Sunday, August 21, 2011

A131896, Nur 'Ain Diyana Ismail LJ 04, Keperluan Emosi

                  Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada sesiapa sahaja yang sudi untuk singgah dan membaca jurnal saya pada minggu ini. Jurnal pada kali ini merupakan hasil tulisan saya yang keempat setelah menghadiri kesemua kuliah yang telah diberikan oleh Dr. Zamri. Kuliah yang disampaikan pada minggu ini adalah mengenai emosi dan motivasi serta pengenalan kepada teori fisiologikal, kognitif dan psikoanalitik (FKP).


Emosi dan motivasi? Adakah ianya berkait rapat antara satu sama lain? Adakah selama ini emosi yang menjadi sumber motivasi kepada kita dalam mengharungi kehidupan kita seharian? Semua persoalan ini terjawab setelah saya menghadiri kuliah pada minggu ini. J. Seperti yang pernah diterangkan dalam jurnal saya yang pertama, emosi dibina oleh empat komponen penting iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan juga tingkah laku refleks yang berkaitan manakala motivasi pula merupakan faktor-faktor yang memberi galakan dan dorongan secara langsung atau tidak langsung kepada seseorang dalam keinginan mereka untuk mencapai atau memperoleh sesuatu. Maka jelasnya, emosi dan motivasi sememangnya merupakan dua perkara yang berbeza, namun kedua-duanya mempunyai kaitan antara satu sama lain. Ini dapat dibuktikan melalui pendapat Baron & Logan (1993) yang mengatakan bahawa emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi.


Sebagai contoh melalui pengalaman saya sendiri, apabila saya menghadapi kegagalan sememangnya saya tidak boleh lari dari rasa sedih dan tertekan. Perasaan kecewa yang amat sangat menyebabkan saya tidak mahu untuk merasai perasaan kecewa untuk kali kedua dan sedaya upaya untuk tidak mengulangi kesilapan yang telah saya lakukan. Saya berpegang kepada kata-kata 'gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya' , selagi kita boleh berusaha untuk bangun dan menghadapi setiap rintangan hasilnya kita pasti akan menemui kejayaan. Saya juga tertarik dengan kata-kata "Hari yang mendatang tidak akan memberikan sebarang makna jika kegagalan semalam tidak dijadikan teladan." Maka, kekecewaan ini telah menjadi pengajaran kepda saya agar lebih bersungguh-sungguh untuk memastikan matlamat saya tercapai.


Kecewa apabila menghadapi kegagalan (emosi) + bersungguh-sungguh mencapai matlamat (motivasi)   = KEJAYAAN


Selain itu, Terdapat juga ramai nama-nama besar yang mengahadapi berkali-kali kegagalan tetapi akhirnya menjadi seorang yang sangat berjaya contohnya penulis siri buku Harry Potter, J.K Rowling. Walaupun pada awalnya, hasil tulisannya tidakmendapat sokongan dan perhatian daripada penerbit buku dan orang sekelilingnya, tetapi dengan semangat yang kental dan tidak erti maksud putus asa, akhirnya hasil tulisannya menjadi kegilaan ramai dari setiap pembaca di seluruh pelusuk dunia. Walaubagaimanapun, tidak semua keadaan emosi menjadi pendorong dan sebaliknya kerana terdapat juga motif lain contohnya motif lapar yang mendorong seseorang untuk makan. 

Kuliah pada minggu ini juga telah memperkenalkan teori baru iaitu :

·         James-Lange Theory -> emosi yang hadir selepas perlakuan.

·         Cannon's Challenge -> emosi yang akan menyebabkan sesuatu tingkah laku.

·         Two Factor Theory -> emosi yang wujud selepas perubahan fisiologi kesan daripada ransangan.

Kesimpulannya, emosi akan mempengaruhi tindak balas dari tubuh badan bagi menyesuaikan diri dalam sesuatu keadaan yang menjadi ransangan misalnya,

·         Perempuan itu berlari kerana terdapat seorang lelaki yang mencurigakan cuba mendekatinya.

Tambahan lagi, emosi juga merupakan satu keadaan arousal iaitu keadaan fisiologi dan juga psikologi yang melibatkan perubahan reaksi muka dan juga  badan, pengaktifan otak, penilaian kognitif,  perasaan subjektif, dan kecenderungan terhadap tindakan yang dibentuk oleh budaya individu itu. Manusia akan sentiasa bermotivasi untuk cuba mengekalkan emosi ke tahap yang optimum. Maka dapat saya ringkaskan di sini bahawa emosi menekankan arousal, dan motivasi menekankan tindakan

Terdapat tiga faktor penting dalam konsep motivasi iaitu :  

·         Motivasi-> faktor dalaman dan luaran yang mendorong sesuatu perlakuan pada waktu tertentu.

