Sunday, August 21, 2011

A131952 SITI NABILA BINTI SHAFIE LJ04 EMOSI DAN MOTIVASI SALING BERKAIT

Assalamualaikum. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana saya masih lagi diberikan kesempatan untuk menulis jurnal yang keempat pada kali ini. Jurnal saya pada kali ini akan berdasarkan kuliah kelima pada 17 Ogos yang lalu bersamaan 17 Ramadan yang bertajuk Emosi dan Motivasi dan Teori Solomon. Pada kuliah kali ini, Dr Zamri datang agak lewat. Bagi mengisi kekosongan masa tersebut, kami telah diarahkan untuk mengadakan satu perbincangan untuk setiap kumpulan PBL. Perbincangan ini adalah mengenai pemilihan tajuk untuk tugasan 2 ZZZT2253, iaitu 'presentation'. Setiap kumpulan akan terdiri daripada 10 hingga 11 orang ahli. Lebih kurang pada pukul 2.40, Dr. Zamri telah tiba di dewan kuliah. Beliau menerangkan tugasan 2 dengan lebih terperinci.
 
                Definisi emosi telah saya rungkaikan dalam jurnal pertama saya yang lalu. Emosi terdiri daripada empat komponen utama, salah satu daripadanya ialah perasaan. Emosi boleh menjadi positif atau negative bergantung kepada keadaan seseorang itu. Emosi tidak akan pernah menjadi neutral (semulajadi). Emosi dan motivasi mempunyai kaitan yang sangat kuat antara satu sama lain. Motivasi adalah dimaksudkan dengan faktor dalaman atau luaran seseorang yang menggerakkan dan memberi semangat atau tenaga kepada tingkah laku individu tersebut. Menurut pandangan Baron & Logan, 1993, emosi dan motivasi tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain.
 
Saya seorang peminat aliran muzik dan drama Korea. Salah satu drama Korea yang saya paling ingati ialah 'New Heart' yang berkisahkan tentang kehidupan doktor-doktor di wad bahagian thoraks dankardiovaskular(jantung). Dalam drama ini, watak utamanya, Choi Kang Gook yang dilakonkan oleh Jo Jae Hyun sangat bermotivasi dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang pakar bedah jantung di Hospital Seoul. Beliau menjadikan pesakit-pesakitnya sebagai batu loncatan kepada kejayaannya. Impian dan cita-cita beliau adalah untuk memastikan semua pesakit yang dimasukkan ke wad bahagian thoraks dan kardiovaskular dapat sembuh dan kembali menjalani rutin harian seperti sedia kala. Beliau sanggup bersusah payah demi memastikan setiap pesakit dapat kembali pulih seperti sedia kala. Segala risiko yang tinggi diambil bagi memastikan impian beliau dipenuhi. Emosi beliau yang dikaitkan dengan perasaan sedih dan simpati kepada pesakit-pesakitnya telah menjadi motivasi untuk beliau berjuang meneruskan impian dan cita-cita beliau. Ini jelas membuktikan bahawa emosi dan motivasi saling berkait rapat.
 
Drama berjudul 'You've Fallen For Me' yang mempunyai 15 episod baru sahaja tamat bersiaran pada 18 Ogos yang lepas. You've Fallen For Me banyak memberikan kesan yang mendalam kepada saya sebagai penontonnya. Babak-babak yang beremosi banyak terdapat dalam drama ini. Babak yang paling saya tidak boleh lupakan ialah apabila watak utama dalam drama korea ini, Lee Shin yang berusia 21 tahun mendapat berita akan kematian ayahnya. Lee Shin sangat sedih dan menerima impak yang sangat besar atas dirinya. Tambahan pula, beliau baru sahaja mengenali ayah kandungnya itu kerana dia dibesarkan oleh ibu kandung dan seorang bapa tiri. Sehari suntuk beliau bersedih mengenangkan pemergian ayahnya. Namun begitu, keesokannya, beliau kembali ke university semula dengan muka yang ceria. Beliau menjadi lebih bersemangat untuk belajar. Pada pendapat saya, emosi beliau telah mendorong beliau memotivasikan diri untuk meneruskan kehidupan dan menggapai impiannya untuk menjadi seorang pemain gitar yang terkemuka. Beliau nekad untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk menggantikan tempat ayahya yang dahulunya pemain gitar yang terkenal. Babak ini telah membuktikan teori Lang et al 1992 yang menyatakan bahawa emosi bertindak sebagai motivasi kepada tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional.
 
