Saturday, August 13, 2011

A132058 Nurul Dayana bt Azmi LJ03 Put Negativity Aside

Salam sejahtera saya tujukan kepada Dr. Ahmad Zamri Mansor dan rakan-rakan sekuliah sekalian. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya saya berpeluang untuk meneruskan entri journal ZT2253 pada kali yang ketiga. Di sini, saya akan berkongsi dan membuat rumusan tentang emosi negatif dan teori aras adaptasi. Kedua-dua topik ini telah pun dibincangkankan dalam kuliah pada hari Rabu yang lepas, bersamaan dengan 10 Ogos 2011.

                Manusia seringkali menghadapi dan tidak akan terlepas daripada emosi negatif seperti takut, malu, sedih dan marah. Emosi negatif berkemungkinan boleh membawa padah kepada diri sendiri dan masyarakat ataupun ia boleh membuatkan seseorang itu lebih kuat dan tabah. Apa-apa pun, hasil daripada mengharungi emosi negatif adalah bergantung kepada setiap individu dalam pengurusan emosi tersebut. Sekiranya emosi ini tidak dapat dikawal dan terlarutan dengan begitu lama, maka ia boleh memberi kesan yang buruk pada fikiran, perasaan, minda dan kehidupan secara keseluruhan.

                Emosi negatif yang pertama ialah takut. Ketakutan menunjukkan tindak balas terhadap sesuatu keadaan yang dianggap bahaya oleh seseorang secara fizikal dan emosi. Ia sering dikait rapat dengan perasaan gelisah, bimbang dan lain-lain. Walaupun ketakutan adalah sebahagian daripada emosi negatif, ia amat penting dalam kehidupan manusia dari segi keselamatan diri. Sebagai contoh, apabila terserempak dengan seekor beruang, kita akan merasa takut dan perasaan ini (stimuli) akan merangsangkan kita untuk melarikan diri agar dapat menyelamatkan nyawa. Ketakutan juga boleh diwujudkan melalui pengalaman dari sesuatu insiden seperti seseorang yang fobia membawa kereta akibat pernah mengalami kemalangan jalan raya. Contoh lain bagi perasaan takut ialah takut kehilangan kawalan emosi seperti mana ia dapat dilihat pada diri seseorang yang takut mendapat kritikan atau takut penolakan. Antara ekspresi-ekspresi wajah ketakutan ialah mata dibuka dengan besar, bibir di bahagian atas terangkat, bulu kening berapat ke tengah dan bibir kelihatan mendatar.

                Emosi negatif seterusnya ialah malu. Malu adalah sesuatu emosi yang tidak menyenangkan dan dialami apabila melakukan perbuatan sosial mahupun professional yang tidak boleh diterima atau keadaan yang disaksikan oleh atau memdedahkan kepada pihak lain. Kebarangkalian kehilangan kehormatan atau maruah diri akan terlibat dan ia bergantung kepada keadaan yang memalukan itu. Malu adalah hampir sama dengan perasaan hina, kecuali kehinaan boleh dialami akibat daripada tindakan yang hanya diketahui oleh dirinya sendiri. Di samping itu, malu merupakan perbuatan yang tidak diterima oleh orang lain atau masyarakat dan bukannya dianggap sebagai kesalahan dari segi moral seseorang itu. Contohnya ialah memakai seluar yang terkoyak sehingga menampakkan seluar dalam. Malu dikategorikan kepada dua jenis iaitu personal dan professional.

                Malu peribadi boleh wujud akibat daripada perhatian yang tidak diingini kepada perkara-perkara persendirian atau kecacatan atau kemalangan peribadi. Tambahan pula, beberapa perkara yang membawa kepada perasaan malu adalah datangnya dari tindakan peribadi itu sendiri seperti tertangkap setelah membuat sesuatu penipuan atau melakukan kesalahan, kalah teruk dalam pertandingan dan sebagainya. Malu peribadi selalu disertakan dengan tersipu-sipu, berpeluh, ketakutan, tergagap-gagap dan gelisah. Terdapat juga situasi di mana orang yang merasa malu akan cuba untuk mengalih perhatian orang lain melalui senyuman atau gelak-ketawa.

