Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada sesiapa yang berkesempatan untuk singgah dan membaca jurnal saya pada kali ini. Untuk jurnal yang lepas, saya telah menghuraikan tentang emosi positif serta contoh-contohnya yang berkaitan dan kali ini pula saya akan menghuraikan tentang apa yang saya fahami tentang emosi negatif. Emosi negatif ialah satu emosi yang memusnahkan kebahagiaan, menyakitkan jiwa dan juga membantutkan kecemerlangan diri. Jika seseorang itu terus berada dalam emosi negatif tanpa dikawal, ia berkemungkinan akan membawa kehancuran kepada individu itu. Antara contoh-contoh emosi negatif ialah marah, takut, malu, sedih dan banyak lagi. Kebiasaannya, perasaan ini sangat membebankan seseorang individu itu dan ketika inilah orang-orang yang rapat dengan mereka seperti ahli keluarga dan juga rakan-rakan harus memberikan sokongan agar mereka tidak melakukan sesuatu yang diluar kawalan.
Takut merupakan tindak balas emosi kepada bahaya yang akan berlaku dan membawa kepada kebimbangan jika situasi bahaya itu berterusan berlaku. Perasaan takut ini juga datang selepas situasi bahaya itu berlaku dan menjadi memori yang pahit dalam hidup mereka. Apabila mereka mengalami keadaan bahaya itu sekali lagi, proses fisiologi seperti berpeluh, sesak nafas, jantung berdebar-debar, tangan dan seluruh badan menggeletar mungkin akan berlaku dan jika ianya terlalu serius, ia mungkin akan membawa maut. Perasaan takut ini juga dikenali sebagai fobia iaitu perasaan takut yang amat sangat seperti 'hydrophobia' (takut kepada air) dan juga 'claustrophobia' (takut kepada ruang sempit). Walaubagaimanapun, perasaan takut ini juga selalunya telah diserapkan kedalam diri dan minda sejak awal lagi ketika mereka masih kecil dan tidak mengetahui apa-apa. Contohnya takut kepada serangga, hantu dan juga api. Ibu bapa mereka yang bertanggungjawab mencorakkan rasa takut dalam diri mereka atau dengan kata lain, perasaan takut ini hanyalah mainan perasaan sahaja seperti menurut pendapat Marie Curie, " nothing in life is to be feared. It is only to be understood."
Perasaan malu juga salah satu contoh emosi negatif. Malu ialah keadaan yang tidak menyenangkan apabila melakukan sesuatu kesilapan yang sukar diterima akal, menjatuhkan maruah diri sendiri atau perkara yang patut ditutup dihebahkan kepada orang ramai. Perasaan malu ini bukanlah sesuatu yang asing kerana setiap orang pasti pernah mengalami situasi yang memalukan cuma yang membezakannya adalah samada perasaan malu ini hanya bersifat sementara ataupun berlanjutan hingga mengganggu emosi seseorang. Terdapat dua jenis malu iaitu malu dalam bentuk persendirian dan juga dalam bentuk profesional. Contoh malu dalam bentuk persendirian adalah apabila seseorang itu berasa malu kerana cacat atau miskin dan dalam bentuk tindakan pula apabila seseorang itu terperangkap dengan pembohongan yang mereka cipta sendiri. Manakala, malu dalam bentuk profesional pula berlaku dalam skop yang lebih besar contohnya apabila tersalah memberi ucapan atau terlibat dengan kes mahkamah yang kebiasaannya melibatkan selebriti kerana mereka merupakan tumpuan media. Maka bagi mengelakkan diri dari terjebak dalam situasi yang memalukan, kita haruslah sentiasa berhati-hati dalam setiap perkataan dan juga perbuatan kita berdasarkan kata-kata Lynn Swann, "Some people play very, very well just so they won't get embarrassed."
