Tuesday, August 9, 2011

A129883 Khazila Binti Khalid LJ02 kasih Sayang, Keluarga dan Kebahagiaan

Kasih sayang, keluarga dan kebahagiaan
            Pada hari Rabu yang lalu (3 ogos 2011), doktor telah menyampaikan kuliah mengenai  struktur dan ekspresi emosi yang mana merupakan sambungan dari kuliah yang telah diadakan dua minggu yang lalu dan juga  mengenai emosi positif dan negatif. Kuliah pada kali ini agak berbeza kerana selain membincangkan mengenai topik-topik ini, doktor Zamri juga telah mengadakan kuiz yang dijawab secara berkumpulan. Kuiz yang diadakan merangkumi topik-topik yang telah dipelajari semasa kuliah yang lalu. Walaupun kumpulan saya tidak mendapat markah penuh tetapi kuiz ini ternyata dapat menguji kepahaman kami mengenai topik yang telah kami pelajari. Selain itu, saya juga mendapati dengan tugasan jurnal yang diberikan oleh doktor, saya dan kawan-kawan saya lebih memahami dan sekurang-kurangnya kami membuat ulang kaji semasa ingin menyiapkan jurnal dan ianya banyak memberi manfaat kepada kami dimana kami akan membaca semula kuliah-kuliah yang telah diberikan oleh doktor. Jika tugasan jurnal ini tidak diwujudkan sudah pasti saya akan membuat ulang kaji pada minit-minit akhir. Pada pendapat saya, kuiz  yang doktor berikan  semasa kuliah adalah lebih menarik perhatian kami kerana ianya dapat mengurangkan rasa mengantuk dan kami berasa gembira dan lebih fokus untuk memastikan kami dapat menjawab setiap soalan dengan tepat dan betul. Mungkin doktor perlu kerap mengadakan kuiz seperti ini atau aktiviti lain yang mana boleh menarik minat kami kerana kuliah yang diadakan pada waktu petang biasanya akan menyebabkan kami penat dan mudah terlelap. Jadi, kelainan yang doktor berikan pada kuliah kali ini benar-benar berjaya mengubah persepsi saya mengenai  kuliah ZT yang biasanya dikaitkan dengan bosan.
            Bagi topik mengenai struktur  dan ekspresi emosi, saya telah membincangkan mengenai topik  ini semasa saya menulis jurnal saya yang pertama. Oleh itu, saya hanya akan membuat ringkasan mengenai topik ini untuk jurnal kali ini. Minggu lepas doktor menyambung mengenai  teori Izard ( Izard's innate facial expression) yang menyatakan ekspresi muka dan emosi adalah bersifat semula jadi. Emosi semula jadi ini kita pelajari melalui pengalaman yang kita lalui sepanjang proses tumbesaran kita dari mulanya kita lahir hinggalah dewasa. Sepanjang tumbesaran itulah kita belajar bagaimana untuk senyum dimana semasa kita bayi lagi dan emosi-emosi yang lain. Walaupun semasa bayi apabila kita senyum tidak semestinya bermakna kita gembira tetapi apabila kita telah meningkat dewasa kita lebih memahami dan arif bagaimana untuk mengekspresikan wajah kita selari dengan perasaan atau emosi kita. Ekspresi muka dan perasaan atau emosi yang ditonjolkan melalui ekspresi muka adalah seragam dan selari bagi semua manusia di seluruh dunia. Walaubagaimanapun wajah gembira lebih mudah dikenalpasti dan begitu juga dengan wajah seseorang yang ketakutan.  Sekali lagi saya bersetuju dan menekankan bahawa emosi sangat dipengaruhi oleh persekitaran semasa kita membesar. Dari segi biologi (biology view), apa yang menyebabkan atau menambahkan rasa ketakutan kita adalah berbeza. Di masa sesetengah orang mudah rasa takut atau fobia apabila melihat serangga, anjing, takut akan ketinggian atau gayat ataupun takut dengan benda-benda yang menyeramkan seperti hantu dan sebagainya. Pada pandangan saya, perasaan takut atau fobia ini boleh timbul melalui pengalaman. Contoh yang boleh saya berikan ialah pengalaman sebenar saya semasa di zaman sekolah. Suatu ketika dulu saya tidak takut akan ular malah saya sendiri pernah menyentuh ular semasa berkunjung ke zoo atau ular yang ditangkap oleh abang saudara saya. Tetapi pernah suatu ketika dimana secara tiba-tiba seekor ular memasuki rumah saya. Saya yang demam ketika itu hanya berbaring di kusyen yang berada di ruang tamu. Saya tidak menyedari yang ular itu berada di meja telefon berhampiran dengan tempat saya, mujurlah saya selamat kerana ular itu terus bergerak ke dapur dan akhirnya berjaya dibunuh. Dari peristiwa itu saya mula mengalami fobia apabila melihat ular atau menontonnya di televisyen. Kadang-kadang ianya terbawa-bawa ke dalam mimpi saya. Walaupun peristiwa ini sudah lama berlalu tapi hakikatnya kejadian ini masih segar di fikiran saya.
