Selamat sejahtera kepada Dr Zamri. Saya telah menghadiri kuliah ZT pada hari Rabu yang lalu, iaitu pada 10 Ogos 2011. Jurnal ini merupakan jurnal keempat yang telah saya menulis sejak belajar ZT pada semester ini. Saya berasa gembira apabila menulis jurnal kerana hal ini sama seperti menulis diari sendiri di mana saya dapat meluahkan perasaan dan pandangan saya.
Tajuk kuliah pada hari ialah Emosi Negatif : Takut, Malu, Sedih dan Marah. Sebelum bermulanya kuliah ini, Dr Zamri telah menyiarkan sebuah lagu popular Justin Bieber "Baby" untuk semua pelajar. Lagu ini sangat unik bukan kerana hasil cipta artis yang popular dan diminati ramai itu, tetapi ia merupakan gubahan lagu dalam versi melayu yang bertemakan ummi, iaitu ibu dalam bahasa Kelantan. Keseluruhan lirik lagu tersebut telah ditukar oleh pengubah lagu itu. Dalam lagu itu, dia menceritakan bahawa dia amat merindui ibu yang dikasihinya kerana sudah lama dia tidak dapat pulang ke rumah. Saya suka akan lagu ini kerana ia juga menerangkan perasaan saya pada masa sekarang yang sangat merindui ahli-ahli sekeluarga saya terutamanya ibu saya yang telah lama tidak saya jumpai disebabkan kesibukan dalam pelajaran.
Selepas itu, kami pun menyambung pelajaran pada hari ini yang bertajuk Emosi Negatif. Emosi negatif dapat dibahagikan kepada empat jenis utama, iaitu perasaan takut, malu, sedih dan marah. Emosi negatif membawa maksud perasaan yang kurang menyenangkan dan mempengaruhi psikologi seseorang. Emosi pertama yang ingin saya terangkan ialah perasaan takut. Takut ialah perasaan gentar, gerun, dan ngeri yang dihadapi seseorang apabila menghadapi sesuatu yang dianggap boleh membahayakan diri. Perasaan ini walaupun dianggap tidak baik, namun ia merupakan suatu mekanisme kita untuk pertahanan diri. Maksudnya ialah apabila kita mengalami perasaan takut, kita akan cuba menjangka dan bersedia menghadapi masalah yang bakal berlaku. Biasanya, perasaan takut ini juga akan melibatkan perasaan lain seperti gelisah, khuatir, ragu-ragu dan bimbang. Selain itu, perasaan takut juga disebabkan kejadian pahit yang pernah dialami seseorang yang tidak berasa begitu sebelumnya. Sebagai contohnya, bagi seseorang yang pernah terperangkap dalam lif semasa keputusan elektrik atau semasa dalam kebakaran, dia akan menghidapi penyakit psikologi, iaitu claustrophobia dan dia akan berasa takut untuk berada di tempat yang kecil dan terkurung.
Selain daripada takut akan sesuatu objek yang dapat dilihat ataupun sesuatu kejadian, seseorang itu juga akan berasa takut konsep yang abstrak. Perkara-perkara yang abstrak meliputi takut dikritik orang lain, takut kehilangan kawalan diri dan sebagainya. Walaupun perasaan takut ini membawa kesan yang lebih kurang sama dengan perasaan takut yang dialami disebabkan objek yang dapat kita lihat seperti ular, namun kedua-dua perasaan takut ini adalah berbeza dalam jangka sesuatu masa. Perasaan takut yang disebabkan konsep-konsep yang abstrak membawa kesan jangka yang jauh lebih panjang. Saya amat bersetuju dengan hal ini kerana perasaan tersebut akan ditanam dengan mendalam dalam minda seseorang itu dan tidak mudah hilang sampai bila-bila sahaja. Di samping itu, ekspresi dan wajah kita juga akan berubah apabila berasa takut. Ciri-ciri seseorang yang takut ialah matanya akan membeliak (untuk menjangka apa-apa yang bakal berlaku), anak mata membesar (supaya lebih cahaya memasuki mata untuk kita melihat sesuatu lebih jelas), bibir bernaik, kening mata akan bercantum dan bernaik serta bibir akan mendatar. Selepas mengetahui wajah-wajah muka yang takut ini, saya akan menjadi lebih prihatin pada masa depan untuk mengesan orang yang bertakutan. Perasaan takut akan menjadikan seseorang cuba memenuhi kehendak sesuatu yang menimbulkan perasaan tersebut tanpa menghiraukan diri sendiri. Mereka juga kadang-kadang akan menjadi ganas disebabkan hormone adrenaline yang banyak dalam badan mereka. Contohnya, apabila seorang gadis dirompak, dia akan cuba memenuhi kehendak perompak itu untuk mengelakkan diri dicenderakan.
