Sunday, August 21, 2011

A131740 LAU CHIN LJ04

Salam sejahtera dan salam satu Malaysia. Ulasan berikut merupakan ulasan jurnal reflektif yang keempat mengenai hasil pembelajaran saya daripada kuliah yang diadakan pada 17 Ogos 2011.

 

Pada hari tersebut, sebelum menyampaikan kuliah mengenai emosi dan motivasi serta teori FKP, Dr Zamri terlebih dahulu telah memberikan taklimat mengenai tugasan kedua yang diamanahkan kepada kami. Pelbagai tajuk telah diperkenalkan dan dicadangkan. Seterusnya, kami diberitahu tentang langkah-langkah yang perlu dicapai dalam usaha menyempurnakan tugasan tersebut. Contohnya adalah cara-cara pembentangan dan penghantaran tugasan kami . Plagiarism amat tegas dilarang oleh Dr Zamri. Kemudiannya, kami diperkenalkan tentang borang PENGKALAN yang merupakan borang penilaian kumpulan berdasarkan prestasi mereka. Selain itu, Dr Zamri juga memberitahu kami bahawa kami juga berpeluang dicalonkan sebagai ahli cemerlang. Saya amat terperanjat apabila mengetahui bahawa ahli yang paling cemerlang akan mendapat markah bonus.

 

Seterusnya, Dr Zamri meneruskan kuliah dan berbincang mengenai emosi dan motivasi. Secara teorinya, emosi boleh dikategorikan kepada emosi positif dan negatif; emosi neutral adalah tidak wujud sama sekali. Manakala motivasi difikirkan sebagai pendorong tindakan yang directional dan energizing. Emosi mempunyai 4 komponen, iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku berkaitan. Oleh yang demikian, berbanding dengan perasaan, emosi sebenarnya mempunyai makna yang lebih luas. Sebelum menghadiri kuliah pada hari tersebut, saya tidak menyedari bahawa terdapat hubungan antara emosi dan juga motivasi. Kuliah tersebut telah membolehkan saya memahami bahawa emosi boleh berfungsi sebagai motivasi kepada tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional. Sebagai contoh, cinta akan memotivasikan seseorang untuk mengambil tindakan tertentu, seperti menghantar mesej ringkas, memberi hadiah, menelefon dan sebagainya. Pernyataan tersebut amat saya setuju kerana secara jujurnya, saya mempunyai pengalaman bercinta dan emosi mencintai seseorang memang akan memberikan saya motivasi untuk membuat sesuatu, sama ada yang positif atau negatif. Akan tetapi, terdapat juga sesetengah keadaan di mana emosi tidak dapat menjadi pendorong dan pendorong tidak dapat berasaskan emosi.  Contohnya, kami belajar dengan bersungguh-sungguh disebabkan motif untuk mencapai sesuatu.

 

Selain itu, saya juga memperoleh pengetahuan mengenai Teori James-Lange, Teori Cannon's challenge, dan juga Teori Dua Faktor. Hasil daripada kuliah tersebut, pemahaman saya mengenai emosi menjadi lebih mendalam. Emosi merupakan keadaan pembangkitan yang melibatkan perubahan wajah dan badan, pengaktifan otak, penilaian kognitif, perasaan subjektif dan kecenderungan terhadap sesuatu tindakan. Kesemua komponen ini adalah diubahsuai oleh budaya. Di samping itu, emosi juga berfungsi sebagai tindak balas adaptif kepada insiden yang berlaku di sekeliling kami dan emosi akan membantu menyampaikan mesej mengenai niat sendiri kepada orang lain. Dengan ini, emosi akan membolehkan kita bersedia untuk mengambil sesuatu tindakan. Pada pendapat saya, sekiranya kita memahami komponen-komponen yang dibincang di atas, kita akan lebih mengetahui cara mengawal emosi dan ini seterusnya akan membolehkan kita membuat sesuatu keputusan dengan lebih rasional dan bukan semata-mata berdasarkan emosi sahaja.

 

Sewaktu Dr Zamri menyampaikan kuliah pada hari tersebut, saya juga telah memperoleh pengetahuan yang lebih mendalam mengenai konsep motivasi. Motivasi wujud apabila faktor dalaman dan juga luaran seseorang telah mendorongnya bertindak dengan cara tertentu pada masa yang tertentu. Mengikut Abraham Maslow, motivasi dibahagikan kepada beberapa aras, daripada keperluan hidup asas kepada keperluan psikologi dan self-fulfillment. Secara konklusinya, emosi menekankan kebangkitan manakala motivasi menekankan tindakan.

 

Selepas habisnya menyampaikan konsep emosi dan motivasi, Dr Zamri meneruskan kuliah beliau dengan menerangkan teori FKP, iaitu teori fisiologikal, kognitif dan psikoanalitik. Teori fisiologikal menekankan bahawa emosi merupakan hasil daripada otak dan sistem saraf. Antara pendekatan yang berkaitan termasuklah teori James-Lang, teori Cannon-Bard dan teori psikobiologikal. Teori James-Lang merupakan teori psikologi yang paling lama dan diasaskan oleh William James pada tahun 1884. Hipotesis teori James-Lang menyatakan bahawa fisiologikal reaksi terhadap sesuatu rangsangan akan menimbulkan emosi.

 

Mengikut teori Cannon-Bard pula, Walter Cannon telah membuat kritikan terhadap teori James-Lang, dengan menyenaraikan 3 hujah :

o   Sistem organ yang membawakan tindak balas emosi akan bertindak balas dengan lambat terhadap rangsangan.

o   Reaksi emosi akan mengikut rangsangan dengan cepat.

o   Tindak balas fisiologikal adalah terlalu lambat untuk menimbulkan tindak balas emosi.

Oleh itu, teori Cannon-Bard menyatakan bahawa rangsangan akan membawa kepada tindak balas badan dan juga sensasi emosi.

 

Teori psikobiologikal pula diasaskan oleh Jack Panksepp. Beliau mencadangkan 4 emosi asas, iaitu ketakutan, kemarahan, panik dan juga harapan. Interaksi antara keempat-empat emosi tersebut akan menghasilkan emosi yang lain. Beliau juga telah mengenal pasti system emosi asas berdasarkan struktur yang terkandung dalam limbic system.

 

Mengenai teori kognitif pula, ada ahli teori moden mencadangkan bahawa pemikiran dan proses kognitif juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan emosi. Antara teori yang dicadangkan adalah Schachter's Cognitive Labeling Theory dan Misattribution. Schachter's Cognitive Labeling Theory menyatakan bahawa persepsi terhadap situasi rangsangan akan membawakan kita melabelkan emosi. Akan tetapi, teori tersebut telah mendapat beberapa kritikan. Contohnya, tindakan melabelkan emosi biasanya berdasarkan pengalaman lepas dan juga ingatan, bukan hanya faktor situasi semasa sahaja. Oleh sebab Schachter mencadangkan bahawa sesuatu emosi yang dialami oleh seseorang adalah disebabkan proses label, oleh itu adalah kemungkinan besar bahawa arousal daripada punca emosional (contohnya, ketakutan) boleh misattribute kepada punca yang bukan emosional (contohnya, dadah).

 

Selain itu, saya juga didedahkan tentang teori psikoanalitik yang mencadangkan bahawa pengalaman emosi yang dialami adalah tanpa kesedaran (consciousness). Kebanyakan pengalaman masa kanak-kanak biasanya secara tidak sedar. Akan tetapi, penekanan teori tersebut adalah kepada emosi-emosi negatif. Pernyataan ini amat saya setuju kerana saya pernah mengalami situasi di mana saya secara tiba-tiba mempunyai perasaan bimbang dan marah tanpa sebab tertentu.

 

Selain menyampaikan kuliah, Dr Zamri juga telah menayangkan sebuah video yang bertajuk 'Balik Asal' yang dihasilkan oleh seseorang yang datang dari Kelantan. Daripada video tersebut saya telah memperoleh beberapa pengajaran. Dalam kehidupan seharian kita, pelbagai cabaran adalah tidak dapat dielakkan. Mungkin ada orang yang banyak menghadapi kesusahan dan ada pula sebaliknya. Walau bagaimanapun, yang paling penting sekali adalah kita mesti sedar bahawa cabaran dan kesusahan merupakan peluang untuk kita belajar mengamalkan sikap ketabahan dan tidak berputus asa dalam usaha mengatasi kesusahan dan mencapai kejayaan. Saya amat berterima kasih kepada Dr Zamri kerana beliau bukan sahaja memenuhi amanah sebagai pensyarah kuliah kami tetapi juga berusaha membimbing kami dalam perkara yang bukan akademik seperti kesedaran tentang nilai-nilai murni dan sebagainya.

 

Secara kesimpulannya, pada hari tersebut saya telah banyak memperoleh pengetahuan yang tidak ternilai. Saya berpendapat bahawa kita perlu pandai mengawal emosi, iaitu, menjadikan emosi sebagai pendorong positif yang akan membawakan motivasi positif kepada kami.

No comments:

Post a Comment