Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada pensyarah pengurusan emosi, Dr Zamri Mansor serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Alhamdulillah kerana masih lagi diberikan masa, hayat yang panjang bagi saya meneruskan penulisan jurnal yang seterusnya ini. Saya akui ketika sesi kuliah yang lepas, saya kurang memberi tumpuan dan adakalanya saya langsung tidak mendapat input dari kuliah itu kerana tertidur. Hal ini menyukarkan lagi penulisan jurnal saya pada kali ini. Tetapi, saya akan cuba untuk memberi pandangan serta pendapat diri sendiri berdasarkan dari pembacaan saya sebelum ini serta melihat balik nota kuliah secara 'online'. Pada sesi kuliah yang lepas, Dr Zamri telah menyampaikan tajuk berkenaan dengan Emosi dan Motivasi serta Teori FKP.
Jadi saya teruskan dengan tajuk yang pertama iaitu Emosi dan Motivasi. Seperti yang diajar dalam kuliah sebelum ini, emosi memberi makna sangat subjektif dan berbeza mengikut teori. Menerusi carian saya di internet, perkataan emosi berasal dari perkataan Greek "emovere" yang membawa maksud „untuk keluar‟. Emosi akan ditonjolkan keluar sebagai satu bentuk bagi memenuhi kepuasan seseorang. Emosi boleh ditakrifkan sebagai satu keadaan yang dialami oleh manusia yang melibatkan beberapa perubahan proses fisiologi, diri dan psikologi, Mohmood Nazar Mohamad, 1992.Kita juga mengetahui terdapat empat komponen penting dalam emosi iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku yang berkaitan.
Motivasi pula adalah sesuatu yang memberi panduan dan mengarahtuju seseorang dalam tindakan-tindakannya sama ada secara negatif atau positif. Berdarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, motivasi merupakan keinginan yg keras atau semangat yg kuat pada diri seseorang yg mendorongnya utk berusaha atau melakukan sesuatu dgn tujuan untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, emosi lebih luas maknanya dari perasaan. Emosi juga tidak dapat dipisahkan dari motivasi (Baron & Logan, 1993). Menurut teori dari Lang et al(1992) pula, emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku & motif boleh menjadi emosional. Contoh situasi yang menunjukkan emosi sebagai motivasi ialah ketika alam percintaan. Emosi yang timbul adalah cinta. Emosi ini akan memotivasikan seseorang individu untuk terlibat dalam tingkahlaku tertentu dalam memenuhi minat terhadap pasangannya seperti menghantar mesej pesanan ringkas, menelefon, memberi hadiah dan juga mendirikan rumahtangga. Perkara ini jelas menggambarkan emosi bertindak sebagai motivasi kepada individu tetapi tidak semua keadaan terdapat pendorong yang berasaskan emosi sebagai contoh makan. Rasa lapar disebakan perut kosong sekaligus menyebabkan seseorang individu pergi mecari makanan bagi menghilangkan rasa lapar.
Terdapat beberapa konsep dan teori mengenai motivasi seperti pengarahtuju(drive), insentif(incentive), naluri(instinct), keghairahan(arousal) dan juga 'Humanistic Theory'. Setiap konsep ini akan memberi gambaran yang berbeza mengenai motivasi seperti arousal atau dalam bahasa melayunya keghairahan, kemuncak bermaksud keadaan fisiologi dan psikologi dalam keadaan berjaga dan sedar. Setiap individu akan memotivasikan diri masing-masing dalam mengekalkan tahap keghairahan ini sama ada tidak terlalu rendah ataupun tidak terlalu tinggi. Berdasarkan teori insentif pula, teori ini percaya bahawa insentif atau cita-cita membuatkan seseoran itu lebih bermotivasi. Ini bermaksud lebih tinggi motivasi seseorang itu jika insentif beliau lebih kuat ataupun lebih tinggi. Sebagai contoh, pelajar yang mempunyai keinginan yang tinggi untuk mecapai markah yang cemerlang akan menyebabkan dia berusaha dengan lebih gigih dalam mengulangkaji pelajaran serta menumpukan pelajaran di dalam kelas.
Dibawah Humanistic Teori, yang dikaji oleh Abraham maslow(1970) mengatakan di dalam diri setiap manusia, motif dibahagikan kepada beberapa peringkat dari Keperluan asas, keperluan psikologi dan yang trakhir keperluan melengkapkan diri. bagi keperluan asas, sebelum seseorang individu ingin mencapai keperluan yang lebih tinggi, mereka perlu memperolehi keperluan yang pertama atau lebih tepat asasi. Contohnya seperti makanan, tidur, udara yang bersih, air, dan juga kesihatan tubuh badan. Jika elemen-elemen ini tidak dipenuhi maka sukar untuk individu mencapai keperluan yang lebih tinggi.
Peringkat yang kedua adalah keperluan psikologi yang terbahagi kepada keperluan keselamatan dan keperluan untuk disayangi dan menyayangi. Peringkat ini menunjukkan setiap inidividu yang ingin hidup dalam keadaan yang lebih selesa dan aman serta bebas daripada rasa ketakutan. Tambahan lagi, rasa ingin disayangi termasuklah keperluan persahabatan, sokongan keluarga dan hubungan rapat dengan orang lain.
