Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pensyarah, Dr. Zamri dan rakan-rakan yang dikasihi. Ini adalah penulisan jurnal pembelajaran saya yang ketiga untuk kursus ZT2253 Pengurusan Emosi. Untuk jurnal kali ini, saya akan memberi ulasan tentang tajuk kuliah pada sesi yang keempat ini iaitu Emosi Negatif, Teori Aras Adaptasi dan Teori Solomon. Terus-terang saya katakan saya berasa amat seronok mengikuti sesi kuliah pada kali ini berbanding dengan sesi-sesi yang lepas. Konsentrasi saya juga berada pada tahap yang baik sepanjang kuliah berlangsung.
Baiklah, saya teruskan kepada ulasan berdasarkan pemahaman saya tentang tajuk kuliah yang pertama iaitu Emosi Negatif. Tajuk kuliah ini merupakan kesinambungan daripada tajuk kuliah pada sesi yang ketiga lalu iaitu Emosi Positif. Terdapat empat emosi utama yang dikategorikan sebagai emosi negatif iaitu takut(fear), malu(embarrassment), sedih(sadness), dan marah(angry). Takut merupakan tindakbalas emosi terhadap rangsangan negatif daripada situasi yang dianggap bahaya dan sering dikaitkan dengan kerisauan dan keresahan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan emosi takut. Takut boleh diperolehi daripada kemalangan trauma yang meyebabkan seseorang itu merasa fobia terhadap sesuatu perkara. Hal ini amat benar kerana situasi ini berlaku kepada saya sendiri. Pengalaman hampir lemas di kolam renang sewaktu berusia 10 tahun menyebabkan saya fobia untuk mandi di kolam renang mahupun berada di dalam air yang dalam seperti sungai ataupun pantai sehinggalah sekarang. Selain itu, takut juga boleh diinspirasikan oleh konsep yang abstrak walaupun kebiasaannya takut dikaitkan dengan keadaan fizikal mahupun objek. Konsep abstrak ini termasuklah takut terhadap cemuhan atau kritikan yang banyak bersangkut paut dengan adat dan budaya sesuatu masyarakat. Bagi masyarakat Melayu, generasi terdahulu gemar menggunakan pantang larang dalam mendidik anak-anak mereka. Pantang larang ini dikaitkan dengan akibat yang buruk jika dilanggar dan ini telah menanamkan rasa takut dalam diri anak-anak mereka untuk melakukannya. Contohnya, anak dara yang menyanyi di dapur akan berkahwin dengan lelaki yang berusia. Perasaan takut seperti ini mempengaruhi individu yang mengalaminya untuk jangka masa yang panjang. Kita boleh mengesan sama ada seseorang itu dalam keadaan takut melalui ekspresi wajah. Antaranya ialah mata terbuka luas, anak mata membesar, bibir atas menaik, kening ke dalam dan bibir menegang sebaris.
Seterusnya, kita pergi kepada emosi negatif yang kedua iaitu malu. Saya percaya setiap orang pernah melalui peristiwa yang memalukan. Perasaan tersebut mungkin hanya memberi kesan yang sementara kepada individu yang mengalaminya namun sesetengahnya memberi kesan emosi yang mendalam dan berpanjangan. Berbalik kepada teori, malu merupakan keadaan emosi yang tidak menyenangkan atau tidak menggembirakan yang dirasai apabila kita melakukan sesuatu yang tidak boleh diterima secara sosial mahupun professional dan perbuatan ini diketahui oleh umum. Kebiasaannya rasa malu ini disebabkan perlakuan yang tidak diterima oleh masyarakat walaupun perlakuan tersebut tidak salah dari sudut moral. Malu terbahagi kepada dua iaitu personal dan professional. Malu personal (personal embarrassment) disebabkan oleh pendedahan salah laku peribadi seperti tertangkap kerana menipu atau kalah dalam perlawanan dan individu yang mengalaminya akan tersipu-sipu, tergagap-gagap dan gelisah. Malu profesional (profesional embarrassment) lebih kepada kegagalan melaksanakan tugas atau dasar yang telah dibuat dan juga kegagalan pemimpin negara mengotakan janji-janji yang telah diucapkan kepada rakyat. Selebriti yang ditangkap atas kesalahan undang-undang juga termasuk sebagai malu professional. Emosi negatif yang ketiga ialah sedih. Sedih adalah mood yang menunjukkan perasaan kehilangan atau kerugian. Individu yang bersedih lebih banyak berdiam diri, kurang bertenaga, dan selalu bersendirian. Jika kesedihan ini berpanjangan, ia akan membawa kepada kemurungan dan individu tersebut