                Malu professional boleh terhasil selepas kenyataan yang menyebutkan keyakinan dalam kursus yang dinyatakan tindakan atau tidak mengambil kira segala untuk keterangan. Apa yang lebih memalukan ialah apabila ia melibatkan tugas-tugas rasmi, kemudahan kerja, jumlah wang, bahan-bahan besar atau kehilangan nyawa manusia. Ini akan menyebabakan seseorang itu malu untuk meneruskan tugasnya. Contoh keadaan-keadaan yang boleh mendorong kepada malu professional ialah kegagalan dalam dasar awam kerajaan, pendedahan amalan rasuah atau kelakuan lain yang tidak beretika, selebriti atau artis-artis pujaan ramai yang tabiat kehidupannya menerima penelitian awam, berhadapan dengan tindakan undang-undang atau pegawai-pegawai yang terperangkap dalam situasi personal yang amat memalukan.

                Emosi negatif lain turut menekankan tentang kesedihan. Kata lawan bagi sedih ialah gembira manakala kata-kata yang membawa maksud yang sama ialah kesengsaraan, kemurungan dan kesuraman. Wajah yang sedih dapat memaparkan perasaan kelemahan dan kehilangan. Kesedihan yang berlarutan setelah sekian lama akan menyebabkan kesan buruk kepada mental dan kesihatan dengan lebih serius iaitu kemurungan. Sesiapa yang mengalami kemurungan memerlukan bantuan professional dengan segera agar dapat mengekalkan kewarasannya. Kadang-kala, kita berasa tenang, kurang bertenaga dan mempunyai keinginan untuk mengasingkan diri daripada orang lain apabila dalam kesedihan. Hasilnya, ia bukan sekadar dapat memberi impak yang negatif terhadap kesihatan fizikal dan emosi, namun ia juga boleh mempengaruhi kehidupan sosial individu tersebut. Tanda-tanda kesedihan yang dapat dilihat ialah perbuatan tunduk kepala, badan berlandai dan melakukan aktiviti fizikal dengan perlahan dan lemah.

                Emosi negatif terakhir yang telah didedahkan semasa kuliah dijalankan ialah marah. Kemarahan menunjukkan respons emosi dan fizikal yang dilihat seolah-olah seseorang itu menderita daripada kesakitan, kesusahan dan ancaman.  Ia juga merupakan gerak balas terhadap persepsi ancaman yang datang daripada konflik fizikal, ketidakadilan, kecuaian, penghinaan atau pengkhianatan. Emosi marah boleh diluahkan secara pasif atau aktif. Dalam situasi kemarahan secara aktif, orang yang sedang marah akan mengekspresikan perasaan tersebut secara lisan atau fizikal terhadap sasarannya. Marah secara pasif pula dicirikan sebagai secara senyap, tingkahlaku pasif-agresif, permusuhan dan ketegangan. Kegusaran atau kejengkelan juga boleh menimbulkan kemarahan seseorang. Pelbagai cara yang boleh diambil kira dalam mengatasi insiden yang membuatkan anda marah, antara langkah-langkahnya ialah:

 

1. Mengakui hakikat bahawa anda berada dalam keadaan marah.

2. Menilai samada situasi ini sesuai untuk anda meluahkan kemarahan atau tidak.

3. Sekiranya anda rasa sesuai untuk meluahkan kemarahan tersebut, nilaikan adakah anda perlu menggunakan pendekatan secara langsung atau tidak langsung.

4. Setelah anda bertindak, imbas kembali apa yang telah anda alami dan tindakan anda untuk membaiki diri.

 

                Selepas selesai kuliah emosi negatif, kami diberi sedikit pendedahan tentang teori aras adaptasi. Secara dasarnya, kita akan bertindak balas terhadap ransangan baru yang bergantung kepada tahap penyesuaian pada masa kini. Tahap penyesuaian seseorang adalah tahap fungsi yang terkini dan neutral berbanding dengan keadaan beberapa rangsangan tertentu. Kita boleh mewujudkan satu titik neutral atau penyelesaian secara automatik bagi setiap jenis rangsangan. Teori aras adaptasi turut menyatakan bahawa penilaian sesuatu keadaan dapat menyumbangkan kepada pengalaman emosi. Menurut Lazarus, Kanner dan Folkman (1980), penilaian kognitif manusia dalam sesuatu situasi akan menentukan intensity pengalaman emosi.

                Konklusinya, emosi negatif banyak terlibat dalam kehidupan seharian kita. Namun, ia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mencari kebahagiaan. Melalui pengurusan emosi negatif dengan bijak, saya yakin bahawa kita akan menjadi seorang yang penyabar dan tabah terutamanya apabila kita berhadapan dengan halangan-halangan kehidupan.


"If you don't manage your emotions, then your emotions will manage you." - Doc Childre and Deborah Rozman, Transforming Anxiety

No comments:

Post a Comment