Sunday, August 14, 2011

A 131433 Izzat Zulhilmi bin Abd Rahman LJ03 : Emosi Negatif & Kesihatan

J.U.R.N.A.L.3

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.         
   
Untuk minggu yang ketiga ini, jurnal saya akan berkisar tentang emosi negatif iaitu emosi yang tidak elok dan boleh mendatangkan keburukan kepada manusia jika perasaan ini tidak dikawal dengan sebaik mungkin. Emosi negatif adalah pembunuh jiwa, membantutkan kecemerlangan diri dan memusnahkan kebahagiaan. Jangan khuatir jika anda sentiasa dihantui emosi negatif kerana emosi tersebut memang sentiasa membelenggu manusia. Dr Don Colbert dalam bukunya yang bertajuk 'Emosi Yang Mematikan' mengatakan bahawa apa yang kita rasakan secara emosional seringkali menjadi sesuatu yang kita rasakan secara fizikal. Sebagai contoh, jika kita sedang marah wajah kita akan menjadi merah padam dan badan kita akan terasa panas. Oleh sebab itulah emosi negatif bukan hanya mendatangkan masalah dari segi jasmani bahkan juga rohani.

                Emosi negatif muncul dalam bentuk marah, iri hati, kebencian, kepahitan, ketakutan, kesedihan, rasa bersalah dan sebagainya. Biasanya emosi yang tidak elok ini datang sebagai reaksi daripada apa yang kita rasakan pada mulanya. Pakar- pakar yang mengkaji mengenai perasaan manusia membahagikan emosi kepada 2 tahap, iaitu primary emotions atau apa yang kita rasakan pada awalnya yang merupakan faktor penyebab emosi negatif itu berlaku dan secondary emotions atau kesan yang timbul akibat daripada apa yang kita rasakan. Sebagai contoh, ketika seseorang merasa dihina, dibohongi atau pun direndah- randahkan, pada mulanya individu tersebut akan merasa tertekan tetapi lama- lamaan ia akan menjadi marah.

                Emosi negatif boleh mendatangkan pelbagai impak yang buruk dalam kehidupan manusia. Salah satunya adalah dalam aspek kesihatan tubuh badan. Kajian mendapati terdapat satu hubungan komunikasi antara apa yang kita fikirkan di dalam otak kita dengan apa yang kita alami di dalam sel- sel tubuh badan kita. Ketika otak kita bertindak balas dengan emosi marah, maka setiap sel dalam tubuh badan kita juga akan bertindak balas dan memberikan respons. Contoh yang paling baik adalah ketika seseorang itu sedang mengalami stress. Ketika hal ini berlaku, otak manusia akan segera merembeskan hormon- hormon tertentu seterusnya merangsang saraf- saraf simpatetik yang terdapat dalam segenap tubuh badan manusia. Ketika hujung- hujung saraf ini dirangsang degupan jantung akan meningkat dan pelbagai proses kompleks lain akan berlaku.

                Seterusnya, saya akan membincangkan dengan lebih terperinci mengenai emosi negatif dan kaitannya dengan kesihatan manusia. Saya amat tertarik dengan artikel bertajuk 'Kemarahan dan Jantung Anda' yang menyatakan bahawa marah boleh membawa kepada penyakit jantung. Apabila seseorang itu sedang marah, sistem tubuh badannya akan merembeskan banyak hormon yang dikenali secara saintifik sebagai adrenalin. Hormon ini akan menyebabkan berlakunya peningkatan tekanan darah dan melajukan degupan jantung. Orang yang selalu dikuasai nafsu amarah akan meningkatkan kadar cortisol dalam darah yang boleh menyebabkan gangguan pada sistem imun badan, meningkatkan kerapuhan tulang, menyebabkan diabetes dan kerosakan sel- sel otak.
               
Ketakutan adalah suatu perasaan negatif yang boleh menghasilkan tanggapan psikologi yang sangat kuat. Ketakutan berhubung kait dengan penyakit- penyakit pencernaan seperti gangguan ketika membuang air besar dan buasir. Selain itu, ketakutan juga boleh memberi kesan negatif terhadap jantung dan pembuluh darah. Suatu proses kimia berlaku ketika seseorang itu sedang dalam ketakutan dan bahan kimia ini akan menggangu gugat pusat- pusat penting yang terdapat pada otak. Sistem jantung dan pembuluh darah juga akan mendapat kesan sampingan dan sistem imun badan akan menjadi rosak.

Kebelakangan ini, suatu kajian ilmiah telah mendapati bahawa stress boleh menyebabkan pembentukan beberapa jenis penyakit kanser. Dipercayai stress boleh melambatkan proses pembaikan DNA yang rosak dan penggantian sel- sel yang baru sehingga memberi peluang pembentukan sel- sel kanser yang berbahaya. Apoptosis atau proses untuk menghapuskan sel- sel rosak dan tidak normal seterusnya sel- sel ini akan disingkirkan terus daripada badan merupakan cara terbaik bagi tubuh untuk melindungi diri dan melawan sel- sel kanser. Malangnya stress didapati telah mengganggu aktiviti apotosis ini. Orang yang selalu stress akan sentiasa cenderung memiliki fizikal yang lemah dan mudah diserang penyakit. Mereka bukan hanya mudah mendapat kanser bahkan juga penyakit radang, sakit otot dan juga migrain.

Kebencian adalah emosi negatif yang paling kuat berlawanan dengan kasih sayang yang merupakan emosi positif yang paling kuat. Kebencian sering kali bercampur aduk dengan kemarahan dan gabungan ini akan menjadi racun yang mematikan. Emosi yang meracuni seperti kebencian ini bukan hanya menghalang proses penyembuhan sesuatu penyakit malahan juga menyebabkan penyakit tersebut menjadi lebih parah. Akibatnya, tubuh badan kita perlu berkerja lebih keras  untuk melawan penyakit tersebut. Oleh sebab bebanan yang berat inilah badan kita tidak lagi mampu untuk mengenal pasti antara sel yang sihat dengan sel yang rosak. Hal ini akan membawa kepada keadaan di mana sistem imun badan menyerang sel diri sendiri dan muncullah istilah penyakit autoimun yang menyerang masyarakat kita saban hari. Justeru itu wajarlah bagi kita untuk memastikan kebencian tidak bersarang di dalam diri kita ini.

Emosi, jelas sebagai sesuatu yang mendatangkan padah jika kita tidak tahu cara mengendalikannya. Oleh sebab itulah kita perlu sentiasa bertenang dan mampu untuk tidak beremosi negatif. Andai kita mampu mencantas emosi negatif setiap kali ia cuba bertandang ke dalam minda kita maka kita mampu memiliki kekuatan dalaman yang tinggi untuk kekal tenang. Untuk itu saya catatkan beberapa tips untuk mengawal emosi kita. Semoga ianya bermanfaat dan boleh diamalkan untuk kita semua.
1.       Banyakkan istighfar dan selawat
2.       Zikir dalam hati
3.       Kawal apa yang anda katakan dan apa yang anda fikirkan
4.       Selalu berfikiran positif,dan logik
5.       Selalu menenangkan fikiran
6.       Selalu memberikan senyuman terhadap
7.       Membaca petikan, kata-kata, cogan kata, peribahasa yang boleh memotivasikan diri.
8.       Sentiasa memaafkan orang lain
9.       Selalu berdoa
10.   Elakkan dari hidup yang sentiasa tertekan
11.    Selalu bersenam
12.   Elakkan dari berucap dengan nada yang tinggi
13.   Mempunyai rehat yang cukup
 
~~ Sekian Terima Kasih~~

No comments:

Post a Comment