Perasaan negatif kedua yang saya belajar ialah perasaan malu yang membawa maksud perasaan yang timbul atas tindakan yang kurang disenangi ataupun kurang diterima dalam kalangan masyarakat yang menjejaskan imej dan maruah seseorang. Perasaan ini timbul kerana sesuatu perkara tersebut dianggap kurang diterima dalam masyrakat dan bukan selalunya bermaksud perkara tersebut adalah salah. Contohnya, saya akan berasa sangat malu jika terpakai seluar tidur yang terlupa tukar disebabkan keadaan kelam-kabut dalam mengejar masa untuk mengelakkan kelewatan. Hal ini sebenarnya tidak salah dari segi moral, tetapi ia tidak diterima oleh orang ramai. Mereka akan menanggap saya seorang yang selekeh dan tidak mementingkan imej diri.
Perasaan malu dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu personal dan professional. Malu yang personal adalah disebabkan oleh perhatian yang tidak diingini daripada orang lain atas kesilapan dan tindakan sendiri. Perasaan ini pernah saya alami pada masa kecil lagi. Semasa berumur sekitar 10 tahun, saya suka mencuri duit ibu bapa untuk membeli makanan ringan. Pada mula-mulanya, kedua-dua ibu bapa saya tidak menyedari tindakan yang nakal saya itu. Lama-kelamaannya, mereka pun mula berperasan bahawa duit mereka menjadi semakin berkurangan dan mengesyaki saya yang mencurinya. Selepas ditangkap oleh ibu bapa, mereka menceritakan hal tersebut kepada saudara-mara saya. Saya berasa sungguh malu pada masa tersebut. Biasanya, apabila seseorang itu berasa malu, dia akan tersipu-sipu, berpeluh, gelisah dan tergaggap-gaggap. Oleh itu, kita dapat mengesan seseorang yang malu dengan ciri-ciri ini. Namun, terdapat beberapa orang yang cuba menyembunyikan perasaan malu dengan bersenyum. Oleh itu, macam mana kita hendak mengesan bahawa seseorang itu malu? Perasaan malu yang professional pula meningkat apabila berada di tempat kerja dan melibatkan perkara-perkara yang tidak beretika seperti gejala rasuah dan polisi kerajaan yang gagal.
Emosi seterusnya ialah sedih yang bermaksud perasaan yang sedan, sedu, pilu, susah, dan berdukacita. Apabila seseorang dilanda perasaan sedih, dia akan menjadi senyap dan tidak aktif seperti selalu. Ciri-ciri orang yang bersedih ialah kepala yang tunduk, badan yang landai dan aktiviti fizikal yang lemah. Selepas menyedari sifat-sifat ini, saya akan lebih peka terhadap mereka yang bersedihan dan cuba memujuk dan menghiburkannya.
Emosi yang terakhir ialah perasaan marah yang membawa makna perasaan yang menjadikan seseorang berpanas hati, kerana ditipu, dihina dan diugut. Biasanya, perasaan marah akan timbul dalam sesuatu konflik, keadaan yang berat sebelah, kejadian yang memalukan dan pengkhianatan. Perasaan ini boleh disifat sebagai aktif dan pasif. Marah yang aktif melibatkan pengeluahan emosi melalui pertuturan kata dan tindakan fizikal terhadap sesuatu target. Marah yang pasif pula penyimpanan perasaan dendam di dalam hati dan tidak diluahkan. Bagi saya, apabila saya marah, saya lebih kepada sifat yang pasif, iaitu tidak meluahkan perasaan saya. Namun, perasaan itu masih berada dalam diri saya walaupun saya kelihatan tidak marah.
Kesimpulannya, emosi negatif dapat dibahagikan kepada empat jenis yang utama, iaitu takut, malu, sedih dan marah. Keempat-empat jenis ini dapat kita lihat daripada sesiapa sahaja. Oleh sebab emosi-emosi bersifat negatif dan tidak sihat untuk kita, adalah lebih baik jika kita menjauhi diri kita daripada emosi-emosi ini yang mengganggu kehidupan kita. Kita seharusnya melalui hidup kita dengan ceria dan gembira dan bukan sedih dan murung.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment