Sunday, August 14, 2011

Seah Zeyen A131580 Jurnal 3

Seah Zeyen A131580

                Salam sejahtera. Pada 10 Ogos 2011, iaitu hari Rabu yang lepas, saya telah menghadiri kuliah ZT 2253 iaitu Pengurusan Emosi yang diajar oleh Dr. Zamri. Tajuk kuliah pada hari itu ialah Emosi Negatif: Takut, Malu, Sedih dan Marah.

                Emosi negatif pertama yang diperkenalkan oleh pensyarah ialah ketakutan. Perasaan takut merupakan sejenis emosi yang dialami oleh seseorang akibat berada dalam sesuatu kejadian yang bahaya,  perasaan gementar ataupun bimbang. Hari itu saya telah mengingat kembali perasaan takut yang pernah saya alami sebelum ini. Antara contohnya, saya akan berasa takut pada malam sebelum ataupun beberapa jam sebelum peperiksaan. Hal ini kerana pada masa itu saya masih belum habis menghafal dan mengulangkaji apa yang sepatutnya. Tambahan itu, kawan-kawan di sekeliling saya pula kelihatan penuh dengan keyakinan diri. Perasaan takut ini turut disertai dengan kebimbangan tidak tahu menjawab soalan nanti dan seterusnya gagal dalam peperiksaan. Apabila dalam ketakutan, seseorang itu akan menunjukkan ekspresi wajah muka yang tertentu. Bagi contoh yang saya beri tadi, sebelum memasuki dewan peperiksaan, jantung saya berdebar-debar, badan mula berpeluh dan mudah berasa dahaga. Ketika saya sedang menjawab kertas soalan, hati saya berdegup dengan lebih pantas lagi dan mata akan dibuka menjadi besar. Walaupun begitu, ekspresi wajah muka yang ditunjukkan adalah berbeza untuk setiap orang, maksudnya bukannya semua orang akan berpeluh dan berasa dahaga, sebaliknya ada sesetengah orang yang langsung tidak menunjukkan apa-apa ekspresi wajah pun, tujuan untuk menutupi ketakutannya.

                Emosi negatif yang seterusnya ialah kemaluan. Kemaluan boleh didefinisikan sebagai satu emosi yang dialami apabila kelakuan seseorang yang susah hendak diterima telah dinampak ataupun dilihat oleh orang lain. Biasanya kelakuan itu menglibatkan kehilangan maruah diri dan menarik perhatian yang tidak dikehendaki. Kemaluan boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu kemaluan individu dan kemaluan profesional. Contoh untuk kemaluan individu ialah seorang budak kecil terlupa untuk menarik zip seluarnya dan telah diberitahu oleh ibunya di hadapan rakan-rakannya. Contoh untuk kemaluan professional pula ialah usaha seorang doktor untuk menyelamatkan pesakitnya tidak berjaya lalu menyebabkan pesakit tersebut kehilangan nyawa. Bagi saya, saya juga pernah merasai emosi kemaluan ini semasa perbincangan sesi kumpulan kecil. Pada mulanya sesi tersebut saya berasa mengantuk dan tidak mendengar apa-apa yang disampaikan dalam perbincangan. Selepas 15 minit, apabila saya berasa lebih sedar, saya telah bertanya satu soalan. Semua ahli kumpulan saya yang lain melihat saya dan memberitahu saya di hadapan cikgu bahawa sebenarnya soalan saya itu telah ditanya pada permulaan perbincangan. Saya tersipu-sipu dan cuba ketawa untuk menutupi perasaan kemaluan kerana orang lain telah mengetahui bahawa saya tidak mengambil perhatian semasa perbincangan.

                Kuliah pada hari itu juga meliputi emosi negatif sedih. Kesedihan ialah satu perasaan yang selalu berkaitan dengan dan mempamerkan sesuatu yang buruk ataupun kehilangan sesuatu. Ketika berasa sedih, seseorang itu biasanya akan mendiamkan diri, kurang aktif dan hanya hendak mengurungkan diri sendiri sahaja. Dia tidak akan ada keinginan untuk keluar ataupun bersosial dengan orang lain. Seseorang yang sedih biasanya akan menunjukkan tanda-tanda seperti menundukkan kepala, tidak bermaya dan aktiviti fizikal yang perlahan dan lemah. Oleh itu, kita bolehlah tahu apabila seseorang itu berasa sedih tanpa harus bertanya kepadanya. Mengikut Forgas, orang yang gembira akan memproses maklumat dalam masa yang singkat manakala orang yang sedih boleh juga memproses makumat tersebut tetapi memerlukan masa yang lebih lama dan kurang tepat. Hal ini membuktikan bahawa kemahiran untuk memproses maklumat dipengaruhi oleh angin seseorang. Untuk pernyataan ini, saya boleh memberikan contoh. Seorang yang baru menerima hadiah dan berasa gembira akan lebih memberi perhatian dalam kuliah berbanding dengan seorang lagi yang kucing kesayangannya mati dilanggar kereta dan berasa sedih akan termenung sahaja semasa kuliah.

