Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pensyarah, Dr Zamri dan rakan-rakan seperjuangan yang dikasihi. Pertama sekali, saya ingin mendahulukan ucapan terima kasih kepada semua yang sudi membaca coretan saya ini. Setakat ini, sebanyak tiga kuliah Pengurusan Emosi telah saya hadiri. Pengetahuan saya tentang Emosi menjadi semakin mendalam sejak kuliah yang pertama. Kuliah yang saya hadiri pada Rabu, 10 Ogos 2011 ini dimulakan dengan tayangan video lagu seorang penyanyi remaja Barat yang dialih bahasa serta diubahsuai liriknya yang ditujukan kepada kaum ibu di luar sana. Kebanyakan lagu yang sering diudarakan di radio sekarang semuanya berkisar tentang cinta. Jika tidak tentang menemui cinta hatinya, mungkin tentang hati yang terluka kerana cinta. Memang ada, tapi jarang sekali kita dengar lagu tentang kasih sayang terhadap ibu bapa. Padahal, ibu bapa lah yang mengajar mereka mengenal cinta dan kasih sayang.
Tajuk kuliah yang disampaikan oleh Dr Zamri berlawanan dengan tajuk kuliah pada minggu lepas, iaitu Emosi Negatif. Emosi negatif sangat berkait rapat dengan diri saya pada minggu ini. Pelbagai emosi negatif yang telah saya lalui. Melalui kuliah ini, lebih banyak yang saya pelajari dan fahami tentang emosi negatif, dan bagaimana emosi ini boleh menjejaskan kehidupan dan mood seseorang. Saya menerima apa yang disampaikan oleh pensyarah seakan-akan "jigsaw falling into place". Setiap yang diperkatakan oleh pensyarah mencerminkan apa yang telah saya sendiri lalui.
Emosi negatif pertama yang dipelajari ialah "takut". Takut merupakan refleks kepada situasi yang bahaya, seram atau fobia kepada sesuatu perkara. Takut sebenarnya merupakan sesuatu yang bermanfaat untuk diri kita. Apabila kita ada perasaan takut, kita tidak akan dengan suka hatinya mencuba untuk membuat sesuatu yang mendatangkan bahaya kepada kita. Sebaliknya, kita akan berhati-hati dan berwaspada dengan setiap gerak geri kita. Namun, perasaan takut yang melampau akan menyebabkan kita terus ketinggalan di belakang. Sebagai contoh, kita takut untuk bercakap di depan khalayak ramai. Jika kita terus menerus mengelak daripada bercakap di depan orang ramai, kita tidak dapat melatih diri kita untuk menjadi lebih yakin dengan diri sendiri. Contoh lain ialah apabila kita takut untuk menyuarakan pendapat kita di dalam satu perbincangan kerana takut cadangan kita ditolak, kita yang akan mendapat rugi kerana tidak dapat mencapai objektif sebenar perbincangan tersebut. Tidak kira manusia atau haiwan, semua yang bernyawa boleh berasa takut. Contohnya, kucing yang sedang tidur di bawah kereta milik tuannya akan terus bangun dan lari jauh dari tempat asalnya untuk menyelamatkan dirinya, kerana kucing tersebut tahu bahawa tidak selamat untuk dia duduk di tempat yang sama lebih-lebih lagi apabila kereta itu bergerak.
Antara perkara yang menyebabkan timbulnya perasaan takut ini ialah tragedi lepas yang meninggalkan titik hitam dalam hidup seseorang. Seseorang yang pernah hampir lemas di dalam kolam air, mungkin akan menjadi fobia terhadap air. Namun, terdapat banyak sebab yang menjurus kepada perasaan takut dan skopnya sangat meluas dan abstrak. Apabila kita takut, kita akan memilih sama ada untuk lari daripada penyebab takut itu, atau berusaha untuk menghapuskan penyebab tersebut. Kita akan memilih antara dua perlakuan: "fight or flight". Fight di mana kita cuba untuk menghapuskan penyebab perasaan takut itu timbul, atau flight di mana kita terus lari dari sumber tersebut.
