Saturday, August 13, 2011

A131836 AMMAR AZHAR BIN IZHAM LJ03 Negative Kan Diri Mu

Salam ramadhan dan salam sejahtera. Sesi kuliah pada 10 Ogos 2011 tempoh hari merupakan kuliah yang ketiga bagi subjek Pengurusan Emosi ZZZT2253 dan jurnal ini juga merupakan jurnal pembelajaran saya yang ketiga. Dalam jurnal pembelajaran ini, seperti biasa saya akan merefleksikan sesi pembelajaran di sepanjang kuliah tempoh hari dan pada masa yang sama, saya akan menghubungkaitkan dengan apa yang berlaku di sekeliling saya. Sebelum bermulanya kuliah, Dr. Zamri telah memaparkan dua video klip musikal yang mengandungi pelbagai maksud tersurat dan tersirat. Oleh itu, ramai di antara kami mula menunjukkan minat dan memberi perhatian ketika kuliah. Video clip yang pertama memaparkan lirik lagu "Baby" yang telah ditukarkan ke Bahasa Malaysia menjadi "Ummi". Lagu "Baby" ini telah dipopularkan oleh seorang penyanyi remaja, Justin Bieber dan apabila lagu ini diubah versi serta ditukarkan kepada versi "Ummi" yang dinyanyikan dalam Bahasa Malaysia, saya dapati lagu ini agak menarik dan saya percaya lebih bermakna daripada lagu asal. Lagu ini yang pada mulanya ditujukan khas kepada teman wanita atau kekasih telah diubah lirik, seterusnya menjadi salah satu lagu yang sangat bermakna untuk ditujukan para ibu tersayang. Lirik lagu telah diubah dengan baik sekali dan setiap lirik mengukir senyuman di wajah bagi setiap ibu yang mendengarnya. Video klip kedua yang telah ditayangkan oleh Dr. Zamri merupakan video klip daripada sebuah kumpulan penyanyi pencinta keamanan yang menujukan video klip tersebut khas bagi mangsa-mangsa peperangan yang menderita kehilangan tempat tinggal, harta benda dan orang tersayang. Video klip tersebut begitu menyayat hati dan saya berasa sangat simpati terhadap kanak-kanak yang kebanyakannya dipaparkan dalam video klip itu, mereka menjerit, meraung di saat ibu bapa mereka berlumuran darah dan ada di antara mereka ditinggalkan sebatang kara kerana kebanyakan ahli keluarga terkorban. Melalui dua video klip ini, saya telah mendapat gambaran jelas apa yang bakal saya pelajari pada sesi kuliah tersebut. Saya beranggapan melalui emosi sedih yang kebanyakannya dipaparkan dalam video klip tersebut, jelaslah apa yang kami akan pelajari pada kuliah kali ini ialah emosi negatif.
Seperti yang sedia maklum, pada kali ini, topik kuliah yang dibincangkan ialah emosi negatif. Sekarang saya akan bermula dengan bahagian kuliah yang pertama, iaitu emosi negatif. Pada sesi kuliah 3 Ogos 2011, saya telah didedahkan dan dijelaskan dengan lebih lanjut mengenai emosi positif. Emosi positif itu ialah bahagia yang merupakan salah satu emosi yang membawa kehidupan seharian kita kepada suasana yang menarik dan lebih bermakna. Jika terdapat emosi positif, sudah tentulah adanya emosi negatif iaitu lawannya. Emosi negatif meliputi emosi takut, malu, sedih dan marah, berbeza dengan emosi positif, emosi negatif adalah sesuatu yang kita ingin elakkan dalam kehidupan seharian kerana tidak mendatangkan sebarang faedah dan lebih membawa kepada kemurungan diri. Selain itu, emosi negatif ini juga membawa pengaruh dan kesan buruk kepada diri kita sendiri serta kepada orang di sekeliling kita. Sudah tidak asing lagi dalam kehidupan seharian kita, kita mengalami emosi negatif ini sebagai lumrah kehidupan. Namun begitu, terpulanglah kepada kita untuk menanganinya secara bijak atau biarkan diri kita hanyut dan tenggelam dengan emosi negatif ini.
Saya begitu tertarik untuk mendengar kuliah kali ini kerana sudah tidak asing lagi bagi kami pelajar perubatan dan bakal-bakal doctor pada masa hadapan untuk berhadapan dengan sejumlah manusia yang datang dengan pelbagai emosi negatif di samping masalah kesihatan yang mereka alami. Oleh itu, wajarlah bagi kami untuk belajar mengalami dan seterusnya menangani emosi negatif yang ada dalam kehidupan seharian.  Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, emosi negatif terdiri daripada emosi takut, malu, sedih dan marah. Saya akan menjelaskan maksud satu persatu berdasarkan kuliah tempoh hari dan pengalaman dalam kehidupan seharian.
