Sunday, August 14, 2011

abdul rahman ismail a131351

Assalamualaikum w.b.t
Pada sesi pengkuliahan yang lepas, iaitu pada tanggal 10.08.2011, pensyarah kami iaitu Dr. Zamri telah memberi kuliah  berkenaan emosi negatif.
 

Antara perkara yang menarik perhatian saya adalah apabila Dr.Zamri mengutarakan mengenai perasaan jangan bersedih. Atau dalam bahasa arabnya membawa maksud 'La Tahzan'. Selain daripada menerangkan mengenai perasaan jangan bersedih, pensyarah kami turut menjelaskan mengapa kita tidak wajar terlampau bersedih. Antara isi penting yang saya ingat adalah dengan bersedih, produktiviti kita akan menurun. Selain itu, Dr. Zamri juga memberi gambaran bahawa perasaan sedih itu  ibaratnya bagai siang dan malam. Sesungguhnya, apabila ia beredar, tiada siapa yang peduli. Hal ini menarik perhatian saya kerana selama ini tidak ramai yang mampu mengambil mudah perkara ini. Sebagai contoh, perasaan sedih apabila kecundang dalam suatu pertandingan ataupun gagal dalam peperiksaan. Apa yang saya faham ialah, perasaan sedih itu perlu. Namun begitu, masa yang patut kita peruntukkan untuk mengenang perkara tersebut tidak patut mengambil masa selama-lamanya. Hal ini adalah kerana kita tidak mampu mengubah sejarah. Dr. Zamri ada menyebut pepatah inggeris, 'Let bygone be bygone' yang bermaksud, 'biarkan perkara yang lepas itu berlalu pergi'. Secara jujurnya sudah lama saya tidak mendengar pepatah tersebut yang selalu disebut oleh guru Inggeris saya semasa di bangku sekolah dulu. Pada masa tersebut, selalu saja saya dan rakan-rakan mengadu-domba mengenai prestasi dan persekitaran pembelajaran kami pada waktu itu.Keputusan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak terkecuali. Apabila diingat-ingatkan kembali, sekiranya kami terlalu memiikirkan pencapaian lemah tersebut, banyak perkara yang kami akan korbankan. Antaranya adalah  masa kami mengulang-kaji pelajaran. Melalui guru saya, tumpuan harus diberikan pada perkara yang lebih besar iaitu SPM. Justeru itu, kelemahan yang ada perlu diperbaiki secepat mungkin. Mungkin di bangku sekolahlah saya mula mempraktikkan teori 'La Tahzan' ini.  Namun begitu, pelbagai cabaran dan dugaan di alam universiti menyebabkan teori ini semakin dilupakan.
 
Satu lagi perkara yang menarik untuk dibincangkan ialah berkenaan teori jangan marah. Atau dalam bahasa arabnya disebut 'La Taghdob'. Tempoh hari Dr. Zamri ada berkata tentang sikap seseorang yang sengaja menunjukkan sikap marahnya untuk menunjukkan sesuatu kekuasaan pada dirinya. Namun begitu, bagi saya sikap ini menunjukkan ketidakmatangan seseorang itu dalam menguruskan organisasi ataupun dirinya sendiri. Hal ini adalah kerana sikap suka memarahi orang lain akan menyebabkan seseorang hilang hormat terhadap pelaku tersebut. Saya teringat kata pujangga yang berbunyi, 'Sesuatu yang dimulakan dengan perasaan marah akan berakhir dengan perasaan malu'. Selain itu, perasaan marah akan menyebabkan kita sukar berfikir dengan kritis untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Hal ini adalah kerana kita sebagai manusia saling berkomunikasi dan bekerjasama antara  satu sama lain. Adalah sukar seandainya kita marah pada orang lain dan pada masa yang sama mengharapkan hasil yang terbaik darinya. Hal ini adalah kerana manusia bukan robot yang boleh dipadamkan memorinya. Sebaliknya pemikiran manusia berdasarkan pangalaman dan sering waspada dengan keadaan sekelilingnya. Pernah dahulu saya melihat paparan berita yang melaporkan tentang kaedah terapi untuk membuang sikap amarah seseorang. Bahkan, seorang peserta program itu turut menyuarakan kekesalannya kerana tidak dapat mengawal kemarahannya. Antara kata-kata yang mendapat perhatian saya ialah 'seseorang yang selalu marah tidak selalu ingat pada Tuhannya'. Hal ini berlaku mungkin kerana terlalu mencari kesempurnaan pada orang lain atau merasakan diri terlalu sempurna. Mana mungkin manusia dapat mencapai tahap kesempurnaan dan menandingi Tuhannya. Namun begitu, peserta program tersebut telah insaf dan berjanji untuk mengawal dirinya. Apakah factor yang membawa kepada masalah ini, jawapannya mungkin factor keluarga, masyarakat dan tekanan yang dihadapi seseorang. Bayangkan sekiranya seorang suami pulang ke rumah dengan perasaan marahkan rakan sepejabat dan melepaskan geramnya pada anak isteri. Mana mungkin seseorang itu boleh menjadi adil. Sebaliknya, seseorang perlu mampu membezakan antara masalah di tempat kerja dan masalah keluarga. Suka disini untuk saya berkongsi akan suatu hadis:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلاً قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَوْصِنِي، قَالَ : لاَ تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَاراً، قَالَ: لاَ تَغْضَبْ
[رواه البخاري]
Terjemah hadits / ترجمة الحديث :
Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu sesungguhnya seseorang bertanya kepada Rasulullah sholallohu 'alaihi wa sallam : (Ya Rasulullah) nasihatilah saya. Beliau bersabda : Jangan kamu marah. Beliau menanyakan hal itu berkali-kali. Maka beliau bersabda : Jangan engkau marah.
(Riwayat Bukhori )
 