Takut memberi kesan yang mendalam kepada tingkah laku manusia. Seseorang yang dalam ketakutan kadangkala akan terdorong untuk melakukan perkara di luar jangkaan. Dalam situasi ini, bayangkan anda mendapat ugutan bunuh. Akibat dalam ketakutan, kita akan buat apa sahaja perintah pengugut tersebut.
Emosi yang kedua ialah "malu". "Malu" ialah emosi yang kita rasakan apabila kita telah melakukan sesuatu yang secara sosialnya tidak dapat diterima oleh orang lain. Malu boleh dikategorikan kepada malu personal dan malu professional. Malu yang personal berlaku apabila sesuatu yang anda tidak mahu sesiapa pun tahu, tiba-tiba terbocor dan diketahui orang. Perkara ini boleh melibatkan hal-hal peribadi seperti rahsia peribadi, sifat buruk, ditangkap membohong atau kesilapan yang pernah kita lakukan. Malu dari segi profesional pula ialah apabila dalam situasi di tempat kerja, sebagai contoh. Organisasi anda diberi tanggungjawab untuk melakukan tugas yang diberikan dalam masa yang ditetapkan dan semua orang menaruh harapan yang tinggi kepada anda, tetapi anda tidak dapat melaksanakan amanah yang diberikan itu. Anda berasa malu kerana menghancurkan harapan orang lain terhadap organisasi anda.
Emosi yang seterusnya ialah "sedih". Semua orang pernah berasa sedih tidak kira apa sebabnya. Sedih merupakan satu emosi yang menggambarkan kehilangan dan kekecewaan. Semua orang memang wajar berasa sedih jika berkenaaan dengan situasinya. Malah, orang yang tidak pernah merasa sedih itu adalah orang yang boleh dikatakan tiada perasaan. Emosi sedih, jika melampaui batasnya, sangat memudharatkan seseorang itu. Ada orang yang sedih hingga tidak lalu makan, tidak mahu bertegur sapa dengan orang sekeliling, dan lebih rela bersendiri. Orang yang sedih menyebabkan dia tidak ada semangat dalam melakukan apa juga pekerjaan. Dia akan berjalan dengan muka yang muram sambil menundukkan kepalanya dan menbongkokkan bahunya. Orang yang sedih selalunya akan senyap secara tiba-tiba, seakan-akan tidak bermaya dan tidak ada kemahuan untuk keluar dan berjumpa dengan orang ramai. Sedih adalah berlawanan dengan emosi gembira. Jika dibandingkan orang yang sedih dengan orang gembira, orang yang gembira dapat menjalani kehidupan dengan mudah kerana mereka dikelilingi sentiasa bersemangat dan penuh kasih sayang. Dalam konteks sedih pula, orang yang sedih lebih mudah menerima apa yang ada. Mereka selalunya pendiam dan tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Memang terbukti bahawa orang yang gembira adalah orang yang berjaya dalam kehidupan. Sedih berkait rapat dengan air mata. Menangis merupakan sesuatu yang sihat buat diri kira, kerana apabila kita nangis, kita dapat melepaskan rasa sedih. Namun, tidak elok pula jika kita menangis terlalu lama hingga mata bengkak! Sedih yang melampau membawa kepada stress, dan seterusnya depression. Tahap ini adalah tidak baik untuk diri kita. kita seharusnya bijak mengawal emosi dan tidak membenarkan emosi menghantui diri kita hingga menyebabkan kita kemurungan (depressed). Kita seharusnya bersabar dengan ujian yang menimpa diri kita, seperti firman Allah s.w.t:
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari kebajikan yang dikerjakannya dan dia mendapat siksa dari kejahatan yang diperbuatnya." - (al Baqarah:286)
Emosi negatif yang keempat ialah "marah". Marah ialah tindakbalas kepada kesakitan, keseksaan atau ugutan. Marah selalunya timbul dalam konflik peribadi. Kita ambil persahabatan sebagai contoh. Apabila mendapat tahu kawan kita memburuk-burukkan kita di hadapan orang lain, kita akan berasa marah. Kita berasa seperti ditikam dari belakang. Ekpresi "marah" ini pula mungkin secara pasif ataupun aktif. Bagi orang yang agresif, dia mungkin akan memarahi kawannya secara aktif: iaitu dengan bersemuka dengan kawannya itu. Mereka mungkin akan bertikam lidah, atau bagi orang yang memang pemarah, dia mungkin akan bertindak di luar jangkaan sehingga mencetuskan pergaduhan. Bagi orang yang pasif pula, dia akan memendamkan perasaannya dan memaki hamun orang itu di dalam kotak fikirannya. Selalunya orang yang marah mudah rasa terganggu. Perkara kecil yang biasanya tidak menimbulkan masalah, mungkin akan dijadikan satu isu yang besar oleh orang yang dalam kemarahan.
