Assalamualaikum dan selamat sejahtera,ini merupakan jurnal ketiga saya selepas menghadiri kuliah Pengurusan Emosi yang keempat pada 10 Ogos yang lalu.Kuliah kali ini merupakan sambungan kuliah sebelum ini , iaitu tentang emosi-emosi negatif.Antara emosi negatif yang dibincangkan ialah emosi takut, malu, sedih dan marah.
Dalam menghuraikan perasaan takut, perasaan ini berkait rapat dengan beberapa peringkat emosi yang lain, seperti bimbang, dan perasaan resah.Perasaan takut lazimnya adalah hasil tindak balas kepada stimulus negatif sebagai salah satu mekanisme pertahanan.Selain itu, perasaan takut juga boleh terhasil daripada kejadian trauma misalnya terjatuh dari tempat yang tinggi yang menghasilkan acrophobia (takut kepada ketinggian) ; pengalaman lemas yang mencetuskan hydrophobia (takut kepada air).Malah kadangkala perasaan ini tidak hanya terbatas kepada keadaan fizikal atau ketakutan kepada objek sahaja, seseorang juga mungkin mengalami perasaan takut atas sebab yang abstrak,misalnya tidak diterima, hilang kawalan atau takut kritikan.Kesan kepada perasaan takut ini mungkin berbeza; seseorang sama ada akan dikawal dan dibelenggu oleh rasa takut tersebut dan seterusnya mendorong perlakuan pasif atau mencetus tindak balas agresif seperti berkelakuan ganas; atau rasa takut ini menjadi cabaran kepada individu tersebut.Adakah rasa takut ni tidak baik ?Sudah tentu tidak, rasa takut adalah fitrah manusia dan kerana perasaan inilah kita selamat.Seandainya kita tidak memiliki perasaan takut, dan hanya memiliki perasaan berani, nyawa kita mungkin melayang dan maruah kita mungkin tercalar kerana kita berani tidak bertempat untuk melakukan kesalahan dan perkara-perkara yang berisiko kepada diri sendiri.Namun, terdapat orang yang memiliki perasaan takut yang tidak bertempat.Mereka menjadikan rasa takut sebagai alasan sehingga mengekang kemajuan misalnya,takut untuk memulakan perniagaan, takut untuk berubah dan takut untuk menyatakan kebenaran.
Boleh pandang-pandang jangan pegang-pegang
Duduk renggang-renggang bertambah sayang
Biar malu-malu biar segan-segan
Kerna MALU itu perisai orang beriman
Duduk renggang-renggang bertambah sayang
Biar malu-malu biar segan-segan
Kerna MALU itu perisai orang beriman
Emosi negatif yang kedua yang dibincangkan di dalam kuliah ialah perasaan malu.Perasaan ini adalah tercetus apabila terdapat aksi dan situasi yang tidak diterima sama ada secara sosial atau profesional yang diperhati atau diketahui oleh orang lain.Pada kebiasaanya, perasaan ini melibatkan maruah seseorang, namun sejauh mana maruah mereka terjejas adalah bergantung kepada situasi yang mencetus rasa malu tersebut.Perasaan malu kemudiannya boleh dikategorikan kepada dua, iaitu pertama Personal.Perasan malu personal terhasil kesan daripada aksi-aksi personal misalnya tertangkap sewaktu berbohong, kalah dalam satu-satu pertandingan atau salah memakai pasangan selipar.Sementara itu perasaan malu dalam kategori kedua adalah malu Profesional .Malu jenis ini pula berhubung dengan pekerjaan atau tanggungjawab , kehilangan sejumlah besar duit dan material atau gagal menyelamatkan nyawa.Emosi negatif yang ini juga merupakan fitrah manusia, malah dengan perasaan inilah diri kita selamat baik dari segi jasmani, rohani mahupun spiritual.Seperti yang pernah saya tulis dalam juranal sebelum ini, perasaan malu boleh dilihat ketika bayi mencecah usia 5 atau 6 bulan,di mana perasaan takut juga mula terbentuk pada masa yang sama.Mungkin kerana inilah perasaan malu juga umumnya berkait rapat dengan perasaan takut.Oleh yang demikian, perasaan malu adalah lahir secara semulajadi.Namun, ada juga perasaan malu yang dipupuk melalui pengalaman dan pembelajaran oleh satu-satu individu.Malah, agama Islam sendiri meletakkan malu di suatu kedudukan yang mulia dalam agama ini.
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata, Nabi s.a.w. bersabda, "Iman mempunyai lebih daripada tujuh puluh atau enam puluh cabang; yang paling utama ialah perkataan "La ilaha illallah" (Tiada Tuhan melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang berbahaya dari jalanan dan sifat malu merupakan satu cabang daripada iman itu." (Muttafaq `Alaih).