Dalam hadis ini ditekankan kepada semua umat Islam supaya berusaha untuk mengawal perasaan marah. Selain itu saidina ali juga mengatakan bahawa sifat pemarah itu adalah musuh utama akal. Antara keburukan menjadi seorang yang pemarah adalah silaturrahim yang terjalin akan terputus. Selain itu akan dibenci oleh masyarakat. Apa yang diharapkan disini adalah supaya kita boleh hidup diatas muka bumi ini dengan landas dan syariat Islam. Adalah sukar untuk membendung masalah masyarakat dari berlaku jika kita hanya mementingkan diri sendiri dan tidak memikirkan jalan penyelesaian yang boleh dicapai sekiranya kita bersatu di bawah akidah yang sama. Dengan ini toleransi antara setiap bangsa akan dilihat semakin jelas berikutan kehendak umat yang ingin menjaga nama baik kepercayaan masing-masing. Hal ini dibaratkan  seperti pepatah melayu yang berbunyi, 'Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'. Untuk menerangkan dengan lebih dalam mengenai isu ini, cuba kita bayangkan seorang pemuda yang memarahi seorang lelaki tua kerana melintas jalan di hadapan keretanya sehingga memaksanya berhenti secara mengejut. Apa yang dapat kita bayangkan sekiranya kita berada di tempat kejadian.


1. adakah kita akan menyalahkan lelaki tua itu kerana tidak waspada?
2. adakah kita memarahi pemuda itu kerana tidak beradab terhadap warga emas?
3. adakah kita tidak kisah kerana kejadian tersebut tiada kena mengena dengan kita?


Namun apa yang lebih jelas ternampak kelemahannya adalah ajaran agama yang tidak menitikberatkan penyelesaian kepada masalah berikut. Sedangkan hal ini adalah sebaliknya. Setiap agama menganjurkan supaya menghormati orang lain dan bersifat sabar. Di sini perlu jelas mengenai tujuan kita bersifat sesuatu. Namun begitu, adalah sukar untuk kita berjumpa manusia yang memikirkan baik buruk sesuatu perbuatan dan tindakan sedalam-dalamnya.

Melalui sesi pengkuliahan kali ini, banyak perkara yang dapat saya kongsikan dalam jurnal ini berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya. Namun apa yang harus kita tekankan ialah, setiap tindakan yang kita lakukan akan mempunyai implikasinya sendiri. Samaada baik mahupun buruk, akan member kesan pada individu lain. Terdapat banyak lagi perkara yang perlu diutamakan seiring dengan faedahnnya yang besar disamping banyak perkara kecil yang menimbulkan masalah di kemudian hari. Sebagai kesimpulannya, kitalah yang mampu mengawal emosi kita samaada ingin bersifat positif mahupun negatif.
 

No comments:

Post a Comment