Bagaimana timbulnya perasaan marah ini? Perasaan marah tidak semestinya melibatkan diri kita sendiri. Boleh jadi, kita berasa marah atas sesuatu yang berlaku bukan terhadap diri kita, tetapi orang lain. Contohnya, perkara yang baru-baru ini berlaku terhadap seorang pelajar Malaysia di London. Ramai orang berasa tidak puas hati dan marah terhadap orang yang menganiaya pelajar tersebut, sedangkan perkara itu berlaku kepada orang lain. Selain itu, tahap kemarahan seseorang itu dipengaruhi oleh penyebab marah itu timbul. Contohnya, bos yang memarahi pekerjanya kerana lewat menghantar tugasan. Dia mungkin memarahi pekerjanya tanpa meninggikan suara. Namun, jika dia mengetahui bahawa pekerjanya sengaja menangguh tugasnya kerana ingin membuat bosnya marah, tahap kemarahan bosnya itu akan menjadi lebih membuak-buak hingga tidak dapat menahan kemarahannya. Orang yang marah sering tidak dapat bertindak rasional. Kita selalu dengar bahawa kita tidak sepatutnya membuat keputusan dalam keadaan marah. Apabila kita marah, mungkin akan terkeluar kata-kata yang boleh menyinggung perasaan orang yang dimarahi itu. Oleh sebab itu, sebaiknya kita menenangkan diri dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan ketika marah.
Izinkan saya berkongsi pengalaman saya sendiri dalam menghadapi emosi negatif ini. Pada minggu ini, bermacam-macam emosi yang telah saya lalui. Terlalu banyak tugasan yang perlu diselesaikan dalam masa yang singkat, hingga membuatkan saya mengalami stress. Akibat stress, saya menjadi semakin tegas terhadap orang lain. Saya cuba untuk mengawal perasaan apabila bercakap dengan orang tetapi ada kalanya saya terlepas cakap tanpa saya sedari. Ada masanya saya berasa marah, tetapi saya dapat mengawalnya dengan baik. Namun, apabila berlakunya satu perkara yang menganggu emosi saya, daripada marah, saya terus berasa sedih. Saya tidak dapat menahan sedih di hadapan rakan-rakan saya. Alhamdulillah, perasaan sedih saya tidak berpanjangan. Saya cuba untuk melihat situasi ini dari sudut yang positif. Apabila kita berfikir positif, semuanya akan menjadi lebih baik. Pengajaran yang saya dapat daripada apa yang berlaku ini ialah betapa pentingnya pengurusan emosi. Kita harus bijak mengawal emosi dan perasaan kita supaya kita dapat menjalankan kehidupan dengan baik. J
"The sign of an intelligent people is their ability to control their emotions by the application of reason."
- Anonymous
No comments:
Post a Comment