Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada Dr. Zamri rakan-rakan seperjuangan sekalian. Saya telah diberi peluang sekali lagi untuk menulis jurnal untuk subjek Pengurusan Emosi ini. Pada pendapat saya, penulisan jurnal ini bukan sahaja membantu kita mengulangkaji subjek ini, malahan juga ia mampu dijadikan sebagai refleksi untuk diri kita mengenai emosi dan bagaimana kita menguruskan dalam kesibukan hidup seharian kita. Selain itu, kita belajar untuk menghargai emosi dan mengekspresikan sesuatu emosi itu pada masa, tempat dan keadaan yang sesuai. Kuliah pada hari Rabu yang lepas bermula agak lewat pada hamper jam 3.00 petang kerana tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Terdapat 2 kuliah yang telah diajar oleh Dr. Zamri pada hari itu iaitu kuliah Emosi dan Motivasi dan kuliah Teori Fisiologikal, Kognitif dan Psikoanalitik.
Kuliah pertama iaitu kuliah Emosi dan Motivasi dimulakan dengan definisi emosi dan motivasi itu sendiri. Emosi didefinisikan mengikut tona-tona emosi tertentu. Emosi itu mestilah sama ada positif atau negatif. Tiada emosi neutral. Motivasi pula didefinisikan sebagai umumnya dianggap sebagai kajian kajian aspek arah dan tenaga sesuatu tingkahlaku. Berdasarkan kuliah sebelum ini, kita tahu ada empat komponen utama dalam emosi iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan perlakuan tingkah laku berkaitan. Oleh itu, emosi itu lebih luas maknanya berbanding perasaan. Menurut Baron & Logan,1993 – emosi itu tidak dapat dipisahkan daripada motivasi. Menurut Lang et al, 1992 – emosi adalah sebagai motivasi kepada sesuatu tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional. Contoh emosi itu sebagai motivasi ialah membunuh kerana ingin mendapat duit dan kerana kebencian (emosi). Walaubagaimanapun, tidak semua keadaan emosi akan menjadi pendorong. Tidak semua pendorong berasaskan kepada emosi. Contohnya ialah makan banyak kerana lapar.
Terdapat beberapa teori mengenai emosi iaitu James-Lange Theory, Cannon's Challenge, dan Two-Factor Theory. Emosi adalah suatu keadaan yang membangkitkan yang melibatkan perubahan ekspresi wajah dan anggota badan, pengaktifan otak, perubahan kognitif, perasaan subjektif, dan kecenderungan ke arah sesuatu tindakan, dan semuanya dibentuk oleh peraturan budaya hidup. Emosi juga berfungsi sebagai respons adaptasi badan kita kepada perubahan di sekeliling kita dan ia membantu kita dalam menyalurkan niat kita kepada orang lain. Emosi juga membantu kita dalam persediaan untuk melakukan sesuatu tindakan. Emosi membangkitkan kita untuk bergerak, mengambil sesuatu tindakan dan menghadapi halangan hidup. Berdasarkan Birkhard,1997 – motivasi adalah aspek pemilihan sesuatu proses. Oleh itu, Mook, motivasi itu menyebabkan seseorang itu melakukan suatu perkara itu dan bukan yang lain. Berdasarkan konsep dan teori berkenaan motivasi, motivasi merupakan faktor dalaman dan luaran sesuatu makhluk itu untuk bertindak sebegitu pada masa tertentu. "Drive" atau iniatif merupakan kondisi dalaman yang mengaktifkan sesuatu perlakuan itu untuk mengurangkan keperluan dan menyimpan homeostasis. Insentif pula merupakan faktor luaran yang menggerakkan sesuatu perlakuan ataupun tingkah laku. Secara terperinci, insentif adalah sebarang faktor sama ada kewangan atau tidak, yang menghasilkan motif untuk perlakuan tingkah laku tertentu, atau pun dianggap sebagai penyebab kepada pemilihan sesuatu tindakan berdasarkan alternatif yang ada. Terdapat tiga jenis insentif iaitu insentif kewangan, moral atau dorongan dan paksaan. Berbeza pula dengan naluri. Naluri tidak dipelajari, mewarisi corak tindakan tetap tindak balas atau reaksi terhadap jenis rangsangan tertentu. Contoh yang boleh diambil ialah seperti bintang berlawan sesama sendiri. "Arousal" pula ialah keadan fisiologikal dan psikologikal berjaga-jaga. Manusia akan termotivasi untuk mengekalkan berjaga-jaga ini pada tahap yang paling optimum, tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah. Rasa motif ingin tahu membantu kita memahami persekitaran kita. Berdasarkan teori kemanusiaan, Abraham Maslow mencadangkan bahawa motif telah dibahagikan kepada beberapa peringkat daripada asas keperluan diri untuk hidup kepada psikologikal dan memenuhi kehendak diri sendiri. Keperluan asas terdiri daripada keperluan fisiologi seperti makan, minum,berehat dan keperluan keselamatan seperti tempat tidur dan sebagainya. Keperluan psikologikal pula terdiri daripada dua iaitu keperluan rasa dipunyai dan sayang seperti hubungan percintaan dan keperluan harga diri seperti rasa ingin dihormati. Yang terakhir ialah keperluan yang memenuhi kehendak diri sendiri seperti aktualitasi diri.
