Selamat sejahtera dan salam satu Malaysia. Selepas menghadiri kuliah ketiga Pengurusan Emosi ZT2253 pada 10 Ogos 2011, izinkanlah saya meringkaskan tentang pendapat dan ilmu pengetahuan yang saya pelajari dalam jurnal ketiga saya ini. Sebelum bermulanya kuliah, Dr. Ahmad Zamri Mansor telah menayangkan video muzik 'Baby' oleh Justin Bieber versi Bahasa Melayu yang bertemakan ibu(Ummi). Lagu ini menceritakan tentang seorang anak yang amat rindu dan sayang akan ibunya yang berjauhan dengannya. Sekarang dia mulai menyesal terhadap sikapnya yang pernah berkasar dan melukai hati ibunya. Dia berharap untuk pulang ke sisi ibunya untuk memohon kemaafan ke atas kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya pada masa akan datang. Sememangnya, ibu merupakan orang yang sangat penting ibarat mutiara bersinar dalam kehidupan. Tanpa ibu, kita tidak akan datang ke dunia ini.
Topik yang telah didedahkan kepada kita kali ini ialah Emosi Negatif. Emosi ini merangkumi perasaan takut, malu, sedih dan marah. Takut merupakan satu tindak balas survival supaya seseorang individu dapat menjauhkan diri daripada pelbagai stimulasi negatif yang akan dihadapi. Perasaan takut juga mempunyai hubung kait dengan perasaan bimbang dan keganasan. Antara sebab wujudnya perasaan takut adalah terjadi daripada trauma. Sebagai contoh, jika seorang budak terbakar tangannya ketika bermain bunga api, dia akan menghasilkan ketakutan kepada api selama-lamanya(arsonphobia/pyrophobia). Dari segi fisiologi, tindak balas ketakutan berasal daripada aktiviti dalam otak kita. Walaupun ketakutan biasanya berkaitan dengan keadaan fisiologi, ketakutan manusia juga boleh dibangkitkan oleh sesuatu yang lebih abstrak. Rasa takut boleh distimulasikan oleh ketakutan yang hilang kawalan. Misalnya, ketakutan untuk diejek, dicela secara sosial, dikritik dan ditolak permintaan. Jenis ketakutan ini mempunyai persamaan dari segi tingkah laku yang dihasilkan, tetapi tidak akan mempunyai kesan fisiologi sama seperti kebimbangan terhadap dunia fizikal. Ciri-ciri takut boleh diperhati melalui expresi muka seperti membesarkan mata setelah mengetahui sesuatu yang di luar jangkaan, meluaskan mulut disebabkan terkejut, hati berdegup-degup, dan sebagainya.
Emosi negatif yang seterusnya ialah malu. Perasaan ini boleh didefinisikan sebagai keadaan yang tidak menyenangkan yang dialami selepas melakukan sesuatu yang tidak dapat diterima oleh norma masyarakat atau keadaan yang didedahkan kepada orang lain. Biasanya, seseorang itu akan hilang kehormatan atau maruah bergantung kepada begaimana orang itu dimalukan. Perasaan malu ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu peribadi(personal) yang disebabkan oleh perhatian yang tidak diingini oleh orang lain kepada perkara-perkara persendirian atau kecacatan atau kemalangan peribadi. Contohnya, kalah dalam pertandingan, ditipu orang atau melakukan satu kesilapan. Expresi yang selalu terlibat adalah gabungan tersipu-sipu, berpeluh-peluh, tergagap-gagap dan gelisah. Kadang-kala, individu yang sedang malu itu akan senyum atau ketawa terbahak-bahak supaya orang lain tidak sedar perasaannya itu. Jenis malu kedua ialah profesional malu yang berkaitan dengan sesuatu tindakan. Malu ini bertambah jika keadaan melibatkan tugas-tugas rasmi atau kenudahan tempat kerja, jumlah wang yang banyak, atau kehilangan nyawa manusia. Contohnya, seseorang itu berasa malu disebabkan tidak dapat menjalankan tugasnya, peribadi selebriti menerima penelitian awam atau berhadapan dengan tindakan undang-undang, atau pegawai-pegawai yang terperangkap dalam situasi peribadi serius yang memalukan.