                Emosi negatif yang mengakhiri kuliah hari itu ialah marah. Kemarahan merupakan sejenis tindak balas akibat mengalami kesakitan, sama ada dalam bentuk penderitaan, kesusahan ataupun ancaman. Seseorang boleh menunjukkan dan mengekspresikan kemarahannya secara aktif atau pasif. Dalam kes emosi aktif, orang yang marah itu akan melepaskan kemarahannya secara lisan, seperti menggunakan kata-kata kasar, dan juga secara fizikal, iaitu bergaduh dengan sasarannya. Sebagai contoh, apabila seseorang ternampak murid lain sedang dibuli, dia akan cuba menghalang pembuli itu daripada meneruskan perbuatannya. Sekiranya pembuli tersebut tidak mengendahkan nasihatnya, hal ini akan menambahkan lagi kemarahannya lalu menyebabkannya menggunakan kata-kata yang tidak sopan dan seterusnya mungkin menumbuk pembuli itu.  Sebaliknya dalam kes emosi pasif pula, orang yang marah akan mempunyai ciri-ciri seperti merajuk seorang diri secara diam-diam, permusuhan dan ketegangan hubungan dengan orang lain. Saya telah mengalami kemarahan jenis pasif ini baru beberapa hari yang lalu. Satu mesyuarattelah diadakan selepas kelas dan kita diminta untuk berkumpul di hadapan dewan kuliah. Mesyuarat itu tidak bermula pada masa yang telah ditentukan dan terdapat beberapa orang yang terlewat kerana sesi kelas mereka belum tamat. Saya mula berasa tidak sabar kerana pada masa itu saya amat letih dan lapar. Selain itu, mesyuarat tersebut tidak menunjukkan apa-apa perkembangan kerana semua yang dibincangkan ditolak balik ke masalah asal yang sama. Saya berasa marah kerana hal ini telah menangguh masa jadual saya untuk pergi ke stesen bas supaya boleh pulang ke rumah dan sampai sebelum malam. Namun begitu, saya tidak boleh membuat apa-apa kerana bukannya salah mereka mesyuarat ini lambat bermula. Oleh itu, saya hanya menunjukkan kemarahan saya dengan mendiamkan diri dan enggan bercakap dengan orang lain.

                Apa yang saya sedar selepas topik kemarahan ialah kepentingan mengawal kemarahan supaya tidak menyinggung perasaan orang lain. Dari pembacaan saya, terdapat tiga cara untuk menguruskan kemarahan. Pertama, kita perlu memahami dan mengenalpasti pencetus-pencetus yang boleh jadikan kita hilang akal seperti kata-kata tertentu orang, tabiat orang, tidak bertoleransi dan sebagainya. Kita juga harus mengambil kira manfaat atau kebaikan yang boleh didapati daripada pelepasan kemarahan seperti berasa lega dan orang lain akan mendengar saya. Sebenarnya manfaat ini boleh dicapai melalui cara lain yang lebih asertif. Melepaskan kemarahan membawa berkat yang sementara sahaja. Pada jangka panjang ia akan menjejaskan perhubungan kita. Kedua, belajar menenangkan diri dalam situasi genting. Apaila perasaan marah timbul kita boleh menggunakan teknik relaks seperti menarik dan menahan nafas beberapa saat, menggantikannya dengan aktiviti lain seperti memandang pada benda dan bukan orang atau membilang sampai 10, atau minta diri untuk berfikir. Ketiga, belajar cara atau strategi untuk mengelakkan kemarahan kelak seperti membaca dan menambahkan ilmu tentang pengurusan kemarahan, mengubah kepada gaya hidup yang lebih sihat dan kurang stress, meneliti segala punca kemarahan, berbincang dengan kaunselor atau pakar psikologi dan menghadiri kursus mengurus kemarahan.

                Sebagai kesimpulan, selepas kuliah hari itu saya telah belajar dan memahami dengan lebih mendalam lagi tentang emosi-emosi negatif ini dan saya sedar tentang kepentingan kemahiran untuk menguruskannya kerana keempat-empat emosi ini kalau tidak dikawal dengan baik, emosi-emosi inlah yang akan mengawal kita dan seterusnya membawa keburukan.

No comments:

Post a Comment