Kuliah kedua pula adalah tentang teori fisiologikal, kognitif dan psikoanalitik. Kebanyakan teori-teori ini bersetuju tentang beberapa komponen yang menentukan emosi, iaitu perasaan subjektif, proses kognitif, arousal fisiologikal, pergerakan badan dan motivasi. Namun demikian, terdapat juga perbezaan antara teori-teori tersebut berdasarkan kepentingan dan urutan komponen. Teori fisiologikal menekankan emosi merupakan hasilan sistem saraf manusia dan emosi ini dihasilkan sebagai respons kepada rangsangan. Terdapat tiga teori dalam teori fisiologikal iaitu Teori The James-Lange, Teori The Cannon-Bard, dan Teori Psikobiologikal. Pertamanya, kami telah didedahkan dengan Teori James-Lang, iaitu teori psikologi yang paling lama dihasilkan oleh Willian James (1884) dan disokongkan oleh Carl Lange (1887). Teori ini mengata bahawa emosi akan dilahirkan berdasarkan perubahan fisiologikal dalam badan kita terhadap sesuatu. Namun demikian, teori James-Lang ditentang oleh Walter Cannon atas alasan-alasan iaitu penghasilan emosi dari organ-organ tertentu yang agak lambat berdasarkan rangsangan disebabkan oleh emosi yang selalunya berlaku dengan cepat selepas rangsangsan, dan reaksi fisiologikal yang terlalu lambat untuk menglahirkanan reaksi emosi. Dengan ini, terhasilnya Teori Cannon–Bard yang mengatakan bahawa rangsangan akan melahirkan emosi dan selepas itu baru ada reaksi sama ada fizikal ataupun fisiologikal. Manakala Teori fisiobiologikal yang diulaskan oleh Jack Panksepp (1982, 1992) menerang tentang empat emosi yang asas iaitu kemarahan, ketakutan, kecemasam, dan kejangkaan. Di samping itu, dalam teori kognitif ahli teori telah mengatakan bahawa pemikiran itu yang akan melahirkan emosi. Teori-teori yang menyokong teori kognitif adalah Schachter's Cognitive Labeling Theory, Misattribution, Transfer of Excitation dan Cognitive Appraisal Theory. Teori Schachter amat semirip dengan Teori James-Lang tetapi yang bezanya ialah faktor kognitif telah ditambahkan ke dalam teori itu. Teori ini menekan bahawa interpretasi reaksi fisiologikal itu berdasarkan keadaan dan pengalaman dulu. Proses kognitif inilah yang akan mendorong seseorang itu menghasilkan emosi. Seterusnya kami didedahkan dengan Teori Misattribution yang bermaksud kesilapan akan berlaku apabila kami menganggap sesuatu itu hasil daripada perkara yang lain.
Semasa pertengahan kuliah tersebut, Dr. Zamri telah menayangkan satu video lagu yang bertajuk Bangkit Asal nyanyian Halim Yazid. Pada mulanya saya tidak memahami langsung setiap bibit lirik yang didendangkan oleh beliau kerana beliau menggunakan loghat Kelantan yang amat tebal. Saya telah merujuk beberapa orang sahabat saya yang berasal dari Kelantan untuk memahami dan menghayati lirik lagu tersebut. Ternyata lagu tersebut banyak membawa mesej dan nilai-nilai murni yang harus kita terapkan dalam kehidupan seharian kita. Semoga ia dijadikan ikhtibar dan pengajaran kepada kita dan kita patut bersyukur dengan apa-apa yang kita ada selama ini. Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment