Sunday, August 14, 2011

A131971 MOHAMAD FADINI BIN ABDUL AZIZ LJ03

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Dr Zamri dan rakan – rakan pembaca jurnal sekalian . Kali ini saya telah mempelajari mengenai  teori Solomon yang berkisar kepada 'opponent  process  theoy' .  Teori Solomon adalah berdasarkan pengubahsuaian teori adaptasi .  Model psykologi telah diperkenalkan oleh Richard Solomon pada 1980 untuk mengatasi sifat atau perangai ketagih . Berdasarkan  teori Solomon , emosi adalah keseimbangan  kearah titik neutral  yang bukan sahaja dalam tempoh yang panjang malah  melibatkan juga dalam  tempoh yang pendek . Solomon juga mendapati bahawa setiap emosi menyebabkan wujudnya emosi yang bertentangan untuk berlaku . Solomon yakin bahawa setiap emosi adalah berpasangan . Oleh hal yang demikian , apabila salah satu emosi daripada emosi yang berpasangan itu dominan , pasangan kepada emosi tersebut akan menjadi kurang menonjol atau kurang dialami oleh seseorang  . Secara ringkasnya , sesuatu emosi yang berlaku akan mengalami keadaan pertama  dan keadaan pertama itu akan mewujudkan keadaan yang bertentangan . Dalam peringkat pertama , emosi pada masa itu adalah tanpa pengalaman dan berlaku secara automatik . Ciri – ciri peringkat yang kedua pula adalah melibatkan emosi yang bertentangan denagan peringkat pertama , emosi ini berlaku lewat daripada emosi peringkat pertama , bertahan lama , berlaku secara berulang dan peringkat pertama menjadi lemah . Sebagai contoh , kita berasa penat semasa melakukan aktiviti bersukan seperti berbasikal tetapi kita akan berasa gembira dan berpuas hati kerana aktiviti yang sedemikian akan  memberikan kita tubuh badan yang sihat . Solomon juga berpendapat bahawa  " Repeating the emotional experience increases the relative strength of the opposing emotion " . Bagi menerangkan perkara diatas , saya akan memberikan satu contoh iaitu penerjun daripada tempat tinggi seperti kapal terbang melakukan aktiviti sedemikian buat pertama kalinya akan berasa sangat takut daripada penerjun yang berpengalaman  tetapi kurang kepuasan selepas mendarat . Perkaitan  yang ingin dihubungkaitkan  adalah mengenai  'opponent process model ' .  Perubahan emosi berlaku sedemikian  kepada penerjun secara beransur – ansur  daripada takut kepada kepuasan kerana adanya emosi takut – kepuasan yang berpasangan . 
 
