Tuesday, August 9, 2011

A131869 NG YUN FOONG LJ02 KEGEMBIRAAN DAN KEBAHAGIAAN

Selamat sejahtera kepada semua.  Kali ini merupakan kali kedua saya menulis jurnal bagi Kursus Pengurusan Emosi.  Tajuk jurnal saya pada kali ini ialah ' Kegembiraan dan Kebahagiaan '.

Pertamanya , saya berasa amat gembira kerana dapat menyaksikan video-video yang dikongsi oleh pensyarah saya selama yang dapat memberi  inspirasi dalam hidup kepada ramai pelajar termasuklah saya sendiri. Lirik lagu dan video sempena Hari Raya yang telah ditunjukkan semasa kuliah telah memberi peluang untuk saya berfikir tentang kehidupan saya dan orang lain atau melakukan  refleksi. Menghayati lirik lagu tersebut dapat memberi semangat kepada saya dalam menjalani kehidupan seharian dengan lebih bersemangat. Bagi video Hari Raya tersebut pula , nilai kasih sayang  yang  telah ditunjukkan. Nilai ini amat berharga dan penting dalam setiap golongan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Nilai ini perlulah diaplikasikan dalam kehidupan terutamanya dalam keluarga. Hal ini demikian kerana kasih sayang seseorang itu mampu membawa kepada emosi positif iaitu kegembiraan dan kebahagiaan bagi dirinya sendiri dan ahli-ahli keluarganya. Dari apa yang dipaparkan dalam berita seharian , banyak kes  yang tidak diingini berlaku kerana kekurangan nilai tersebut dalam kalangan pihak-pihak yang terbabit itu. Akibatnya berlakunya keruntuhan institusi keluarga , keruntuhan akhlak remaja , peningkatan isu-isu gejala sosial , pembuangan bayi , dan  lain-lain lagi. Nilai kasih sayang haruslah dipupuk dari umur kecil agar dapat memantapkan pengamalan nilai tersebut dan seterusnya membawa kepada kegembiraan dan kebahagiaan dalam kehidupan serta mengelakkan daripada terlibat dalam kegiatan yang tidak sihat.

Selain itu , saya juga berasa sangat gembira kerana saya berjaya menjawab kebanyakan soalan  kuiz yang dikemukakan oleh pensyarah saya itu dengan tepat. Topik-topik yang terlibat ialah Pengenalan Emosi dan Teori Darwin.  Terdapat 20 soalan yang telah dikemukakan. Masa sebanyak 10 saat telah diberi bagi setiap soalan. Oleh kerana kuiz ini perlu dijawab dalam kumpulan , dinamik berkumpulan dapat dibina semasa perbincangan jawapan bagi soalan-soalan kuiz tersebut. Hal ini mampu mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan ahli kumpulan. Saya juga berasa bangga dengan rakan-rakan saya yang lain yang merupakan ahli-ahli kumpulan lain. Hal ini demikian kerana mereka juga memperoleh markah yang tinggi bagi kuiz yang telah dijalankan itu. Ini juga menunjukkan bahawa kuliah-kuliah yang berkaitan dengan topik-topik yang diuji itu telah disampaikan dengan berkesan kerana para penuntut ilmu ini telah mendapat banyak pengetahuan tentang emosi pada kuliah yang dijalankan sebelum ini.
Di samping itu , kuliah emosi yang dapat memberi  kesan kepada saya pada hari itu ialah topik emosi positif. Emosi yang positif itu dapat memberi daya pergerakan kepada pelbagai perkara yang baik dalam dunia ini. Sebagai contohnya , dengan emosi yang positif , seseorang itu dapat menyiapkan tugasannya dengan efisien dan meningkatkan produktivitinya. Pada masa yang sama , seseorang itu juga dapat menjaga kesihatan kerana emosi itu sangat berkait rapat dengan fisiologi badan kita. Sebagai contohnya , emosi gembira yang berterusan dapat memberi ketenangan dalam jiwa dan badan menunjukkan reaksi yang positif yang menyebabkan sistem badan kita berfungsi dengan baik. Bagi yang sebaliknya pula , emosi kemarahan ,misalnya  , akan mengakibatkan degupan jantung bertambah laju  dan ini akan memberi impak kepada fungsi organ-organ badan lain kerana banyak hormon adrenalin telah dikeluarkan semasa emosi kemarahan.  Banyak  sel badan juga  mengalami proses necrosis.

