Selamat sejahtera saya ucapkan.Jurnal kedua saya adalah mengenai kuliah kursus ZT 2253 pada 3 Ogos 2011.Sebelum kuliah bermula,kami telah menonton tayangan klip video lagu " You Came To Me" oleh Sami Yusuf.Lagu ini mengajar kita bahawa agama dapat membantu kita mengharungi segala rintangan kehidupan dan membawa kita ke jalan yang betul.Hal ini amat benar kerana seseorang yang memiliki benteng iman yang utuh dapat membentuk emosi yang positif semasa menghadapi masalah dalam kehidupan.Sebenarnya saya berasa bahawa kuliah ini lebih menarik berbanding kuliah minggu lepas kerana kami berpeluang untuk menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan dengan pembelajaran minggu lepas dan ini merupakan suatu bentuk ulang kaji untuk topik-topik sebelumnya.
Berbalik kepada kuliah,tajuk pertama adalah sambungan daripada kuliah yang lalu iaitu "Izard's Innate Facial Expression" dan "Learning & Experience Theories".Teori Izard mengatakan bahawa emosi adalah sesuatu yang semulajadi dalam diri seseorang.Terdapat dua kajian yang telah saya pelajari berkaitan Teori Izard iaitu kajian "born to smile" dan kajian silang budaya ( "cross cultural studies" ).Teori Izard turut menyatakan bahawa pembelajaran mempunyai impak yang minima terhadap emosi. Dalam kajian "born to smile", dikatakan bahawa emosi telahpun wujud semasa seseorang dilahirkan dan perkembangannya adalah mengikut peringkat umur.Terdapat beberapa kategori umur dan emosi yang telah dikaitkan.Misalnya, seseorang bayi akan berasa terkejut dan marah pada umur 3-4 bulan, takut dan malu pada usia 5-6 bulan, perasaan puas hati pada umur 1 tahun dan perasaan bersalah pada umur 2 tahun. Hal ini memang menarik perhatian saya kerana sebelum ini saya tidak sedar bahawa emosi yang dialami oleh seorang bayi berkembang mengikut umurnya. Walau bagaimanapun, senyuman yang terpapar pada muka seseorang bayi tidak semestinya mengatakan bahawa dia gembira,sebaliknya senyuman itu sendiri merupakan suatu media untuk berkomunikasi oleh orang di sekelilingnya.
Seterusnya kajian silang budaya telah dijalankan oleh Paul Ekman.Beliau telah menjalankan kajian tersebut di beberapa buah Negara iaitu Argentina,Brazil,Amerika Syarikat, Chile dan Jepun. Kajian tersebut merangkumi gambar- gambar yang memaparkan wajah seseorang dan menyuruh pihak responden untuk mengenal pasti emosi yang dapat dilihat melalui foto tersebut. Namun sesetengah pihak mengatakan bahawa kaedah tersebut hanya berfokus kepada golongan terpelajar. Ekman kemudiannya telah mengulang soal selidiknya di Papua New Guinea dan Borneo.Ekman berpendapat bahawa emosi bukannya semulajadi tetapi berubah mengikut pengalaman budaya.Paul Ekman(1994) telah mengatakan bahawa kesejagatan mimik muka dengan emosi. Menerusi kajiannya, beliau telah menyimpulkan bahawa wajah gembira lebih mudah dikenal pasti berbanding wajah- wajah yang lain. Selain itu, kajian yang dilakukan oleh Scherer dan Wallbott (1994) di 37 buah Negara dan 5 buah benua turut menyokong pernyataan Ekman. Mereka membuktikan bahawa konsep kesejagatan emosi adalah mantap dan stabil.
"Learning & Experience" merangkumi dua kaedah yang cukup berbeza iaitu pengalaman melalui pandangan biologi dan pengalaman melalui pembelajaran. Melalui pandangan biologi, pembelajaran memainkan peranan yang minima dalam emosi. Plutchik berpendapat bahawa emosi adalah "direct expression"/ ekspresi secara langsung factor genetik dan boleh diubah melalui pembelajaran.Hal ini memang lazim dikatakan, misalnya seseorang yang pemarah dikatakan memiliki sifat pemarah ibu atau bapanya ( factor genetik),tetapi melalui beberapa kaedah seperti meditasi sifat pemarahnya dapat dikawal (modifikasi melalui pembelajaran). Izard pula mengatakan bahawa emosi muncul pada usia muda lagi selepas kelahiran seseorang bayi serta mempengaruhi tingkah laku bayi tersebut. Emosi merangsang sesuatu respon oleh bayi dan hal ini membantu dalam pembelajaran.Misalnya, pada pendapat saya sesuatu stimulus merangsang emosi dan respon yang berlainan dalam individu yang berbeza.Hal ini mungkin boleh menjelaskan perasaan fobia yang dialami oleh individu yang berlainan.Sesetengah orang menjadi takut (emosi) melihat darah (stimulus) dan seterusnya pengsan(respon) tetapi sesetengah orang tidak.
