Sunday, August 21, 2011

Selamat sejahtera, seperti setiap hari Rabu yang lepas, saya telah menghadiri kuliah ZT Pengurusan Emosi yang diberi Dr Zamri, dan saya juga telah banyak memperoleh pengetahuan tentang topik yang telah dibincang semasa kuliah tersebut. Pertama sekali Dr Zamri telah menerangkan tentang tugasan ZT kedua yang kami perlu buat pada masa akan datang. Kita juga diberi taklimat tentang langkah-langkah menjalankan tugasan 2 seperti  cara yang betul untuk mengisi borang pendaftaran kumpulan, penulisan kertas kerja dan cara pembentangan. Kemudiannya, kami diperkenalkan tentang borang PENGKALAN yang merupakan borang penilaian kumpulan berdasarkan prestasi mereka.
 
Topik yang dibincangkan ialah 'Emosi dan Motivasi'. Secara teorinya, emosi boleh dikategorikan kepada emosi positif dan negatif; emosi neutral adalah tidak wujud sama sekali. Manakala motivasi difikirkan sebagai pendorong tindakan yang directional dan energizing. Emosi merupakan perubahan fisiologikal, penilaian kognitif, perasaan, tingkahlaku untuk bertindak dipengaruhi oleh budaya (emosi yang dianggap positif, negatif; bagaimana luahkan emosi dan sebagainya. Oleh yang demikian, berbanding dengan perasaan, emosi sebenarnya mempunyai makna yang lebih luas. Emosi boleh berfungsi sebagai motivasi kepada tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional. Sebagai contoh, cinta akan memotivasikan seseorang untuk mengambil tindakan tertentu, seperti menghantar mesej ringkas, memberi hadiah, menelefon dan sebagainya. Emosi mencetuskan dorongan untuk bertindak.
 
Emosi juga merupakan satu keadaan arousal yang melibatkan perubahan muka dan badan, aktivasi otak, perasaan subjektif dan kecenderungan untuk bertindak, semuanya dibentuk oleh peraturan udaya. Oleh itu, emosi berfungsi sebagai sistem kesesuaian badan kita terhadap keadaan yang berlaku di sekeliling, dan membantu dalam menyampaikan niat kita kepada individu lain. Motivasi ialah di mana kita memilih apa tindakan yang bakal dilakukan (Bickhard, 1997) Motivasi mempunyai faktor-faktor luaran dan dalaman yang membuatkan seseorang melakukan sesuatu. Antara konsep-konsep berkaitan dengan motivasi termasuklah 'drive', iaitu desakan dalaman yang mengaktifkan tingkahlaku untuk melakukan sesuatu. 'Incentif', iaitu matlamat luaran yang 'menolak atau 'menarik' sesuatu kecenderungan untuk bertindak. Konsep-konsep lain termasuklah 'Instinct', iaitu motif adalah semulajadi, 'Arousal', iaitu kita didorong untuk mengekalkan aras kebangkitan yang optimum. Hubungan emosi dan motivasi, emosi mementingkan arousal, manakala motivasi mementingkan tindakan.
 
Selepas itu, kami telah didedahkan kepada Teori FKP, topik yang diajar oleh Dr Zamri seterusnya. Teori yang dimaksudkan ialah teori-teori fisiologikal, kognitif dan psikoanalitik. Teori-teori ini menerangkan bagaimana pengalaman itu dialami. Walaupun teori-teori yang dipelajari sebelum ini menerangkan sebahagian besar konsep emosi, namun teori seperti 'Teori Evolusi' tidak menjelaskan beberapa ciri-ciri penting emosi. Antara ciri penting emosi yang tidak diterangkan oleh teori evolusi termasuklah sebab emosi kegembiraan dialami semasa sesuatu situasi dan emosi kesedihan dalam situasi yang berlainan pula, serta implikasinya sekiranya kita mengalami suatu emosi. Teori ini juga tidak membincangkan hubungan atau perkaitan antara emosi dan tingkahlaku. Kelemahan teori-teori ini membawa kepada kewujudan teori-teori yang berkaitan dengan pengalaman emosi, iaitu Teori FKP: teori fisiologikal, kognitif dan psikoanalitik.
 
Teori-teori utama dalam pengalamam emosi bersetuju bahawa emosi mempunyai beberapa komponen. Komponen-komponen ini termasuklah perasaan subjektif, penilaian kognitif, rangsangan fisiologi, ekspresi emosi secara motor menerusi pergerakan badan, dan kecenderungan motivasi berdasarkan keperluan untuk bertindak mengikut emosi. Namun demikian, teori-teori ini berbeza dari segi kepentingan relatif setiap komponen serta susunan komponen-komponen ini dalam urutan peristiwa yang membawa kepada suatu respon emosi. Ketiga-tiga teori ini juga mempunya perbezaan dari segi asas fisiologi (teori fisiologi), peranan kognitif dalam emosi (teori kognitif) dan peranan ketidaksedaran (teori psikoanalitik).
 