·         Drive-> gerak hati dalaman yang yang mengaktifkan sesuatu tingkah laku bagi mengurangkan keperluan dan memulihkan homeostasis.

·         Insentif-> satu matlamat luaran yang berfungsi untuk "menarik" atau "menolak" tingkah laku.

Manakala  berdasarkan Humanistic Theory, Abraham Maslow telah berpendapat bahawa motif dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu dari keperluan asas (fisiologi dan keselamatan) hinggalah keperluan psikologi ( hak milik dan keperluan diri) dan juga kepuasan diri.

 

             Sebelum memulakan kuliah yang berikutnya, kami telah menonton satu klip video yang bertajuk 'bangkit asal' nyanyian Halim Yazid, salah seorang pegawai kebudayaan di Universiti Malaya (UM). Lagu ini berkisarkan kisah hidup beliau, walaupun beliau datang dari keluarga yang susah namun sebagai anak sulung dan rasa tanggungjawab untuk mengubah nasib keluarganya, beliau telah berusaha bersungguh-sungguh hingga berjaya menggenggam segulung ijazah sekalipun terdapat kata-kata orang sekelilingnya bahawa kemasukannya ke universiti itu adalah sia-sia dan merugikan tetapi beliau hanya mengambilnya sebagai motivasi untuk dirinya dan akhirnya berkat kesabaran dia berjaya juga menghabiskan pembelajarannya. Maka terbuktilah bahawa emosi itu akan menjadi motivasi kepada seseorang.

 

Tajuk kuliah yang berikutnya ialah mengenai teori FKP,  berdasarkan teori ini pengalaman emosi boleh terbahagi kepada tiga iaitu teori fisiologi, teori kognitif dan juga teori psikoanalisis. Melalui teori fisiologi, ahli-ahli teori fisiologi telah menekankan bahawa emosi pada dasarnya merupakan satu produk otak dan system saraf, ransangan yang akan mempengaruhi tindak balas fisiologi. Teori ini merujuk kepada teori James-Lange , Cannon-Bard dan juga teori psikobiologi. James-Lange berpendapat bahawa reaksi fisiologi terhadap sesuatu ransangan akan melahirkan emosi. Namun pendapat ini dikritik oleh Walter Cannon, beliau berpendapat bahawa sistem organ yang mencetuskan tindak balas emosi adalah amat perlahan manakala tindak balas emosi terhadap ransangan adalah lebih pantas. Maka,beliau menolak teori ini kerana baginya kesan fisiologi terlalu lambat untuk menyebabkan tindak balas emosi dan pada pendapatnya, ransangan akan menyebabkan kedua-dua tindak balas badan dan emosi berlaku dengan serentak.

 

Teori kognitif pula dibina berdasarkan teori fisiologi dan beberapa ahli teori moden berpendapat bahawa kognisi atau pemikiran mempunyai peranan utama dalam menjana dan membimbing emosi. Teori kognitif ini berkaitan dengan pelabelan teori kognitif Schachter iaitu peranan pelabelan kognitif dalam menentukan pengalaman emosi. Ia juga berkait rapat dengan salah anggapan (misattribution) iaitu apabila seseorang itu salah anggap tehadap emosi untuk tujuan yang salah. Teori fisiologi dan kognitif boleh disimpulkan sebagai teori  'conscious (sedar)  nature of emotional experience'. Walaubagaimanapun, Sigmund Freud tidak bersetuju dengan teori dan beliau mengatakan bahawa pengalaman emosi adalah proses tidak sedar (unconscious) iaitu pengalaman lalu yang kita tidak sedar tetapi mampu mempengaruhi tingkah laku kita. Contohnya, kita akan berasa marah tanpa sebab secara tiba-tiba. Hal ini,mungkin disebabkan oleh kenangan lama yang kemungkinan terbit di minda kita atau dendam lama yang masih terbuku di jiwa.

 

Kesimpulan daripada keseluruhan jurnal saya pada kali ini ialah emosi merupakan komponen penting dalam hidup kita cuma yang membezakan samada kita pandai untuk mengawalnya agar emosi ini menjadi sesuatu yang membinasakan atau memotivasikan. Semuanya lahir dari minda, jika kita memikirkan ianya akan mendatangkan kebaikan maka kita akan bertemu dengan kebaikan dan juga sebaliknya. Maka, untuk mencapai sesuatu kejayaan itu, janganlah kita cepat mengalah dan putus asa kerana kita mungkin tidak sedari bahawa jika kita teruskan setapak lagi akhirnya kita akan bertemu dengan kejayaan itu. Seperti kata-kata Said Mustafa, "Memang amat tinggi letaknya kebahagiaan, namun kita harus menuju ke sana. Ada orang yang berputus asa berjalan ke arahnya lantaran disangkanya jalan ke sana amat sukar padahal mudah, kerana ia dimulai daripada dirinya sendiri".

No comments:

Post a Comment