Motivasikan Dirimu
Pada hari ini (17 ogos 2011), topik yang dibincangkan oleh doktor adalah emosi dan motivasi. Motivasi amat penting bagi seseorang pelajar. Jadi, saya merasakan topik ini mempunyai kaitan dengan diri kami sebagai seorang pelajar. Tajuk kuliah kali ini sangat menarik untuk dibincangkan. Walau bagaimanapun, kuliah kali ini bermula agak lewat kerana doktor terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Namun begitu, doktor telah memberikan tugasan kedua yang perlu kami lakukan secara berkumpulan dan kami perlu membuat perbincangan dengan kumpulan masing-masing sementara menunggu ketibaan beliau . Kumpulan yang telah ditetapkan mengikut kumpulan PBL dimana setiap kumpulan terdiri daripada 10 atau 11 orang pelajar. Pada pandangan saya, pembahagian kumpulan yang telah dilakukan merupakan satu tindakan yang bijak kerana kami sudah biasa membuat dan menyelesaikan pelbagai jenis tugasan bersama. Jadi, tidak sukar untuk kami bekerjasama bagi menyiapkan tugasan zt buat kali ini. Tugasan kami ialah membuat soal selidik atau temuramah bagi mengetahui emosi dalam kalangan golongan tertentu seperti golongan pelajar, golongan usahawan, dan lain-lain. Selain itu, terdapat juga topik tugasan di mana kami perlu membuat ulasan mengenai buku atau jurnal yang telah ditetapkan oleh doktor. Kami perlu membuat laporan dan juga pembentangan dalam bentuk slide. Melalui perbincangan yang kumpulan saya lakukan pada hari itu, terdapat beberapa cadangan mengenai topik yang kami akan pilih untuk tugasan zt pada kali ini. Namun begitu, kami belum membuat keputusan dan kami akan mengadakan lagi perbincangan supaya topik yang dipilih mendapat persetujuan ramai bagi memudahkan kerja pembahagian tugas.
Sebelum kuliah bermula, doktor menerangkan tugasan kami dengan lebih terperinci. Setelah memberi penerangan, doktor memulakan kuliah seperti biasa. Emosi dan motivasi mempunyai hubungkait di mana emosi seseorang boleh berubah apabila dipengaruhi oleh motivasi yang ada pada diri seseorang itu. Emosi terbahagi kepada 4 komponen iaitu perasaan (a feeling state), proses kognitif (cognitive process), perubahan fisiologi (physiological changes) dan tingkahlaku berkaitan (associated behaviour). Menurut Baron dan Logan, 1993, emosi juga tidak dapat dipisahkan dari movasi manakala menurut Lang et al, 1992, emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional.
Pada pandangan saya, motivasi ibarat enzim yang menjadi pemangkin bagi mempercepatkan berlakunya sesuatu proses. Motivasi dapat mendorong seseorang untuk berjaya kerana motivasi meningkatkan keyakinan seseorang dan dapat meningkatkan keazamannya untuk mencapai kejayaan. Sebagai contoh, jika seseorang itu mempunyai motivasi yang tinggi, kegagalan yang dialami seperti gagal dalam peperiksaan tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berusaha malah kegagalan itu menjadi pembakar semangat dan akan menyebabkan dia terus mencuba sehingga beroleh kejayaan. Dengan kata lain, emosi itu menjadi pendorong dalam kejayaan seseorang itu dan kebiasaannya emosi bagi mereka yang mempunyai motivasi yang tinggi lebih kepada emosi positif. Emosi negatif pula selalunya dialami oleh mereka yang kurang mempunyai motivasi dalam diri mereka yang mana menyebabkan mereka mudah mengalami kemurungan apabila gagal dalam pepriksaan dan mereka akan menjadi tidak bersemangat untuk terus berusaha dan akhirnya akan terus gagal berulang-ulang kali. Seseorang yang tidak mempunyai motivasi yang tinggi mudah berputus asa dan tidak mempunyai pendirian yang tetap kerana mereka tidak yakin dengan diri sendiri. Saya seorang yang mudah patah semangat apabila mengalami kegagalan. Tetapi apabila saya beroleh kejayaan, saya akan terus bersemangat dan terus berusaha supaya saya beroleh kejayaan dalam semua modul yang saya ambil. Emosi saya juga tidak menentu tetapi kebiasaannya saya akan berada dalam kemurungan apabila keputusan peperiksaan yang saya dapat tidak seperti apa yang saya harapkan. Syukur saya mempunyai sahabat yang memahami dan sentiasa memberi kata-kata semangat sekiranya saya tidak bersemangat untuk belajar dan kata-kata ini menjadi motivasi kepada saya dan mempengaruhi emosi saya. Keluarga saya juga banyak memberi motivasi kepada saya sehinggalah saya yakin yang saya mampu melalui semua cabaran yang saya hadapi sepanjang pengajian saya dalam bidang perubatan. Tidak saya nafikan, sebagai seorang pelajar perubatan memang banyak dugaan dan cabaran yang saya hadapi tetapi cabaran dan dugaan itu lah yang menjadikan kita lebih matang dan kita menjadi lebih berpengalaman untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Bermula tahun lepas, Fakulti Perubatan telah memperkenalkan program mentor-mentee. Melalui program ini, setiap kumpulan yang terdiri daripada 10 hingga 11 orang pelajar akan diketuai oleh seorang doktor yang bertindak sebagai mentor. Tugas mentor adalah memantau pencapaian pelajar dan mereka juga bertindak sebagai kaunselor di mana pelajar boleh meluahkan dan berkongsi masalah mereka tidak kiralah sama ada mengenai pelajaran, keluarga atau masalah peribadi. Mentor saya seorang yang sangat mengambil berat mengenai masalah kami. Saya akan berjumpa dengan mentor saya setiap kali selepas peperiksaan dan adakalanya beliau sendiri menyuruh kami berjumpa dengan beliau setiap dua bulan bagi memastikan kami tidak mengalami sebarang masalah. Mentor saya banyak membantu sepanjang saya belajar di sini. Beliau telah banyak menasihati dan memberi motivasi kepada saya dan ini amat membantu lebih-lebih lagi apabila hari peperiksaan semakin hampir kerana saya seorang yang suka belajar pada minit-minit akhir. Jadi, beliau menasihati saya supaya belajar secara konsisten supaya saya dapat memahami sesuatu topik dengan lebih mudah dan dengan cara ini saya dapat mengingati sesuatu topik untuk jangka masa yang lama manakala kita hanya boleh mengingati sesuatu topik untuk jangka masa yang pendek sekiranya kita menghafal dan kebiasaannya selepas peperiksaan kita akan terus lupa apa yang dibaca.
