Sunday, August 21, 2011

LJ04 Nur Syazzuan Saidon A131999


Assalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh dan salam sejahtera. Pertama nya saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana masih berpeluang untuk menulis jurnal buat kali yang ke empat. Meskipun rasa terbeban dengan tugasan yang diberikan, namun saya gagahkan jua untuk memerah idea untuk berkongsi ilmu berkenaan apa yang telah dipelajari semasa kuliah pengurusan emosi pada 17 Ogos 2011 yang lalu, apabila memikirkan tanggungjawab sebagai seorang pelajar pengurusan emosi.  Apa yang saya ingin kongsikan adalah sekadar pandangan dan pendapat saya berkenaan apa yang telah dipelajari. Saya tidak mempunyai skop dan prospek yang spesifik dalam penulisan jurnal kali ini kerana saya sudah ketandusan idea untuk menulis, apatah lagi minggu ini merupakan minggu terakhir kami berkuliah, sebelum semua pelajar perubatan akan pulang bercuti untuk meraikan hari raya aidilfitri. Maka, perasaan untuk melaksanakan tugasan itu sedikit pudar dan mood raya dan cuti sudah menguasai diri. Berbalik kepada apa yang telah saya pelajari semasa kuliah pengurusan emosi pada hari rabu, 17 Ogos yang lalu. Dalam kuliah ini, pensyarah pengurusan emosi, Dr. Ahmad Zamri ada menerangkan hubungkait antara emosi dan motivasi. Sebagai seorang mahasiswa, saya berpendapat, kuliah ini sangat menarik kerana ianya boleh diguna pakai untuk menerangkan bagaimana perubahan emosi seseorang pada waktu berlainan, mampu untuk mempengaruhi motivasi seseorang untuk belajar.
                Sebelum saya meneruskan perbincangan dengan lebih lanjut, saya ingin mendefinisikan apakah motivasi dan apa perbezaan serta perkaitan antara emosi dan motivasi, berdasarkan konteks pemahaman saya. Berdasarkan apa yang saya faham, emosi ini terdiri daripada empat komponen iaitu afektif atau perasaan, proses kognitif atau proses pemikiran, perubahan fisiologi atau physiological changes dan akhir sekali perubahan tingkah laku atau behavioral changes. Emosi juga boleh dikelaskan berdasarkan kepada sifat emosi itu sendiri iaitu emosi neutral, positif atau negatif. Manakala motivasi pula lebih menjurus kepada komponen tingkah laku. Emosi boleh menjadi factor yang menentukan (directional) dan membuatkan emosi menjadi lebih bertenaga (energizing). Oleh itu, emosi sebenarnya merangkumi motivasi dan motivasi pula merupakan sebahagian daripada komponen emosi. Menurut Baron dan Logan 1993, emosi dan motivasi memang tidak boleh dipisahkan. Kedua-dua perkara ini mempunyai perkaitan yang sangat rapat kerana menurut Lang et al 1992, emosi boleh menjadi motivasi kepada tingkah laku seseorang dan motif seseorang boleh menjadi emosional. Dr. Zamri turut memberi beberapa contoh bagaimana emosi boleh memotivasikan seseorang untuk melakukan sesuatu perkara seperti motif pembunuhan yang berasaskan kebencian di mana kebencian merupakan salah satu emosi negatif.  Dalam konteks seorang pelajar, emosi seperti kecewa boleh membawa kepada dua jenis motivasi iaitu motivasi membina dan motivasi yang boleh membawa kepada kemudaratan. Dalam kes yang pertama, kekecewaan dengan keputusan peperiksaan boleh dijadikan sebagai faktor pendorong seseorang untuk terus belajar dengan bersungguh-sungguh dan menebus kegagalan yang lalu. Perkara ini merupakan satu perkara yang harus diamalkan dalam kalangan penuntut-penuntut di institusi pengajian tinggi pada masa kini. Namun, apa yang selalu berlaku ialah di mana apabila seseorang pelajar itu kecewa dengan keputusan peperiksaannya, mereka ini lebih suka untuk memberontak, dengan cara mengabaikan pelajaran mereka. Mereka berpendapat, apa guna belajar secara berlebihan jikalau keputusan peperiksaan kekal di tahap yang mengecewakan. Apa yang lebih menyedihkan, disebabkan perasaan kecewa ini, ada sesetengah pelajar yang goyah imannya, mengambil cara alternatif dengan melakukan perkara-perkara yang memudaratkan diri mereka sendiri seperti membunuh diri dan sebagainya. Jadi, kita dapat lihat betapa kuatnya peranan emosi dalam menentukan tahap motivasi seseorang dalam melaksanakan sesuatu perkara.
