Assalamualaikum
Alhamdulillah saya berpeluang menghadiri dan menyambung penulisan jurnal saya buat kali kedua.Kuliah pada hari rabu yang lalu saya dapati bertambah menarik apabila dr mengemukakan kuiz ditengah-tengah ruang pembelajaran dan ini juga dapat meningkatkan lagi daya pemahaman pelajar-pelajar semua.Bukan itu sahaja,kita semua juga disajikan dengan video 'Look Into Your Eyes' daripada Outlandish,yang mana aplikasi dan maksud tersirat daripada lagu tersebut sangat berkait rapat dengan kehidupan.
Kuliah demi kuliah,pada hari rabu lepas kita didedahkan pula tentang teori lain berkaitan dengan emosi iaitu, " Izard's Innate Facial Expression Theory".Melalui teorinya, Carroll Ellis Izard menyatakan bahawa emosi itu bersifat semulajadi dan hanya sedikit dipengaruhi oleh pembelajaran.Salah satu kajian yang berkaitan dengan teori ini adalah kajian yang dikenali sebagai 'born to smile'.Dalam kajian ini,Izard menumpukan kepada bayi yang menurutnya,ekpresi yang ditunjukkan oleh mereka bukanlah gambaran perasaan mereka yang sebenar tetapi hanya salah satu cara untuk mereka berinteraksi dan juga pengaruh daripada persekitaran.Walaupun teori yang dikemukan oleh Izard ini mendapat banyak kritikan,tetapi pada pendapat saya,teori ini tepat dengan apa yang berlaku di dunia reality.Hal ini kerana,tiada seorang bayi pun yang diajar mengenal emosi sejak dilahirkan sebaliknya emosi yang ditunjukkan datang secara semulajadi.Contohnya,bayi akan menangis sekiranya diusik atau ditakutkan,dan begitulah sebaliknya.Tetapi,tidak dinafikan juga emosi itu dipengaruhi oleh pengalaman dan juga budaya kerana bagi sesetengah orang yang mempunyai budaya yang berbeza dengan kita,apa yang dianggap betul bagi kita kadangkala membawa maksud yang kurang baik dan kadang-kadang membawa maksud yang tidak baik bagi mereka.
Pada separuh masa kedua pula kita dikuliahkan tentang apa itu erti kebahgiaan.Topik ini lebih menarik minat dan perhatian semua pelajar termasuklah saya.Oleh kerana topic kebahagiaan ini terlalu besar,saya ingin kemukakan segala pemahaman,pendapat dan pengalaman saya mengenai apa yang dikatakan tentang kebahagiaan.Pada pendapat saya,kebahagiaan itu begitu besar maknanya dan begitu subjektif.Setiap individu yang berlainan berhak mendefinisikan kebahagiaan masing-masing berpandukan pengalaman dan sudut pemerhatian yang berbeza.Pertama sekali,apakah yang dimaksudkan dengan kebahagiaan itu dan dari mana kebahagiaan itu datang?Sesetengah orang berpendapat kebahagiaan itu adalah agama kita.Betul.Tepat sekali.Sesetengah orang pula mengatakan kebahagiaan itu didefinisikan melalui sebuah keluarga yang bahagia.Pun betul.Dan sesetengah orang berpendapat bahawa kebahagiaan itu datang apabila kita memiliki wang yang banyak.Betul juga.
Jadi,apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kebahagiaan itu?Bagi saya,semua yang dinyatakan di atas adalah betul.Kebahagiaan memang datang dari keluarga,agama,wang dan lain-lain tetapi sebagai satu pakej.Ini bermakna,wang,keluarga dan juga agama kita adalah komponen-komponen kebahagiaan. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:":Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.!" (Riwayat Ibnu Hibban) Sebagai konklusi,wang adalah salah satu penyebab kebahagiaan tetapi bukanlah punca kebahagiaan.Bercakap mengenai kebahagiaan dan wang,seringkali kita dengar orang berkata "Duit tidak boleh beli kebahagiaan".Ya.Tepat sekali.Tetapi realitinya,dapatkah kita bahagia tanpa wang?Jika berada dalam sesebuah keluarga,bahagiakah ibubapa melihat anak-anaknya terpaksa berhenti belajar hanya kerana tidak cukup wang untuk membiayai pengajian anaknya?Tidak juga.Sebab itulah saya berpendapat wang adalah salah satu komponen kecil kebahagiaan.Jika kita ibaratkan kebahagiaan itu sebagai sebuah kolam ikan,ikan di dalamnya adalah keluarga,makanan yang diberi kepada ikan adalah wang,air di dalam kolam itu boleh diibaratkan sebagai agama kita dan begitulah komponen-komponen lain juga.