Pada pendapat saya, motivasi terbahagi kepada dua iaitu motivasi dalaman dan motivasi luaran. Motivasi dalaman (spirituality) adalah motivasi yang datang dari dalam diri kita sendiri. Kebiasaannya, motivasi dalaman juga dikaitkan dengan kerohanian di mana berkait rapat dengan kepercayan dan agama yang kita amalkan. Saya akui, ibadat banyak membantu dan memotivasikan seseorang dan apabila rohani kita bersih dan kuat, kita tidak akan mudah berputus asa. Motivasi luaran pula adalah motivasi yang kita dapat dari luar seperti dari kawan-kawan, pensyarah, kaunselor dan keluarga. Terdapat pelbagai cara untuk kita meningkatkan motivasi dalam diri kita dan salah satunya ialah dengan membaca buku motivasi yang ditulis oleh pakar motivasi. Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman mereka dan saya sendiri pernah membaca buku-buku seperti ini. Bagi saya, buku motivasi yang saya baca mengajar saya untuk berfikir dan memberi idea untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang saya hadapi. Walau bagaimanapun, cara yang lebih baik ialah dengan berjumpa seseorang yang profesional untuk mendapatkan nasihat dan motivasi iaitu kaunselor kerana mereka mempunyai banyak pengalaman dan selain memberikan motivasi, mereka juga boleh mengajar kita untuk menguruskan emosi kita. Saya pernah menjalani sesi kaunseling di mana pelbagai aktiviti atau tugasan yang perlu saya buat seperti melukis, membuat surat kepada diri sendiri dan meminta kawan rapat saya untuk menulis tentang keburukan dan kebaikan yang ada pada diri saya. Sesi kaunseling ini amat berkesan kerana saya lebih memahami tentang diri saya dan meningkatkan keyakinan diri dan mengubah pemikiran saya (mind-set) di mana saya mula berfikir secara positif dan percaya yang saya boleh berjaya dan berhak memperoleh kejayaan.
Sebelum memulakan kuliah yang kedua pada hari itu, doktor mengajak kami untuk mendengar satu lagu yang digubah oleh seorang pensyarah dari Universiti Malaya yang mana menceritakan tentang kesusahan dan cabaran yang dihadapi olehnya sebelum bergelar pensyarah yag berjaya. Saya lihat ada sebilangan kawan saya yang menitiskan air mata apabila mendengar lagu ini. Mungkin bagi yang tidak mengalami masalah yang sama tidak begitu memahami dengan lagu ini. Tetapi saya memahami apa yang dialami oleh pensyarah ini kerana saya bukanlah berasal dari keluarga yang senang. Saya juga pernah mengalami kesempitan hidup dan ayah saya terpaksa membuat pinjaman bagi membantu saya melanjutkan pelajaran. Tetapi semua cabaran ini lah yang mendorong kita untuk sentiasa tabah dan memotivasikan kita untuk mengharungi semua cabaran ini dengan hati yang terbuka dan menjadi pemangkin untuk kita terus berjaya.
Ulasan yang saya buat untuk jurnal kali ini lebih banyak menjurus kepada penceritaan mengenai pengalaman saya dan saya kurang membuat ulasan dari nota kuliah yang disampaikan oleh doktor tetapi saya rasa apa yang disampaikan oleh doktor lebih kurang dengan apa yang saya coretkan dalam jurnal ini. Kesimpulannya, tidak kira apa jua dugaan dan cabaran yang kita hadapi, selagi kita pandai menguruskan emosi dan mempunyai motivasi dalam diri kita, kejayaan pasti akan menjadi hak milik kita dan apa yang penting kita perlulah yakin dengan diri kita dan jangan mudah berputus asa kerana permulaan sesuatu kejayaan adalah datangnya dari kegagalan.
No comments:
Post a Comment