Sunday, August 14, 2011

A131850 Nurul Zahirah Zainal LJ03 EMOSI NEGATIF

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada sesiapa yang membaca jurnal saya. Jurnal kali ini adalah berkenaan dengan pembelajaran yang diajar oleh Dr. Zamri dalam kuliahnya baru-baru ini pada 10 Ogos 2011 di Dewan Kuliah Satu, pada jam 2-5 petang. Kuliah ini bermula dengan sesi tayangan video, Emosi Negatif, Teori Aras Adaptasi dan Teori Soloman.

Video yang ditayangkan itu sangat menarik perhatian saya dimana lagu Baby nyanyian Justin Bieber yang telah diubahsuai kepada versi melayu,bertajuk Ummi nyanyian seorang pemuda. Hal ini mengingatkan ibu saya di kampung, bagaimana kapayahan dan kesusahan yang perlu dia hadapi  untuk membesarkan saya. Ibu saya merupakan seorang insan yang sangat kuat dan tabah menjalani kehidupan ini.  Bila saya teringatkan nasib ibu saya, saya sering menangis kerana sedih melihat ibu saya fikirkan pelbagai masalah yang melanda dirinya. Terlalu banyak perkara yang ibu saya fikirkan sehinggakan menjejaskan kesihatannya. Saya cuba untuk meringankan bebannya dengan cara membantunya buat kerja-kerja rumah apabila dia pergi mencari rezeki di luar. Memandangkan saya merupakan anak perempuan tunggal dalam kalangan adik beradik saya, adik-adik dan abang saya jarang membantu ibu saya. Mereka kadang-kadang sukar untuk memahami situasi ibu saya. Saya sangat sedih. Untuk menjadi anak yang bertanggungjawab, tiap kali saya pulang ke rumah, saya akan pastikan masa saya akan dihabiskan di rumah membantu ibu saya untuk meringankan bebannya. Bagi saya, memudahkan kerjanya,meringankan bebannya dan membuat hatinya senang sangatlah memuaskan hati saya. Sekurang-kurangnya apabila saya pulang semula ke Kuala Lumpur, saya telah serba sedikit berbakti untuk ibu kesayangan saya walaupun pada hakikat itu apalah sangat berbanding dengan ibu saya yang telah mengandungkan saya selama 9 bulan,melahirkan saya, membesarkan saya selama 20 tahun ini. Dialah ibu saya yang sangat hebat,tabah,kuat dan yakin. Saya ingat lagi, ada rakan sepejabatnya memberi gelaran kepadanya iatu 'Iron Woman' kerana ibu saya mampu melaksanakan kerja-kerja berat yang kebiasaannya dilakukan oleh lelaki dan tiada seorang wanita pun mampu buat. Apa yang saya nak maksudkan, ada satu ketika dimana ibu saya perlu berpindah bilik pejabatnya ke tingkat bawah, ibu saya mengalih meja, almari, rak-rak,kerusi dan lain-lain lagi dengan sendirinya tanpa meminta bantuan kaum lelaki. Berbanding dengan kawannya yang lain, mereka meminta pertolongan kaum lelaki untuk membantunya. Malangnya, saya sebagai anaknya tidak dapat mewarisi sifat-sifat yang ada pada ibu saya itu. Saya sendiri tidak mampu untuk menjadi seperti ibu saya. Tetapi saya percaya, setiap orang mempunyai kelebihan dan keistimewaannya sendiri. Saya sayang sangat ibu saya.

Habis berbincang tentang ibu saya, kita beralih pula kepada slaid yang tunjukkan oleh Dr. Zamri berkenaan perbezaan antara negara maju dan negara kurang maju. Dr. Zamri pernah bertanya kepada kami bagaimana negara Switzerland yang tiada sumber koko boleh menjadi negara yang terbesar di dunia menjual pelbagai coklat. Malah, menjual coklat yang sedap pula. Selain itu, negara Jepun telah menjadi negara contoh bagi negara paling maju dan berkehadapan. Negara Jepun merupakan negara yang paling maju dalam bidang teknologinya dan semua peralatannya dan barang elektroniknya sangat canggih. Kita perlulah mengambil iktibar dari negara-negara seperti ini untuk kita membantu negara Malaysia untuk membangun.

Kemudian kami ditayangkan lagi dengan gambar-gambar orang di Palestin berlatar belakangkan lagu Look Into My Eyes oleh Outlandish. Tayangan ini membuatkan saya sedih dan hampir menangis atas kekejaman negara yang kuat menindas negara yang lemah. Bagaimana nasib orang-orang yang dizalimi ini? Saya terfikir, bagaimana saya boleh membantu mereka. Apabila saya menamatkan pengajian saya dalam bidang perubatan ini dan menjadi seorang doktor, bagaimana saya dapat berbakti kepada masyarakat dalam negara dan masyarakat di luar negara. Hal ini memberi motivasi kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan buat terbaik demi agama,bangsa,negara dan dunia. Dr. Zamri juga cuba untuk menyampaikan pelbagai emosi negatif yang ada dalam video ini. Apa yang saya perhatikan, terdapat pelbagai emosi negatif yang ditonjolkan, contohnya emosi marah,takut,sedih dan lain-lain lagi dimana bersesuaian dengan tajuk pada kali ini iaitu Emosi Negatif.