Kaedah kedua iaitu emosi berdasarkan pengalaman dari sudut pembelajaran.Kaedah ini berbeza daripada pandangan biologi kerana semua emosi dikaitkan dengan pembelajaran. Sebagai contoh, kanak-kanak melalui pembacaan buku-buku cerita telah mempelajari bahawa ular merupakan sejenis binatang yang berbisa dan sering diberi watak negatif dalam sesuatu cerita,misalnya "The Jungle Book".Oleh sebab itu,apabila mereka terserempak dengan seekor ular mereka akan menjadi takut dan akan cuba menjauhi diri mereka daripadanya.
Tajuk kedua kuliah pula adalah tajuk yang baru dan sangat menarik iaitu emosi positif. Tajuk ini lebih berfokus kepada kegembiraan, kasih sayang dan kebahagiaan. Kegembiraan membawa maksud sesuatu perasaan yang penuh dengan kepuasan dan keseronokan. Menurut Aristotle, kegembiraan merupakan kejayaan mencapai keseronokan. Kegembiraan seseorang sebenarnya bergantung kepada diri seseorang.Hal ini mungkin kerana setiap orang mempunyai persepsi yang berlainan terhadap situasi kehidupan.Dikatakan bahawa individu yang mempunyai tahap pelarasan diri yang tinggi adalah orang yang lebih gembira berbanding dengan orang yang tahap pelarasan dirinya lebih rendah.Hal ini demikian kerana tahap pelarasan diri yang tinggi membantu seseorang menghadapi masalah dalam kehidupannya dengan lebih baik dan efektif.
Seterusnya menurut Kozma, kegembiraan merangkumi dua komponen iaitu "long term afektif states"( keadaan afektif untuk jangka masa panjang) dan "short term afektif states"( keadaan afektif untuk jangka masa pendek). Keadaan afektif untuk jangka masa panjang merupakan sesuatu emosi yang berterusan untuk jangka masa yang lama (bulan ataupun tahun).Misalnya,kegembiraan yang dialami semasa zaman kanak-kanak bersama keluarga. Bagi keadaan afektif untuk jangka masa pendek pula adalah hasil daripada peristiwa yang baru berlaku ataupun berkaitan sesuatu isu semasa. Terdapat juga beberapa ahli falsafah lain yang telah memberi definisi yang berbeza bagi konsep kegembiraan. Menurut Frued,kegembiraan seseorang sangat bergantung kepada hubungannya dengan ibu bapa. Selain itu, Vanfossen mengatakan bahawa seseorang lelaki dan seseorang wanita akan mencapai kebahagiaan bersama melalui perkahwinan.Menurut beliau seseorang yang telah mempunyai teman hidup adalah orang yang lebih bergembira berbanding yang bujang.Keadaan ini mungkin berbeza mengikut persepsi individu kerana ada sesetengah orang yang menganggap sebaliknya.Argyle pula mengatakan bahawa kegembiraan boleh dipengaruhi oleh kesihatan seseorang,persahabatan,rekreasi,pekerjaan dan penghayatan agama.
Walaupun apa jua konsep kegembiraan yang dikemukakan pada pendapat saya kegembiraan amat dipengaruhi oleh pemikiran dan prinsip seseorang.Sekiranya seseorang itu mampu mencari kebaikan dalam kemusykilan hidup yang dihadapinya dan percaya bahawa rintangan tersebut sebenarnya menjadikannya lebih kuat dari dalaman,dia mampu menjalani suatu kehidupan yang penuh kegembiraan dan penuh bermakna.Namun jika seseorang itu gagal memahami kebenaran tersebut maka kehidupannya akan menjadi penuh bermasalah dan tidak teratur.
Secara kesimpulannya,saya berasa bertuah dan ingin berterima kasih kepada Dr Zamri kerana telah member penjelasan yang baik mengenai konsep kebahagiaan dan kegembiraan.Saya telah sedar bahawa walaupun terdapat banyak faktor yang mempengaruhi konsep kegembiraan mengikut ahli falsafah yang berlainan, namun kegembiraan yang sebenarnya datang daripada "our inner peace".Sekian terima kasih.
No comments:
Post a Comment