Saturday, August 13, 2011

A131366 Nadia Natasya Binti Norzam LJ03 Emosi Negatif, Teori Aras Adaptasi, Teori Solomon

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini saya akan menulis jurnal ketiga untuk kursus ZT2253. Untuk jurnal ketiga ini, saya akan menceritakan pengalaman serta berkongsi serba sedikit mengenai  apa yang telah saya pelajari ketika kuliah yang disampaikan oleh Dr Ahmad Zamri  pada 10 Ogos 2011 yang lalu di Dewan Kuliah 1. Saya telah mempelajari tentang tiga topik yang penting pada tempoh hari iaitu emosi negative, teori aras adaptasi dan teori Solomon. Kesemua topik ini adalah amat penting kerana ianya merupakan salah satu daripada komponen pengurusan emosi. Bagi emosi negatif, secara keseluruhannya saya telah belajar mengenai perasaan sedih, malu, takut dan marah. Teori aras adaptasi pula mengatakan bahawa setiap individu akan memberikan reaksi yang berlainan terhadap sesuatu rangsangan berdasarkan tahap adaptasi yang ada pada dirinya. Di samping itu, teori Solomon yang merupakan hasil ubahsuaian teori aras adaptasi menceritakan bagaimana apabila satu emosi diekspreskan, satu lagi emosi yang bertentangan akan dikurangkan. Penerangan yang lebih lanjut akan saya terangkan pada perenggan yang seterusnya.

Pada kuliah yang lepas, kami telah ditunjukkan dua video oleh Dr Zamri. Video yang pertama adalah mengenai video yang telah diubahsuai liriknya yang bertajuk 'Ummi'. Video asal merupakan lagu nyanyian Justin Bieber yang terkenal dangan lagu 'Baby'. Saya berasa bahawa individu yang telah menukar lirik lagu ini merupakan seorang yang sangat kreatif kerana dia berjaya menyampaikan maksud tersirat yang wujud di sebalik lagu tersebut kepada para pendengar. Lagu tersebut mengisahkan tentang kasih sayang serta pengorbanan ibu terhadap anak-anaknya. Jasa ibu yang sanggup mendidik dan menjaga kita sejak kita kecil lagi perlulah kita hargai dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga kita berjaya menjadi seorang insan yang dapat menyumbang kepada bangsa, negara dan juga agama. Dengan ini, ibu kita pastinya akan berasa bangga terhdap diri kita dan menganggap bahawa mereka telah berjaya membesarkan kita dengan sempurna. Walaupun kadang kala ibu akan marah serta membebel kepada kita tetapi perkara yang paling penting ialah kita perlu sentiasa ingat bahawa mereka marah bukan kerana mereka benci kepada kita, namun sebaliknya kerana mereka sayang terhadap kita dan mereka menginginkan perkara yang terbaik untuk anak-anaknya. Video yang kedua pula adalah mengenai peperangan yang sering terjadi pada zaman ini di negara-negara saudara kita. Saya berasa sangat sayu dan sedih melihat video ini kerana mereka terpaksa menghadapi pelbagai dugaan dalam memperjuangkan negara mereka. Setiap hari ada sahaja tempat yang dibom dan peluru dilepaskan kepada orang awam. Ini menyebabkan mereka tidak dapat  menjalankan aktiviti rutin harian seperti biasa dan terpaksa berkurung di dalam rumah. Perkara yang paling menyayat hati adalah saban hari pasti ada sahaja rakyat yang tidak bersalah mati. Video ini juga memaparkan bahawa bukan sahaja kaum lelaki diganasi, namun kaum perempuan serta kanak-kanak juga turut dilayan dengan buruk. Oleh itu, kita seharusnya berasa bersyukur kerana dapat tinggal di Malaysia yang merupakan negara yang aman tanpa sebarang peperangan.