Walau bagaimanapun, perasaan malu ini tidaklah termasuk perasaan malu yang menghalang kemajuan diri; atau lebih dikenali sebagai malu yang tidak bertempat misalnya dalam menimba ilmu pengetahuan atau mengajak ke arah kebaikan.Dalam hubungan ini, Sayyidina `Aisyah r.a. pernah menyatakan pujian terhadap kaum wanita Madinah kerana mereka tidak pernah sama sekali malu untuk bertanya tentang perkara-perkara berkaitan dengan agama, "Sebaik-baik wanita ialah wanita-wanita Ansar yang tidak dihalang oleh perasaan malu mereka untuk bertanya tentang perkara (urusan) agama mereka."
" You cannot prevent the birds of sadness from passing over your head, but you can prevent their making a nest in your hair"
Perasaan sedih terhasil bila mana kita kehilangan atau kerugian dan emosi ini juga boleh bertukar kepada intensiti yang lebih tinggi iaitu kemurungan . Perasaan sedih sebenarnya boleh memberi kesan kepada diri seseorang baik dari segi mental, mahupun fisikal dan sosial.Saya baru sahaja mengetahui bahawa sebenarnya perasaan sedih boleh menakibatkan tindak balas kimia di otak dan menimbulkan kesan seperti pelupa, letih, putus asa dan kadangkala boleh menimbulkan perasaan lain seperti marah.Menurut Forgas juga, perasaan sedih juga mempengaruhi keputusan seseorang.Forgas menegaskan bahawa orang yang gembira lebih mampu memproses maklumat dalam jangka masa yang pendek serta memilih keputusan yang benar dan tepat berbanding orang yang sedih.Hal ini demikian kerana orang yang sedih terpaksa menggunakan sumber kognitif mereka untuk dua perkara; iaitu memproses maklumat yang diperlukan dan kedua ialah dalam mengurus emosi sedih yang mereka sedang hadapi.Manakala dari segi fizikal, seseorang yang sedih akan kurang tersenyum, badan yang mencodong ke hadapan, tunduk, mata yang kuyu dan suaranya pula tiada intonasi.Dari segi sosial pula,ia mungkin mempengaruhi hubungan dengan keluarga, sahabat dan rakan sekerja.Perasaan sedih yang melampau boleh memudaratkan diri kadangkala,justeru seseorang perlu bijak mengurus perasaan sedih mereka dengan mengenalpasti punca kesedihan tersebut dan mencari jalan penyelesaian; sekiranya tiada jalan penyelesaian cubalah merenung hikmah di sebalik keadaan yang mencetuskan perasaan sedih tersebut dan terimalah keadaan tersebut dengan hati yang terbuka dan teruskanlah kehidupan.Seseorang juga sebenarnya harus bersyukur dengan apa yang mereka masih miliki dan tidak terlalu bersedih dengan apa yang telah mereka kehilangan.
Emosi yang keempat yang kami pelajari dalam kuliah kali ini ialah perasaan marah.Ini terhasil mungkin sebagai respons kepada sakit, penderitaan atau tekanan yang berpanjangan atau ancaman.Ancaman ini mungkin benar, dibincangkan atau hanya diimaginasikan.Kemarahan boleh diekspresikan sama ada secara aktif atau pasif.Secara aktif , ialah apabila seseorang tersebut mengeluarkan kemarahan tersebut secara perkataan atau perbuatan tersebut kepada targetnya.Manakala,kemarahan yang pasif ialah apabila seseorang tersebut merajuk, tidak melayan oranh yang dia marah atau berasa tertekan.Emosi ini sebenarnya dikendalikan oleh amygadala, suatu struktur di dalam otak manusia.Amygadala berfungsi untuk mengeenal pasti ancaman dan bertindak melaui pergerakan tubuh badan dan sebagainya.Fungsi amygadala adalah amat cekap sehingga reaksi yang dicetuskan oleh bahagian otak ini mendahului cortex (iaitu bahagian otak yang bertanggungjawab dalam penilaian dan pemikiran).Jadi tidak hairanlah bagaimana seseorang yang berada dalam keadaan marah boleh berkelakuan melampui batas.Dari sudut perspektif Islam pula, marah adalah tanda kelemahan seseorang. Sahabat baginda yang terdahulu pernah mengatakan bahawa orang yang kuat bukanlah orang yang boleh menumbangkan lawannya dengan mata pedang, tetapi orang yang benar-benar kuat ialah orang yang dapat mengawal emosinya ketika dia dalam keadaan marah.
Kesimpulannya,setiap emosi harus dikawal supaya ia berada di pertengahan,tidak terlalu menonjol atau langsung tak memiliki emosi tersebut.Saya mendapati banyak yang saya pelajari melalui kuliah kali ini dan setiap apa yang baru saya ketahui dan catatkan di sini banyak memberi peringatan kepada diri saya sendiri.
No comments:
Post a Comment