Dalam pada itu , saya telah mempelajari mengenai emosi negatif iaitu :
  Image DetailImage DetailImage Detail
Takut
Takut ialah tindak balas emosi kepada keadaan yang berbahaya dan berkaitan dengan perasaaan bimbang . Emosi ini adalah menjurus kepada mekanisma  ' survival ' kepada rangsangan negatif . Perasaan takut pada kebiasaannya berkaitan dengan keadaan fizikal atau objek  .  Sebagai contoh seseorang itu mungkin berasa takut disebabkan oleh kejadian atau pengalaman lalu yang pernah dialami seperti kejadian tsunami yang meragut banyak nyawa . Sehubungan dengan itu , mereka berkemungkinan  berasa takut untuk keluar  bermain di kawasan pantai dek kerana trauma atau pengalaman yang ngeri itu masih lagi segar di dalam ingatan mereka . Antara ekspresi wajah takut adalah jarak antara mata menjadi lebar , anak mata mengembang , bibir atas naik , kening ke dalam dan bibir menegang secara mendatar .  Perasaan takut juga boleh menyebabkan seseorang itu bertindak ganas dan juga membawa maut kerana paras hormon adrenalin yang meningkat dalam badan . Seperti yang kita sedia maklum hormone adrenalin akan meningkatkan aktiviti dalam badan kita seperti  bernafas laju dan jantung berdegup dengan pantas .
 Malu
Perasaan malu ialah suatu emosi yang melibatkan ketidakselesaan yang dialami apabila berhadapan dengan keadaan yang tidak dapat tidak diterima oleh orang lain secara hakikinya . Kadang – kadang perasaan yang melibatkan terusiknya maruah sering berlaku tetapi setakat mana situasi ini berpanjangan atau memberikan impak kepada seseorang itu adalah berdasarkan jenis situasi malu yang dihadapi .  Secara amnya malu dapat dibahagikan kepada 2 iaitu malu dari segi peribadi dan professional . Malu dari segi peribadi adalah disebabkan oleh perhatian atau keadaan yang tidak diingini dan membabitkan perkara yang rahsia atau sulit . Sebagai contoh , seseorang itu akan berasa malu apabila didapati menipu atau bercakap bohong . Pada kebiasaannya , malu dari segi peribadi ini juga diikuti dengan beberapa gabungan seperti tersipu – sipu , gementar , gelisah , tergagap – gagap , dan juga berpeluh . Disebabkan oleh yang yang demikian  , seseorang itu akan berpura – pura ketawa dan senyum bagi menutup hakikat yang sebenar daripada diketahui oleh orang lain . Manakala malu dari segi professional adalah apabila seseorang yang memperkatakan sesuatu dengan yakin tanpa bukti yang kukuh .  Perasaan malu itu akan bertambah apabila melibatkan perkara – perkara yang berkait rapat dengan kredibiliti seseorang seperti malu kerana tidak dapat menjalankan  tugas dengan baik . Sebagai contoh , kegagalan kerajaan alam mentadbir negara dan perbuatan yang tidak beretika atau makan rasuah  dalam kalangan mereka yang berjawatan  tinggi .
 
Sedih
                Sedih ialah sesuatu emosi yang mempamerkan atau memperlihatkan  terdapatnya perasaan kehilangan dan kekurangan sesuatu . Hal seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana sekiranya perasaan sedih ini berlarutan , seseorang itu akan menjadi murung dan nasihat daripda yang pakar amat diperlukan . Secaara lumrahnya seseorang yang sedih akan menjadi kurang bertenaga , pendiam dan selalu bersendirian . Mereka juga tidak mempunyai keinginan untuk bersosial . Kajian ada menunjukkan bahawa seseorang  yang sedih akan menjadi lemah dari segi pemikirannya jika dibandingkan dengan mereka yang gembira . Sehubungan dengan itu kualiti atau kemampuan seseorang itu dalam pembelajaran juga akan turut terjejas .  Antara tanda – tanda dari segi luarannya adalah menundundukkan kepala , merapatkan bibir dan secara fizikalnya perlahan atau lemah dalam melakukan sesuatu aktiviti .
 
Marah
Marah ialah tindak balas psykofisiologikal kepada sakit , penerimaan kesengsaraan atau ancaman . Pada kebiasaannya perasaan marah adalah disebabkan oleh persepsi atau anggapan seseorang kepada sesuatu keadaan sebagai ancaman yang disebabkan oleh wujudnya konflik  ,  pengabaian , pengkhianatan  dan dimalukan . Marah juga boleh diluahkan samada secara aktif atau pasif . Marah secara aktif adalah seperti melepaskan geram kepada seseorang samada percakapan atau menyebabkan kecederaan kepada orang lain . Dalam pada itu , seseorang yang marah secara pasif akan suka merajuk dan stres . Pada pendapat saya , emosi marah yang secara pasif ini berkemungkinan akan memberikan impak yang besar kepada diri seseorang apabila dipendam terlalu lama melainkan seseorang  itu sudi untuk meluahkan atau menceritakan gangguan emosi ynag dialami kepada orang lain .Sebagai contoh , seseorang itu mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menyimpan dendam  terhadap seseorang  .
 
 
Secara keseluruhannya , kita  haruslah bijak dalam menangani dan meleraikan segala kekusutan yang kita alami terutamanya yang melibatkan emosi  . Namun demikian , kita juga semestinya sedar bahawa bukan sahaja mereka yang mengalami emosi negatif itu memerlukan perhatian kita . Justeru , kebijaksanaan kita dalam megenalpasti dan menaganinya adalah sangat diperlukan bagi melahirkan insan yang bebas dari gejala negatif dan berperwatakan normal dan sejahtera . Sekian .
 

No comments:

Post a Comment