Seperti yang saya nyatakan di atas bahawa saya merupakan peminat aliran muzik, kpop, dan drama Korea. Saya mempunyai penyanyi yang saya paling gemari dan kagumi iaitu Jung Yong Hwa daripada kumpulan band CNBLUE. Emosi yang terdiri daripada perasaan suka dan minat akan penyanyi ini telah mendorong saya untuk menjadi lebih rajin dan berusaha untuk mencapai cita-cita saya sebagai seorang doktor. Mesti kalian akan berasa hairan dan akan mempersoalkan, "apakah kaitan antara penyanyi dan doktor?" Kalau dipandang dengan mata kasar, memang dua kerjaya ini tidak ada kaitan langsung. Namun, jika dipandang dari sudut usaha, sudah pasti terdapat hubung kait yang rapat. Yong Hwa telah menjadi pelatih dalam agensi muzik FNC Academi selama beberapa tahun, sebelum beliau dapat 'debut' sebagai seorang penyanyi dan pemain gitar dalam kumpulan band CNBLUE. Dalam tempoh latihannya, dia berada dalam keadaan sukar kerana jadual latihan yang sangat padat di samping perlu berlatih di negera Jepun yang mana bukan negara asalnya. di sini, igin saya samakan diri saya sebagai seorang pelajar perubatan dengan Yong Hwa. Hal ini kerana sebelum saya 'graduate' menjadi seorang doctor, saya perlu belajar dengan tekun dan gigih selama 5 tahun, yang merupakan suatu jangka masa yang sangat lama jika dibandingkan dengan kursus-kursus lain. Apabila saya membaca kisah hidup dan perjalanan Yong Hwa, saya akan menjadi lebih bermotivasi untuk meneruskan kehidupan saya sebagai pelajar perubatan di UKM. Yong Hwa mengajar saya untuk 'bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian'.
 
Walaubagaimanapun, tidak semua keadaan, emosi menjadi pendorong(motivator) dan tidak semua pendorong berasaskan kepada emosi. Contohnya, seseorang makan bukan berdasarkan emosi, tetapi disebabkan 'hunger motive'. Namun begitu, jika seseorang dikaitkan dengan emosi atau tekanan stress, mungkin boleh menyebabkan dia makan dengan sangat banyak. Kesimpulannya di sini, emosi dan motivasi dapat dikaitkan mengikut keadaan yang tertentu sahaja.
 
Teori fisiologikal dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu, Teori James-Lange, Teori Cannon-Bard, dan Teori Psikobiologikal. Teori ini menerangkan bahawa emosi terhasil daripada otak dan sistem saraf serta berasal daripada respons fisiologi atas sesuatu rangsangan(stimulus). Teori James-Lange menyatakan bahawa respons fisiologikal terhadap sesuatu rangsangan menyebabkan emosi itu berlaku. Manakala, dalam Teori Cannon-Bard pula, mereka berpendapat bahawa rangsangan dalaman atau luaran akan menjadi impulse deria. Impulse ini akan dihantar ke otak untuk diproses dan seterusnya emosi akan terhasil.
 
Akhir kalam, secara keseluruhannya, saya menyokong sepenuhnya pandangan daripada Baron & Logan, 1993 yang menyatakan bahawa emosi tidak dapat dipisahkan daripada motivasi dan idea daripada Lang et al, 1992 iaitu, emosi bertindak sebagai motivasi kepada tingkah laku dan motif serta boleh menjadi emosional. Namun begitu, kedua-dua pendapat ini haruslah bersesuaian dengan situasi atau keadaan. Emosi tidak menjadi pendorong(motivasi) dalam semua keadaan dan tidak semua pendorong(motivasi) adalah berasaskan emosi. Sebagai seorang pelajar, motivasi sangat penting dalam diri saya dan saya perlu pandai menjadikan atau memilih emosi yang bersesuaian agar dapat menjadi pendorong kepada kejayaan saya. Perkara yang paling utama bagi saya adalah keyakinan yang tinggi kepada Allah dan keyakinan inilah merupakan pendorong utama sesebuah kejayaan.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan dibukakan jalan keluar baginya (daripada sebarang masalah) dan akan dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga."
(Surah at-Talaaq, ayat 2-3)
 
 

No comments:

Post a Comment