Jadi, marilah kita pergi kepada emosi negatif yang pertama iaitu takut. Takut itu adalah respon emosi terhadap sesuatu bahaya. Emosi takut juga adalah berkenaan dengan perasaan cemas dan runsing. Terdapat banyak sebab yang membuatkan seseorang itu menjadi takut. Antaranya disebabkan trauma kemalangan yang tragik. Contoh yang boleh saya ambil adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri. Saya ingat lagi, pada usia 17 tahun, saya ditimpa kemalangan yang sangat teruk yang menyebabkan saya alami keretakan tulang belakang. Sehingga sekarang saya masih trauma. Dulu sebelum kemalangan, saya seringkali tidur dalam kereta sebelum sampai ke destinasi. Kini setelah kemalangan, saya sukar untuk tidur kerana ingin memastikan pemandu membawa dengan berhati-hati dan berhemah. Malah saya akan bercakap-cakap dengan pemandu bagi mengelak si dia dari mengantuk ataupun saya akan membantu pemandu itu dengan memberi peringatan , ''jangan laju sangat''. Hal ini berlaku kerana saya takut kemalangan akan berlaku sekali lagi.Ada juga rasa takut disebabkan kritikan.  Saya pun adalah seorang manusia yang takut pada kritikan. Kritikan kadang-kadang boleh membuatkan saya menjadi lebih lemah walaupun adakala boleh menjadi satu semangat untuk saya membuat sesuatu perkara.Apabila seseorang itu berada dalam keadaan takut, perubahan pada ekspresi muka dapat dilihat. Antaranya adalah mata seseorang itu akan menjadi luas kerana tidak sabar menunggu akan apa yang terjadi untuk akan datang. Pupil mata seseorang itu juga akan menjadi kembang kerana penyerapan cahaya. Bibir atas pula akan menjadi lengkung. Kening pula akan ke dalam dan bibir akan menjadi mendatar. Perasaan takut boleh menyelamatkan nyawa seseorang. Contohnya, apabila kita berhadapan dengan seekor binatang liar,contohnya harimau, kita mula merasa takut. Apabila kita berada dalam keadaan takut, kita mula bertindak untuk melarikan diri atas sebab takut kena tangkap oleh harimau itu dan dimakan olehnya. Takut juga membuat seseorang itu bertindak agresif. Bagi saya, apabila melihat semula pada faktor-faktor yang membuatkan orang takut, kesemuanya bergantung pada waktu dan persekitaran tetapi ada satu sebab lagi yang membuatkan saya sering takut sentiasa iaitu takut pada Allah swt. Jenis takut ini bukan sesuatu perkara yang negatif malah ianya adalah kebaikan untuk kita sebagai seorang muslim.

Seterusnya, emosi negative yang kedua ialah malu. Perasaan malu ini akan timbul apabila kita membuat sesuatu perkara yang tidak diterima masyarakat. Malu juga boleh dikaitkan dengan air muka dan maruah seseorang itu. Contohnya, memakai kasut terbalik, memakai pakaian terbalik atau terjatuh di khalayak ramai.Malu terbahagi kepada 2 kategori iaitu malu jenis personal dan malu jenis professional. Malu jenis personal adalah malu apabila perhatian orang lain tertumpu kepada hal-hal peribada kita,kesilapan diri kita sendiri dalam setiap perkara, iaitu seperti berbohong, bergosip dan sebagainya. Atau malu jenis personal boleh disebabkan kekalahan dalam mana-mana pertandingan atau perlawanan. Perasaan malu ini dapat disertakan dengan tersipu-sipu, berpeluh, tergagap-gagap, dan gelisah. Kadang-kadang seseorang itu akan mengelak daripada perasaan malunya dilihat, seseorang itu akan gelak secara kuat atau senyum dengan pipi kemerah-merahan. Perasaan malu secara professional pula melibatkan apabila seseorang itu berada di pejabat. Seseorang itu akan malu apabila tidak dapat menjalankan tugas dengan baik. Prestasi pula akan menurun.

Akhir kata dari saya, setiap orang akan mengalami emosi-emosi negatif ini bergantung kepada persekitaran dan waktu sesuatu perkara berlaku. Dengan adanya emosi negatif dengan emosi positif, kedua-duanya memberi warna dalam kehidupan kita. Tanpa emosi negatif, hidup kita akan menjadi bosan dan mendatar sahaja. Maka dengan itu, emosi positif dan negative,kedua-duanya memberi kebaikan kepada kita.

 

 

No comments:

Post a Comment