Seperti yang saya katakan tadi,kebahagiaan datang dalam satu pakej.Namun begitu,jika tidak lengkap pakej kita,adakah kita tidak boleh mencapai kebahagiaan?Contohnya,seperti video yang Dr.Zamri tayangkan tentang seorang remaja dari Korea yang begitu berbakat tetapi dia tidak mempunyai ibubapa,hidup sebatang kara.Adakah itu tandanya kebahagiaan itu bukan milik kita?Pada pendapat saya sendiri,sudah tentu tidak.Bagi yang membaca atau terbaca jurnal saya ini,pasti anda semua pernah mendengar kata-kata hikmah yang berbunyi seperti ini, "Kadangkala Allah hilangkan sekejap matahari, kemudian Dia datangkan pula guntur dan kilat… Puas kita menangis, mencari matahari? Rupanya Allah menghadiahkan untuk kita pelangi".Percayalah bahawa sesungguhnya Allah pasti mengurniakan sesuatu yang lebih baik untuk kita sekiranya kita merasakan kebahagiaan itu masih belum tiba.Tidak semestinya setiap orang pakej kebahagiaannya akan sama dengan orang lain.Apa yang mungkin dirasakan bahagia oleh orang lain mungkin juga dirasai oleh kita dan mungkin juga tidak.Jadi di sini saya ingin berkongsi sebuah artikel yang saya baca baru-baru ini daripada laman sesawang I LUV ISLAM yang bertajuk Mengapa Harus Bersedih?
"Allah benar janji-Nya. Allah telah menentukan sesuatu. Yang hilang tidak bermakna binasa.
Yang pergi tidak bermakna kita hilang segala.
Kalau kita ukur - banyak mana yang Allah ambil, dibanding dengan banyak mana yang Allah telah beri kepada kita.
Firman Allah:
"Kalau kita cuba hitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung banyaknya." - [Ibrahim 14:34]
Mata, telinga, mulut, kaki dan sebagainya. Harta yang melimpah ruah. Pandang yang sekitarmu. Apa yang kurang?"
Begitulah sedikit daripada petikan artikel tersebut yang membuatkan saya terpanggil untuk berkongsi di dalam jurnal saya kali ini.Untuk bacaan lanjut, http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/972-mengapa-harus-bersedih.html
Pada pendapat saya juga,kebahagiaan ini kadangkala memrlukan sedikit usaha daripada kita sendiri untuk mencarinya.Sama seperti ilmu,ia tidak akan datang bergolek,ia harus dicari.Bagi saya,kebahagiaan itu ada disekeliling kita hanya kita sebagai manusia yang buta dan tidak menyedari kehadiran kebahagiaan itu sehinggalah ia hilang dari sisi kita,barulah kita sedar bahawa perkara itu sebenarnya telah membahagiakan kita selama ini.Kita ambil salah satu contoh yang mudah,iaitu kawan,teman atau sahabat.Kadangkala kita tidak tahu menghargai orang yang selalu berada di sisi kita sewaktu kita berjauhan dengan keluarga,menenangkan dan membantu kita sewaktu kita dalam kesusahan dan banyak lagi.Sehinggalah tiba-tiba orang tersebut hilang dari sisi kita,barulah kita sedar bahawa dia adalah salah satu komponen kebahagiaan kita.Jadi,kita harus belajar menghargai apa yang kita ada,tidak perlulah sesuatu yang besar,sesuatu yang kecil,selagi ia boleh membawa kebahagiaan kepada kita,hargailah ia sebelum ia hilang dari sisi kita.Selain itu,kadangkala kebahagiaan itu boleh jadi sesuatu yang tidak kita sukai atau kita benci. Ini kerana Allah Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yg bermaksud:.
"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi(pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.".
Seperti yang saya katakana tadi,kebahagiaan hampir sama teorinya dengan ilmu,ia tidak datang bergolek dan harus dicari.Satu perkara lagi yang membuatkan kebahagiaan ini hampir sama dengan ilmu adalah perkongsiaan.Kebahagiaan bagi saya,apabila dikongsi bersama tidak kiralah siapa sahaja,membuatkan kebahagiaan itu menjadi semakin banyak dan besar.Sama seperti ilmu,ilmu yang dikongsi akan bertambah banyak bukannya berkurangan. Jadi,bagi saya,kebahagiaan ini sangat subjektif dan luas serta mempunyai makna yang pelbagai,berbeza bagi setiap manusia.Semasa zaman persekolahan dahulu,cikgu kaunseling saya selalu kata "Biarlah apa pun yang terjadi,buatlah apa sahaja,asalkan diri kita bahagia".Rupa-rupanya memang kebahagiaan ini sangat penting,jika tidak,tidak mungkin ada kuliah dan kos yang mengajar tentang kebahagiaan sehingga kita ke tahap universiti kan?
No comments:
Post a Comment