (catecholamine) akan dirembeskan -> menyebabkan tenaga kita bertambah dalam lingkungan masa beberapa minit kadar denyutan jantung → ↑ tekanan darah  → ↑ kadar pernafasan → muka kemerahan disebabkan oleh ↑ peredaran darah ke kawasan muka dan kawasan lain.

3)      Dalam tindakbalas segera → ↑ rembesan hormon noradrenalin dan adrenalin oleh otak

Perasaan marah ini boleh timbul hasil daripada empati dan ianya juga boleh berlaku apabila kita tahu tindakan yang menyebabkan kita marah itu adalah tindakan yang disengajakan. Mengikut perspektif Islam, kemarahan merupakan tanda kelemahan. Orang yang marah itu ialah orang yang lemah. Oleh itu, kita digalakkan untuk bersabar daripada kita merasa marah. Sifat marah itu ialah sifat  mazmumah. Kita sebagai umat Islam perlu menjauhi sifat-sifat mazmumah.

    Tajuk kuliah yang seterusnya ialah Teori Asas Adaptasi. Konsep asasnya ialah, kita akan bertindakbalas dengan rangsangan mengikut tahap adaptasi diri kita. Contohnya ialah, apabila kita mendengar bunyi yang kuat atau perlahan, itu menunjukkan kita berada pada tahap adaptasi kita. Tetapi apabila kita mendenga bunyi yang terlalu perlahan atau terlalu kuat, itu menunjukkan tahap adaptasi kita itu rendah ataupun tinggi. Contoh yang lain ialah, apabila kita berasa gembira disebabkan kita mendapat keputusan yang baik, gaji yang banyak dan kesihatan yang baik. Kita tidak akan terus merasa gembira melainkan keadaan itu baik. Kita akan sentiasa berada dalam keadaan asas adaptasi yang semulajadi dan sesuatu yang berada atas tahap asas adaptasi akan membuat kita berasa gembira.

    Tajuk kuliah yang terakhir untuk minggu ini ialah teori proses berlawanan  Solomon. Teori Solomon menyatakan bahawa keseimbangan emosi kearah tahap semulajadi bukan berlaku secara berpanjangan tetapi turut berlaku secara singkat. Setiap emosi yang wujud akan mengakibatkan terbitnya emosi yang berlawanan. Sekiranya emosi itu berpasangan, semua satu sahaja yang akan kita alami, selebihnya akan dipendamkan atau disimpan. Kronologi emosi pertamanya akan mendekati peringkat primer. Peringkat primer ini peringkat dimana kita tidak mempelajari dan berlaku secara automatik. Di dalam peringkat kedua pula iaitu peringkat berlawanan. Di dalam peringkat ini, emosi yang wujud akan bertentangan dengan emosi di peringkat primer. Peringkat ini lebih lama serta lebih kuat dengan berlakunya pengulangan. Ini menyebabkan peringkat primer menjadi lemah.  Contohnya ialah, saya mendapat biasiswa JPA sebanyak RM6000. Saya berasa amat gembira apabila duit biasiswa ini masuk ke dalam akaun saya. Dan pada penghujung semester saya berasa menyesal dan sedih kerana saya banyak menghabiskan duit biasiswa itu dengan membeli benda-benda yang tidak sepatutnya. Ada juga pengalaman yang membuat kita berasa lebih baik. Contoh yang dapat dilihat ialah, pertama kali kita membuat terjunan dari tempat yang tinggi, kita akan merasa takut. Tetapi apabila kita sering terjun, lama kelamaan kita akan berasa berani dan seronok untuk melakukannya. (perasaan takut kian kurang, perasaan berani kian bertambah).

    Kesimpulannya, saya seronok dapat mempelajari semua ini. Setiap perkara yang dipelajari memberi manfaat yang berguna buat diri saya. Saya merasakan amat bertuah dapat mempelajari subjek Pengurusan Emosi. Kenalilah emosi anda. Emosi itu kadangkala baik, tetapi emosi itu juga boleh membawa kehancuran kepada diri kita. Oleh itu, belajarlah dari sekarang cara untuk mengawal emosi. Ingatlah semua kita mempunyai emosi kerana emosi milik kita semua. 

No comments:

Post a Comment