perlu mendapatkan rawatan pakar terutamanya pakar psikatari. Antara tanda-tanda yang boleh dilihat apabila seseorang itu bersedih ialah kepala tunduk, badan ke hadapan, bibir ke dalam, dan aktiviti fizikal yang lemah. Kajian Forgas(Forgas,1992,1994) mendapati bahawa individu yang gembira dapat memprroses maklumat dengan lebih tepat dalam masa yang lebih singkat berbanding individu yang sedih. Jadi sebagai seorang pelajar, kita seharusnya menjadi individu yang lebih gembira kerana kesedihan hanya akan memburukkan prestasi pembelajaran kita. Seterusnya, emosi negatif yang keempat iaitu marah. Saya percaya umum mengetahui dan bersetuju bahawa marah adalah emosi yang negatif kerana kesannya terhadap individu yang mengalami perasaan tersebut dan orang di sekeliling yang turut merasa tempiasnya. Secara definisinya, marah ialah tindak balas psikofisiologikal terhadap kesakitan, penderitaan atau ancaman. Marah boleh diekspresikan secara aktif mahupun pasif. Emosi marah yang aktif dikeluarkan secara fizikal atau verbal kepada sasaran manakala marah yang pasif lebih banyak berdiam diri dengan perlakuan pasif-agresif dan sering dikaitkan dengan tekanan. Dari sudut fisiologi tubuh manusia, individu yang marah mempunyai kadar degupan jantung yang tinggi, tekanan darah dan kadar pernafasan turut meningkat. Tanda-tanda ini disebabkan oleh rembesan hormon adrenalin yang dirangsang oleh perasaan marah. Namun begitu, marah seseorang itu akan reda apabila sasaran tidak lagi kelihatan atau ancaman yang bersifat sementara.
Selesai tentang emosi negatif, seterusnya saya akan mengulas tentang Teori Aras Adaptasi. Konsep asas teori ini ialah kita bertindak balas terhadap rangsangan yang baru berdasarkan tahap adaptasi yang kita miliki sekarang. Sebagai contoh, pendapatan bulanan kita adalah RM 3000.00 sebulan dan jumlah tersebut tidak pernah berubah sepanjang 10 tahun kita bekerja. Namun, apabila kita dinaikkan pangkat pendapatan telah meningkat kepada RM 4000.00 sebulan dan kita merasa amat gembira. Hal ini kerana jumlah tersebut telah melebihi tahap adaptasi kita (di luar daripada kebiasaan). Teori ini agak ringkas dan mudah difahami. Seterusnya,kita pergi kepada Teori Solomon. Teori yang diasaskan oleh Richard Solomon(1980) ini adalah hasil pengubahsuaian daripada Teori Aras Adaptasi. Teori ini adalah model psikologi bagi menjelaskan tentang sikap ketagihan. Solomon dalam teorinya menyatakan bahawa emosi akan mencapai keseimbangan iaitu titik neutral sama ada dalam tempoh masa yang panjang mahupun singkat. Teori ini juga menyatakan bahawa emosi hadir berpasangan dan apabila satu emosi itu dirasai pasangan emosinya akan dipendam(suppressed). Apa yang menarik minat saya tentang teori ini ialah penjelasan yang diberikan untuk masalah penagihan dadah. Emosi yang hadir berpasangan dalam ketagihan dadah ini ialah kegembiraan/keseronokan-kesakitan. Pengambilan dadah dalam kuantiti yang kecil pada mulanya merangsang emosi seronok dan menyebabkan seseorang itu terus-menerus mengambil dadah dan emosi kesakitan semakin ditekan(menjadi lemah). Namun apabila seseorang penagih itu ingin berhenti daripada mengambil dadah, emosi sakit menjadi dominan dan mereka yang menahan kesakitan itu akan mengambil dadah semula. Begitulah bahayanya pengambilan dadah kerana kebanyakan mereka yang menjadi penagih tegar berpunca daripada kesakitan yang tidak mampu ditanggung dan bukan lagi kerana keseronokan.
Sesi kuliah diakhiri dengan kuiz untuk topik Teori Plutchik & Teori Tomkin. Saya berasa amat gembira kerana kumpulan kami berjaya memperoleh 18/19 soalan yang diberikan dan sesi perbincangan yang berlaku untuk mendapatkan kata putus jawapan bagi setiap soalan amat menyeronokkan. Kami juga menerima bonus 2 markah daripada Dr.Zamri untuk markah kehadiran dan penyertaan.
Kesimpulannya, untuk sesi kuliah yang keempat ini, saya dapat memahami dengan baik setiap topik yang dibincangkan dan saya berharap konsentrasi saya akan sentiasa berada pada tahap yang baik untuk sesi-sesi kuliah yang akan datang.
No comments:
Post a Comment