Tuesday, August 9, 2011

A131424 Lee Wei Ming LJ02 - KEBAHAGIAAN


Minggu kedua kuliah pengurusan emosi yang telah saya hadiri tempoh hari terus membuka mata saya tentang erti emosi. Pengurusan emosi sekali lagi tampak lebih mendalam daripada yang disangka, dan pemahaman tentang emosi diri yang betul amat diperlukan sebelum kami dapat mengawal sepenuh emosi diri. Saya merasakan kuliah pada kali ini tidak mengecewakan sedikit pun kerana menyentuh perkara-perkara yang walaupun begitu sebati dalam hidup saya tetapi tidak pernah didefinisikan secara tepat mahupun dibincangkan secara terbuka. 

Perkara berkaitan kebahagiaan paling menarik perhatian saya sewaktu kuliah. Betul kata-kata rakan sepejuangan saya, maksud kebahagiaan itu bergantung kepada setiap individu dan adalah berlainan sama sekali interpretasi sesuatu situasi, seseorang mungkin merasakan itu adalah suatu kebahagiaan, tetapi orang lain merasakan itu adalah suatu kesengsaraan. Marilah menjengkuk sebentar contoh yang akan saya berikan ini. Apabila ahli keluarga sering bertanya khabar dan mengambil tahu hal kita, seseorang akan terasa ini adalah mengambil berat dan kehadiran mereka dihargai, sekaligus merasakan ini adalah kebahagiaan yang dimaksudkan dan semoga keadaan ini terus berkekalan. Bagi pihak lain pula, mereka akan berasa situasi ini adalah membebankan, ahli keluarga terlalu menjaga tepi kain, berasa tertekan, dan seringkali akan berlaku perselisihan faham kerana masalah komunikasi yang terganggu disebabkan rasa tidak ingin beritahu. Bagi pihak yang kedua ini, sudah tentu keadaan ini bukan sahaja tidak bererti kebahagiaan, sebaliknya sesuatu kesengsaraan yang diharapkan tidak akan berterusan, terutama sekali apabila usia semakin lanjut.
 

Bagi diri saya, kebahagiaan bukan sesuatu yang objektif, mahupun sesuatu yang subjektif, tetapi lebih kepada sesuatu yang abstrak.
 Bahkan
para ilmuwan secara sistematik mencari jawapan atas pertanyaan: "Apa itu kebahagiaan?" "Adakah kebahagiaan dapat diukur dan apakah pengukurnya?" "Adakah kemampuan untuk bahagia dapat dipelajari?" Izinkan saya untuk mengulas semula secara ringkas berkaitan sebuah artikel kebahagiaan yang dijumpai hasil rujukan internet.

 

 "Untuk menyelesaikan persoalan-persoalan di atas, para biologi, sosiologi dan psikologi mencari jawapan kepada kemusykilan secara ilmiah.  Penelitian moden mendefinisikan kebahagiaan sebagai momentum bukan euforia yang lenyap dalam masa singkat. Kebahagiaan juga diertikan sebagai kehidupan yang paripurna. Oleh yang demikian, setiap insan mempunyai kebolehan untuk mencapai kebahagiaan yang diidamkan dengan pelbagai cara berbeza mengikut individu. Misalnya dengan bermeditasi, berasa bersyukur atas apa yang diperoleh, belajar memaafkan orang lain, menetapkan sasaran yang realistik dan menjalani kehidupan dengan optimistik. Bermeditasi membebaskan seseorang individu daripada ketegangan dan memberi ketenangan jiwa, mewujudkan ketabahan dan keberanian serta mengembangkan kekuatan untuk menyelesaikan punca ketegangan, menolong mengembalikan semula perasaan kepercayaan terhadap diri sendiri tanpa perasaan takut menegakkan kebenaran, dan memupuk nilai-nilai keagamaan dan seterusnya membimbing individu tersebut percaya terhadap agamanya. Rasa bersyukur pula membawa kepada pemikiran positif, kelapangan dada, kesabaran, dan tiadanya rasa iri hati dalam mengharungi apa-apa jua situasi dalam kehidupan seharian. Seperti kata-kata kebanyakan orang, apa jua perkara yang kita soronok melakukannya tanpa rasa dipaksa adalah perkara yang terindah. Bersedia memaafkan kesilapan orang lain pula menstabilkan mental dan emosi diri sendiri dengan melupakan perasaan negatif seperti marah mahupun sedih. Ingatlah bahawa kesilapan adalah perkara biasa sebagai manusia dan kita harus bersedia memaafkan mereka yang telah menyedari kesilapan diri dan memohon maaf daripada kita. Anggaplah segala yang telah berlaku itu ada hikmah di sebaliknya.  Pendek kata, pelbagai penelitian dalam tingkah-laku kehidupan seharian dan  keharmonian antara pelbagai tindakan positif yang dilakukan memberi kontribusi amat bermakna dalam membawa kepada kebahagiaan."