Ahli-ahli teori yang berorientasikan fisiologi menekankan bahawa emosi adalah hasil utama otak dan sistem saraf. Asal usul teori-teori ini adalah pemerhatian terhadap reaksi fiologikal seseorang individu terhadap rangsangan. Pendekatan utama dalam teori ini termasuklah teori James Lang (James Lang Theory), teori Cannon-Bard (Cannon-Bard theory) dan teori psikobiologikal (Psychobiological Theory). Teori James Lang merupakan teori psikologi pengalaman emosi yang tertua yang dirumuskan oleh William James pada tahun 1884. Teori ini mendapat sokongan pada daripada Carl Lange pada tahun 1887. Teori ini dinamakan teori James-Lang atas sumbangan William James dan Carl Lange. Hipotesis yang dikemukan dalam teori ini ialah reaksi fisiologikal terhadap sesuatu rangsangan menjana emosi. Menurut teori ini, emosi merupakan persepsi diri terhadap perubahan fisiologi yang berlaku di dalam badan. Misalnya, apabila saya dikejutkan oleh seseorang, jantung saya akan berdebar-debar dan badan saya berpeluh. Seterusnya, saya akan berasa takut.
 
Walau bagaimanapun, teori James-Lange telah dicabar dan ditolak oleh  ahli psikologi Walter Cannon dan Philip Bard. Beliau mengatakan bahawa sistem organ manusia yang merangsang respons emosi bertindak lambat terhadap rangsangan. Reaksi emosi mengikuti rangsangan dengan cepat.  Kemudian pada tahun 1920,  teori Cannon-Bard theory of emotion yang menyatakan bahawa perubahan fisiologi adalah disebabkan oleh pengaruh emosi telah diformulasikan. Teori Cannon-Bard mencadangkan bahawa rangsangan dalaman dan luaran akan dihantar ke otak kita dan sensasi emosi tertentu akan dihasilkan. Suatu rangsangan akan menyebabkan tindak balas badan dan sensasi emosi.
 
Teori psikobiologikal pula diasaskan oleh Jack Panksepp. Beliau mencadangkan 4 emosi asas, iaitu ketakutan, kemarahan, panik dan juga harapan. Interaksi antara keempat-empat emosi tersebut akan menghasilkan emosi yang lain. Beliau juga telah mengenal pasti system emosi asas berdasarkan struktur yang terkandung dalam limbic system.
 
Untuk teori kognitif pula, ada ahli teori moden mencadangkan bahawa pemikiran dan proses kognitif juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan emosi. Antara teori yang dicadangkan adalah Schachter's Cognitive Labeling Theory dan Misattribution. Schachter's Cognitive Labeling Theory menyatakan bahawa persepsi terhadap situasi rangsangan akan membawakan kita melabelkan emosi. Namun begitu, teori tersebut telah mendapat beberapa kritikan. Contohnya, tindakan melabelkan emosi biasanya berdasarkan pengalaman lepas dan juga ingatan, bukan hanya faktor situasi semasa sahaja. Oleh sebab Schachter mencadangkan bahawa sesuatu emosi yang dialami oleh seseorang adalah disebabkan proses label, oleh itu adalah kemungkinan besar bahawa arousal daripada punca emosional (contohnya, ketakutan) boleh membawa kepada punca yang bukan emosional (contohnya, dadah).
 
Teori-teori fisiologi dan teori-teori kognitif yang dikemukan oleh ahli-ahli teori yang berorientasikan fisiologi dan kognitif memberi tanggapan bahawa emosi itu adalah suatu proses manusia sedar. Namun demikian, teori-teori ini mendapat tentangan hebat dari Sigmund Freud. Beliau membuat anggapan bahawa pengalaman emosi adalah satu proses yang berlaku tanpa manusia menyedarinya. Beliau berpendapat bahawa emosi, motif dan ingatan lama yang manusia tidak sedar wujud boleh mempengaruhi tingkah laku manusia. Kebanyakan pengalaman emosi semasa zaman kanak-kanak adalah secara tidak sedar. Pengalaman secara tidak sedar ini merupakan punca utama emosi dan motivasi. Penekanan teori ini adalah kepada emosi-emosi negatif terutamanya emosi bimbang dan marah. Manusia mempunyai emosi bimbang dan marah kerana berlakunya konfilk di paras tidak sedar diri. Contohnya, seseorang individu mungkin akan rasa bimbang dan marah tanpa sebab yang tertentu.
 
Selain menyampaikan kuliah, Dr Zamri juga telah menayangkan sebuah musik video yang bertajuk 'Balik Asal'. Daripada video tersebut saya telah memperoleh pengajaran bahawa dalam kehidupan seharian kita, cabaran adalah tidak dapat dielakkan. Mungkin ada orang yang banyak menghadapi kesusahan dan ada pula sebaliknya. Walau bagaimanapun, yang paling penting sekali adalah kita mesti sedar bahawa cabaran dan kesusahan merupakan peluang untuk kita belajar mengamalkan sikap ketabahan dan tidak berputus asa dalam usaha mengatasi kesusahan dan mencapai kejayaan. Saya amat berterima kasih kepada Dr Zamri kerana beliau bukan sahaja memenuhi amanah sebagai pensyarah kuliah kami tetapi juga berusaha membimbing kami dalam perkara yang bukan akademik seperti kesedaran tentang nilai-nilai murni dan sebagainya.
 
Pada kesimpulannya, dari kuliah tersebut saya telah banyak memperoleh pengetahuan. Saya berpendapat bahawa kita perlu pandai mengawal emosi dengan menjadikan emosi sebagai pendorong positif yang akan membawakan motivasi positif kepada kami.
 

No comments:

Post a Comment