 
Semasa kuliah , kami telah dijelaskan bahawa kegembiraan , kebahagiaan dan kasih merupakan emosi positif. Kegembiraan ialah sesuatu keadaan emosi atau kasih yang dipamerkan melalui perasaan keseronokan dan kepuasan. Kegembiraan itu adalah tidak sama seperti kebahagiaan. Namun , kegembiraan mampu membawa kepada kebahagiaan. Dalam istilah bahasa Inggeris 'happiness', perkataan ini menunjukkan 2 makna , iaitu kegembiraan dan kebahagiaan. Walau bagaimanapun , kedua-dua maksud tersebut dapat digambarkan dengan istilah yang berbeza dalam bahasa lain seperti Bahasa Malaysia , bahasa Cina , dan sebagainya. Perkataan Cina atau simbol yang ditunjukkan dalam slide kedua semasa kuliah ini hanya menjelaskan kegembiraan sahaja.
 
Menurut Kozma et al, 1992 , kegembiraan mempunyai 2 komponen , iaitu jenis yang berjangka masa panjang dan yang pendek. Bagi komponen yang berjangka masa panjang , emosi gembira ini  berlaku secara berterusan dan mantap dari semasa ke semasa. Bagi yang berjangka masa pendek pula , emosi gembiran berlaku berpunca daripada sesuatu peristiwa. Sebagai contohnya , peristiwa mendapat cahaya mata atau mendapat peningkatan gaji boleh membawa kepada emosi gembira yang berjangka masa pendek. Hal ini demikian , peristiwa itu hanya boleh memberi kepuasan kepada manusia dalam jangka masa yang pendek sahaja. Peristiwa yang berikutan peristiwa tersebut mungkin akan menyebabkan kewujudan emosi lain yang negatif yang berjaya mengatasi emosi gembira tersebut. Sebagai contohnya , emosi takut yang berlaku kerana tidak dapat menanggung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat akibat daripada kelahiran anak baru itu.

Menurut Argyle (1987) pula , perkara yang paling positif dalam kehidupan seseorang ialah peristiwa kejatuhan cinta yang merangkumi 78%. Pada pendapat saya , walaupun saya masih bujang dan tidak ada pengalaman dalam hal-hal percintaan antara kekasih , saya juga sangat bersetuju dengan pernyataan atau maklumat yang cuba ditunjukkan oleh Argyle. Cinta ? Bagaimana wujudnya cinta? Proses yang membawa seseorang dan kekasihnya atau orang yang disayanginya ke dunia cinta adalah melalui interpersonal attraction. Faktor-faktor yang mempengaruhi cinta ialah komitmen , intimacy dan passion. Interpersonal attraction tidak akan bermula kecuali seseorang mempunyai keinginan untuk menjalinkan sesuatu hubungan , seseorang itu telah berada dalam physical proximity yang cukup dekat serta seseorang itu mempunyai  kemahiran sosial yang memainkan peranan yang penting dalam memulakan dan menjaga sesuatu hubungan.

Selain daripada itu , satu persoalan telah ditujukan oleh pensyarah saya pada hari itu. Adalah wang yang mempunyai simbol kekayaan ini boleh membawa kepada kegembiraan? Persoalan ini dapat dipandang dari 2 sudut pandangan. Dari segi positifnya , kekayaan membolehkan seseorang itu menjalankan kehidupannya dengan lancar , iaitu dapat berbelanja demi apa-apa tujuan yang ingin dicapai oleh seseorang itu. Namun , sekiranya kekayaan itu boleh memberi impak negatif kepada seseorang , dia akan mengalami kesedihan dan kesusahan. Sebagai contohnya , sesorang yang kaya berasa gembira kerana mampu membeli cincin emas tetapi apabila ditujukan pistol oleh perompak dan cincinnya dirampas , emosi kesedihan tidak dapat dielakkan.

Kesimpulannya , emosi positif sentiasa wujud dalam kehidupan kita. Kita mesti menghargai segala yang kita ada termasuk emosi kegembiraan ini. Ramai orang akan berasa gembira apabila berlakunya peristiwa yang membawa manfaat kepada diri masing-masing. Namun begitu , adakah kita patut berasa gembira apabila perkara yang bermanfaat kepada kita boleh membawa kesan buruk atau penderitaan kepada orang lain?

No comments:

Post a Comment