Bagi topik pertama pada kuliah tempoh hari, saya telah belajar mengenai emosi negatif. Terdapat empat komponen penting di bawah tajuk ini iaitu perasaan takut, malu, sedih dan marah. Saya akan menceritakan keempat-empat emosi ini satu persatu. Takut ialah tindak balas emosi terhadap bahaya yang akan berlaku dan ini dapat dikaitkan dengan perasaan bimbang yang wujud. Perasaan takut adalah berbeza bagi setiap individu. Ada individu yang takut terhadap hantu, ada  yang takut terhadap tempat yang tinggi, malah ada juga yang takut terhadap lipas. Sesetengah orang akan berasa tertekan hasil daripada perasaan takut dan hal ini boleh membahayakan diri mereka sendiri. Sebagai contoh, pastinya setiap orang akan berasa takut dan tertekan sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Jadi ada di antara kita yang akan mengambil ubat yang tidak mendapat kelulusan doktor bagi melegakan tekanan emosi yang dialami. Namun, mereka tidak sedar bahawa penggunaan ubat tersebut boleh memberi kesan yang negatif kepada diri mereka pada masa akan datang. Emosi takut justeru itu tergolong dalam emosi negatif. Emosi malu pula merupakan keadaan emosi yang tidak menyenangkan yang dialami apabila sesuatu perbuatan sosial atau professional yang  tidak boleh diterima telah didedahkan kepada orang lain. Malu boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu peribadi dan profesional. Bagi kategori peribadi, perasaan malu terjadi disebabkan perhatian yang tidak diingini berlaku kerana kesalahan diri sendiri. Contohnya, seseorang yang memakai baju terbalik akan berasa malu apabila orang lain di sekeliling memerhatikannya dan bercakap mengenai kesilapannya itu. Hal ini pernah terjadi kepada diri saya. Bagi kategori profesional pula, malu berlaku apabila kita tidak dapat menjalankan tugas yang diamanahkan kepada kita dengan baik. Contoh yang paling senang yang semakin kerap berlaku ialah sikap sesetengah artis yang mengambil dadah dan termasuk dimasukkan ke pusat pemulihan. Sikap mereka ini amat memalukan kerana mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang lain, tetapi perkara yang sebaliknya yang berlaku. Emosi negatif yang seterusnya ialah sedih yang memaparkan perasaan kehilangan dan kedukaan. Selalunya apabila seseorang itu berasa sedih dia akan menjadi lebih pendiam, tidak aktif dan mengasingkan diri. Ketika saya kehilangan datuk saya, saya berasa sangat sedih sehingga tiada selera untuk makan, tidak aktif dan mengasingkan diri daripada kawan-kawan lain. Ini semua merupakan tanda-tanda apabila seseorang itu berasa sedih. Akhir sekali ialah emosi marah yang merupakan tindak balas terhadap kesakitan, kesusahan dan ancaman yang dialami. Marah boleh diekspresikan secara aktif iaitu secara langsung terhdap orang lain ataupun secara pasif iaitu dengan menunjukkan kelakuan agresif. Kita haruslah belajar cara-cara untuk mengawal marah kerana marah merupakan emosi negatif yang hanya akan memudaratkan diri kita dan juga orang lain.

Topik seterusnya yang akan saya bincangkan ialah mengenai teori aras adaptasi yang menceritakan bahawa seseorang itu akan bertindak balas terhadap sesuatu rangsangan berdasarkan tahap penyesuaian dirinya terhadap rangsangan tersebut. Sebagai contoh, seseorang yang tinggal di bandar sudah biasa dengan keadaan bandar yang sesak dan bising. Tetapi apabila individu dari kampung datang ke bandar, dia akan berasa bahwa keadaan bandar adalah terlalu sesak dan sangat bising. Hal ini disebabkan individu yang datang dari kampung tersebut masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru. Sudah tiba masanya saya menceritakan secara ringkas mengenai teori Solomon yang merupakan hasil ubahsuaian teori aras adaptasi. Teori ini memaparkan bahawa setiap emosi yang wujud dalam diri kita adalah hasil pengurangan emosi yang bertentangan. Jika kita sedang berasa sedih, secara automatiknya perasaan gembira kita akan berkurang. Contohnya, apabila kita berjoging mungkin kita akan berasa bosan pada mulanya. Tetapi lama kelamaan kita akan berasa gembira melakukannya apabila kita tahu ianya dapat menyihatkan tubuh badan.

Akhir kata, kuliah pada tempoh hari banyak memberikan informasi serta manfaat kepada diri saya. Diharapkan saya dapat mengaplikasikan apa yang telah saya pelajari dalam hidup saya dan seterusnya berjaya mengawal emosi saya dengan baik.

Sekian.

No comments:

Post a Comment