            Seterusnya doktor membincangkan mengenai topik yang amat menarik dan mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian saya iaitu emosi positif dan negatif. Dalam topik ini, doktor membincangkan  mengenai kegembiraan (happiness). Banyak pakar-pakar falsafah seperti Aristotle, Plato, Epicurean dan Mills yang menghasilkan falsafah mengenai kegembiraan atau kebahagiaan. Kita semua telah sedia maklum di mana senyuman merupakan pentanda seseorang itu sedang bahagia atau gembira. Walaubagaimanapun, kegembiraan atau kebahagiaan yang dialami oleh penduduk bagi sesebuah negara adalah berbeza-beza. Contohnya, negara yang maju, penduduknya lebih bahagia dan gembira berbanding negara miskin dan tidak membangun. Pada pandangan saya, wang atau kekayaan bukanlah kayu pengukur utama kegembiraan atau kebahagiaan seseorang. Kegembiraan atau kebahagiaan bukanlah semata-mata bergantung pada harta benda. Terdapat juga orang yang kaya raya tidak gembira dan bahagia dan begitu juga dengan orang yang miskin tidak semestinya tidak bahagia. Orang yang bahagia dan mudah gembira dapat menghadapi dan menyelesaikan sesuatu masalah dengan lebih baik. Terdapat dua faktor yang dapat membawa kepada kegembiraan dan kebahagiaan iaitu pengaruh jangka msa panjang dan pengaruh jangka masa pendek. Pengaruh kebahagiaan bagi jangka masa panjang ialah di mana emosi yang berterusan dan stabil dari bulan ke bulan, tahun ke tahun atau dari waktu kecil hingga sekarang. Contoh yang paling senang ialah keluarga. Keluargalah yang membuatkan kita gembira dan bahagia dari kecil hinnga sekarang. Bagi pengaruh kebahagiaan jangka pendek ialah peristiwa atau keadaan yang baru berlaku kepada kita seperti baru mendapat anak atau lulus dalam peperiksaan. Freud menyatakan hubungan kita dengan keluarga kitalah yang akan menentukan kebahagiaan dan kegembiraan kita pada masa hadapan. Saya amat bersetuju dengan pernyataan ini. Keluarga amat mempengaruhi kehidupan saya. Syukur saya mendapat keluarga yang bahagia dan mempengaruhi emosi saya di mana saya dapat menjalani kehidupan saya dengan baik kerana tidak mengalami masalah dalam hubungan kekeluargaan. Dalam Islam sendiri menekankan hubungan kekeluargaan. Keluarga yang mengamalkan ajaran agama yang baik kebiasaannya memperoleh kebahagiaan dan mempunyai keluarga yang sihat dari segi akal, fizikal, pemikiran dan emosi.  Vanfossen, 1981 menyatakan, kebahagiaan bagi seorang lelaki dan wanita adalah melalui perkahwinan. Kajian terbukti menunjukkan lelaki dan wanita yang sudah berkahwin dan berkeluarga serta tidak mengalami masalah dengan hubungan kekeluargaan seperti perceraian lebih bahagia berbanding mereka yang bujang.
Menurut Argyle, 1987 faktor lain yang mendorong kepada kebahagian ialah kesihatan, persahabatan, kerja dan rekreasi. Faktor penghayatan agama juga mempengaruhi kebahagiaan seseorang. Melaui penghayatan agama seseorang itu akan merasa lebih bahagia dan kurang tertekan. Bagi saya, penghayatan agama dapat membantu seseorang untuk menjalani kehidupan seseorang kerana ianya merupakan salah satu cara kita memotivasikan diri kita dan merupakan cara kita menyucikan rohani dari perkara-perkara yang tidak baik. Kasih sayang (love) juga sangat penting dalam hubungan kekeluargaan dan merupakan peneraju kepada keluarga yang bahagia. Saya sendiri berazam dan menanam cita-cita untuk mempunyai keluarga yang bahagia apabila saya sudah berkahwin nanti dan saya pasti semua orang mengimpikan perkara yang sama. Apabila kita sudah bekerja dan bekerjaya, keluarga yang bahagia dan anak-anaklah yang membuatkan hidup kita lebih lengkap dan sempurna.
Saya ingin mengulas mengenai persoalan yang ditimbulkan oleh kawan saya iaitu sama ada suasana yang bahagia membuatkan kita bahagia atau orang yang bahagia menjadikan hidup seseorang bahagia. Saya bersetuju dengan pandangannya yang mengatakan orang yang bahagia dapat menjadikan kehidupan yang dilalui oleh mereka sehari-hari sentiasa penuh dengan sinar bahagia dan gembira. Orang yang sentiasa ceria juga dapat memepengaruhi persekitaran mereka dan orang sekeliling mereka turut berasa gembira dan bahagia. Saya akui, orang yang sentiasa ceria lebih mudah didekati dan mempunyai ramai kawan. Saya juga berasa bahagia apabila saya dapat membuatkan kawan saya ketawa. Kebahagiaan adalah hak milik semua orang dan semua orang mempunyai hak untuk berasa bahagia. Kebahagiaan juga perlulah dikongsi dengan orang sekeliling kita. Apabila semua orang bahagia maka hilanglah kesakitan dan dunia pun akan menjadi berwarna-warni dan kehidupan akan menjadi sangat indah untuk dilalui dan diharungi.
 

No comments:

Post a Comment