 

Mengikut pengalaman saya menghadiri suatu kursus masa dahulu, kebahagian manusia dinyatakan adalah bermula apabila ia membuka mata hatinya, dan menyedari bahawa ia sebenarnya memiliki banyak perkara yang bererti dan menyedari betapa ia dicintai. Untuk menjadi manusia bahagia, pertama sekali kita perlu membuka pintu hati diri terlebih dahulu agar bersedia menerima seadanya dan agar ada ruang untuk orang lain mencintai dan menghargai diri kita. Seandainya terkongkong dalam pemikiran sempit sendiri tanpa bersedia menerima pandangan mahupun kasih sayang seseorang, ini bermakna kita tidak pun memulakan inisiatif untuk mencari kebahagian diri. Kebahagian tidak akan dapat wujud tanpa kesungguhan diri, dan sekiranya terlalu memaksa diri untuk mendapatkan segala yang diinginkan serta tidak mahu menerima dan mensyukuri apa yang ia miliki. Ini adalah sejajar dengan ulasan ringkas saya di atas, berserta sedikit maklumat tambahan yang diperoleh sewaktu kursus. Saya juga didedahkan bahawa keegoan manusia menyebabkan ramai yang menjadi tidak sedar diri, dibutai keegoan memuncak dan hanya mementingkan diri sendiri, sehingga mengakibatkan manusia tidak sedar bahawa ia sebenarnya begitu dicintai, dan apa-apa jua yang dilakukan atas niat ikhlas seseorang adalah demi kebaikan dirinya. Begitu banyak sahabat yang begitu mencintai dan menghargai ia, dan kerana itulah mereka menegur perbuatan kurang baik, tetapi keegoan untuk mengakui kesilapan, menegakkan benang yang basah, menjadikan sahabat sejati kian jauh. Dalam situasi ini, kebahagiaan yang sememangnya telah wujud telah dihancurkan kerana rasa ego diri yang begitu tinggi.

 

Sebagai penutup kepada jurnal saya pada kali ini tentang kebahagiaan, saya ingin meluahkan sedikit pengalaman saya berkaitan kebahagiaan yang telah disaksikan tetapi tidak berkekalan kerana tidak cukup berpengetahuan tentang erti kebahagiaan sebenar. Rakan yang dimaksudkan ini tidak sedar bahawa sumber kebahagiaan adalah dari dalam diri sendiri, bukannya diberi oleh orang lain. Dari sudut pemahaman saya, sememangnya kebahagiaan itu telah wujud dalam dirinya tetapi masih tidak disedari. Dia juga tidak faham bahawa tiada insan yang mampu memberikan sepenuh kebahagiaan kepada orang lain, dan yang ada cumalah mampu menyumbang kepada kebahagiaan orang lain. Konsep ini telah disalah faham oleh yang tersebut sehingga mengharapkan kebahagiaan dirinya diberikan oleh teman lelakinya. Segala kebaikan yang telah dilakukan oleh teman lelakinya masih dianggap tidak membahagiakan dirinya. Disebabkan juga tidak sedar bahawa kebahagiaan akan wujud apabila yang tersebut bersedia menerima seadanya, serta bersyukur, mencintai, menghargai dan menerima diri sendiri dan orang lain, akhirnya hubungan mereka terputus begitu sahaja. Saya yakin dalam situasi ini, sebaik mana jua pihak lelaki kepada kekasihnya, yang pasti pihak perempuan tidak akan berasa bahagia disebabkan tidak mengerti erti kebahagiaan sebenar. Perkara remeh yang dapat dielakkan ini telah membawa musibah kerana tiadanya pengetahuan tentang kebahagiaan. Sekali lagi cara-cara mudah untuk mencapai kebahagiaan seperti yang dinyatakan dalam isi jurnal saya tampak masih tidak diketahui semua orang. Walau apa yang berlaku, percayalah kepada Tuhan. Bersyukurlah bahawa manusia selalu diberikan yang terbaik oleh Tuhan yang maha mengasihani. Sesuatu yang diidamkan tidak perlu terlalu berkeras hati untuk dicapai pada saat yang diharapkan. ManusiaNya akan diberikan apa-apa yang diperlukan dan dipintanya pada masa yang tepat. Tidak harus saat ini, masih ada esok hari. 

No comments:

Post a Comment