Sunday, August 21, 2011

A131853 Ezza Amirah binti Ruslan LJ04 Emosi dan Motivasi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Alhamdulillah, minggu ini sudah masuk kuliah kelima yang saya hadiri untuk kursus ZT Pengurusan Emosi ini. Pertama sekali, secara jujur saya katakan pada minggu ini, saya tidak dapat menumpukan seratus peratus perhatian semasa kuliah yang disampaikan oleh Dr Zamri. Mungkin kerana terlalu penat dengan bermacam-macam tugas akademik dan bukan akademik yang diberikan kepada kami semua. Namun, apa yang penting ialah saya masih dapat menambah pengetahuan saya tentang Emosi selepas menghadiri kuliah minggu ini. Setelah menghadiri kuliah Pengurusan Emosi dari seminggu ke seminggu, saya merasakan setiap yang saya lalui itu sangat berkait rapat dengan apa yang saya pelajari sepanjang kuliah. Hal ini membantu saya dalam mengadaptasi apa yang saya pelajari ke dalam kehidupan sebenar.

Tajuk utama pada minggu ini ialah 'Emosi dan Motivasi'. Berdasarkan pengetahuan saya, sememangnya motivasi diri seseorang itu berkait rapat dengan emosi. Emosi mempengaruhi motif seseorang individu. Contoh yang paling mudah ialah apabila kita suka pada seseorang, kita akan berkorban apa sahaja untuk melihat dia gembira. Kita sanggup untuk mengeluarkan sejumlah wang yang besar semata-mata untuk membelikan hadiah hari jadinya. Kita rela meninggalkan kerja yang bertimbun hanya untuk berjumpa dengannya.

Pertama sekali, izinkan saya imbas kembali apa yang telah dipelajari dalam kuliah-kuliah yang lepas. Emosi terbahagi kepada empat komponen; perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku yang berkaitan. Sebagai contoh, orang yang dalam ketakutan - proses kognitif yang berlaku ialah dia sedar bahawa dia dalam bahaya, perubahan fisiologi yang berlaku pula ialah peningkatan denyutan nadi dan kadar pernafasan, dan seterusnya dia akan membuat keputusan 'fight or flight' untuk menjauhkan diri daripada sumber bahaya tersebut atau tidak berganjak.

Motivasi merupakan perkara yang menyebabkan kita bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam membuat sesuatu benda. Selain itu, motivasi membuatkan seseorang memilih yang terbaik bagi dirinya. Ia juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi tingkah laku seseorang. Contohnya apabila kita meletakkan matlamat untuk menjadi seorang doktor yang berjaya, kita menjadi sangat bermotivasi untuk belajar bersungguh-sungguh dan tidak akan melengahkan-lengahkan masa yang terluang untuk mengulangkaji pelajaran. Kita juga tidak akan belajar secara sambil lewa, iaitu dengan matlamat hanya untuk lulus peperiksaan. Sebaliknya, kita akan mengkaji apa yang kita pelajari itu secara mendalam, dan mengambil inisiatif untuk sentiasa bertanya sehingga kita betul-betul fahami apa yang dipelajari itu.

Terdapat tiga konsep motivasi, iaitu 'motivation', 'drive' dan 'incentive'. 'motivation' bererti faktor-faktor yang terdapat di dalam dan luar seseorang individu yang mempengaruhi perlakuannya pada masa tertentu. 'Drive' merupakan faktor dalaman yang mengaktifkan tingkahlaku seseorang untuk kembali seperti biasa. 'Incentive' pula ialah matlamat yang mendorong tingkahlaku kita atau menyebabkan tingkahlaku kita kembali normal. Konsep-konsep motivasi yang lain termasuk 'instinct', 'arousal' dan 'humanistic theory'. 'Instinct' merupakan sesuatu yang wujud di dalam diri kita sejak azali lagi. 'instinct' bukanlah sesuatu yang diperoleh melalui pelajaran, tetapi adalah sesuatu norma kehidupan yang diwarisi oleh setiap individu. 'Arousal' pula adalah  keadaan fisiologikal atau psikologikal dalam keadaan sedar.