                Itu adalah serba sedikit penulisan saya berkaitan dengan apa yang saya faham tentang motivasi dan emosi serta perkaitan antara dua perkara ini. Sebenarnya, mengapa harus kita belajar tentang motivasi ini? Apakah kepentingan motivasi ini kepada kita sebagai seorang individu di atas muka bumi ciptaan tuhan ini?
                Pada saya, motivasi ini merupakan elemen yang sangat penting untuk kita masukkan dalam apa jua perkara yang kita lakukan. Sebagaimana definisi motivasi, ianya merupakan faktor penggalak dan faktor pencetus yang mampu membuatkan seseorang itu lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu perkara. Dalam usaha kita untuk menuntut ilmu, kita mesti ada motivasi untuk kita berjaya. Seperti yang telah saya terangkan, terdapat pelbagai faktor yang boleh menjadikan seseorang itu lebih bermotivasi, faktor selain emosi termasuklah faktor keluarga, rakan-rakan, perhubungan atau cinta dan sebagainya. Saya berpendapat, motivasi ini sangat penting dalam diri seseorang mahasiswa kerana kehidupan di institusi pengajian tinggi sangat berbeza dan berlainan dengan zaman persekolahan dan ketika menempuh alam pengajian di peringkat matrikulasi. Kehidupan yang mencabar yang harus dilalui oleh semua mahasiswa di peringkat pengajian tinggi adalah berbeza. Pelbagai ringtangan dan halangan harus ditempuh untuk meneruskan kelangsungan hidup. Masalah dan bebanan seperti kewangan, akademik serta hubungan dengan rakan sebaya dan teman istimewa antara beberapa masalah yang acap kali dihadapi oleh mahasiswa dan mahasiswi pada masa kini. Oleh yang demikian, faktor motivasi untuk berjaya serta membantu keluarga pada masa akan datang dilihat mampu untuk menjadi faktor penggalak kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk berjaya di peringkat pengajian tinggi.
                Mahasiswa dan mahasiswi pada hari ini seharusnya menyedari bahawa cabaran yang mereka lalui semakin hari semakin penuh ranjau dan duri. Perjalanan ini harus ditempuhi dengan sebaik mungkin untuk membolehkan mereka menggenggam segulung ijazah. Berbeza dengan kursus-kursus lain, kursus perubatan telah diiktiraf sebagai salah satu kursus yang paling susah di dunia. Tempoh pengajian sahaja sudah mengambil masa selama lima tahun untuk program ijazah sarjana muda doktor perubatan atau sarjana muda perubatan dan pembedahan. Belum di kira tempoh cuti semester yang dua kali ganda sedikit berbanding dengan pelajar-pelajar kursus lain. Tidak di ambil kira juga berpuluh-puluh ujian dan peperiksaan yang harus diduduki sebelum berjaya menamatkan pengajian. Selepas tamat pengajian, kami bukan boleh bersenang-lenang dengan lagi. Seorang doktor pelatih harus menjalani latihan perubatan siswazah atau pun housmenship selama 2 tahun. Dalam tempoh ini, kami harus menempuhi saat-saat getir dihina, dimarah oleh semua pihak termasuklah pihak jururawat. Dan dalam tempoh ini, ada kemungkinan kami akan dilanjutkan tempoh housemanship sekiranya gagal memenuhi criteria-kriteria yang telah ditetapkan. Justeru, untuk menjadi seorang doktor, ianya bukanlah perkara mudah yang harus dipandang enteng oleh sesetengah pihak. Ianya memerlukan, komitmen, ketabahan serta kecekalan dan motivasi yang tinggi untuk berjaya. Oleh yang demikian, sebelum seseorang itu mengambil keputusan, mereka harus berfikir semasak-masaknya agar tidak membuat kesilapan di kemudian hari. Kerjaya sebagai seorang pengamal perubatan pula sememangnya memerlukan tuntutan komitmen yang sangat tinggi. Oleh yang demikian, motivasi yang tinggi adalah sangat penting kerana tanpa motivasi, seseorang itu akan mudah mengalah, seterusnya boleh membawa kepada pelbagai permasalahan seperti tekanan. Perkara-perkara seperti ini akhirnya akan membawa kepada peletakan jawatan seseorang pegawai perubatan. Sekian.


No comments:

Post a Comment