Manakala, sedih pula ialah satu keadaan yang suram, kecewa dan juga memberi tekanan kepada individu yang mengalaminya. Perasaan ini akan muncul apabila kehilangan sesuatu atau seseorang yang sangat disayangi. Pelbagai cara untuk menunjukkan emosi sedih ini contohnya dengan menangis dan murung bagi meraih simpati dan sokongan orang yang berada di sekeliling dan tidak kurang juga ada yang berdiam diri dan hanya berpura-pura gembira bagi mengelakkan orang lain merasa kasihan dengan mereka. Mereka yang berseni pula selalu akan mengekspresikan perasaan mereka dengan lukisan ataupun lagu. Penciptaan sesebuah lirik lagu itu selalunya mencerminkan emosi penulis lirik itu sendiri.Bagi saya, perasaan sedih ini haruslah dikongsi agar dapat mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung. Selain itu, sokongan dari orang sekeliling adalah penting kerana mereka yang mampu memberi kekuatan dan semangat baru ketika kita berada dalam kekecewaan yang amat sangat. "I had rather have a fool to make me merry than experience to make me sad and to travel for it too"- William Shakespeare . Emosi sedih ini perlu dielakkan keran ia lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan contohnya orang yang sedih ini tidak dapat melakukan kerja dengan baik dan kebiasaannya hasil kerja mereka tidak sesempurna orang yang melakukan kerja dengan hati yang riang. Ini dibuktikan melalui kajian Forgas, " It was found that happy people tend to process information in a shorter period of time and more accurately compared to sad people who process information logically, over extended periods of time and less accurately" (Forgas,1992, 1994).
Contoh emosi negatif yang terakhir dalam kuliah yang lepas ialah marah. Perasaan marah terbit dari jiwa seseorang apabila emosi mereka tidak stabil dan dihimpit dengan pelbagai masalah yang begitu menyesakkan kepala serta menjadikan mereka tertekan dan mampu untuk bertindak di luar kawalan jika perasaan marah itu telah sampai ke kemuncaknya. Walaubagaimanapun, terdapat juga perasaan marah yang positif seperti melihat penindasan terhadap golongan yang lemah. Perasaan itu akan hadir secara semulajadi dalam diri orang yang mempunyai sifat keperimanusiaan. Marah dari segi negatif pula selalunya berlaku disebabkan masalah peribadi yang tidak diselesaikan dengan baik terlebih dahulu. Apabila perasaan marah itu mula mengaburi minda, pelbagai kejadiaan yang tidak diingini akan berlaku seperti kes pembunuhan yang semakin meningkat di dada akhbar kini. "Anger is a wind which blows out the lamp of the mind."- Robert Green Ingersoll. Bagi saya pula, ketika saya sedang marah saya lebih suka untuk berdiam diri bagi mengelakkan sesuatu perkara itu menjadi lebih keruh kerana manusia mempunyai ego yang tinggi dan kebiasaannya masing-masing akan tidak mahu mengalah. Oleh itu, perasaan marah yang meluap-luap itu selalunya dibiarkan padam begitu sahaja. Tetapi perasaan sakit hati akan muncul apabila hanya kita sahaja yang cuba untuk mengawal keadaan padahal pihak yang satu lagi hanya mahu menambahkan api kedalam kemarahan itu dan hal ini akan menyebabkan emosi menjadi tak terkawal.
Selain dari kuliah mengenai emosi negatif ini,minggu lepas juga turut diadakan kuliah berikutnya iaitu tentang teori aras adaptasi. Iaitu tentang teori bagaimana tahap penyesuaian seseorang itu terhadap ransangan yang dialaminya dan sejauh mana mereka mampu untuk menguruskannya. Hasil ubahsuaian dari teori ini telah menghasilkan teori yang baru iaitu teori Solomon. Teori ini melibatkan arah sesuatu emosi itu untuk ke titik neutral bukan sahaja dalam jangka masa panjang, tetapi juga dalam jangka pendek. Teori ini menyatakan apabila wujudnya satu emosi,maka akan muncul juga satu emosi lain yang bertentangan dengan emosi yang sudah sedia wujud. Contohnya, seorang penagih dadah akan merasa puas apabila pertama kali terjebak dengan dadah dan akhirnya akan merasa menyesal apabila jatuh sakit dan tetap tidak dapat meninggalkan kegiatannya itu. Contoh pada saya pula, sebelum ini saya amat takut dan susah untuk menunggang motor apatah lagi saya pernah terjatuh sebanyak dua kali ketika menunggang motor tapi lama kelamaan , perasaan takut itu mula hilang dan berganti dengan keseronokan setelah mahir untuk membawanya.
No comments:
Post a Comment