Menurut Baron & Logan, emosi tidak dapat dipisahkan dari motivasi. Emosi boleh menyebabkan perubahan dalam tingkah laku seseorang, dan motif seseorang dapat mempengaruhi emosi. Terdapat banyak situasi dalam realiti kehidupan yang melibatkan emosi dan motivasi. Contohya, orang yang sedang dalam keadaan marah akan terdorong untuk melepaskan marahnya dengan memukul orang yang dimarahi, mencampak apa sahaja yang berada di dalam tangannya ke dinding, atau menumbuk dinding menggunakan buku lima. Namun, tidak semua orang akan dipengaruhi motivasi yang negatif. Terpulang kepada individu, keadaan marah kadangkala dapat membantu mereka melakukan pekerjaan dengan lebih efektif.
Contoh lain pula ialah apabila seseorang itu sedang risau. Pada minggu yang lepas, tinggal satu jam sahaja lagi untuk saya menghantar tugasan jurnal Pengurusan Emosi yang belum dapat disiapkan akibat terlalu sibuk dengan macam-macam tugasan lain, Disebabkan stres kerana risau tidak sempat menghantarnya, saya sebenarnya menjadi lebih bermotivasi dan tekun dalam menulis jurnal tersebut sebelum masa yang ditetapkan. Justeru, saya dapat menyiapkan jurnal tersebut lebih dengan kadar yang lebih cepat jika dibandingkan dengan masa yang selalunya saya gunakan untuk menyiapkan jurnal tersebut. Apa yang saya pelajari dari sini, perasaan risau dan stres itu juga dapat memberi kesan yang positif dalam diri kita. apabila seseorang itu sedih, sebagai contoh, lebih terdorong untuk menyendiri dan menjauhkan diri daripada orang luar. Dia lebih rela membuat hal sendiri dan tidak mempedulikan keadaan sekeliling. Ini adalah contoh emosi yang membawa kepada motivasi negatif.

Emosi turut mempengaruhi motivasi dari sudut yang lebih negatif. Contohnya, orang yang mempunyai masalah yang serius, jika dia tidak mempunyai kerohanian dan pegangan agama yang kuat, dia akan terdorong untuk melakukan perkara-perkara yang menyebabkan musibah ke atas orang lain. Apabila kita dengar berita tentang pembunuhan, kes ragut, kecurian, dan jenayah-jenayah yang lain, pernahkah kita tertanya apakah yang menyebabkan penjenayah tersebut bertindak demikian? Apakah motif sebenar untuknya melakukan perkara-perkara yang sangat berisiko tinggi? Jika kita kaji secara mendalam, di sebalik perlakuannya itu, terdapat bermacam-macam sebab yang mendorong penjenayah tersebut untuk berbuat demikian. Ada yang membunuh kerana cinta; seperti yang sering kita baca di dalam surat khabar. Akibat cintanya ditolak, akibat putus tunang dan sebagainya, dia sanggup membunuh wanita yang dicintainya selama ini. Ada juga yang membunuh kerana dendam yang sudah lama bertaut di dalam hati. Contohnya orang yang tidak puas hati atas kejayaan orang lain selain tidak boleh lihat orang lain berjaya dalam perniagaannya. Contoh yang terbaik ialah seperti apa yang berlaku di bulan Ramadhan pada tahun 2010. Seorang ahli perniagaan wanita yang ternama di telah dibunuh dengan begitu kejam sekali. Apakah motif pembunuhan tersebut sebenarnya? Mengapa wujudnya manusia yang langsung tidak mempunyai sifat perikemanusiaan? Tentu terdapat banyak sebab di sebalik kejadian itu, dan semuanya berpunca daripada emosi penjenayah itu sendiri. Kegagalan penjenayah tersebut untuk mengawal emosinya menyebabkan tercetusnya fikiran-fikiran yang tidak rasional yang membinasakan kehidupan orang lain.

Walaubagaimana pun, emosi tidak mempengaruhi tingkah laku dalam semua keadaan. Emosi sebenarnya merupakan tindakbalas sistem saraf kita kepada perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Dari sudut yang berlainan, emosi juga membantu kita mencapai matlamat dalam berkomunikasi. Melalui emosi, kita mendapat tahu bahawa seseorang itu sedang marah kepada kita. Apabila orang itu marah, ekspresi mukanya berubah, dia akan mencebikkan bibirnya dan bermasam muka. Daripada ekspresinya, kita mendapat mesej bahawa orang itu sedang marah. Ini secara tidak langsung mempengaruhi kita untuk berhati-hati untuk tidak menyebabkan lagi kemarahan dalam orang tersebut.
 

No comments:

Post a Comment