Peringkat yang terakhir adalah keperluan harga diri dan keperluan penghakikian diri. Keperluan ini memberi maksud bahawa setiap manusia ingin rasa dihormati oleh orang lain dengan adanya pengiktirafan dan perhatian dari masyarakat sekeliling, pencapaian dan juga kecekapan.
Daripada teori ini, apa yang dapat disimpulkan ialah untuk mencapai satu kehidupan yang sempurna, manusia perlu berusaha dari bawah iaitu dengan perkara asas. Sekiranya perkara asas tidak ditepati ini akan menyebabkan hidup seseorang itu terumbang-ambing serti tiada hala tuju. Dari segi saintifik, manusia tidak dapat bertahan untuk hidup sekiranya tidak minum untuk jangka masa 4 hari berturut turut dan hanya akan bertahan selama sebulan sekiranya manusia tidak makan dan hanya meminum air. Ini jelas menunjukkan bahawa jika keperluan asas tidak dipenuhi, satu komplikasi yang buruk akan terjadi kepada sesorang individu.
Untuk tajuk kuliah yang kedua pula diterangkan mengenai Teori FKP iaitu Fisiologi, Kognitif, dan Psikoanalisis. jadi di dalam entri kali ini saya lebih kepada menerangkan mengenai teori yang pertama iaitu Teori Fisiologi.
Dibawah teori fisiologi, ahli teori fisiologi mengatakan bahawa emosi adalah produk daripada otak dan sistem saraf manusia. Terdapat tiga jenis teori fisiologi yang mempunyai pendapat yang berbeza yang telah dibincangkan dalam kuliah tersebut, iaitu Teori James-Lange, Teori Cannon-Bard dan Teori Psikobiologikal. Teori James-Lang merupakan teori psikologi yang paling lama diutarakan tentang pengalaman emosi yang di mana dipelopori oleh William James pada 1884. Kemudian, teori ini telah disokong oleh Carl Lange pada tahun 1887 dan ia menjadi teori James-Lange. Teori ini menerangkan bahawa emosi tercetus apabila terdapat satu reaksi fisiological terhadap sesuatu rangsangan .
Walaubagaimanapun, Walter Cannon tidak sependapat dan mengkritik Teori James-Lange. Beliau mengatakan bahawa sistem organ manusia bertindak lambat terhadap rangsangan yang merangsang respons kepada emosi. Teori Cannon-Bard mencadangkan bahawa rangsangan dalaman dan luaran akan dihantar ke otak dan sensasi emosi tertentu akan dihasilkan. Teori ini juga menyatakan bahawa jantung dan perut tidak dapat menghasilkan variasi di dalam emosi. Kadar tekanan jantung, tekanan darah dan proses penghadaman tidak berupaya untuk menentukan mana satu emosi yang sedang dialami. Bukti juga menunjukkan bahawa manusia yang telah menjalani pembedahan pembuangan sistem saraf masih dapat menunjukkan sesuatu emosi. Seseorang akan bertindak kepada sesuatu rangsangan dan mengalami emosi itu pada masa yang sama. Contoh untuk menggambarkan teori ini adalah apabila seseorang individu mempunyai perasaan takut pada ketinggian maka secara tidak langsung sekiranya dia pergi ke satu tempat yang tinggi seperti gunung atau bangunan pencakar langit, dia akan mengalami perasaan takut itu dengan tiba-tiba.
Teori psikobiologikal yang dicadangkan oleh Jack Panksepp menerangkan emosi asas mempunyai kaitan rapat dengan sistem neuron tertentu di dalam badan manusia . Beliau telah mencadangkan empat emosi asas iaitu 'fear, rage, panic, expectancy'. Interaksi antara kempat-empat elemen ini akan melahirkan satu-satu emosi yang berbeza. Teori kognitif pula mementingkan peranan pemikiran dalam memandu emosi kita. Teori Schachter yang merupakan sebahagian daripada teori kognitif telah menyatakan situasi melahirkan reaksi tubuh.
Berdasarkan isi-isi kuliah yang disampaikan oleh Dr Zamri ini, motivasi mempunyai satu kaitan yang kuat dalam diri manusia untuk membentuk seseorang individu yang mampu memberi impak yang berguna dan ini semestinya diperolehi dari motivasi yang positif dan bukan sebaliknya. Manusia yang bermotivasi akan lebih berdaya saing, bersikap positif dan sentiasa mengambil peluang dalam apa jua keadaan untuk mencapai kejayaan dalam hidupnya. Selain itu, pelbagai teori yang kita pelajari di dalam kuliah ini. Pada pendapat saya, manusia mempunyai kebebasan dalam memberi pendapat atau kenyataan jadi dari proses ini kita dapat lihat kepelbagaian dalam memberi maklumat dan semua maklumat ini juga boleh diterma pakai. Disini menunjukkan, kita jangan terlalu cepat menolak pendapat dari individu lain yang berkemungkinan mempunyai idea yang lebih menarik dan berguna. Secara tidak langsung, dapat menambahkan ilmu serta mematangkan diri kita dalam menghadapi cabaran hidup.
Sekian. Assalamualaikum. :)
No comments:
Post a Comment