Di samping itu, sedih merupakan satu emosi yang memaparkan perasaan yang tiada kebaikan dan kehilangan sesuatu. Tanda-tanda sedih termasuklah tunduk kepala, aktiviti fizikal yang lemah dan lambat, rasa sayu dan murung, muram dan suram, dan tidak bermaya. Menurut Forgas(1992, 1994), kajiannya mendapati bahawa orang yang gembira cenderung untuk memproses maklumat dalam tempoh yang singkat dan lebih tepat berbanding dengan orang yang bersedih. Hal ini disebabkan orang yang mempunyai lebih sumber kognitif untuk memproses maklumat secara mendalam dan tepat (Isen, 1987). Kajian juga menunjukkan bahawa apabila orang mengiktiraf emosi yang dinyatakan, mereka cenderung untuk mengekspreskan ciri-ciri tambahan (Halo effect). Misalnya, seseorang yang bahagia dikelilingi oleh ciri-ciri kasih sayang, seseorang yang bersedih dianggap lemah dan kurang berupaya, orang yang sedang marah dianggap berkuasa dan tegas pendirian (Keltner, 1997).
Seterusnya, kemarahan ialah tindak balas psikofisiologi kepada kesakitan yang dianggap sebagai kesusahan atau ancaman yang dialami, disebabkan oleh konflik fizikal, ketidakadilan, pengabaian, penghinaan atau pengkhianatan. Sesungguhnya, emosi ini terbahagi kepada dua bergantung kepada cara pengekspresan kemarahan, iaitu secara aktif atau pasif. Dalam situasi aktif, orang yang tengah marah itu akan mengeluarkan kata-kata yang kasar atau menyerang musuhnya sacara fizikal. Secara pasif pula, individu tersebut akan berkeadaan senyap dan kelihatan stress dan mengurungkan diri daripada sosial luar. Saya merupakan seorang yang menunjukkan kemarahan saya secara pasif kerana saya akan cuba mengelakkan apa-apa pertelingkahan dan perselisihan faham daripada berlaku dengan cuba menenangkan diri dan berfikir. Bagaimana marah distimulasikan? Biasanya, manusia menjadi marah disebabkan perasaan empati. Misalnya, selepas membaca artikel di mana seseorang dianiayai, pembaca itu akan berasa marah walaupun dia bukan mangsa. Untuk mengawal marah dan berfikir secara waras, proses ini sebenarnya mengambil tempoh yang agak lama disebabkan tindakan adrenalin dalam otak. Menurut pandangan Islam, kemarahan merupakan satu tanda kelemahan. Hal ini memang benar seperti apa yang Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan, "orang yang kuat bukanlah seseorang yang berupaya menguasai orang lain, tetapi orang yang mampu mengawal emosi sendiri apabila berasa marah.
Kuliah kita disambungkan dengan topik Teori Aras Adaptasi. Teori ini mengatakan bahawa setiap orang mempunyai tahap adaptasi yang tersendiri dan akan memberi respons yang berlainan terhadap persekitaran yang dialami. Saya amat bersetuju dengan teori ini disebabkan setiap orang mempunyai pengalaman yang berbeza dan berada dalam persekitaran yang tidak sama. Latar belakang keluarga dan pendidikan masing-masing cenderung mempengaruhi tindak balas seseorang terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, jika seseorang berpuas hati dengan gred yang baik, pendapatan yang lumayan atau kesihatan yang baik, orang itu tidak akan terus gembira buat selama-lamanya melainkan keadaan bertambah baik. Ini jelas menunjukkan kerakusan manusia tanpa had.
Teori yang terakhir diperkenalkan kepada kita ialah 'Solomon Opponent Process Theory' hasil ubahsuaian Teori Aras Adaptasi oleh Richard Solomon pada 1980 untuk menjelaskan tingkah laku ketagihan. Setiap emosi yang diulangi akan meningkatkan kekuatan emosi yang bertentangan. Misalnya, pada mulanya seseorang akan berasa bosan dan letih dengan joging, tetapi semakin lama melakukannya semakin seronok selepas mengetahui kebaikan untuk menjaga kesihatan. Contoh yang paling baik untuk menjelaskan teori ini adalah melalui perbentangan di hadapan orang ramai. Mula-mulanya, kita akan berasa takut dan menggigil semasa bercakap, tetapi semakin lama melakukan, ketakutan itu akan semakin berkurangkan dan kita akan mulai menikmati perasaan ini.
Pendek kata, emosi negatif bukan sahaja memberi pengaruh besar dalam kehidupan kita, tetapi juga member impak yang kurang baik kepada orang di sekeliling kita. Selain itu, teori-teori yang kita belajar memang menarik dan banyak meluaskan pengetahuan dan membuka mata saya.
No comments:
Post a Comment