 Pertama, salah satu emosi negatif yang utama dan tidak asing lagi iaitu emosi takut. Emosi takut merupakan tindak balas yang terhasil apabila kita berasa terancam kerana berada dalam keadaan bahaya yang berkaitan dengan risau,resah atau pun perasaan ingin tahu. Apa yang berlaku pada tubuh badan kita ialah, tatkala kita berasa takut, kadar pernafasan kita meningkat secara tiba-tiba dan kita akan berasa berdebar-debar, cemas seterusnya badan kita akan berpeluh. Perasaan takut ini penting terutamanya apabila kita berada dalam keadaan bahaya seperti dikejar anjing, dirompak dan diugut bunuh.  Selain itu, takut juga boleh dikaitkan dengan peristiwa atau kejadian lalu yang berlaku dalam kehidupan seharian yang menyebabkan kita trauma atau pun fobia kepada sesetengah keadaan dan bende seperti fobia pada camera, takut untuk diambil gambar (photophobia). Kadangkala perasaan takut juga dikaitkan dengan perkara-perkara seperti tahyul, hantu atau makhluk halus yang mempunyai wajah yang amat menyeramkan. Oleh itu, apabila kita menonton cerita seram yang memaparkan hantu serta makhluk halus seperti Pontianak, langsuir dan toyol, timbul perasaan takut dan kita seperti tidak mahu melihat cerita itu. Sebagai contoh, saya sendiri takut dan cemas ketika menonton salah satu filem seram melayu bertajuk "Khurafat" yang sentiasa memaparkan babak-babak suspens serta makhluk halus.
Dari sudut pandangan tokoh-tokoh islam pula, mereka turut mendefinisikan emosi takut menurut ajaran islam. Iman al-Ghazali dalam menghuraikan emosi takut telah mengibaratkan emosi takut itu sebagai sesuatu yang menikam dan terbakar di dalam hati disebabkan oleh datangnya sesuatu perkara yang sangat dibenci dan tidak diingini. Pada sudut pandangan yang berbeza, Abd Aziz Mohd Zin pula menjelaskan, takut merupakan perasaan yang ada pada diri manusia. Manusia akan merasa takut ketika berhadapan dengan perkara yang merbahaya dan mendatangkan kerosakan. Di samping itu, berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang emosi takut, Muhammad Uthman Najati dalam bukunya al-Quran wa Ilm al-Nafs telah membahagikan perasaan takut yang ada pada manusia kepada beberapa jenis iaitu takut kepada Allah, takut kepada manusia, takut kepada kematian dan takut kepada miskin.
Emosi negatif kedua ialah perasaan malu. Perasaan malu boleh didefinisikan sebagai satu keadaan yang membuatkan kita berasa tidak selesa, keliru atau segan yang mana selalu dikaitkan dengan maruah diri kita. Perasaan malu ini boleh timbul disebabkan kesilapan daripada diri kita sendiri yang diibaratkan sebagai satu kesalahan yang amat berat dan tidak dapat diterima oleh orang lain. Sebagai contoh, melihat kepada pencapaian peperiksaan akhir semester pelajar perubatan. Pelajar ini sudah malas dan berputus asa dalam mengulangkaji pelajaran. Oleh itu, beliau tidak berjaya lulus dalam peperiksaan akhir semester dan tidak berjaya meneruskan tahun pengajian seterusnya. Oleh ha yang demikian, beliau telah menamatkan pengajian daripada universiti kerana malu dengan keputusan dan malu untuk berhadapan rakan-rakan. Melalui sesi kuliah tempoh hari juga, Dr. Zamri menjelaskan malu terbahagi kepada dua iaitu peribadi dan professional. Malu peribadi ialah perasaan malu disebabkan perhatian yang diberikan oleh orang ramai kepada kita kerana kita digosipkan sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang, biasanya orang berpengaruh dan terkenal seperti artis atau pun orang kenamaan. Manakala, perasaan malu yang timbul dari segi professional ialah apabila kita gagal menyempurnakan tanggungjawab atau tugas yang telah diberikan kepada kita disebabkan keyakinan yang tinggi diletakkan mereka terhadap kita, namun disebabkan perkara yang tidak diingini atau pun sebab-sebab tertentu kita gagal menyiapkan tugas yang telah dipertanggungjawabkan.
Emosi negatif yang ketiga pula ialah emosi sedih. Emosi sedih ini timbul apabila kita kehilangan sesuatu yang berharga dalam hidup kita. Sebagai contoh, salah seorang ahli keluarga meninggal dunia disebabkan kemalangan. Selain itu, perasaan sedih juga timbul apabila kita merasakan kita tidak berjaya mendapat apa yang kita inginkan dan kita sudah berputus asa, di mana tiada lagi harapan. Sebagai contoh, tidak berjaya lulus peperiksaan.
Emosi negatif yang terakhir ialah emosi marah. Emosi marah boleh digambarkan sebagai satu perasaan yang timbul apabila manusia tidak puas hati terhadap sesuatu perkara. Kebiasaannya orang yamg marah boleh dilihat berlaku perubahan fisiologi seperti muka menjadi marah, anggota badan menggeletar, pergerakan dan pertuturan bercelaru. Kadang-kala ia diiringi oleh kelakuan luaran seperti cacian, deraan, kutukan dan dendam. Emosi marah adalah antara naluri semulajadi manusia yang dijadikan oleh Allah s.w.t untuk keperluan hidupnya. Sebagai satu sifat yang semulajadi, pada asalnya mempunyai emosi marah bukanlah suatu kecacatan atau kekurangan manusia. Namun begitu, emosi marah ini boleh meenjadi sifat yang keji, jika kemarahan itu menimbulkan perasaan dendam dan melampaui batas kemanusiaan. Emosi marah yang tidak dikawal boleh membawa keburukan dan merosakkan diri sendiri dan orang lain.
Kesimpulannya, emosi negatif ini memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita dan terpulanglah kepada kita untuk menukarkannya sebagai satu emosi yang positif, seterusnya tidak mendatangkan keburukan kepada kita. Sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment